Siapa pun MB Kedah, apa bezanya?
Di saat banyak skandal dan isu dalam negara yang belum selesai dan masih hangat diperkatakan, tiba-tiba berlaku satu lagi kejutan baru di Kedah yang telah menggegak-gempitakan negara.
Sekumpulan pemimpin UMNO Kedah yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah telah mengadakan sidang media mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan meminta agar Perdana Menteri campur tangan dengan menggantikan anak Dr. Mahathir itu dengan Menteri Besar baru.
Mukhriz bagaimana pun telah menjawab kenyataan Bashah dan menegaskan yang beliau masih mendapat sokongan sebahagian besar ahli UMNO dan rakyat Kedah yang menunjukkan beliau mahu terus memegang jawatan MB dan akan melawan apa jua cubaan untuk menyingkirkannya.
Seluruh negara tahu yang Najib ditekan habis-habisan oleh Mahathir untuk melepaskan jawatan dan tidak hairan apabila banyak pihak yang menyatakan usaha “menggulingkan” Mukhriz memang tidak dapat dipisahkan daripada perbalahan Najib-Mahathir.
Dalam pada itu, terdengar pula desas-desus yang Mukhriz akan dilantik sebagai Timbalan Menteri dan tempatnya akan digantikan oleh Bashah, sebagai jalan kompromi bagi menyelesaikan ‘tragedi’ yang menimpa UMNO Kedah itu.
Dalam masa yang sama, parti pembangkang pun dah cuba mengintai dan turut merasa ada peluang untuk mengambil alih pemerintahan negeri jelapang padi itu.
Sungguh banyak kepelikan dalam kes yang tiba-tiba meletup ini. Namun cukuplah untuk kita mencongak fakta bahawa mana-mana pengisytiharan berani untuk menentang ketua secara terbuka hanyalah boleh dilakukan dengan dua kemungkinan sahaja iaitu sama ada secara ikhlas atau kerana udang di sebalik batu.
Jika seseorang itu sudah benar-benar tidak percayakan pemimpinnya, dan sanggup menanggung segala risiko dari pengisytiharannya, maka kita boleh katakan bahawa ia dilakukan dengan “ikhlas”. Ini kerana, pemimpin tertinggi bukanlah calang-calang orang yang boleh dijatuhkan dengan begitu mudah, apatah orang seperti Mukhriz yang dibelakangnya adalah Mahathir. Sokongan akar umbi UMNO dan rakyat terhadap kedua-dua beranak itu bukan sedikit. Justeru, sebarang percubaan untuk menjatuhkan Mukhriz akan membawa impak yang cukup besar, termasuklah bertambahnya perbalahan dan perpecahan dalam UMNO itu sendiri, yang sudah tentu perlu difikir habis-habisan oleh pihak yang ingin bertindak demikian.
Jadi, siapa sahaja yang ikhlas ingin mengisytiharkan perang terhadap Mukhriz merupakan orang yang betul-betul berani menanggung risiko, termasuklah risiko dibuang dari ‘kabinet’ Kedah jika Mukhriz gagal dijatuhkan dan kekal sebagai MB. Ini merupakan satu risiko yang cukup besar untuk diambil oleh pemimpin UMNO yang umum mengetahui amat sayangkan dunia.
Jadi, satu lagi kemungkinan yang tinggal dan tidak boleh ditolak ialah, semua itu merupakan skrip yang sudah dirancang rapi, yang ada udang di sebalik batu. Ini adalah hukum percaturan politik di mana dalam politik, tidak ada suatu pun yang berlaku secara kebetulan, kecuali semuanya telah dirancang. Namun, sebagai sebuah percaturan, sentiasa terdapat kemungkinan orang-orang tertentu yang akan dikorbankan dan orang-orang tertentu akan dinaikkan dan terdapat juga kemungkinan untuk menutup isu-isu tertentu. Itulah politik Machiavelli yang diamalkan sekarang.
Apa yang jauh lebih penting dari semua drama itu ialah, siapa pun Menteri Besar Kedah dan pembesar-pembesarnya, sejak dulu hingga kini, Islam tidak pernah menjadi agenda utama mereka. Kerana itulah kita menyaksikan yang hukum Islam tidak pernah diperjuang untuk diterapkan, baik di Kedah mahupun di Malaysia. Pemimpin Kedah sepatutnya berjuang untuk menerapkan Islam dan dalam masa yang sama menggesa dan menekan kerajaan Pusat agar menerapkan Islam secara kaffah di Malaysia. Itulah apa yang wajib mereka lakukan. Namun ternyata, sehingga kini, setiap MB hanya mewarisi hukum-hukum pemerintahan sekular yang ditinggalkan oleh MB sebelumnya dan yang ditinggalkan oleh kuffar British kepada kita semua.
Justeru, siapa pun MB Kedah, ia tidak akan merubah Malaysia menjadi lebih baik dengan mendapat keredhaan Allah SWT, kerana sistem demokrasi buatan manusia-lah, bukannya sistem Islam yang datangnya dari Allah SWT, yang menjadi pilihan mereka.