Rayani Air: Apa yang tak kena?

rayani-airSejak dilancarkan pada November tahun lalu, syarikat penerbangan Rayani Air telah berjaya mencuri tumpuan ramai, walaupun laluannya hanya terhad kepada empat lokasi domestik sahaja setakat ini. Hal ini tidak lain kerana konsep penerbangan “patuh-syariah” yang diperkenalkan yang membezakannya dengan syarikat penerbangan lain, ditambah pula dengan pemiliknya, Ravi Alagendrran dan isterinya Karthiyani Govindan yang kedua-duanya merupakan non-Muslim.

Selain pramugari yang bertudung, Rayani Air juga tidak menghidangkan makanan berasaskan khinzir atau minuman beralkohol di dalam pesawat. Bacaan doa turut dilakukan bagi mendoakan keselamatan para penumpang dan anak kapal. Sekali imbas, Rayani Air sepatutnya memberi tamparan kepada syarikat penerbangan milik Muslim lainnya dan khususnya MAS sendiri selaku milik kerajaan yang masih menghidangkan arak dan khidmat pramugari yang tidak bertudung.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun mendakwa yang Rayani Air hanya berbuat demikian bagi mendapatkan keuntungan dan ia tidak menjadikan syarikat penerbangan itu lebih Islamik berbanding syarikat penerbangan lain.

Sungguh aneh dengan komen Dr Mahathir kerana selama pemerintahan beliau, telah banyak konsep “Islam” yang beliau perkenalkan, walaupun realitinya tidak benar-benar mematuhi Islam. Contohnya sistem perbankan Islam diperkenalkan di zaman pemerintahannya, bahkan Malaysia diisytiharkan sebagai Negara Islam juga di zaman beliau, malah diisytiharkan oleh beliau sendiri. Jadi, Mahathir sebenarnya ialah orang yang telah memperkenalkan konsep “patuh-syariah” walaupun terma tersebut tidak digunakan di zamannya. Jadi, kenapa pula sekarang ini beliau mempertikaikan Rayani Air yang cuba melaksanakan konsep ini?

Setiap perniagaan sudah tentu dibuat untuk mendapatkan keuntungan, walau apa kaedah yang digunakan sekali pun untuk menarik pelanggan. Tanpa mengambil kira niat tuan punya perniagaan, persoalannya, jika dibandingkan antara syarikat yang menawarkan konsep patuh syariah dan yang satu lagi tidak patuh syariah, yang manakah lebih baik? Apa pun niat di sebalik konsep patuh-syariah yang diperkenalkan oleh Rayani Air, setidaknya ia telah membuka mata rakyat Malaysia dan memberi pilihan baru kepada pengguna laluan udara. Dalam konteks ini, setiap Muslim wajar bertanya, kenapa non-Muslim boleh bertindak demikian, sedangkan syarikat Muslim masih berbangga dengan konsep tidak patuh syariah?

Namun demikian, jika diperhalusi dari segi pakaian pramugari Rayani Air, ia sebenarnya tidaklah mematuhi syariah kerana pakaian yang syarie bagi wanita Muslim bukan sahaja bertudung, tetapi wajib berjilbab (jubah sekeping dari tengkuk hingga ke kaki). Tambahan lagi, antara persoalan penting dalam industri penerbangan ini ialah, kenapa perlu pramugari (wanita) untuk menjadi pelayan? Memang tidak salah jika wanita melayan wanita, tetapi ia akan menjadi masalah apabila wanita dibayar gaji untuk melayan lelaki, sedangkan masih ramai lelaki yang boleh (dibayar gaji) melakukan hal yang sama. Daya tarikan yang ada pada wanita sering dimanfaatkan oleh golongan kapitalis sebagai pelaris jualan atau perkhidmatan. Inilah realiti dalam syarikat penerbangan mahupun lain-lain, yang seharusnya dielakkan, apatah lagi jika mahu mematuhi syariah.

Pematuhan syariah bagi sesebuah syarikat juga bukanlah hanya terletak kepada hidangan makanan halal dan bacaan doa, tetapi lebih jauh dari itu. Ia bermula dengan status syarikat itu sendiri dari segi penubuhannya sama ada ia merupakan syarikat yang dibenarkan syarak atau tidak. Syirkah yang syarie dalam Islam hanya ada lima iaitu Syirkah Inan, Abdan, Mudharabah, Wujuh dan Mufawadhah. Selain kelima ini, ia merupakan syirkah yang batil.

Setelah syirkahnya syarie, maka barulah dilihat hal-hal lain berkenaan syarikat yakni dari segi hukum-hukum perkongsian itu sendiri, untung-rugi, transaksi yang dilakukan dan sebagainya, yang semuanya wajib mematuhi hukum syarak. Dengan kata lain, walaupun syarikat itu syarie (dari segi penubuhannya), tetapi ia tidak boleh berniaga perkara-perkara yang diharamkan syarak seperti arak, babi, patung dan seumpamanya. Sesebuah syarikat juga tidak boleh terlibat dalam transaksi riba sama ada dalam membeli aset-asetnya atau memberi pinjaman riba kepada pihak lain. Begitu juga syarikat tidak boleh terlibat dalam jual beli saham, insurans dan lain-lain muamalat yang diharamkan Islam.

Untuk pemilik Rayani Air, usaha untuk “patuh-syariah” itu wajar diberi pujian. Namun, alangkah baiknya jika mereka juga berusaha untuk “patuh-akidah” kerana konsep patuh syariah itu mungkin sahaja boleh membawa keuntungan kepada mereka di dunia, tetapi tanpa patuh-akidah, ia akan membawa sebesar-besar kerugian kepada mereka di akhirat. Hanya akidah Islam sahajalah yang akan dapat menyelamatkan manusia dari neraka Allah di akhirat.

Apa pun, kerajaan sepatutnya malu dengan Rayani Air yang berusaha untuk patuh syariah dalam urusan syarikat penerbangannya berbanding kerajaan yang tidak patuh syariah dalam urusan pemerintahannya.