Hina Rasul: Cukupkah sekadar memecat hakim?
Perdana Menteri Mesir, Sharif Ismail telah bertindak memecat Menteri Kehakiman negara itu, Ahmad al-Zind yang menimbulkan kemarahan dalam media sosial berhubung wawancaranya bersama saluran stesen televisyen satelit swasta, Sada al-Balad di Kaherah, Mesir baru-baru ini.
Al-Zind ditanya semasa wawancara tersebut berhubung satu kes melibatkan beberapa wartawan yang didakwa memfitnah dirinya, sama ada beliau akan memenjarakan mereka. Beliau mengatakan yang dirinya akan memenjarakan sesiapa sahaja walau Nabi Muhammad sekalipun, jika melanggar undang-undang Mesir.
Komen yang menunjukkan keangkuhannya itu turut mengundang amaran keras Universiti al-Azhar kerana dianggap menghina Rasulullah SAW. Menurut universiti terkemuka itu dalam satu kenyataan media, semua pihak yang terlibat dalam ucapan umum dan media wajib menghormati Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak boleh menjadi sasaran apa bentuk penghinaan walaupun tanpa niat.
Al-Arabiya melaporkan yang keesokan harinya al-Zind terus meminta maaf kepada masyarakat Mesir, seraya berkata “Tuhan, ampuni saya.” Menurut ketua himpunan hakim Mesir, Abdullah Fath, apa yang disampaikan al-Zind adalah hasil ‘gelincir lidah’ yang boleh terjadi pada sesiapa pun.
Jika benar ia tidak disengajakan, al-Zind sepatutnya bertaubat kerana apa yang dikatakannya itu langsung tidak boleh diterima. Rasulullah adalah seorang yang maksum yang tidak boleh disabitkan dengan apa-apa kesalahan (dosa), apatah lagi untuk “menghukum” jika Rasulullah melanggar undang-undang sekular yang diterapkan di Mesir.
Al-Zind memang terkenal “memusuhi” Ikhwanul Muslimin dan sering menjatuhkan hukuman berat apabila perbicaraan melibatkan anggota gerakan Islam tersebut. Bukan sahaja al-Zind, malah boleh dikatakan hampir kesemua hakim di Mesir telah didokrinkan untuk memusuhi Ikhwanul Muslimin dan mana-mana gerakan yang ingin menegakkan Islam. Mereka betul-betul mentaati rejim pemerintah secara membabi buta dan memiliki pola berfikir yang tidak ubah seperti Barat yang memusuhi Islam.
Tindakan pemecatannya itu, walaupun dilihat seperti baik dan wajar, namun ia bukanlah penyelesaian kepada masalah. Ini kerana sistem pemerintahan dan undang-undang Mesir adalah sistem sekular yang tidak ada bezanya degan negara kaum Muslimin lainnya, yang sewajibnya dihapuskan dan diganti dengan sistem dan undang-undang Islam.
Al-Zind hanyalah representasi dari salah seorang hakim yang taat kepada rejim Mesir dan pelaksana kepada segala undang-undang sekular di Mesir. Apa yang wajib dilakukan dalam kes ini bukanlah sekadar memecat hakim sekular tersebut, tetapi menggantikan keseluruhan sistem kufur dan rejim diktator Mesir kepada sistem Islam di bawah kepimpinan seorang Khalifah yang bertakwa.
Tindakan memecat al-Zind, tanpa menggantikan sistem buatan manusia yang zalim di bumi Anbiya’ itu, hanya akan melahirkan sepuluh lagi al-Zind lain, yang akan terus menjadi hamba kepada sistem, bukannya hamba kepada Allah.