Umat Islam di Baitul Maqdis terus dizalimi
Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitul Maqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara “Israel” baru-baru ini mendapat tentangan dan kecaman daripada pemimpin-pemimpin dunia. Bahkan ramai pemimpin dunia barat juga tidak bersetuju dengan pengumuman tersebut kerana ia mengundang ancaman kepada kepentingan mereka. Bagi pemimpin-pemimpin umat Islam, walaupun mereka mempunyai kepentingan dengan AS, mereka terpaksa mengeluarkan kenyataan secara terang dan nyata mengecam keputusan tersebut. Mengapa? Adakah mereka khuatir akan hilang sokongan rakyat atau mereka benar-benar ikhlas menentang AS di dalam isu ini? Jika benar para pemimpin umat Islam benar-benar ingin memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin, mereka sepatutnya mula melakukan tindakan yang lebih konkrit dan bukan berhelah.
Umat Islam telah pun menetap di Baitul Maqdis bersama-sama penduduk agama lain dengan aman selama ratusan tahun di bawah pemerintahan Islam yang adil. Sejak ia dibuka kali pertamanya oleh Sayyidina Umar Al Khattab RA dan kemudiannya oleh Panglima Agung Islam, Sallehuddin Al Ayyubi sehinggalah ke zaman Khilafah Uthmaniah, semua penduduk telah diberikan hak yang adil untuk mengamalkan agama masing-masing. Hanya setelah kejatuhan Khilafah pada 3hb Mac 1924, episod sedih bermula bagi umat Islam di Ash Shams khususnya di Palestin di mana sejak tarikh itu, pembunuhan demi pembunuhan ke atas umat Islam telah dilakukan oleh militia dan tentera entiti Yahudi sambil didokong pada awalnya oleh British dan kemudian AS terutamanya setelah tahun 1948 di mana tertubuhnya negara haram entiti Yahudi sehingga kini. Kebangkitan dan perjuangan umat Islam di Palestin pula disekat dan dipermainkan melalui pelbagai rancangan damai dan janji palsu sedangkan umat Islam terus dibunuh dan dizalimi.
Sejak itulah, pemimpin-pemimpin umat Islam tidak pernah gagal mengeluarkan kenyataan yang mengecam dengan lantang dan berani. Namun, laungan dan kecaman yang kelihatan berani itu tidak pernah dapat menyelesaikan ataupun sekurang-kurangnya mengurangkan angka korban dan kesengsaraan rakyat Palestin. Alasan demi alasan diberikan disebalik kegagalan mereka menyelamatkan nyawa dan maruah umat Islam di Palestin. Halangan undang-undang antarabangsa, pemuafakatan palsu di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) dan perjanjian-perjanjian lain telah menjadi alasan bagi mereka di dalam kegagalan untuk menyelamatkan saudara sesama Islam di Palestin. Padahal, AS langsung tidak mempedulikan segala pemuafakatan dan undang-undang antarabangsa di dalam memenuhi tujuan mereka.
Bahkan para pemimpin umat Islam sanggup terus berpecah sambil mempertahankan kedaulatan masing-masing yang tanpa disedari, hal itulah yang menjadikan mereka lemah untuk menghadapi AS. Secara jelas, merekalah harus dipersalahkan atas kegagalan mereka di dalam melindungi saudara seagama mereka. Ini adalah kerana, kuasa dan perintah itu ada di dalam tangan mereka sedangkan merekalah yang bertanggungjawab melindungi nyawa dan maruah umat Islam. Setiap nyawa umat Islam itu sangat dimuliakan oleh Allah SWT. Bagi mereka-mereka yang mempunyai kuasa dan kekuatan di tangan, mereka seharusnya memahami bahawa menjadi tanggungjawab utama mereka untuk bersatu melindungi nyawa dan kehormatan umat Islam.
“Dari Abdullah bin Umar dia berkata,”Aku pernah melihat Rasulullah SAW melakukan tawaf mengelilingi Ka’bah dan beliau bersabda, “Alangkah indahnya engkau (Ka’bah), alangkah harumnya baumu, alangkah agungnya dirimu, alangkah agungnya kehormatanmu. Demi jiwa Muhammad yang ada di dalam genggaman-Nya, kehormatan, harta dan darah (jiwa) seorang mukmin itu lebih agung di sisi Allah daripada keagunganmu (Ka’bah). Kita tidak boleh berprasangka kepadanya (kepada seorang mukmin), kecuali prasangka baik.” [HR Ibnu Majah].
Semoga Allah SWT terus melindungi umat Islam di Palestin dan merahmati semua pejuang Islam di Ash Shams. Semoga mereka diberikan kekuatan dan kesungguhan untuk terus berjuang mempertahankan nyawa dan maruah anak-anak dan wanita kaum muslimin sehinggalah nanti Khilafah akan muncul dan mengembalikan Daulah Islam dan menegakkan keadilan.