Buang perkataan Islam sebagai “agama rasmi” di Bangladesh, apa bezanya?
Mahkamah Tinggi Bangladesh telah bertindak menubuhkan sebuah panel yang diketuai oleh Hakim Naima Haider pada penghujung Februari lalu bagi mengkaji semula status Islam sebagai agama rasmi negara tersebut. Langkah ini merupakan tindakan susulan daripada keputusan Mahkamah Tinggi negara itu yang dikeluarkan pada 2011 untuk menyemak semula perkara tersebut. Penubuhan panel ini dibuat sebagai respons terhadap petisyen yang dikeluarkan oleh 15 orang tokoh di Bangladesh pada 1988, kira-kira 28 tahun lalu. Empat daripada 15 individu tersebut yang masih hidup telah memfailkan petisyen pada September tahun lepas untuk memulakan pendengaran yang berlangsung pada 29 Februari lalu.
Pihak-pihak pendukung sekularisme di Bangladesh menyalahkan status Islam sebagai agama rasmi atas penindasan dan eksploitasi terhadap golongan minoriti di negara majoriti Muslim tersebut. Menurut kenyataan seorang pemimpin komuniti Hindu Bangladesh yang dipetik oleh sebuah portal berita tempatan, status Islam sebagai agama rasmi telah menjadi ‘senjata kepada para Islamis radikal untuk menindas komuniti minoriti’. Status tersebut turut dikatakan menjadi tembok kepada keharmonian perkauman, kerana ia mengiktiraf ketuanan sesuatu agama dan merendahkan agama lain, sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang biskop Kristian yang juga pengerusi Suruhanjaya Perpaduan Kristian dan Dialog Antara Agama.
Apakah agenda puak sekular dan kafir dalam hal ini? Atau mereka sudah semakin jahil sehingga tidak dapat menggunakan akal mereka dengan betul? Tidakkah mereka tahu yang walaupun Bangladesh meletakkan Islam sebagai agama rasmi, realitinya ialah Bangladesh merupakan negara sekular dan hukum Islam tidak pernah diterapkan di negeri kaum Muslimin itu, kecuali dalam hal-hal ibadah seperti mana kebanyakan negeri Muslim lainnya. Malah, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina merupakan seorang yang sangat bencikan Islam sehingga sanggup membunuh, menyeksa dan memenjara para pejuang Islam di Bangladesh!
Jadi, sama ada Islam tercatat sebagai ‘agama rasmi’ atau tidak, realitinya perkara itu tidak merubah apa-apa di Bangladesh kerana perkataan itu tidak lebih daripada sekadar satu coretan di atas kertas sahaja. Realitinya juga, golongan yang paling ramai diperangi, dipenjara dan diseksa oleh Sheikh Hasina ialah kaum Muslimin dan bukannya puak sekular atau kafir. Jadi, tuntutan puak sekular dan puak kafir itu tidak lebih daripada sekadar kebencian mereka kepada Islam dan bukan persoalan diskriminasi atau ketuanan agama.
Sama ada mereka suka atau tidak, akui atau tidak, Islam sememangnya agama yang tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam. Namun, hakikat ini tidak bererti yang umat Islam boleh membunuh atau menindas orang kafir atau sesiapa sahaja yang diingini tanpa hak. Sebaliknya Islam mengajar bagaimana umatnya wajib menjaga hubungan baik dengan penganut agama lain selagi mereka tidak memerangi Islam, apatah lagi terhadap kafir dzimmi (kafir yang tinggal dalam negara Islam).
Hal ini sungguh berbeza dengan realiti yang menimpa umat Islam. Lihat sahaja di Kashmir yang hanya terletak bersebelahan dengan Bangladesh, bagaimana umat Islam diperlakukan oleh pemerintah Hindu. Seluruh dunia mengetahui tentang penderitaan umat Islam di Kashmir yang dibunuh secara beramai-ramai dan dilayan umpama binatang oleh pemerintah Hindu. Begitu juga di Myanmar, seluruh dunia tahu yang pemerintah dan kaum ekstremis Buddha di sana melayan kaum Muslimin Rohingya lebih buruk dari binatang.
Inilah realitinya di mana baik di negeri kafir mahupun di negeri Muslim, umat Islamlah yang sebenarnya lebih banyak menanggung penderitaan, diskriminasi, dinafikan hak, hatta dibunuh dengan kejam di seluruh belahan dunia, termasuklah di Bangladesh. Buruknya pemerintahan orang-orang kafir dan juga pemerintahan Hasina ke atas umat Islam bukanlah perkara yang tersembunyi. Jadi, tuntutan puak sekular dan kafir untuk memadamkan perkataan Islam sebagai “agama rasmi” di Bangladesh, selain menunjukkan kebencian mereka kepada Islam, sesungguhnya tidak akan merubah hakikat Bangladesh sebagai sebuah negara sekular yang diperintah oleh rejim zalim Hasina!