Najib umpan masyarakat Cina
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya sempena majlis Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina anjuran MCA di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Sabtu lalu menekankan masyarakat Cina negara ini supaya mengukuhkan penguasaan mereka dalam bahasa Melayu.
Beliau berkata, penguasaan dalam bahasa Melayu menjadi salah satu daripada ramuan kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. Menurutnya lagi, kaum Cina dibenarkan mempelajari bahasa mereka namun pada masa sama mereka perlu meningkatkan kefasihan dalam bahasa kebangsaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kerajaan juga bersedia meluluskan lebih banyak pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bagi memenuhi kehendak masyarakat Cina yang mahukan pendidikan berkualiti.
Ironi, Najib terus dengan retorik dan umpan politiknya kepada masyarakat Cina menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.
Perdana Menteri Malaysia ini seolah-olah tidak sedar bahawa kewujudan SJKC dan SJKT itulah sebenarnya antara punca kaum lain tidak fasih berbahasa Melayu! Tambahan lagi, dasar pendidikan negara yang membenarkan kewujudan SJKC dan SJKT inilah yang menambahburukkan lagi integrasi kaum di negara ini.
Sebagai Muslim, kita perlu sedar bahawa pendidikan awal di sekolah merupakan “kilang” pembentuk generasi untuk masa akan datang. Jika kilang ini beroperasi dengan baik, maka baiklah “produk” yang dikeluarkannya, yakni mengikut acuan yang kita mahukan. Jika produk yang dikeluarkan itu buruk, maka sudah pasti keburukan itu akan kembali kepada kilang tersebut.
Manakala dalam aspek bahasa, Najib perlu sedar bahawa bahasa rasmi sesebuah negara Islam itu adalah bahasa Arab, walaupun bahasa lain boleh diamalkan. Bahasa Arab seharusnya menjadi subjek wajib untuk di pelajari dari peringkat sekolah rendah lagi, agar terwujud generasi yang celik al-Quran dan al-Hadis dan bakal mewujudkan ramai ulama dan cendekiawan Islam, sebagaimana di zaman Daulah Khilafah dahulu.
Wallahu a’lam.