SN448 – Rang Undang-Undang MKN 2015: Ancaman Pemerintah Terhadap Rakyat

PDF

SN Keluaran 17 Disember 2015

[SN448] Pada 3 Disember 2015, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) 2015 yang tidak sampai lima jam dibahas dengan kelulusan majoriti mudah iaitu 107 menyokong dan 74 lagi menolak. RUU MKN ini mengandungi 44 Fasal yang dikatakan bertujuan menjaga keselamatan negara dengan memberikan kuasa mutlak kepada majlis yang dianggotai oleh Perdana Menteri dan Timbalannya, Menteri Pertahanan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara. Menerusi RUU tersebut, MKN berkuasa antaranya mengisytiharkan kawasan keselamatan, mengawal pergerakan mana-mana orang, menahan atau memindah mana-mana suspek, menyita dan menggeladah mana-mana premis, merampas apa jua barang serta mengetepikan inkues yang dikemukakan pihak berkaitan. Pengenepian inkues ini bermaksud mahkamah mempunyai hak untuk menolak apa-apa permohonan tentang kesalahan, kesilapan atau ketidakdilan yang dilakukan oleh kerajaan. MKN dengan kata lain memberikan ‘imuniti’ kepada apa sahaja tindakan kerajaan, walau bagaimana salah dan zalim sekalipun.

 Satu persoalan besar yang harus dipertanyakan ialah, adakah Malaysia sekarang berada dalam keadaan terancam atau sedikit masa lagi akan terancam, sehingga memerlukan satu lagi undang-undang drakonian yang baru seperti MKN ini? Walhal sebelum ini kita sering mendengar kenyataan daripada agensi penguatkuasaan, khususnya PDRM bahawa tidak ada kem pengganas di Malaysia, kejayaan PDRM menumpas dan menangkap kumpulan atau suspek yang disyaki pengganas, kadar jenayah yang semakin menurun, kehebatan PDRM dalam mengesan semua aktiviti yang dianggap sebagai keganasan dan banyak lagi berita baik lainnya dalam aspek keselamatan negara. Pendek kata segala-galanya terkawal dek kecekapan PDRM dalam menangani sebarang unsur jenayah. Inilah yang disajikan kepada kita dari semasa ke semasa. Sekiranya semua ini benar, maka kenapakah kerajaan masih perlukan RUU MKN ini? Itu belum mengambil kira jumlah anggota agensi penguatkuasa, bidangkuasa dan dana yang diperuntukkan kepada mereka yang saban tahun dipertingkatkan, yang sering dibanggakan oleh kerajaan sebagai sebuah kejayaan!

Undang-Undang Manusia Tidak Pernah Cukup

Sebelum ini, kita telah menyaksikan bagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sering dipergunakan oleh pemerintah untuk menangkap dan memenjarakan seteru politik mereka. Akibat desakan berterusan dari rakyat, ISA akhirnya dimansuhkan. Namun, ia tidak berakhir di situ kerana kerajaan mewujudkan pula dua Akta lain yang lebih zalim iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Tidak cukup dengan dua Akta tersebut, kini Akta drakonian ketiga cuba diwujudkan pula, yang intinya memberi kuasa tidak terbatas kepada Eksekutif (Perdana Menteri) untuk melakukan semahunya.

Pelbagai justifikasi memuakkan yang diberi oleh kerajaan bagi mewujudkan Akta MKN ini. Ancaman keselamatan dan juga keganasan tidak pernah lepas dari bibir. Apa yang pasti, RUU MKN ini dibentangkan setelah kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke Malaysia kira-kira sebulan lepas. Obama telah meninggalkan satu amanat penting kepada Malaysia bahawa perang melawan terrorisme dan ekstremisme hendaklah menjadi fokus utama dan kerajaan telah pun memberikan komitmen, malah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Amerika dalam hal ini. Justeru, penggubalan MKN menjadi bukti kesetiaan Malaysia kepada AS dalam usaha menangani segala ancaman terrorisme dan ekstremisme, yang sudah pasti pihak yang menjadi sasaran di bawah undang-undang ini ialah umat Islam yang tidak sehaluan dengan Amerika dan kerajaan. Walhal Amerika-lah pengganas nombor satu dunia yang tidak ada pertikaian mengenainya!

Kita tidak nafikan adanya penjenayah yang sering melakukan kejahatan dan mengancam keselamatan masyarakat, tetapi hakikatnya sudah terlalu banyak undang-undang sedia ada yang boleh dan telah pun digunakan. Malah kerajaan selama ini begitu bangga dengan kejayaannya menumpaskan segala aktiviti keganasan, ekstremisme dan lain-lain jenayah, tanpa adanya SOSMA, POTA mahupun MKN. Kita masih terngiang-ngiang akan kes serangan Sulu di Lahad Datu yang dikategorikan oleh kerajaan sebagai serangan pengganas. Kes ini berjaya ditangani oleh kerajaan dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Inilah pengakuan kerajaan sendiri. Kita juga masih ingat kes al-Maunah di era pemerintahan Dr. Mahathir Mohamed yang juga diakui kerajaan sebagai berjaya ditangani sepenuhnya. Jauh sebelumnya ada kes Memali yang tidak akan dilupakan dalam sejarah Malaysia. Kerajaan juga menyifatkannya sebagai satu kejayaan.

Semua kes tersebut dan banyak lagi kes-kes lainnya yang sering dibanggakan oleh kerajaan sebagai berjaya ditangani. Itu semua tanpa kewujudan undang-undang seperti MKN, SOSMA mahupun POTA. Justeru, apa logiknya untuk mewujudkan ketiga-tiga Akta tersebut, kononnya untuk menangani ancaman, yang padahal sebelumnya berjaya di tangani sebelum kewujudan Akta tiga serangkai berkenaaan pun!? Justeru, tidak ada logiknya dengan kewujudan Akta-akta zalim berkenaan, kecuali pihak Eksekutif mahukan kuasa tanpa batas untuk menghapuskan apa sahaja yang mengancam kepentingannya!

Jika kerajaan ingin bercakap tentang keselamatan orang ramai, marilah kita katakan kepada mereka bahawa orang ramai sekarang ini semakin takut dengan kadar dan bentuk jenayah yang menggerunkan yang tidak pernah dapat diatasi oleh kerajaan, walau telah ratusan undang-undang dan langkah diwujudkan kerajaan. Orang ramai hidup dalam ketakutan dan kesempitan dengan segala penindasan hasil tadbir urus negara yang buruk, baik di bidang politik, sosio-ekonomi dan lain-lain. Bukan sekadar jenayah, gejala sosial pun semakin menakutkan dan kos sara hidup terus-menerus meningkat hasil dari kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta cukai yang melampau-lampau. Pendek kata, kita ingin katakan bahawa rakyat sekarang ini sesungguhnya semakin terancam dan hidup dalam ketakutan dengan kezaliman dan kuasa kerajaan yang semakin meningkat tanpa batas, melebihi batas-batas yang ditetapkan oleh Allah SWT. Inilah ancaman dan ketakutan sebenar rakyat, yang datangnya dari pemerintah sendiri!!!

Dengan kewujudan akta baru seperti MKN ini, selain membuktikan yang pemerintah tidak pernah merasa cukup dengan undang-undang dan kezaliman yang mereka lakukan, ia juga membuktikan yang undang-undang buatan manusia sememangnya tidak mampu untuk mengatur urusan manusia dan tidak akan pernah memberikan kepuasan dan keadilan kepada manusia.

Demokrasi vs Islam 

RUU MKN ini mendapat tentangan hebat daripada pembangkang dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia. Penentangan terhadap undang-undang zalim ini memanglah baik, tetapi apabila penentangannya tidak didasarkan kepada Islam, maka hilanglah kebaikan dan keberkatannya. Kita semua maklum yang penentangan terhadap RUU ini dibuat oleh pihak terbabit atas prinsip hak asasi manusia dan demokrasi dan bukannya atas dasar Islam!

Di sinilah letaknya kekeliruan dan kecelaruan para pejuang demokrasi. Atas dasar demokrasi, mereka tidak sepatutnya menentang RUU ini, kerana ternyata RUU ini diluluskan sesuai dengan hukum demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Demokrasi memberikan hak kepada manusia membuat hukum dan kerajaan hanya perlu kelulusan majoriti untuk sesuatu hukum (undang-undang) itu diluluskan. Nah, inilah apa yang berlaku dengan RUU MKN, yang ternyata telah mengikut lunas-lunas demokrasi. Sama ada ia bertentangan dengan hak asasi manusia atau tidak, ini persoalan kedua, kerana selama mana ia telah diluluskan oleh majoriti pembuat undang-undang, maka ia adalah sah kerana ia adalah hak asasi ahli Parlimen untuk berbuat demikian! Malah, jika ditanya para pembuat undang-undang di Parlimen, mereka akan berkata bahawa merekalah pejuang dan penjaga hak asasi manusia yang sebenar!

Kepada para pencinta dan pejuang demokrasi, bilakah agaknya kalian akan sedar bahawa demokrasi yang kalian perjuangkan itulah yang sebenarnya telah membakul sampahkan segala hak asasi manusia yang juga menjadi perjuangan kalian? Bilakah kalian akan sedar bahawa kesemua undang-undang zalim yang kalian bantah itu lahir dari rahim demokrasi yang kalian agung-agungkan itu? ISA, SOSMA, POTA dan kini MKN, semua ini anak kelahiran demokrasi dengan cara yang sah dan bukan hasil perzinaannya dengan mana-mana pihak! Malahan, bantahan kalianlah yang sebenarnya bercanggah dengan demokrasi!

Justeru, sedarlah wahai para pencinta dan pejuang demokrasi, khususnya dari kalangan gerakan Islam dan umat Islam. Lihatlah bagaimana sistem kufur demokrasi yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia, bukannya di tangan Allah, yang dengannyalah manusia (pemerintah) boleh membuat segala hukum, sekalipun bertentangan dengan hukum Allah! Apa yang mereka perlukan hanyalah kelulusan majoriti. Inilah intipati dari ajaran demokrasi. Masihkah kalian tidak nampak hal yang terang lagi bersuluh ini? Berapa banyak lagi undang-undang zalim yang menyalahi perintah Allah dan RasulNya yang pemerintah perlu luluskan untuk kalian sedar bahawa sistem demokrasi ini merupakan sistem kufur yang bertentangan dengan Islam dan haram untuk diambil, diamalkan dan disebar luaskan!?

Selain haram, sistem demokrasi ini ternyata penuh dengan kerosakan dan penipuan yang berlaku betul-betul di depan mata kalian, maka apakah kalian tidak melihat atau pura-pura tidak melihat? Mereka yang membuat hukum (undang-undang) itu merupakan orang yang bergelar “wakil rakyat”. Persoalannya, benarkah mereka merupakan wakil kalian atau hanya merupakan wakil parti yang mereka menjadi ahli di dalamnya? Bukankah benar bahawa kalian juga yang selama ini mewakilkan kepada mereka untuk membuat undang-undang yang penuh dengan kezaliman dan menyalahi Kitabullah dan Sunnah RasulNya? Sebenarnya mereka tidak pernah mempedulikan kalian pun, kecuali ketika mereka mahukan undi dari kalian dan yang mereka pedulikan serta yang mereka wakili hanyalah ketua parti mereka sahaja. Beristighfarlah dan tanyalah hati kecil kalian wahai umat Muhammad.

Di dalam Islam, keselamatan dan keamanan merupakan hak yang wajib dinikmati oleh setiap individu yang hidup dalam Negara Islam (Khilafah) dan sememangnya menjadi kewajipan pemerintah untuk menjaga keselamatan rakyatnya. Di dalam negara, polis merupakan pasukan yang bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan rakyat, manakala jika wujud ancaman dari luar negara, pasukan tenteralah yang bertanggungjawab menjaganya. Namun demikian, dalam urusan menjaga keamanan ini, Allah SWT tidak membolehkan (mengharamkan) pemerintah, tentera, polis atau sesiapa sahaja untuk melakukan tajassus (mengintip untuk mencari kesalahan) atas rakyatnya. Firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain (tajassus)” [TMQ al-Hujurat (49):12].

Allah SWT juga mengharamkan daripada memasuki rumah seseorang, apatah lagi menggeledah dan merobohkannya serta merampas harta yang ada di dalamnya. FirmanNya,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian memasuki rumah yang bukan rumah kalian sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi kalian agar kalian (selalu) ingat” [TMQ al-Nur (24):27].

Sabda Rasulullah SAW,

“Harta, kehormatan dan darah seorang Muslim diharamkan ke atas Muslim lainnya” [HR Abu Daud & Ibnu Majah].

Nas-nas ini dan banyak lagi nas lainnya, menegaskan tentang kemuliaan (kehormatan) rumah dan harta bagi pemiliknya. Kerana itu, rumah tidak boleh dimasuki dan harta tidak boleh diambil, kecuali dengan izin pemiliknya.

Begitulah juga dengan tangkapan atau tahanan ke atas mana-mana individu. Seseorang itu tidak boleh ditahan dengan sewenang-wenangnya hanya kerana disyaki melakukan kesalahan, apatah lagi untuk dipenjarakan dalam tempoh yang lama dan dinafikan hak perbicaraan di mahkamah. Hal ini semua bertentangan dengan Islam dan merupakan sebuah kezaliman. Namun dengan adanya undang-undang MKN yang baru ini (termasuklah undang-undang sedia ada), pemerintah telah memberikan kuasa kepada dirinya sendiri dan orang-orang suruhannya untuk melakukan tajassus, menodai kemuliaan rumah dan harta seseorang. Dengan kata lain, undang-undang zalim ini telah mencabul segala hak yang Allah berikan kepada manusia. Ini merupakan ketidakadilan dan kezaliman yang nyata yang terhasil daripada undang-undang buatan manusia, selain secara nyata bercanggah dengan syarak. Namun semua ini boleh dilakukan oleh pemerintah kerana demokrasi membenarkannya, walaupun Islam mengharamkannya dengan tegas.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kita telah melihat ISA, SOSMA, POTA dan kini MKN, satu per satu undang-undang yang bertentangan dengan Islam, diluluskan dengan mudah oleh pemerintah, tanpa ada perasaan takut sedikit pun kepada Allah dengan keharaman dan kezaliman yang mereka lakukan. Selagi ada demokrasi, selagi itulah orang-orang yang zalim dapat meneruskan kezaliman mereka dengan cara yang ‘sah’, kerana kuasa untuk membuat hukum ada di tangan mereka. Sistem kufur inilah yang sesungguhnya menjadi ancaman terbesar kepada manusia, kerana darinyalah lahirnya segala kerosakan, kezaliman, penindasan dan ketidakadilan. Sedarlah, bahawa apa yang kita perlu lakukan sekarang ialah berjuang bersungguh-sungguh untuk membuang sistem kufur ini dan menggantikannya dengan hukum Allah secara kaffah dengan jalan menegakkan kembali Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah, seterusnya melantik seorang Khalifah yang beriman lagi bertakwa yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Inilah yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir yang seharusnya didukung oleh setiap Muslim.

Wallahu a’lam.