Umat Islam di Palestin Terus Dipermainkan

mahmud-abbasPresiden Palestin, Mahmoud Abbas telah berikrar bahawa Palestin akan mencapai status sebuah negara merdeka pada tahun ini. Beliau berkata, kejayaan mendapat pengiktirafan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada bulan lalu merupakan ‘sijil kelahiran’ buat negaranya. “Kita sudah ada sijil kelahiran dan kita akan mara sehingga mencapai kemerdekaan dan tahun ini adalah tahun kita menubuhkan sebuah negara dan mencapai kemerdekaan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu majlis meraikan sambutan ulang tahun ke-48 pergerakan Fatah di Tebing Barat menjelang sambutan tahun baru yang lepas.

Adakah setakat itu sahaja perjuangan pergerakan Fatah? Sungguh malang sekiranya umat Islam terikut-ikut dengan kenyataan tersebut. Bagi umat Islam yang beriman dan mempunyai pemikiran yang jelas sudah tentu akan terguris hati apabila membaca kenyataan daripada Mahmoud Abas itu. Bukankah ini bermakna pergerakan Fatah telah menyerahkan PBB membuat keputusan ke atas mereka dan keputusan tersebut tidak berlandaskan syarak? Kenyataan tersebut secara halus telah mengiktiraf penjajahan Israel ke atas tanah Palestin yang lain. Para pemimpin Fatah sebenarnya lebih arif tentang hal ini. Mereka seharusnya bergabung dengan pergerakan Islam yang lain untuk menghancurkan penguasaan Israel dan mengembalikan kekuasaan tanah Palestin kepada umat Islam dan bukannya hanya menyerah kepada keputusan PBB.

Apa yang dilakukan oleh pemimpin Palestin ini juga jauh berbeza dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Sultan Abdul Hamid II, iaitu salah seorang khalifah di zaman-zaman akhir Khilafah Uthmaniah. Beliau tidak dapat diperdayakan oleh jutaan wang emas yang dihamparkan oleh Yahudi kepada beliau sewaktu Daulah Khilafah masih berdiri. Sultan Abdul Hamid II langsung tidak tunduk kepada tekanan walaupun pada ketika itu Daulah Islam sedang mengalami era kejatuhan. Beliau menjawab kepada Yahudi laknatullah dengan perkataannya yang masyhur,

“Sungguh aku tidak akan melepaskan bumi Palestin ini walau sejengkal…..bumi ini bukanlah milikku tetapi milik umat Islam keseluruhannya. Kaumku telah berjihad dalam mempertahankan bumi ini dan telah menyiraminya dengan darah-darah mereka. Jika Negara Khilafah satu hari nanti hancur, maka sungguh mereka (Yahudi) akan dapat mengambil Palestin secara percuma. Namun selama aku masih hidup, tertusuknya pisau pada tubuhku adalah lebih ringan bagiku daripada aku menyaksikan Palestin terlepas dari Daulah Khilafah dan hal ini tidak akan terjadi. Sungguh aku tidak setuju untuk mencabik-cabik tubuh kita sendiri, padahal kita masih hidup”.
 
Demikianlah keberanian yang ditunjukkan oleh Sultan Abdul Hamid II yang harus dicontohi oleh bukan sahaja pemimpin pergerakan Fatah tetapi para pemimpin umat Islam di seluruh dunia yang pada ketika ini hanya sekadar menyaksikan kesengsaraan umat Islam di Palestin.
 
Rujukan: Utusan Malaysia 2/1/2013