PBB terus gagal melindungi wanita dan kanak-kanak di Republik Afrika Tengah dari penderaan seksual dan keganasan
Laporan baru telah mengutuk PBB kerana gagal bertindak balas terhadap dakwaan penderaan ke atas kanak-kanak oleh pasukan keamanan Perancis di Republik Afrika Tengah.
Satu siasatan bebas yang dikeluarkan pada hari Khamis (17/12/15) melaporkan bahawa cara PBB menangani kes penderaan seksual “sangat cacat”. Siasatan itu mendakwa yang PBB tidak mengambil tindakan yang sepatutnya setelah tersiarnya berita penderaan ke atas kanak-kanak lelaki oleh askar Perancis.
“Hasilnya adalah kegagalan institusi untuk bertindak balas kepada dakwaan dengan cara yang bermakna,” kata tulisan bertajuk ‘Ambil Tindakan ke atas Eksploitasi Seksual dan Penyalahgunaan oleh Pasukan Pengaman’ (Sumber: Aljazeera.com)
Komen:
PBB telah sama sekali gagal untuk melindungi wanita dan kanak-anak Muslim Republik Afrika Tengah dari keganasan seksual dan penderaan, sama ada oleh tentera Perancis Sangaris yang dipanggil ‘Pengaman’ atau oleh penjenayah militia anti-Balaka. Sebagai menjawab laporan yang terbocor kepada akhbar The Guardian, yang melaporkan bahawa Pasukan Pengaman PBB Perancis telah merogol 10 hingga 12 kanak-kanak miskin di Republik Afrika Tengah antara Disember 2013 dan Jun 2014, satu laporan baru bertajuk ‘Ambil Tindakan ke atas Eksploitasi Seksual dan Penyalahgunaan oleh Pasukan Pengaman’ mengutuk PBB atas kegagalannya sebagai sebuah institusi untuk bertindak ke atas tentera Perancis atas dakwaan penderaan seksual tersebut.
Tentera Sangaris Perancis yang ditempatkan di pangkalan tentera mereka di sebelah Lapangan Terbang Antarabangsa Bangui, telah dituduh melakukan penderaan seksual ke atas kanak-kanak lelaki yang berusia seawal 9 tahun, dengan cara memancing kanak-kanak tersebut dengan bekalan makanan tentera dan wang kecil apabila keluarga mereka tidak mempunyai apa-apa untuk memberi mereka makan.
Akaun media oleh Associated Press mendedahkan bahawa salah seorang ibu kepada kanak-kanak lelaki itu memberitahu wartawan bahawa anaknya baru berusia 9 tahun ketika diperlakukan oleh tentera Perancis. Dia bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana tidak mahu wartawan mengenalpasti anaknya yang menjadi mangsa penderaan seksual. Keluarganya telah melarikan diri ke Lapangan Terbang Bangui pada hari pertama pertempuran kaum tercetus pada Disember 2013 dan dia dan anaknya masih tinggal di sana. “Kanak-kanak ini terdedah kerana mereka lapar dan ibu bapa mereka tidak mempunyai apa-apa untuk memberi mereka makan, maka kanak-kanak itu terpaksa meminta makanan daripada tentera,” ujarnya. “Tentera itu mengambil kesempatan dengan memaksa mereka untuk melakukan seks oral dan meliwat mereka,” kata beliau. Walau bagaimanapun, selepas laporan itu siap, PBB ditekan dan tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan jenayah yang telah diterangkan dalam laporan itu dan PBB tidak membawa penjenayah ke muka pengadilan.
PBB mendakwa bahawa ia adalah badan berkuasa moral dalam hal melindungi wanita dan kanak-kanak di dunia, tetapi ke mana sahaja PBB pergi, laporan penderaan kanak-kanak, kitaran pelacuran, perhambaan seks, penyeludupan manusia dan sebagainya mengikutinya.
Jenayah-jenayah yang menakutkan di Afrika Tengah ini bukanlah yang pertama seumpamanya; kita pasti tidak lupa pembunuhan kejam beramai-ramai ke atas umat Islam di Srebrenica-Bosnia yang berlaku di depan mata “Pasukan Pengaman” PBB.
Kaum Muslimin wajib menolak PBB dan kuasa-kuasa besar yang menaja dan mengawalnya. Allah SWT berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa di antara kamu yang mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim” [Al-Ma’idah (5):51].
Tsuroyya Amal Husna
Sumber: khilafah.com