Iktibar di sebalik perebutan jawatan Ketua Menteri di Sabah

Berita:

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, hari ini memfailkan saman terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Saman berkenaan difailkan menerusi firma guaman Messrs FT Ahmad & Co, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang.

Sumber berita: bharian.com.my

Komentar:

Krisis perebutan jawatan Ketua Menteri Sabah semakin berlarutan dengan tindakan yang diambil oleh Tan Sri Musa Aman menyaman Datuk Seri Shafie Apdal dan Yang Dipertua Sabah. Kecelaruan yang tercetus semenjak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menyaksikan dua pihak mengangkat sumpah selaku Ketua Menteri Sabah. Sepanjang tempoh tersebut juga kita dapat melihat insiden lompat parti dan peralihan sokongan merentas pakatan yang terjadi di negeri di Bawah Bayu ini. Meskipun akhirnya Shafie telah berjaya mendapatkan sokongan yang mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri, namun Musa masih enggan menerima hakikat tersebut dan bertegas menyatakan bahawa pengakuan sumpah Shafie selaku Ketua Menteri oleh  Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Perebutan kuasa sebegini adalah hal yang biasa dalam sistem demokrasi kapitalis kerana mereka hidup di atas dasar manfaat. Hilang kekuasaan bererti hilang nikmat dan manfaat untuk kesenangan hidup bagi diri dan parti. Oleh itu, tidak hairanlah Musa Aman tidak mahu turun daripada jawatannya kerana takut akan akibatnya jika tidak lagi kuasa. Atas dasar manfaat juga beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) sanggup berpaling tadah dan menyertai Pakatan Harapan. Tidak mustahil jika suatu masa nanti BN kembali menerajui negara, mereka ini akan kembali melompat menyertai BN semula. Semuanya kerana dasar manfaat ingin menjaga periuk nasi masing-masing.

Dalam Islam, jawatan pemimpin adalah suatu amanah yang berat. Allah berfirman di dalam surah Al-Ahzab ayat 72 :

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

”Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang tetapi semuanya enggan memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil” [TMQ Al-Ahzab (33): 72].

Seorang pemimpin Muslim itu bukan sekadar menerajui negaranya tetapi juga wajib memastikan sistem Islam dilaksanakan dengan sempurna tanpa perlu diundi terlebih dahulu seperti dalam sistem demokrasi berparlimen. Oleh itu, seorang Muslim yang bertakwa pasti amat takut apabila diberikan kuasa kepadanya kerana risau tidak tertanggung beban tugas yang besar. Sekiranya diberi kuasa dia pasti akan melakukan tugas dengan adil serta akan sentiasa mengambil al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan dalam menerajui negara. Kepentingan diri dan parti bukan lagi keutamaannya kerana dia tidak mengejar manfaat, sebaliknya hanya berusaha meraih redha Allah SWT semata-mata.

Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia