Demokrasi – Senjata Barat Menghancurkan Islam (Siri 3 – Akhir)

…sambungan

Demikianlah slogan-slogan terpenting yang dilaungkan oleh AS dan Barat dalam serangan global mereka agar seluruh umat manusia menganut ideologi Kapitalisme. Akidah ideologi buatan manusia ini sungguh batil dan berapa banyak peraturan yang lahir daripadanya telah merosakkan masyarakat mahupun individu. Lebih dari itu, sebagai Muslim, kita hendaklah sedar bahawa idea-idea pokok yang lahir dari ideologi ini seperti demokrasi, amat bertentangan dengan Islam.

Atas dasar itu, seseorang Muslim tidak seharusnya terfikir – walau hanya sedetik – untuk menerima ideologi Kapitalisme yang kufur ini, apatah lagi untuk mengambil apa-apa idea daripadanya.

Tidak ada keraguan lagi, bahawa sasaran utama dan pertama daripada serangan Barat ini adalah umat Islam, sebab hanya umat Islamlah yang menganut sebuah ideologi yang akan dapat menghalang dominasi ideologi Kapitalisme ciptaan mereka. Kaum kafir benar-benar memahami sejarah umat Islam, sehingga mereka sedar apa yang mampu dilakukan umat Islam, jika umat ini kembali menjalani kehidupan atas dasar ideologi Islam dan menyebarluaskannya ke seluruh dunia, pada suatu masa.

Memang, umat Islamlah sebenarnya sasaran utama serangan Barat. Bukti yang paling nyata, ialah bahawa di samping berupaya meng-universal-kan ideologi Kapitalisme, Barat juga melancarkan serangannya yang lain untuk memerangi Islam. Kadang-kadang dengan cara melabelkan para pengembang dakwah Islam dengan label pengganas; atau dengan cara memerintahkan para penguasa di negeri-negeri Islam – yang merupakan agen mereka – agar bertindak kejam terhadap orang-orang yang ikhlas berjuang untuk membangkitkan umat atas dasar Islam; atau kadang-kadang dengan cara merendah-rendahkan dan memutar belitkan ajaran-ajaran Islam, dengan bantuan para penguasa yang menjadi tali barut mereka.

Berdasarkan penjelasan ini, tidak berlebihan kalau dikatakan bahawa bahaya yang sedang dihadapi oleh umat Islam saat ini, jauh lebih besar daripada seluruh bahaya yang pernah dialaminya di sepanjang sejarah.

Perang Salib misalnya, jelas bertujuan menduduki beberapa bahagian negeri kaum Muslimin. Manakala persekongkolan untuk menghancurkan Khilafah pada waktu itu, bertujuan untuk merobohkan institusi negara umat Islam, sebuah entiti yang selama ini telah mempertahankan kesatuan negeri-negeri Islam, memelihara kaum Muslimin dari ancaman kaum kafir, dan menghalangi rompakan sumber daya alam mereka oleh kaum kafir. Persekongkolan itu juga bermaksud memecah belah dan memporak-perandakan kaum Muslimin, serta menerapkan peraturan-peraturan kufur atas mereka.

Meskipun demikian, kaum kuffar yang mengobarkan Perang Salib atau yang bersekongkol menghancurkan Khilafah pada waktu itu, tidak pernah berpikir sedikit pun untuk mengubah dan mengganti akidah umat Islam. Mereka tidak pernah berupaya pun untuk mencapai tujuan itu. Oleh sebab itu, setelah mengalami serbuan kaum Salib, kaum Muslimin dengan cepat bangkit kembali kerana dorongan akidah mereka, dan segera merapikan semula barisan untuk mengusir kaum Salib seluruhnya. Begitu juga setelah robohnya Khilafah, dengan dorongan akidah mereka, kaum Muslimin pun tidak mengambil masa yang lama untuk segera bangkit. Kaum Muslimin segera berjuang untuk membangun kembali Khilafah dan meneruskan penyebaran Islam ke segenap pelosok dunia.

Semua tujuan kaum kuffar tadi berbeza dengan tujuan serangan Barat yang berlaku sekarang. Tujuan serangan Barat saat ini, tiak lain adalah untuk menghancurkan Islam itu sendiri dengan cara mengajak kaum Muslimin untuk membuang akidah dan syariat Islam, lalu memeluk akidah pemisahan agama daripada kehidupan (sekularisme), serta menjadikan ideologi Kapitalisme sebagai “agama” baru untuk mereka, berteraskan akidah ini. Dengan demikian, ideologi Kapitalisme akan dijadikan asas pemikiran dan sumber peraturan hidup bagi kaum muslimin.

Semua ini, telah benar-benar menjauhkan Islam daripada kehidupan kaum Muslimin. Lama-kelamaan, tidak akan ada satu pun ajaran dan hukum Islam yang tersisa lagi, selain upacara-upacara ritual di tempat-tempat ibadah.

Inilah sesungguhnya tujuan serangan Barat yang kafir itu ke atas umat Islam, dan inilah juga tujuan propaganda para penguasa agen Barat dan seluruh tali barut mereka.

[Disuntung daripada buku “Serangan Amerika untuk Menghancurkan Islam”, Syeikh Abdul Qadim Zallum]