Khairy berlakon lagi

 

Gambar UL 281215 (1)Ketua Biro pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin menyelar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana menafikan visa dua peserta luncur angin dari negara Yahudi yang dijadual menyertai satu kejohanan tersebut di Langkawi. Chong berkata, Khairy menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu. “Sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan perlu berkecuali daripada politik,” katanya seperti dilaporkan berita.

Chong bagaimanapun menarik balik kenyataannya itu selepas beberapa hari menerima kritikan hebat. “Saya menyesali kenyataan saya mengenai sekatan atlet Israel ke Malaysia diputarbelitkan pihak tertentu yang saya berpihak kepada Israel. “Oleh kerana kenyataan tersebut menimbulkan kekeliruan mengenai pendirian saya terhadap perjuangan rakyat Palestin dan rejim Israel, saya ingin menarik balik kenyataan tersebut” katanya dalam satu kenyataan.

Mengeluarkan satu kenyataan dan menariknya semula sudah menjadi lumrah dalam dunia politik khususnya apabila kenyataan yang dikeluarkan itu memakan diri sendiri atau parti yang diwakili. Apa pun, jika seseorang itu sedar bahawa apa yang diucapkannya itu merupakan satu kesalahan dan menarik balik serta memohon maaf, satu kredit wajar diberikan kepadanya, dengan syarat ia tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan.

Namun, bagaimana pula dengan tindakan seorang ahli politik yang bersifat talam dua muka? Ramai yang melihat kesalahan Chong tetapi tidak sedar akan kesalahan Khairy. Ya benar tindakan Khairy menghalang kemasukan atlet negara Yahudi itu wajar dipuji, tetapi bukankah Khairy orangnya yang menyambut dan mengiringi Barack Obama, presiden Amerika Syarikat semasa lawatannya ke Malaysia pada April 2014? Bukankah Obama merupakan pendukung kuat kepada negara Yahudi tersebut? Bukankah Obama yang selama ini berdiam diri dan membenarkan segala pembunuhan Yahudi ke atas umat Islam? Bukankah dengan bantuan dan sokongan Obama, Yahudi boleh berterusan membunuh umat Islam di Palestin dan mengekalkan pendudukan haram mereka di tanah suci Palestin?

Bukankah Obama, yang meneruskan polisi Bush, yang telah menyambung penjajahan AS di bumi Iraq dan Afghanistan dan membunuh ribuan umat Islam di sana?  Bukankah Obama yang memerintahkan serangan pesawat tanpa awak ke Yemen dan Pakistan dan membunuh ribuan umat Islam di sana? Bukankah Obama yang mendukung semua rejim diktator di dunia Islam seperti Mesir, Libya, Jordan, Syria dan lain-lain yang selama ini sanggup membunuh rakyatnya sendiri?

Justeru, apalah sangat dengan kedatangan dua orang atlet sukan negara Yahudi itu yang disekat oleh Khairy sedangkan kedatangan pembunuh nombor satu umat Islam (Obama) dialu-alukan, disambut dan ditatang oleh Khairy!

Satu ketika dahulu pada tahun 2006, semasa kedatangan Condoleeza Rice ke Malaysia, Khairy menjadi hero negara dengan sanggup merempuh sekatan polis bagi menghantar memorandum bantahan kepada Setiausaha Negara AS itu. Lapan tahun kemudian (2014), Khairy sekali lagi menjadi hero negara dengan menyambut serta mengiringi ketua pengganas dunia yang datang untuk meneruskan agenda penjajahannya di sini. Kali ini, Khairy sekali lagi menjadi hero negara apabila berjaya menyekat kemasukan dua orang atlet sukan negara Yahudi dari datang ke Malaysia. Memang hebat lakonan orang yang bernama Khairy!