Jangan lokek korbankan harta – Najib

 
PEKAN 23 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam tidak lokek untuk mengorbankan harta dan wang ringgit demi pembangunan agama dan negara.

Tegas Perdana Menteri, sikap dermawan atau imfak itu merupakan ‘tiang seri’ kepada kekuatan umat Islam bagi meningkatkan ekonomi mereka untuk bersaing dengan bangsa lain di dunia ini.

Katanya, sejarah membuktikan sikap sedemikian yang diamalkan oleh umat Islam terdahulu mampu mencipta tamadun yang disegani oleh bangsa lain.

”Sikap yang dalam bahasa Arabnya disebut imfak diamalkan oleh para sahabat Rasulullah SAW berjaya membawa umat Islam ketika itu berada di punca kegemilangannya sehingga ditakuti musuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada 144 orang fakir miskin di Masjid Peramu Jaya 3 di sini malam ini.

Pada majlis itu, beliau sempat berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib secara berjemaah dengan penduduk Taman Peramu Jaya 3.

Najib berkata, sikap imfak itu bagaimanapun seharusnya disalurkan kepada pihak yang sewajarnya dan bukan kepada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada agama dan negara.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan umat Islam supaya meningkatkan perpaduan dan disiplin jika mahu menjadi bangsa yang dihormati dan disegani.

Tegas beliau, ketinggian disiplin dan perpaduan adalah kunci kepada kemajuan umat Islam untuk mengulangi kembali ketamadunan yang pernah dicipta suatu ketika dahulu.

”Jika perpaduan dan disiplin berkecai, umat Islam akan tewas dan tamadun yang dicipta akan jatuh ke tangan orang lain,” jelasnya.

Sehubungan itu, tambah beliau, setiap umat Islam perlu menjadikan usaha menimba ilmu pengetahuan sebagai asas untuk mencapai kejayaan.

Jika setiap umat Islam mempunyai pegangan sedemikian, kata beliau, tidak mustahil penganut agama itu akan mendahului bangsa-bangsa lain dalam pelbagai aspek di dunia ini.

Dalam perkembangan lain, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.6 juta untuk membina masjid baru di Kampung Pulau Serai di sini untuk kemudahan umat Islam beribadat dan menjalankan program kemasyarakatan.

Sumber : Utusan Malaysia 24/8/2009

ULASAN:

Memang benar apa yang disarankan PM bahawa seorang muslim itu tidak boleh lokek untuk menyalurkan bantuan atau melakukan infak kepada yang memerlukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Dan amat benar juga apa yang dikatakan oleh Najib bahawa tanpa perpaduan, disiplin dan ilmu umat Islam akan hancur. Namun, apa yang perlu diperhatikan di sini adalah, apakah semua yang disarankan oleh Najib ini benar-benar berlaku di dalam umat Islam hari ini?

Kita lihat sahaja isu infak yang disebutkan oleh Najib. Bagaimana mungkin hanya dengan infak oleh individu, kita akan dapat membina sebuah tamadun yang hebat sedangkan tanggungjawab negara dalam memastikan rakyat hidup sejahtera tidak dijalankan dengan sewajarnya. Rakyat masih dibebani pelbagai kos perkhidmatan asas seperti perubatan dan pendidikan yang seharusnya menjadi tanggungjawab penuh negara untuk diberikan secara percuma. Begitu juga dengan disiplin dan perpaduan. Rasuah dan penyelewengan terus berleluasa. Dan perpaduan apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Najib?

Dato’ Seri Najib seharusnya mengambil pengajaran dari Khalifah Umar Abdul Aziz. Dengan penerapan Islam yang syumul dan sempurna, seluruh rakyatnya tidak layak menerima zakat. Najib juga harus belajar dari Khalifah Harun Ar-Rasyid di mana ketika pemerintahannya negara membiayai sepenuhnya perkhidmatan kesihatan dan pendidikan rakyat sehingga lahir para cendiakawan yang tidak pernah lokek berkorban untuk negara baik harta, tenaga  mahupun nyawanya.

Kesejahteraan ini lahir di era para Khalifah tersebut kerana mereka menerapkan perintah Allah sepenuhnya. Umat Islam hidup sejahtera di bawah Islam dengan perpaduan yang diikat oleh aqidah Islam. Umat Islam hidup sejahtera dengan nuansa iman dan taqwa sehingga infak menjadi cara hidup kaum Muslimin. Inilah yang seharusnya disarankan oleh Najib – penerapan Islam yang syumul bagi meraih kembali kegemilangan tamadun Islam yang hebat dalam setiap aspeknya.