SN503 – Siapa Undang Campurtangan Asing?

PDF

SN Keluaran 13 Syawal 1438H/7 Julai 2017

SN503 - Siapa undang campurtangan asing?

[SN503] Bermula dengan surat terbuka agar parti-parti politik tidak melibatkan campur tangan asing dalam isu 1MDB, polemik mengenai isu ini terus mengundang pembahasan pro dan kontra dari banyak pihak yang berkepentingan. Sebahagian pihak beranggapan bahawa keterlibatan Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat dalam isu penyelewengan dana 1MDB merupakan bentuk campur tangan asing dalam hal ehwal negara. Manakala sebahagian lain membantah pendapat yang dianggap dangkal tersebut. Dari sinilah polemik mula menghangat dan seperti biasa cili api dimasukkan sedikit sebanyak dalam pembahasan yang memedaskan lagi perbincangan. Nasihat yang ikhlas lillahi Ta’ala kepada umat Islam untuk menolak campur tangan asing dalam urusan negara memang suatu yang wajar dan bagus. Namun, jika nasihat itu diberi atas niat tertentu atau terdapat kesalahan fakta di dalamnya, maka ia perlu diperbetulkan. Isunya di sini ialah, apakah siasatan DOJ ke atas penyelewengan dana 1MDB itu merupakan bentuk campur tangan Amerika Syarikat ke atas Malaysia? Kami tidak akan menjawab dan membahaskan isu ini di sini kerana para pembaca boleh mengkaji dan menemui sendiri jawapannya berdasarkan fakta-fakta yang ada Insya Allah.

Sebagai Muslim, kita memang tidak mahu campur tangan asing dalam hal-ehwal negara kita, kerana ia bukan sahaja boleh membawa keharaman, malah malapetaka yang berterusan. Campur tangan asing yang kita maksudkan di sini sudah pasti campur tangan puak kuffar, lebih-lebih lagi kuffar penjajah. Merekalah yang sangat berminat untuk masuk campur dalam segala hal-ehwal umat Islam, dari persoalan ibadat hinggalah ke pemerintahan, kerana mereka mahu umat Islam berkiblatkan mereka, berfikir sebagaimana mereka, mengamalkan cara hidup mereka, bahkan kalau boleh mereka mahu umat Islam murtad lalu masuk ke dalam agama mereka. Kita telah menyaksikan sejak runtuhnya Khilafah pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924), negeri-negeri kaum Muslimin yang dipecah-belah oleh Barat telah dipimpin oleh pemerintah yang menjadi agen mereka dan tunduk kepada mereka. Walaupun solat para pemimpin ini masih berkiblatkan Mekah, namun dalam hal pemerintahan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, undang-undang dan lain-lain, kiblat mereka adalah kepada Barat. Mereka berkhidmat kepada Barat, bukan kepada rakyat dan menyerahkan segala kekayaan negara kepada Barat, dengan mereka berkongsi sedikit habuan atas ihsan Barat. Pemimpin ini malah sanggup memerangi dan membunuh rakyat mereka sendiri demi menunjukkan kesetiaan mereka kepada Barat.

Campur Tangan Asing Di Malaysia

Selain ideologi Kapitalis yang dianuti oleh Barat yang bersifat menjajah demi manfaat, perebutan takhta yang berlaku dalam kalangan raja-raja Melayu pada abad silamlah yang telah mengundang campur tangan British ke Tanah Melayu pada waktu itu. Dari situlah bermulanya campur tangan asing (British) ke atas umat Islam di negara ini, yang telah menyelinap hingga ke seluruh sendi kehidupan umat Islam sehingga ke hari ini. Sikap permusuhan kuffar Barat ke atas Islam dan umatnya menyebabkan kuasa kuffar itu sentiasa memastikan yang umat ini tidak akan kembali kepada agamanya kecuali sekadar had yang dibenarkan oleh mereka. Atas dasar itulah, kafir penjajah itu mengambil alih pemerintahan dan menerapkan undang-undang serta cara hidup mereka di tanah air kita. Islam hanya dibenar untuk diamalkan dalam hal ibadat sahaja dan sedikit sebanyak dalam masalah perkahwinan, wasiat dan kekeluargaan. Adapun dalam hal politik, ekonomi, sosial, pendidikan, jihad dan lain-lain, Islam tidak dibenar untuk diamalkan dan dipisahkan daripada kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Dengan kejahatan dan kelicikan British, ditambah dengan pimpinan parti politik dan para intelektual di Tanah Melayu pada waktu itu yang memang mendapat didikan British atau pro kepada mereka, maka terciptalah sebuah Perlembagaan Persekutuan yang digubal di bawah Suruhanjaya Reid. Begitulah cara British mengekalkan sistem dan undang-undang ciptaan mereka di tanah jajahan mereka, dengan mendapat dukungan dan sokongan daripada pemimpin tempatan itu sendiri. Merekalah yang menaikkan ke tampuk pemerintahan orang yang mereka didik dan percayai yang akhirnya menjadi agen mereka, dalam rangka meneruskan sistem dan undang-undang mereka, walaupun setelah mereka meninggalkan tanah jajahan. Para pemimpin dan intelektual seperti inilah yang terus mempertahankan perlembagaan dan sistem ciptaan kafir penjajah ini hingga kini. Pada hal boleh sahaja bagi pemerintah dan ahli-ahli parlimen sekarang untuk menghapuskan perlembagaan dan sistem warisan penjajah ini dengan menggantikannya dengan perlembagaan dan sistem Islam, namun mereka tidak melakukannya, sebaliknya mempertahankannya habis-habisan.

Semasa proses pembentukan Malaysia pada tahun 1963, sekali lagi kita menyaksikan pimpinan negara mengundang campur tangan asing apabila Tunku Abdul Rahman pada waktu itu meminta bantuan British sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Cobbold. Walaupun ramai yang menyifatkan hal itu sebagai baik kerana bergabungnya Sabah dan Sarawak ke dalam Semenanjung hasil usaha Suruhanjaya tersebut, tetapi pada sisi yang lain menunjukkan betapa kuatnya cengkaman pemikiran dan kebergantungan kepada kafir penjajah, sehingga walaupun negara telah merdeka, tetapi pimpinan negara tetap meminta nasihat dan bantuan British.

Daripada perlembagaan warisan penjajah inilah lahirnya segala undang-undang, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri. Dengan kata lain, penjajahlah yang mencorakkan sistem dan undang-undang di Malaysia, melalui perlembagaan yang mereka gubal dan tinggalkan. Sistem demokrasi berparlimen berdasarkan model Westminster British menjadi amalan di Malaysia yang menetapkan kewujudan dua dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) sebagai tempat di mana manusia mengambil hak Allah untuk membuat hukum. Begitu juga dengan dualisme perundangan yang diamalkan di Malaysia yang dengan jelas menunjukkan betapa sekularnya sistem kehakiman negara yang diwarisi daripada penjajah British ini. Inilah antara bentuk campur tangan asing dalam pemerintahan negara. Persoalannya, siapakah yang mengundang, mengekal dan mempertahankan perlembagaan, sistem dan undang-undang ciptaan asing ini jika bukan parti pemerintah dan pendukung-pendukung mereka?

Dalam aspek ekonomi, Malaysia sudah memang terkenal mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Hanya kebelakangan ini sahaja beberapa aspek ekonomi Islam cuba diperkenalkan dengan lahirnya produk-produk perbankan atas nama Islam. Itupun, jika kita kaji dengan mendalam, ternyata “nama”nya sahaja yang Islam sedangkan hampir 100% atur mainnya hanya diciplak daripada produk-produk perbankan kapitalis yang sedia ada. Ramai umat Islam yang tertipu dengan re-branding ini, apatah lagi setelah munculnya mereka yang digelar ulama dan intelektual Muslim dalam bidang muamalat yang mengesahkan dan “menghalalkan” segala produk kapitalis yang telah diberi nama-nama Arab tersebut.

Umum mengetahui bahawa antara tunjang sistem ekonomi kapitalis adalah riba, saham dan perjudian, yang mana ketiga-tiga tunjang ini diamalkan secara “halal” di Malaysia. Di samping itu, sistem ekonomi kufur ini tidak mengenal pembahagian pemilikan sehingga para pemerintah dan pemilik modal (kapitalis) boleh mengaut apa sahaja yang merupakan milik umat seperti minyak, gas asli, emas, perak dan lain-lain galian, air, elektrik, jalan raya, sungai, laut dan banyak lagi. Semua milik umat tersebut yang sepatutnya diagihkan kepada umat, tetapi dikaut sehabisnya oleh pemerintah dan golongan kapitalis untuk masuk ke kantung mereka. Sesungguhnya setiap orang mengetahui bahawa sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia pada hari ini tidak ada bezanya dengan apa yang diamalkan di Barat. Persoalannya, siapakah yang membawa masuk dan mempertahankan sistem ekonomi asing ini jika bukan pemerintah dan ahli-ahli parlimen yang merupakan penggubal dasar negara?

Perkembangan terbaru yang berlaku di Malaysia menyaksikan betapa pemerintah terus-menerus mengundang campur tangan asing ke dalam negara, atas pelbagai justifikasi. Lihat sahaja siapakah yang membawa masuk syarikat-syarikat raksasa dari China atas alasan pembangunan. Lihatlah projek mega di Johor seperti Forest City yang bernilai RM100 bilion dan juga East Coast Rail Link (ECLR) dengan kos RM55 bilion yang kedua-duanya menggunakan khidmat gergasi ekonomi dari China. Kesemua projek ini bukan sahaja mengundang kemasukan syarikat-syarikat kapitalis China yang boleh menguasai ekonomi negara, malah berapa banyak daripada aset negara kini telah menjadi milik rakyat China hasil daripada penjualan terbuka yang dilakukan. Ramai yang telah melahirkan kebimbangan yang tanah dan ekonomi di Malaysia akan akhirnya tergadai kepada China, natijah daripada liberalisasi ekonomi yang diamalkan oleh pemerintah. Terbaru, projek RM43 bilion Melaka Gateway turut dilaporkan mengundang syarikat China ke negeri bersejarah itu.

Selain projek mega, Perdana Menteri Malaysia turut melantik pengasas Alibaba, Jack Ma dari China sebagai Penasihat Ekonomi Digital Malaysia, yang sudah pasti bayarannya bukan seribu dua. Walau dikritik hebat kerana menunjukkan yang seolah-olah negara ini sudah ketandusan pakar dalam bidang tersebut, namun anak Tun Razak itu hanya memekakkan telinga sahaja dengan segala kritikan. Masih terngiang di telinga setiap rakyat akan pendedahan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim bahawa Najib Razak telah mengambil sebuah syarikat milik Yahudi, APCO, yang menjadi penasihat kepada Israel, sebagai penasihatnya dalam hal pentadbiran negara, khususnya berhubung gagasan 1Malaysia ciptaannya. Semua ini merupakan bukti nyata bahawa undangan campur tangan asing ke dalam negara dilakukan oleh pemimpin negara sendiri!

Pada akhir tahun lepas, kita dikejutkan dengan laporan oleh kerajaan Kelantan yang mendedahkan keuntungan dari penggalian emas di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Apa yang mengejutkan bukanlah keuntungan tersebut, tetapi syarikat yang diberi pajakan melombong emas tersebut merupakan syarikat asing (Singapura) yang dimiliki oleh orang-orang kafir. Sebanyak 81% daripada keuntungan emas Kelantan menjadi milik CNMC Goldmine Holdings Limited manakala kerajaan Kelantan hanya menerima 5% sahaja dan 3% lagi diterima oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK). Alasan tidak ada modal, kepakaran mahupun teknologi sekali-kali tidak boleh “menghalalkan” keuntungan harta al-mulkiyyah al-ammah (milik awam) ini diberikan kepada asing mahupun dikaut oleh pemerintah tempatan, kerana keuntungan harta milik umat wajib dikembalikan kepada umat. Sekali lagi, siapakah yang mengundang campur tangan asing ke dalam negara?

Di bidang sosial, freedom (kebebasan) yang merupakan hadharah asing telah lama masuk ke Malaysia seiring dengan masuknya ideologi Kapitalis ke Tanah Melayu dan seiring dengan perkembangan zaman, ia semakin parah dan parah. Pergaulan bebas, pendedahan aurat di sana sini, perzinaan, anak luar nikah, LGBT serta keberadaan disko, pub, konsert-konsert maksiat dan banyak lagi, ini semua merupakan natijah daripada pemikiran liberal yang telah merosak generasi umat Islam. Semua kemaksiatan dan kerosakan tersebut terus wujud kerana sistem yang diterapkan oleh pemerintah menggalakkan lagi aktiviti tersebut, malah sampai ke tahap “menghalalkannya” atas nama freedom. Jika dulu, semua itu dikenal dengan nama budaya kuning, tetapi kini kuningnya telah hilang kerana telah sebati dengan warna dan budaya Malaysia. Persoalannya, siapakah yang membawa masuk dan mempertahankan semua itu?

Di peringkat antarabangsa, umum sudah mengetahui bahawa umat Islam merupakan umat yang paling tertindas, terkebelakang dan sentiasa diperangi. Umat Islam diperangi dan dibunuh di banyak negara seperti di Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Yemen, Myanmar dan banyak lagi. Setiap kali umat Islam diperangi dan dibunuh, maka para pemimpin negara dan termasuklah pemimpin gerakan Islam, sering menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk masuk campur dan menyelesaikan konflik. Mereka tidak sedar bahawa dengan menyeru dan berharap pada PBB, mereka sebenarnya telah menyeru dan berharap pada asing dan lebih buruk pada kuasa kuffar yang menguasai PBB, untuk menyelesaikan masalah umat Islam. Begitu juga apabila wujud perebutan kawasan di antara dua negara seperti yang pernah berlaku antara Malaysia dan Indonesia, maka mereka juga menyeru kepada penyelesaian melalui mahkamah antarabangsa, sebuah mahkamah asing (kufur) yang menggunakan undang-undang asing (kufur). Jadi, persoalannya di sini ialah, siapakah yang sebenarnya mengundang campur tangan asing ke dalam negara umat Islam?

Kita memang tidak mahu campur tangan asing dalam hal-ehwal negara, kerana ia banyak membawa keharaman dan kerosakan. Namun dalam masa yang sama, jangan kita hanya nampak kuman di seberang laut, tetapi tidak nampak gajah di depan mata. Sesungguhnya sejak lenyapnya Negara Islam (Khilafah) lebih 90 tahun yang lalu, hampir seluruh ranah kehidupan umat Islam telah dimasuki oleh elemen asing (kufur), dan yang paling utama ialah sistem pemerintahan itu sendiri telah bertukar kepada sistem kufur. Benarlah sabda Rasulullah SAW,

“Kalian benar-benar akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, nescaya kalian akan mengikuti mereka.” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, (apakah mereka itu) orang Yahudi dan Nasrani (Kristian)?” Baginda menjawab, “Ya, siapa lagi?” [HR Muslim].

Khatimah

Skandal 1MDB hanyalah salah satu contoh kerosakan yang diakibatkan oleh pemerintah dan golongan kapitalis yang orientasi hidup mereka hanyalah untuk meraih sebanyak mungkin manfaat, sesuai dengan ideologi Kapitalis yang mereka anuti. Kerosakan pemimpin dalam mana-mana negara pun sebenarnya tidak boleh lepas daripada kerosakan sistem yang melahirkan orang seperti mereka yang rakus, tamak haloba dan khianat kepada Allah, RasulNya dan orang-orang Mukmin. Sistem kapitalisme sudah pasti melahirkan pemimpin yang berpemikiran kapitalis, sebagaimana sistem komunisme yang sudah pasti melahirkan orang-orang yang berpemikiran komunis. Maka siapa pun pemimpin yang lahir daripada sistem yang rosak sudah pasti akan turut rosak. Inilah natijah daripada penerapan sistem asing (kufur) yang sebenarnya dibawa masuk dan ditatang oleh parti pemerintah itu sendiri dan puak-puak yang mendukung mereka. Sesungguhnya sistem Islam ialah Khilafah dan hanya dengan penerapan syariah secara total di bawah Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah sahajalah yang akan melepaskan umat Islam sepenuhnya daripada belenggu asing.

Wallahu a’lam.