Pesanan dan Nasihat Kepada Pakatan Harapan (PH) dan Rakyat Malaysia
Tun Dr. Mahathir Mohamad telah pun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada malam 10hb Mei 2018. Setelah lebih 60 tahun memerintah Malaysia, buat pertama kalinya Barisan Nasional akan menghadiri persidangan parlimen sebagai pihak pembangkang. Seperti dijangka, ‘tsunami rakyat’ akhirnya telah benar-benar berlaku pada PRU ke-14 ini! Rakyat inginkan perubahan dan kini, pintu perubahan yang diharapkan telah terbuka dengan kemenangan pihak Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya demokrasi di Malaysia.
Dengan kemenangan ini, rakyat Malaysia meletakkan harapan yang cukup besar ke atas bahu kerajaan baharu PH dalam merealisasikan perubahan tersebut. Dalam nuansa inilah, Hizbut Tahrir Malaysia ingin menyampaikan pesanan dan nasihat kepada kepimpinan baharu PH khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya kerana sesungguhnya agama itu nasihat. Rasulullah SAW bersabda:
“Agama itu nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, ‘Untuk siapa wahai Rasulullah?’ Nabi SAW bersabda, ‘Untuk Allah, kitabNya, RasulNya, para pemimpin kaum Muslimin dan kaum Muslimin umumnya” [HR Muslim]
Wahai para pemimpin Muslim kerajaan PH, sesungguhnya Allah SWT telah meletakkan di atas bahu kalian satu tanggungjawab yang besar sebagai para pemimpin. Rakyat menunggu untuk melihat sama ada kalian akan mengotakan pelbagai janji yang kalian lontarkan dalam manifesto kalian. Benar, ada di antara permasalahan yang kalian janjikan penyelesaiannya boleh kalian tunaikan secara jangka pendek. Tetapi kami ingin mengingatkan kalian bahawa akar kepada pelbagai permasalahan yang muncul ini bukanlah semata-mata akibat daripada kelemahan dan kesalahan di pihak kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, namun hakikatnya, ia berpunca daripada sistem kapitalisme yang diterapkan. Selagi sistem kapitalisme masih menjadi asas kepada perjalanan negara, selama itulah pelbagai permasalahan akan terus muncul tanpa penyelesaian yang tuntas.
Wahai para pemimpin Muslim kerajaan PH, sebagai pimpinan sebuah negara kaum Muslimin, kalian wajib meletakkan Islam sebagai asas dalam menyelesaikan segenap permasalahan yang muncul. Kalian mestilah melepaskan diri daripada menjadikan pemikiran sekular dan sistem kapitalisme sebagai rangka asas pemerintahan kalian. Islam ialah Deen yang diturunkan Allah SWT untuk umat manusia dan menawarkan penyelesaian kepada semua permasalahan manusia. Sesungguhnya hanya Allah SWT sahajalah sebagai Pencipta alam dan manusia, yang layak menjadi penentu hukum-hakam bagi manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah. Dia menerangkan yang hak dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik” [TMQ al-An’am (6):57]
Sesungguhnya kalian, wahai para pemimpin Muslim, berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menjadikan Islam sebagai satu-satunya sumber rujukan kalian dalam menyelesaikan masalah rakyat Malaysia.
Wahai para pemimpin Muslim kerajaan PH, Allah SWT telah meletakkan kalian dalam kedudukan ini sebagai tanggungjawab atas kalian untuk kembali kepada Allah dan RasulNya dalam tugas kalian. Janganlah membiarkan diri kalian terpalit dengan dosa kerana kelalaian kalian merujuk kepada hukum Allah SWT dalam pemerintahan. Janganlah kalian menjerumuskan diri kalian dalam kezaliman dengan meninggalkan walau secebis hukum syarak dalam pemerintahan kalian. Allah SWT berfirman yang maksudnya:
“Barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Maidah (5):45]
Wahai para pemimpin Muslim kerajaan PH, kalian telah berjanji untuk melakukan perubahan. Sedarlah, perubahan yang hakiki hanya akan kalian perolehi sekiranya kalian benar-benar menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan dalam kehidupan kalian. Kalian memiliki ruang yang cukup besar untuk mengubah realiti pemerintahan di Malaysia. Pada kalianlah kuasa untuk perubahan dengan menjadikan Islam sebagai asas pemerintahan kalian. Janganlah kalian melepaskan peluang ini; peluang untuk memperoleh kekuasaan dan mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat dengan menerapkan hukum syarak secara sepenuhnya. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun denganKu dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ an-Nur (24):55]
Wahai kaum Muslimin, kalian telah memilih untuk mengubah pemerintahan dan kalian membuat keputusan ini kerana kalian inginkan perubahan. Hakikatnya, kalian juga memiliki kekuasaan untuk memperoleh perubahan yang hakiki. Pada kalianlah kuasa untuk menyerahkan kepada pemerintah yang akan menerapkan hukum Allah secara menyeluruh (kaffah). Sekiranya pemerintahan PH gagal untuk menerapkan hukum Allah SWT secara kaffah, kalianlah yang memiliki kekuasaan untuk menurunkan mereka. Namun, perubahan hakiki yang kalian inginkan tidak akan dapat diperolehi melalui pilihan raya di bawah kerangka demokrasi. Rasulullah SAW, Rasul kesayangan kalian telah menunjukkan jalan yang sahih bagi memperoleh perubahan yang hakiki ini. Janganlah kalian cenderung kepada mereka yang zalim, iaitu mereka yang tidak menjadikan hukum Allah SWT sebagai rujukan mereka. Allah SWT berfirman dalam Surah Hud ayat 113 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan” [TMQ Hud (11):113]
Wahai para pemimpin Muslim kerajaan PH dan kaum Muslimin sekalian, sesungguhnya perubahan hakiki hanya akan dapat dicapai melalui penerapan Islam di bawah naungan Khilafah di atas jalan kenabian. Inilah arah perjuangan yang kalian perlu fokuskan. Inilah aspirasi yang harus ada dalam jiwa setiap Muslim yang sayangkan Islam dan inginkan perubahan yang hakiki. Buat para pemimpin kerajaan PH yang beragama Islam, peluang untuk menerapkan hukum Allah SWT secara menyeluruh di bawah naungan Khilafah terbuka buat kalian. Rebutlah peluang ini dengan tanggungjawab baharu yang Allah SWT kurniakan kepada kalian. Janganlah kalian berpaling daripada kewajipan ini. Buat umat Islam di Malaysia, kalian memiliki kuasa untuk menegakkan Khilafah dan kalian mengetahuinya. Berusahalah untuk memperoleh kerahmatan dan keredhaan Allah SWT dengan perjuangan kalian menegakkan Khilafah. Gunakan kuasa kalian untuk terus memuhasabah pemerintah setiap kali mereka lalai dalam merealisasikan objektif ini. Raihlah peluang untuk menjadi penghulu syuhada’ dengan sikap istiqamah dalam menegur dan memuhasabah para pemimpin kalian. Rasulullah SAW bersabda:
“Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan orang yang berdiri di hadapan penguasa zalim lalu ia menegurnya dan melarangnya, lalu pemimpin itu membunuhnya” [HR Al Hakim]
Semoga Allah SWT sentiasa melindungi kita dalam perjuangan untuk mengembalikan kehidupan Islam di bawah naungan Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah.
Hizbut Tahrir Malaysia
29 Syaaban 1439H/15 Mei 2018