Masalah Muslim Rohingya: Jangan harap pada PBB, ASEAN atau OIC, hanya Khilafah sebagai solusi!
Dalam kegembiraan dan kemeriahan kaum Muslimin menyambut Idul Fitri, Muslim Rohingya pula menyambutnya dengan kesedihan dan ketakutan hasil keganasan yang dicetuskan oleh penganut Buddha dalam ketegangan terbaru di Myanmar. Seorang cedera dan sebuah masjid dimusnahkan oleh lebih 100 penganut Buddha yang berpunca dari pertengkaran antara jiran yang berlainan agama. Rentetan pertengkaran tersebut, penganut Buddha kemudian menyerbu ke kawasan yang dihuni oleh majoriti penduduk Muslim yang terletak di Bago, kira-kira 200 kilometer ke tenggara Yangon, menurut laporan akhbar.
Jika sebelum ini hanya wilayah Arakan yang menjadi sasaran, tetapi kini ia telah berkembang ke kawasan baru yang dikatakan didiami oleh lebih kurang 150 Muslim. Seperti biasa, tiada tindakan yang diambil oleh pemerintah Myanmar ke atas para penyerang Buddha ini. Seperti biasa juga, tiada apa-apa tindakan daripada pemerintah Muslim untuk menangani krisis Muslim Myanmar ini yang telah berlarutan sejak sekian lama. Nasib Muslim Myanmar akhirnya tidak terbela hingga kini.
Dalam isu ini, umat Islam perlu sedar bahawa kekejaman dan keganasan yang berlaku di Myanmar bukanlah masalah “pembersihan etnik” seperti yang diwar-warkan oleh kerajaan Myanmar mahupun berita-berita dalam dan luar negeri. Istilah “pembersihan atau penghapusan etnik” merupakan satu istilah atau usaha pemesongan daripada isu sebenar, kerana ia menggambarkan seolah-olah hanya etnik Rohingya yang menjadi sasaran. Walhal mereka menjadi sasaran kerana mereka beragama Islam, bukan kerana beretnik Rohingya. Buktinya, jika etnik Rohingya ini bertukar kepada agama Buddha, maka mereka akan terus disambut dengan baik dan tiada lagi penindasan terhadap mereka. Malah usaha untuk memurtadkan Muslim Rohingya ke agama Buddha bukanlah suatu yang tersembunyi.
Itu dari satu sisi. Dari sisi yang lain, umat Islam perlu sedar bahawa pembunuhan dan kezaliman berterusan yang menimpa Muslim Rohingya berpunca dari tiga sebab utama:
Pertama; Kerana kebencian melampau ekstremis Buddha ke atas kaum Muslimin.
Kedua; Kerana tebalnya semangat nasionalisme (assabiyyah) dalam kalangan rakyat Myanmar yang 80% beragama Buddha, sehingga mereka tidak mahu mengakui kerakyatan dan segala hak Muslim Rohingya sebagai rakyat Myanmar yang sah. Dalam masa yang sama, tebalnya semangat nasionalisme di bawah sempadan nation-states yang menyebabkan pemerintah dan sesetengah umat Islam melihat krisis Muslim di Myanmar sebagai masalah domestik Myanmar yang tidak sewajarnya dicampuri oleh negara lain,
Ketiga; Kerana ketiadaan entiti politik umat Islam iaitu Khilafah untuk membela kaum Muslimin yang tertindas di Myanmar.
Oleh kerana masalah yang dihadapi oleh Muslim di Myanmar adalah masalah yang melibatkan polisi dan kekuatan kerajaan (Myanmar) ke atas kaum Muslimin, maka penyelesaiannya hendaklah bersifat government-to-government yakni mesti ada campur tangan dari pemerintah Muslim ke atas pemerintah Myanmar. Campur tangan itu hendaklah suatu yang bersifat praktikal yang boleh menyelesaikan masalah, bukannya yang bersifat teori.
Pemerintah Muslim hendaklah memberi amaran kepada pemerintah Myanmar agar melayan Muslim di negaranya dengan baik, adil dan saksama. Jika hal ini tidak dipatuhi, maka ia hendaklah disusuli dengan amaran untuk menghantar ketumbukan tentera untuk menyelamatkan mereka, sekaligus menumbangkan rejim Myanmar. Jika hal ini juga tidak dipatuhi, maka jihad hendaklah dilancarkan ke atas Myanmar sebagai usaha tuntas menghentikan segala pembunuhan dan kezaliman ke atas kaum Muslimin, sekali gus membuka (futuhat) bumi Myanmar untuk dimasukkan cahaya Allah ke situ.
Namun, kita telah melihat dan kita meyakini bahawa pemerintah Muslim yang begini ramai jumlahnya di dunia pada hari ini, seorang pun tidak akan bergerak untuk menyelamatkan umat Islam di Myanmar, walaupun desakan demi desakan telah kita lakukan.
Kita juga telah melihat dan kita meyakini bahawa PBB, ASEAN, OIC dan apa jua badan antarabangsa, semuanya hanyalah menjadi “badan pemerhati” yang tidak pernah berfungsi untuk menyelamatkan umat Islam. Malah lebih penting dari itu, haram bagi umat Islam untuk mengambil solusi melalui badan-badan antarabangsa yang diterajui oleh orang-orang kafir. Hakikatnya, kewujudan badan-badan ini hanyalah menjadi penambah kepada derita umat Islam, bukannya sebagai solusi.
Atas dasar ini, setiap Muslim hendaklah (wajib) berusaha untuk menegakkan Negara Khilafah, sebagai solusi jangka panjang bagi menyelesaikan isu ini. Dengan berdirinya Khilafah, Insya Allah, Khalifah akan mengambil solusi sebagaimana yang disebutkan di atas, dan akan melancarkan jihad sebagai solusi tuntas ke atas masalah Muslim Myanmar.
Hizbut Tahrir sedang berusaha untuk menegakkan Khilafah dan Insya Allah apabila entiti politik Islam ini berdiri sedikit masa lagi, maka penderitaan saudara-saudara kita di Myanmar dan di seluruh dunia akan segera berakhir. Khalifah yang akan dilantik nanti Insya Allah akan menjadi perisai dan pelindung kepada umat Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya Imam (Khalifah) adalah perisai, di belakangnya umat berperang dan kepadanya umat berlindung” [HR Muslim].
Tidak sebagaimana pemerintah yang ada pada hari ini yang telah menderhaka kepada Allah, Khalifah akan pasti menyahut seruan Allah SWT, dan menyelamatkan kesemua hamba Allah yang meminta pertolongan,
“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya” [TMQ al-Anfal (8):72].
Wallahu a’lam