SN473 – Hukum Kudeta Dan Peranan Tentera Dalam Islam
SN Keluaran 29 Julai 2016
[SN473] Kudeta yang gagal yang berlaku di Turki dua minggu lalu masih hangat diperkatakan. Pelbagai analisis dan pendapat mengenainya terus berlegar. Dari satu sisi, ia telah mempopularkan semula Erdogan yang reputasinya terjejas teruk akibat tindakannya yang memulihkan hubungan dengan entiti Yahudi, Rusia dan juga rejim Syria, yang kesemuanya merupakan musuh Islam. Dalam masa yang sama, Erdogan yang sangat setia kepada Amerika Syarikat itu telah memanipulasi kudeta yang gagal tersebut untuk menghapuskan pengaruh British dan saki baki pengaruh Gulen dalam negara. Dari sisi lain, masyarakat antarabangsa, khususnya umat Islam semakin mengenali siapa Erdogan dan penangkapan ribuan penjawat awam yang dilakukannya menunjukkan seolah-olah senarai nama mereka yang ingin “dihapuskan” oleh Erdogan telah lama wujud dan hanya menunggu masa sahaja. Di samping itu, penangkapan besar-besaran itu juga menunjukkan tanda-tanda zahirnya ‘diktator baru’ di Turki yang bakal merubah landskap politik Turki secara khususnya dan dunia umumnya dan tidak mustahil menjadi pembuka laluan untuk pemimpin nombor satu Turki itu menempah keranda politiknya. Di sebalik imej pemimpin Muslim terbaik dunia yang ditonjolkan oleh Amerika dan para pemujanya di seluruh dunia, kini Erdogan telah menampakkan taringnya!
Setelah berlakunya pemecatan (baca: penghapusan) besar-besaran anggota tentera yang setia kepada British yang dikaitkan dengan kudeta, kini Amerika boleh tersenyum lebar kerana apa yang tinggal di Turki sekarang ialah para tentera yang setia kepadanya sahaja. Inilah kehendak Amerika dan dengan adanya Erdogan, kehendak Amerika dapat berjalan dengan lancar, sama sebagaimana dengan adanya para diktator di dunia Islam lainnya, baik yang telah jatuh mahupun yang sedang berkuasa, kesemuanya menjadi pelayan dan pemenuh nafsu serakah kuffar Amerika. Inilah perkara yang sangat menyedihkan dan merugikan umat Islam, kerana para pemimpin dan tentera yang ada lebih setia kepada kuffar penjajah, mentaati apa jua arahan para penjajah serta tidak akan bergerak kecuali dengan restu daripada penjajah, walhal mereka tahu bahawa sesungguhnya penjajah itu ialah musuh Islam, musuh Allah, musuh RasulNya dan musuh kaum Mukminin. Beginilah kuatnya cengkaman Barat ke atas pemimpin dan tentera kaum Muslimin sehingga pemimpin sudah tidak tahu untuk apa mereka menjadi pemimpin dan tentera sudah tidak tahu untuk apa mereka menjadi tentera, kecuali melayan kehendak Barat!
Kudeta Dalam Pandangan Islam
Kudeta (bahasa Perancis: coup dÉtat) asalnya bererti merobohkan legitimasi. Ia kemudian diertikan sebagai tindakan merampas kekuasaan dengan cara tidak sah, bersifat ganas dan biasanya dilakukan oleh tentera. Sebagai Muslim, tidak boleh tidak, kita hendaklah memahami apakah hukum melakukan kudeta dan apakah pemerintahan yang diambil secara kudeta merupakan sebuah pemerintahan yang sah? Oleh kerana kudeta biasanya melibatkan kekuatan sekumpulan orang dan identik dengan tindakan mengangkat senjata, maka kita harus melihat terlebih dahulu hukum mengangkat senjata dan merebut kekuasaan menurut Islam.
Dalam Islam, mengangkat senjata terhadap penguasa merupakan perkara yang dilarang (haram) selama mana penguasa itu masih menerapkan hukum Islam, meski pun dia zalim atau fasiq. Ini kerana, mentaati pemerintah merupakan kewajipan orang yang diperintah (rakyat), selagi pemerintah tersebut tidak memerintahkan kepada kemaksiatan. Dengan kata lain, perintah pada kemaksiatan merupakan satu-satunya keadaan di mana perintah penguasa itu boleh dilanggar. Namun, melanggar perintah penguasa di sini bukan bererti penguasa tersebut boleh dikudeta begitu sahaja. Kita hendaklah membezakan kebolehan tidak mentaati penguasa dalam hal kemaksiatan (’adam tha’at al-amir fi al-ma’siyyah) dengan kebolehan melakukan tindakan melawan penguasa dengan senjata (jawaz al-khuruj ‘ala al-hakim). Ini merupakan dua hal yang berbeza dan berbeza pula hukumnya.
Kebolehan mengangkat senjata hanya terjadi dalam keadaan di mana penguasa telah menampakkan kekufuran yang nyata, sebagaimana hadis Rasulullah SAW, “Seburuk-buruk pemimpin adalah pemimpin yang kalian benci dan dia pun membenci kalian, serta pemimpin yang kalian laknat dan dia pun melaknat kalian.’ Auf bin Malik berkata, kami pun bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah kami boleh memeranginya dengan pedang?’ Rasulullah menjawab, ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan solat” [HR Muslim]. Maksud “menegakkan solat” dalam hadis ini ialah menerapkan hukum-hukum Allah SWT. Ini merupakan bentuk majaz, yakni menyebut sebahagian dari sesuatu dengan maksud seluruhnya (min bab ithlaqi al-juz’i wa iradati al-kulli).
Dalam hadis daripada Ubadah bin Samit, Rasulullah SAW menyatakan, “Kecuali, jika kalian melihat kekufuran yang nyata, sementara kalian memiliki hujah yang pasti di sisi Allah” [HR Muslim]. Frasa “kufran bawaahan” (kekufuran yang nyata) dinyatakan dalam bentuk nakirah yang bererti meliputi seluruh kekufuran yang dilakukan secara nyata dan terang-terangan, seperti memerintah dengan selain hukum Allah, menyebarkan kesyirikan, membiarkan kemurtadan dan sebagainya. Sementara frasa “’inda kum minAllahi fihi burhan” (kalian memiliki hujah yang pasti di sisi Allah) menunjukkan bahawa tindakan kekufuran ini mesti didasarkan pada dalil yang qath’ie (pasti dan tegas), sebab lafaz “burhan” hanya digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang dibangun berdasarkan dalil qath’ie. Jika tidak terdapat dalil qath’ie bahawa apa yang dilakukan oleh penguasa itu merupakan kekufuran yang nyata, maka haram hukumnya untuk mengangkat senjata atau melakukan kudeta terhadap mereka.
Kesimpulannya, dalam Islam, tindakan merebut kekuasaan dan mengangkat senjata terhadap penguasa bukanlah selamanya tidak sah atau haram, tetapi bergantung kepada situasi dan kondisinya. Dalam keadaan wujudnya Negara Islam (Khilafah) dan Khalifah menerapkan hukum kufur secara terang-terangan, setelah sebelumnya ia menerapkan hukum Islam, maka mengangkat senjata dan merebut kekuasaan boleh dilakukan, bahkan wajib hukumnya, dalam rangka memastikan penerapan hukum Allah SWT. Perlu diperhatikan bahawa kebolehan mengangkat senjata di sini bukan bermaksud kebolehan menumpahkan darah, melakukan pembunuhan dan pemusnahan sesuka hati, tetapi dalam rangka menggantikan Khalifah dan menghilangkan kekufuran tadi.
Seperkara lagi yang penting untuk difahami ialah, meskipun Islam memberikan kebolehan mengangkat senjata dalam keadaan yang disebutkan di atas, hal ini hanya boleh dilakukan dalam keadaan, jalan lain yang semestinya ditempuh lebih dahulu, sudah diambil dan menemui kegagalan. Dalam keadaan Khalifah melakukan kufran bawaahan, maka untuk menentukan wujud atau tidak keadaan tersebut, ia hendaklah ditentukan oleh Mahkamah Madzalim terlebih dahulu. Setelah terbukti, maka tugas Mahkamah Madzalim berikutnya adalah untuk memberhentikan Khalifah daripada jawatannya. Jika Khalifah mematuhinya, maka dikira selesai dan dilantik Khalifah yang baru untuk menerapkan semula Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Jika mekanisme ini tidak berjaya, boleh jadi kerana Mahkamah Madzalim dibubarkan oleh Khalifah atau Khalifah yang diberhentikan itu berdegil dan enggan melepaskan jawatan, malah melawan dengan seluruh kekuatan yang ada padanya, maka barulah umat Islam dibolehkan (malah wajib) mengangkat senjata, dengan tujuan mengembalikan pemerintahan agar tetap berada di atas landasannya yang benar.
Dalam keadaan seperti ini, parti politik hendaklah memainkan peranan untuk menggerakkan umat Islam agar bangkit dan melawan Khalifah yang telah menyimpang dan mengambil alih kekuasaan dengan dukungan daripada umat dan juga ahlu al-quwwah (tentera). Tentera wajib berpihak kepada umat dalam hal ini. Sekiranya tentera berpihak kepada Khalifah (yang telah dipecat tadi) hal ini pastinya akan menjerumuskan umat Islam ke dalam kancah perang saudara (civil war) yang jika keadaan ini tercetus, maka ia perlu ditangani dengan hukum-hukum perang saudara menurut Islam, yang kami tidak akan menyentuh mengenainya di sini.
Dalam lembaran sejarah Islam, tercatat peristiwa yang memberi gambaran seperti ini tatkala Mesir dikuasai oleh golongan Fathimiyyin yang mengikuti aliran Ismailiyyah yang sesat. Walaupun apa yang berlaku itu tidak sama persis seperti kudeta, tetapi panglima Islam waktu itu, Salahuddin al-Ayubi telah menggerakkan tenteranya untuk melakukan ‘rampasan kuasa’ dalam rangka membersihkan Mesir dari kekufuran dan kesesatan. Setelah itu Mesir disatukan kembali dengan Khilafah Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad dan Salahuddin memberikan bai’ahnya kepada Khalifah ketika itu.
Sekali lagi perlu diambil perhatian serius bahawa ketentuan ini (kebolehan mengangkat senjata terhadap penguasa) hanya berlaku dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah) yakni ketika hukum Allah SWT diterapkan secara kaffah, kemudian Khalifah yang asalnya menerapkan hukum Islam, kemudiannya beralih menerapkan kufran bawaahan. Jika penguasa asalnya memang tidak pernah menerapkan Islam, termasuklah negara yang berada di bawah pemerintahan non-Muslim, sebagaimana yang ada sekarang, maka usaha untuk menerapkan hukum Islam tidak boleh (haram) dilakukan dengan jalan kudeta atau mengangkat senjata, tetapi wajib dilakukan dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yakni melalui jalan dakwah dan thalab al-nusrah (mencari pertolongan) daripada pihak yang mempunyai kekuatan (ahlu al-quwwah).
Peranan Tentera Dalam Islam
Tentera merupakan institusi vital yang sangat menentukan kekuasaan dan kekuatan sesebuah negara. Malah, di tangannyalah kekuasaan sebenar sesebuah negara itu terletak, kerana sesebuah kekuasaan (pemerintahan) tidak akan dapat berdiri tanpa dukungannya. Sejarah dan realiti telah membuktikan hubungan signifikan antara pemerintahan dan dukungan tentera serta hegemoni sesebuah negara. Menyedari hakikat inilah, maka para penguasa yang ada sentiasa memastikan agar tentera tunduk dan setia kepadanya. Manakala Amerika dan Barat pula akan memastikan agar penguasa dan tentera tersebut tunduk kepada mereka, kerana jika keduanya tidak tunduk kepada mereka, maka saat kehancuran mereka sudah di muka pintu.
Kebanyakan negara di dunia meletakkan tugas tentera hanya sekadar untuk berperang dan tidak membenarkan tentera terlibat dalam politik. Hal ini dilakukan tidak lain kerana ingin memastikan yang tentera terus taat membabi buta kepada penguasa, kerana jika tidak, penguasa akan berada dalam bahaya. Jika tentera terlibat dalam politik, maka segala penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir, kezaliman dan segala macam kejahatan lainnya, sudah pasti akan di respons oleh tentera. Dalam keadaan tentera sebagai kelompok bersenjata yang paling kuat dalam negara, maka “respons” tentera terhadap kejahatan pemerintah sudah pasti berbeza dengan respons parti politik atau rakyat biasa dan hal ini amat ditakuti oleh penguasa. Tentera berkeupayaan melakukan kudeta dalam sekelip mata, seperti yang telah kita saksikan di seluruh dunia. Atas dasar ini, tentera di indoktrinasi agar tidak terlibat dengan politik, walau sejahat mana sekalipun penguasa tersebut dan walaupun kezaliman penguasa tersebut turut terkena kepada tentera. Tentera dipastikan agar terus menutup mata dan memekakkan telinga dan hanya “sami’na wa atha’na” (kami dengar dan kami taat) sahaja kepada penguasa, walaupun dalam kemaksiatan!
Padahal menurut Islam, tentera adalah sebahagian daripada politik dan tentera wajib berpolitik dan bahkan tentera merupakan hujung tombak kepada banyak percaturan dan pergerakan (maneuver) politik, apatah lagi dalam hubungan luar negeri. Ini kerana, kewajipan politik tidak ada bezanya dengan kewajipan-kewajipan lain seperti ibadah, menuntut ilmu, dakwah, akhlak, amar makruf nahi mungkar dan lain-lain yang semuanya wajib dijalankan oleh setiap Muslim, tentera mahupun bukan. Setiap Muslim yang mukallaf terkena kewajipan yang sama, seperti juga kewajipan jihad yang tidak hanya terkena kepada tentera, malah terkena ke atas semua Muslim, sebagaimana perintah Allah SWT, “Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan (merasa) ringan ataupun berat, serta berjihadlah dengan harta dan diri kalian di jalan Allah” [TMQ al-Taubah (9):41].
Sungguh malang apabila tentera sekarang bukan sahaja dimandulkan daripada politik, malah turut dimandulkan daripada fungsi utama mereka yakni jihad fi sabilillah. Ini menyebabkan berapa banyak umat Islam dan tanah umat Islam terus berada di bawah cengkaman dan dominasi musuh-musuh Islam. Sungguh, tentera menanggung dosa besar dalam hal ini kerana telah melalaikan kewajipan mereka. Mereka tidak boleh berdalih bahawa penguasalah yang menanggung dosa, kerana mereka sesungguhnya mempunyai kekuatan, malah wajib untuk mengingkari penguasa yang menderhakai Allah SWT. Mereka wajib tunduk pada perintah Allah SWT, bukannya pada perintah penguasa yang memaksiati Allah!
Dalam keadaan belum wujud sebuah Negara Islam (Khilafah) seperti sekarang, sesungguhnya tentera memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu agama Allah, dengan memberikan nusrah (pertolongan) kepada kelompok yang berjuang untuk menegakkan Khilafah dengan jalan yang benar. Inilah yang diminta oleh Hizbut Tahrir kepada pasukan tentera yang dengannya (nusrah), sebuah negara Khilafah al-Rasyidah ‘ala minhaj nubuwwah akan berdiri dengan izin Allah. Sesungguhnya nusrah dan kudeta adalah dua hal yang berbeza walaupun sama-sama melibatkan kekuatan tentera di dalamnya. Dalam konteks meraih kekuasaan, nusrah adalah wajib manakala kudeta adalah haram. Jadi, perlu difahami dengan jelas bahawa hukum, proses dan kekuasaan yang diperolehi melalui metode nusrah adalah berbeza dengan proses dan kekuasaan yang diperolehi melalui metode kudeta.
Kudeta adalah bentuk rampasan kuasa dengan cara paksaan dan pemerintahan yang berdiri melalui cara ini adalah tidak sah, kecuali memenuhi syarat-syaratnya. Sedangkan perolehan kuasa dengan cara nusrah, sama sekali tidak melibatkan rampasan kuasa atau paksaan. Sesungguhnya kuasa ada di tangan umat (al-sulthan li al-ummah) dan kuasa ini hendaklah diambil dari umat dengan cara redha (tanpa paksaan/rampasan) dan ikhtiar (bebas memilih). Maksudnya, kelompok mana sekalipun yang ingin mendapatkan kekuasaan hendaklah mendapatkannya dengan redha dan ikhtiar dari pemiliknya (umat) dan tidak sah sekiranya ia diambil secara paksaan dan tanpa hak memilih. Redha dan ikhtiar ini merupakan syarat sah kekuasaan yang diberikan oleh umat melalui akad bai’ah (dan dengan dukungan tentera) kepada seseorang Khalifah.
Khatimah
Peranan besar tentera selaku ahlu al-quwwah ialah membantu memberikan kekuasaan kepada kelompok yang ikhlas dan mampu mendirikan kekuasaan (Khilafah) dengan jalan yang syar’ie, lalu membai’ah Khalifah yang dilantik, diikuti dengan bai’ah oleh umat Islam dengan memenuhi syarat-syarat bai’ah. Hanya dengan thariqah (metode) ini sahajalah sebuah pemerintahan Islam (Khilafah) yang sah di sisi Islam akan terwujud. Inilah satu-satunya thariqah yang benar dalam mendirikan Negara Islam yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang mana Rasulullah SAW telah diberikan nusrah dan dibai’ah dengan redha dan ikhtiar oleh kaum Aus dan Khazraj yang merupakan ahlu al-quwwah di Madinah sehingga dengan bai’ah itulah Rasulullah SAW sah menjadi ketua Negara Islam di Madinah. Inilah peranan besar dan mulia para tentera yang seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh mereka dalam rangka menegakkan agama Allah di muka bumi ini.
Wallahu a’lam.