Masyarakat Quranik perlu penerapan al-Quran secara menyeluruh
Berita:
PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha kerajaan melahirkan masyarakat quranik atau berminda al-Quran adalah agenda yang berkesinambungan dan bukan suatu retorik.
Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu bermula daripada penentuan dasar negara yang berpaksikan al-Quran yang kemudiannya dilaksanakan di peringkat negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri, antaranya menyuburkan budaya mencintai kitab suci umat Islam dengan penganjuran pertandingan tilawah dan menghafaz al-Quran.
Sumber: astroawani.com
Komentar:
Zahid dalam kenyataan yang sama turut menegaskan bahawa inilah bukti komitmen kerajaan dalam membudayakan al-Quran dalam kalangan masyarakat dan bukanlah sekadar retorik semata-mata.Ternyata beliau keliru dengan kenyataan tersebut dan tidak memahami erti sebenar masyarakat Quranik. Sesungguhnya masyarakat Quranik ialah masyarakat yang keseluruhan pemikiran, perasaan, dan juga peraturan yang mengatur hidup mereka dilaksanakan berlandaskan al-Quran.
Di samping itu, mereka turut menjadikan as-Sunnah, serta ijma’ para sahabat dan qiyas sebagai panduan dalam menjalani segenap aspek kehidupan mereka termasuklah dalam hal-ehwal kenegaraan.Sekiranya benar penentuan dasar negara dibuat berpaksikan al-Quran, mengapakah negara ini menggunakan sistem perlembagaan Lord Reid yang merupakan warisan tinggalan penjajah?
Apa yang lebih menghairankan ialah pembudayaan Al-Quran yang dicanangkan oleh kerajaan hanyalah berlegar sekitar majlis tilawah al-Quran dan hafazan sahaja. Sedangkan al-Quran itu diturunkan bukan hanya sekadar untuk dibaca dan dihafal sahaja tetapi tidak pula diamalkan. Kalau diamalkan sekalipun hanya dalam aspek-aspek tertentu sahaja seperti ibadah seharian dan sebahagian daripada bab muamalat yang terhad.
Akibatnya kita melihat ramai orang Islam yang kuat ibadahnya dan baik bacaan Al-Qurannya tetapi tetap terlibat dengan pinjaman riba bank. Dalam pada itu, para huffaz pula hanya menghafal dan belajar di sekolah tahfiz mengenai ayat-ayat yang menjadi dalil bagi kewajipan jihad, hukum hudud dan lain-lain, tetapi mereka bingung kerana kewajipan tersebut tidak dilaksanakan oleh kerajaan yang mengaku sebagai sebuah negara Islam ini.
Jika kerajaan benar-benar komited dalam membudayakan al-Quran, seharusnya seluruh sistem di negara ini wajib diatur berlandaskan kitab suci itu termasuklah dalam bab pemerintahan, ekonomi, kehakiman dan sosial. Sistem sekular demokrasi kapitalis yang diamalkan kini juga haruslah dibuang jauh kerana sistem tersebut bukanlah seperti yang diajarkan dalam al-Quran tetapi merupakan ciptaan akal manusia yang terbatas.
Oleh itu, tanda kecintaan kita terhadap al-Quran bukanlah hanya pada pembacaan dan hafalan semata-mata tetapi mestilah juga pada pengamalan isi al-Quran itu sendiri baik di peringkat individu, masyarakat serta negara. Semuanya telah diatur oleh Allah SWT melalui al-Quran dan dihuraikan di dalam hadis Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT:
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ
“Dan Kami turunkan kepada kamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu”[TMQ An-Nahl (16): 89].
Jika ini tidak dilakukan maka segala kenyataan kerajaan tentang pembudayaan al-Quran hanya tinggal retorik semata-mata. Apalah gunanya membaca al-Quran tetapi tidak memahami seruannya dan apalah gunanya menghafal al-Quran tetapi tidak mengamalkan isi kandungannya.
Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia