Mubarak Terus Mengkhianati Umat Islam di Palestin

altMesir bina sekatan di sempadan Gaza

KAHERAH 11 Dis. – Mesir memasang kepingan besi sedalam kira-kira 18 meter sepanjang sempadannya dengan Genting Gaza bagi menyekat penyeludupan senjata melalui terowong ke wilayah Palestin itu. Pembinaan sekatan itu menimbulkan risiko kepada perhubungan Mesir dengan pergerakan Hamas yang mentadbir Gaza sejak 2007, selain boleh menjejaskan peranan Kaherah sebagai perantara di rantau ini.

Mesir sudah pun dikecam oleh pertubuhan-pertubuhan Arab dan Islam kerana bekerjasama dengan Israel yang mengenakan sekatan ke atas wilayah Palestin itu, yang dihuni 1.4 juta penduduk Palestin.

Projek berkenaan dipercayai merupakan antara beberapa langkah yang diambil oleh Mesir, sesetengahnya dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS), untuk menghentikan kegiatan penyeludupan sejak operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh Israel ke atas Gaza berakhir pada awal tahun ini. Terowong tersebut menjadi sasaran utama serangan Israel semasa kempen ketenteraan rejim zionis itu awal tahun ini.

“Kami dalam Hamas tidak percaya Mesir sanggup mendirikan benteng memisahkan kami. Kami tahu Mesir menghadapi tekanan daripada AS dan antarabangsa tetapi kami berharap perkara itu tidak benar, dan menuntut Mesir supaya membuka sempadannya,” kata ahli Parlimen Hamas, Yehiye Moussa.

Namun, terowong tersebut juga menjadi isu kepada Mesir kerana membolehkan puak militan menyusup ke negara ini dari Gaza untuk melancarkan serangan.

Penduduk di sempadan berkata, sejak beberapa minggu lepas, mereka melihat pekerja-pekerja binaan Mesir menggali parit di sepanjang sempadan, kemudian menggerudi lubang-lubang dalam.

Pekerja kemudian mengisi parit itu dengan pasir, kata penduduk. Pengawal sempadan Hamas pula berkata, pekerja binaan Mesir melakukan penggalian sejak 17 hari lalu di kawasan bertemunya sempadan Mesir, Israel dan Gaza.

Mesir sebelum ini keberatan untuk bekerjasama bagi menutup terowong yang juga digunakan untuk menyeludup bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan ke Gaza.

Tanpa kegiatan penyeludupan menerusi terowong itu, ekonomi Gaza yang sudahpun terjejas akibat sekatan Israel sejak Hamas mengambil alih pentadbiran pada 2007 akan hancur sama sekali. Mesir berdepan risiko besar dengan pembinaan sekatan itu kerana ia boleh menjejaskan peranannya sebagai perantara dalam konflik Asia Barat termasuk sengketa antara Hamas dengan puak Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmud Abbas.

Mesir juga sedang mengusahakan pertukaran tahanan antara Hamas dengan Israel yang kesudahannya boleh membawa kepada kelonggaran sekatan ke atas Gaza. – AP

Sumber : Utusan Malaysia, 12/12/2009

Mubarak Terus Mengkhianati Umat Islam di Palestin

Tiada lagi perkataan yang lebih sesuai untuk melabelkan pemimpin seperti Hosni Mubarak serta para pemimpin  Mesir yang lainnya melainkan sebagai “Pengkhianat Umat Islam”. Mesir yang sebelum ini bersekongkol dengan musuh Allah, Israel dan Amerika dengan menutup sempadannya dengan Gaza telah mengakibatkan umat Islam di Gaza begitu tersepit. Mereka terkepung dalam penjara besar bumi Gaza, dan pada waktu yang sama pemimpin saudara sesama Muslim di Mesir mengkhianati mereka.

Dalam perkembangan terbaru ini, dengan pembinaan sekatan berupa kepingan besi sedalam 18 meter di sepanjang sempadan Mesir-Gaza, pastinya membuatkan keadaan umat Islam di Gaza semakin parah. Bekalan makanan, ubat- ubatan serta keperluan asas yang lain berada dalam keadaan yang sangat kritikal. Langkah Mesir ini, bukannya memberi  kemudahan kepada saudara mereka di sana, bahkan semakin menyakiti mereka. Ini berlawanan dengan sabda junjungan besar, Nabi Muhammad yang menyatakan bahawa:

“Seorang muslim adalah saudara bagi muslim. Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya teraniaya oleh orang lain. Dan barangsiapa yang membantu (mencukupkan) keperluan atau hajat saudaranya, maka Allah Ta‘ala membantunya pula (mencukupkan) keperluan atau hajatnya. Dan barangsiapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim, maka Allah Ta‘ala melapangkan kesulitannya kelak di Hari Kiamat. Dan barangsiapa yang menutup aurat (keburukan) orang muslim, maka Allah menutupi pula keburukannya kelak di Hari Kiamat.” [HR Bukhari]

Apa yang berlaku di Palestin, malahan di seluruh penjuru negeri umat Islam sekarang ini merupakan masalah umat Islam keseluruhannya  bukan hanya masalah umat Islam di kawasan itu sahaja. Oleh itu, penyelesaiannya juga haruslah penyelesaian yang melibatkan seluruh umat Islam dengan bersama-sama menerapkan Islam dalam kehidupan bernegara. Negara yang dimaksudkan ialah Negara Khilafah yang akan mengatur seluruh urusan umat dengan syariat Islam, termasuklah urusan umat Islam di Palestin sekarang ini.
Dengan adanya Khilafah umat Islam segala masalah ini akan pasti dapat diselesaikan. Malahan pemimpin seperti Hosni Mubarak ini akan diadili kerana pengkhianatan yang telah beliau lakukan ke atas saudaranya di bumi Palestin. Jihad akan dilancarkan terhadap Israel dan kemuliaan akan kembali semula ke pangkuan umat Islam.

Ya Allah! Hancurkanlah dan masukkanlah para pemimpin sekular Mesir ini ke dalam neraka Mu! Para pemimpin ini memang tidak layak untuk masuk ke dalam syurgaMu Ya Allah, yang hanya Engkau sediakan untuk golongan yang beriman dan bertakwa. Mereka langsung tidak memiliki ciri-ciri golongan yang Engkau janjikan untuk mendapat keampunan dan pahala yang besar disisiMu Ya Allah!

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”[TMQ Al-Ahzaab (33) : 35]