Forum : Obama o Obama – Penawar atau Virus

Sabtu, 20hb Jun 2009,  Bandar Baru Bangi.

Buat pertama kalinya, Khilafah Centre telah menganjurkan sebuah program berbentuk mini forum yang diberi nama Munaaqashah (discussion). Munaaqashah sulung ini, yang mengangkat tajuk Obama o Obama : Penawar @ Virus, menghidangkan kepada para peserta perbincangan dan kupasan isu semasa yang terkait dengan Presiden AS Barack Obama.  Perbincangan berkisar di sekitar realiti politik yang terkait dengan Obama dan pandangan Islam terhadap realiti tersebut.  Munaaqashah telah diadakan di Bilik Utama, Khilafah Centre. Pusat percambahan pemikiran yang baru dibuka ini terletak di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi. Di samping forum, aktiviti lain yang diadakan adalah pameran dan jualan buku-buku Islam, VCD serta cenderahati.

Menurut Saudara Imran selaku pengarah projek, tajuk tersebut dipilih kerana isu ini telah menjadi sebuah fenomena sejak Obama dipilih sebagai Presiden AS. Sejak kemenangan Barack Obama dalam pemilihan calon parti Republican sehinggalah kemuncaknya apabila beliau terpilih sebagai presiden Amerika yang pertama dari kalangan kulit hitam dalam sejarah Amerika, fenomena ini telah menular ke seluruh dunia. Fenomena Obama ini diraikan oleh seluruh masyarakat dunia tanpa mengira negara, bangsa dan agama, termasuklah di negeri-negeri kaum Muslimin sendiri.

Dunia secara amnya meletakkan harapan dan impian yang menggunung kepada Obama agar presiden Amerika ini membawa satu perubahan besar kepada keamanan sejagat dan menyelesaikan banyak krisis yang melanda dunia. Kaum muslimin juga tidak terkecuali dalam meletakan harapan dan impian supaya Obama memberi pembelaan dan menyelesaikan permasalahan mereka yang tidak berpenghujung dan sering dipermainkan oleh presiden-presiden Amerika sebelumnya.

Melihat kepada isu ini dari kacamata politik Islam, persoalan yang perlu dilontar dan dijawab sejujur-jujurnya oleh kaum Muslimin adalah, apakah benar Obama merupakan penawar kepada masalah umat Islam (dunia Islam) atau sebaliknya Obama hanyalah satu lagi virus pembunuh yang perlu dihadapi oleh kaum Muslimin? Dua pembicara yang dijemput telah membawa hadirin mengikuti perbincangan ini secara rasional berdasarkan fakta dan realiti yang berlaku. Pembicara pertama, Yusuf Muhammad telah merungkai fakta dan realiti tindakan dan polisi yang dikeluarkan oleh pentadbiran Obama yang menunjukkan permusuhan Amerika terhadap umat Islam. Permusuhan ini hakikatnya adalah lebih dahsyat dan merbahaya. Ini adalah kerana permusuhan ini diselubungi dan segala perancangan yang terkait dengannya adalah lebih halus dan licik sehinggakan umat Islam boleh tertipu kecuali mereka yang mengamati perkembangan ini dengan pandangan Islam yang jernih.

Pembicara kedua, Dr. Muhammad, kemudiannya memperjelaskan bagaimana seharusnya umat Islam menanggapi perkara ini dan tindakan yang sepatutnya diambil bagi menyelesaikan masalah mereka secara tuntas. Secara ringkasnya, umat Islam sepatutnya melihat isu ini menurut pandangan Islam, menjadikan aqidah Islam sebagai sandaran dalam berfikir dan hukum syarak sebagai piawai perbuatan. Hanya dengan cara inilah umat Islam akan dapat memahami fenomena Obama ini dengan jelas. Ini akan membawa kepada kesedaran bahawa kemuliaan umat yang telah hilang hanya akan dapat dikembalikan dengan mendirikan semula Khilafah, sistem pemerintahan Islam yang menjadi pelindung dan penjaga Islam dan umatnya yang hakiki.  Dengan kesedaran ini sahajalah, umat akan nampak bahawa mengharapkan seorang kafir seperti Obama untuk melindungi dan memuliakan umat Islam adalah merupakan suatu impian yang cukup merbahaya.

Di kesempatan ini, pihak Khilafah Centre ingin merakam penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir bagi menjayakan program ini. Semoga program ini dapat memberi motivasi kepada kita untuk terus komited kepada Islam dan berdakwah dalam dalam mengangkat Deen Allah ini sebagai Deen yang tertinggi. Amin.

* Program Munaaqashah ini boleh diperolehi dalam bentuk VCD/DVD.