Di sebalik perletakan jawatan Musharraf

altBerikut adalah terjemahan Bahasa Arab soal jawab berhubung perletakan jawatan Musharraf yang telah diajukan kepada Hizbut Tahrir pada 19/08/08.

Soalan: 

Para pegawai Amerika sebelum ini telah banyak mengatakan bahawa Musharraf merupakan satu aset bagi AS dalam menjaga kepentingan serta menguatkan cengkaman mereka di kawasan tersebut. Musharraf juga merupakan sekutu kuat Amerika dalam pencerobohan mereka ke atas Afghanistan. Namun, pada 18hb Ogos 2008, Amerika telah meninggalkan Musharraf, menyebabkan beliau tiada pilihan lain kecuali melepaskan jawatannya sebagai Presiden. Bagaimana ini boleh berlaku? Adakah ini menggambarkan bahawa terdapat konfrontasi politik dengan Britain di mana mereka telah berjaya menjatuhkan Musharraf? Dan siapakah yang akan mengganti Musharraf sebagai Presiden republik itu?

Jawapan:

Ya, Musharraf memanglah merupakan satu aset yang cukup penting buat AS. Dia telah memberikan ‘khidmat’ kepada AS di Afghanistan dan kawasan-kawasan sekitarnya. Malahan, bukanlah merupakan suatu yang melampau sekiranya kita mengatakan bahawa tanpa khidmat yang diberi oleh Musharraf kepada Amerika, tidak mungkin AS akan dapat menceroboh dan menguasai Afghanistan meskipun mendapat tentangan yang cukup hebat dari kaum Muslimin. Semua ini dilakukan di atas nama ’memerangi keganasan’ dan Musharraflah yang menangkap ramai individu Muslim yang memberikan penentangan ke atas pencerobohan ini.

Meskipun semua yang dijelaskan di atas adalah benar belaka, sejak kebelakangan ini, terutamanya sejak tahun lepas, Musharraf telah gagal untuk memuaskan hati tuannya (AS). Kegagalan ini adalah disebabkan oleh lemahnya posisi beliau di kalangan rakyatnya, kalangan tentera dan juga parlimen. Ini merupakan akibat dari jenayah melampau yang telah beliau lakukan terhadap kaum Muslimin terutamanya pembunuhan di kawasan suku Swat serta pembunuhan di Masjid Lal. Kesungguhan beliau yang amat memalukan dalam menjaga kepentingan AS dan kesediaan beliau dalam menawarkan ‘khidmat’ kepada Amerika bukan sahaja bertentangan dengan konsep dan sensitiviti kaum Muslimin, malah ia juga bertentangan dengan emosi orang-orang Islam.

Kegagalan Musharraf ini telah dinyatakan oleh beberapa pegawai AS yang menyentuh kelemahan posisi beliau di kalangan rakyat dan pihak tentera sebagai sebab utama mengapa beliau gagal menyempurnakan kehendak Amerika. Antara kenyataan ini adalah apa yang disebut oleh Davis McCarnon, komandan tentera AS di Afghanistan. Beliau mengatakan kepada CNN pada 7hb Ogos 2008 bahawa,

“Adakah saya percaya bahawa terdapat elemen subahat pada pihak risikan Pakistan? Ya, memang saya percaya elemen ini wujud”.

Beliau menambah,

“Kami telah memerhatikan bahawa dalam setahun dua ini, bilangan pejuang dari luar semakin bertambah di tenggara Afghanistan dan kami masih menunggu agar pihak berkuasa Pakistan mengambil tindakan terhadap mereka dan menghalang para pejuang ini dan membuatkan mereka merasa tidak selamat’.

New York Times juga melaporkan bahawa Steve Caps, orang kedua di dalam CIA telah pergi ke Islamabad untuk menuntut penjelasan dari pihak berkuasa Pakistan dan mendedahkan bukti bahawa terdapat elemen subahat oleh risikan Pakistan dengan rangkaian pemberontak yang diketuai oleh Jalaluddin Haqqani. Surat khabar ini menegaskan,

“Pihak AS telah berjaya memperoleh bukti komunikasi yang menunjukkan bahawa pihak risikan Pakistan ada terlibat dalam penyerangan ke atas kedutaan India di Kabul yang telah membunuh 60 orang.”

Telah jelas pada AS bahawa kedudukan lemah Musharraf telah menjadikan beliau aset yang tidak lagi dapat menjalankan ‘khidmat’ kepada Amerika seperti mana yang mereka kehendaki meskipun Musharraf telah menggadaikan dirinya dan berusaha keras dalam memberi khidmat kepada Amerika. Atas sebab ini, AS merasakan bahawa Musharraf telah pun memainkan peranannya dan kini beliau perlu diganti untuk menunjukkan kepada rakyat Pakistan bahawa mereka sekarang ini sudah terselamat dari si diktator Musharraf dan kemudian mereka (AS) akan memastikan bahawa kepentingannya dan pengaruhnya tetap terjaga dan mereka akan dapat terus memerangi kaum Muslimin di atas nama peperangan ke atas keganasan, dengan kata lain, mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka lakukan bagi Musharraf ketika beliau masih berkuasa!

Perlu ditegaskan bahawa pemecatan Musharraf (peletakan jawatan) bukanlah suatu yang berlaku di dalam sehari dua. Ia merupakan kemuncak dari 4 tahapan yang telah menghilangkan kuasa dan pengaruhnya sehinggalah beliau mengumumkan peletakan jawatannya pada 18hb Ogos 2008.  Tahapan tersebut adalah:

Tahapan Pertama: Apabila AS telah mencapai persetujuan dengan Britain di mana Benazir Bhutto, ketua PPP ‘dihidupkan’ semula dan kembali dari buangan di England. Kesefahaman AS-Britain ini mencakupi 2 perkara utama:

Pertama: PPP tidak akan menentang pilihan raya untuk memilih Musharraf sebagai Presiden Pakistan

Kedua:  PPP akan berkongsi kuasa dengan Musharraf di mana Benazir akan menjadi Perdana Menteri yang mempunyai kuasa.

Ini menunjukkan Amerika sedar bahawa Musarraf tidak lagi boleh terus berkuasa kecuali dengan sokongan dari parti sekular PPP. Ini adalah akibat dari jenayah melampau yang telah beliau lakukan, pembunuhan kaum Muslimin dan kemarahan kaum Muslimin terhadapnya. Oleh itu, Amerika merasakan bahawa kesefahaman dengan Britain ini sebagai satu cara untuk menyelamatkan kuasa Musharraf, meskipun ia bukanlah penyelesaian yang sempurna.

Perlu disebutkan juga bahawa PPP sendiri adalah merupakan sebuah parti gabungan dan bukannya sebuah parti yang terstruktur. Dengan kata lain, ia tidak mempunyai konsep yang jelas yang dipegang oleh ahli-ahlinya tetapi ia merupakan sebuah parti gabungan yang terdiri dari individu-individu yang mempunyai kepentingan dan hubungan antara masing-masing. Oleh itu, PPP amat mudah untuk ditembusi dan hakikat ini disedari oleh AS kerana PPP, ketika ia diketuai oleh bapa Benazir, disokong dan dibina atas dasar ini dan Britain telah berjaya mengambil alih kepimpinan efektif parti ini ketika Benazir berada dalam buangan di England.

Dengan ini, kesefahaman AS-Britain ini telah membawa Benazir ke Pakistan dan ini merupakan tahapan pertama yang mula mencacatkan kuasa Musharraf di Pakistan.

Tahapan Kedua: Apabila AS membenarkan Nawaz Shareef untuk kembali ke Pakistan. Nawaz memanglah merupakan seorang ejen Amerika namun beliau telah menyebabkan kemarahan pada AS apabila beliau gagal menghalang tentera Pakistan dari menguasai tanah tinggi Kargil di India ketika zaman Vajpayee mengetuai parti BJP.

Adalah suatu yang diketahui bahawa AS telah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk mendapatkan ketaatan BJP selepas begitu lama Kongres India berada di bawah pengaruh Britain. AS telah membantu Vajpayee secara politik, ekonomi dan ketenteraan bagi menguatkan pemerintahannya dan penawanan Kargil merupakan satu pukulan kepada populariti BJP. Oleh itu, AS berada di sebalik perampasan kuasa Musharraf yang menjatuhkan Nawaz Shareef di mana AS masih marah dan tidak membenarkan Nawaz pulang ke Pakistan.

Walau bagaimanapun, setelah pembunuhan Benazir, populariti PPP meningkat dan Amerika merasa bimbang bahawa ini akan menyebabkan berlaku undi majoriti di dalam pilihan raya yang akan memecahkan kesefahaman AS-Britain yang dicapai sehingga ada kemungkinan Britain akan dapat mengambil sepenuhnya pengaruh mereka di Pakistan. Atas alasan ini, AS membenarkan Nawaz untuk pulang ke Pakistan dan mengambil bahagiannya di dalam pengundian serta mengurangkan saiz PPP agar PPP dan parti Nawaz Sareef dapat berkongsi undi majoriti.

Ini merupakan tahapan kedua dan dengan kembalinya Nawaz ke Pakistan, era pasca Musharraf sudah disediakan.

Tahapan Ketiga: Ini berlaku apabila AS memaksa Musharraf untuk melepaskan semua jawatan ketenteraannya untuk memboleh di adakan pilihan raya umum. Jawatan ketenteraan inilah yang memberikan Musharraf kuasa dan kekuatan setiap kali beliau berhadapan dengan rakyat mahupun parlimen.

Tahapan Keempat:
Lawatan Perdana Menteri Reza Jeelani ke AS dan perbincangan beliau dengan Bush merupakan permulaan proses untuk menjatuhkan Musharraf.

Bagi pemerhati yang mengikuti perjumpaan antara Reza dan Bush, ia akan menyedari bahawa Jeelani tunduk kepada AS dan Amerika memberikan jaminan bahawa PPP akan menyokong calon yang ditaja AS untuk jawatan Presiden. Ini sudah pasti akan menguatkan posisi parti Nawaz Shareef. Kesan dari perjumpaan ini, AS memberikan lampu hijau kepada kerajaan campuran untuk memulakan proses dakwaan ke atas Musharraf setelah mendapatkan persetujuan dari Jeelani dan PPP dalam menyokong calon presiden tajaan Amerika. Ini perlu bagi memastikan bahawa PPP tidak akan menghalang calon tajaan AS ini dari menjadi Presiden Pakistan.

Malahan, Jeelani, yang merupakan seorang ejen Britain mungkin bersetuju untuk menyokong AS, tetapi bukannya sebagai satu manifestasi polisi Britain tidak membantah AS secara terbuka, namun ada kemungkinan yang lebih besar bahawa beliau dijanjikan kedudukan yang penting dalam ‘era’ baru ini. Ini juga mungkin akan menjadikan beliau lebih rapat dengan AS.

Meskipun nampaknya telah terjadi peralihan pengaruh kepada AS, Britain tidak akan duduk diam dalam mengaut manfaat untuk berkongsi kuasa di Pakistan selepas kesepakatan mereka dengan AS. Terdapat kemungkinan bahawa Britain akan bekerjasama dengan parti pro-Britain yang lain dalam menimbulkan masalah ketika pilihan raya presiden kecuali sekiranya mereka diberikan kedudukan efektif dalam perkara ini sepertimana yang disebutkan di dalam kesepakatan mereka dengan AS.

Meskipun Britain tidak mempunyai tujuan untuk mengambil alih penuh pengaruh ke atas Pakistan, ia tidak akan membiarkan peluang yang ada, dan pemilihan presiden nanti pasti akan dipenuhi masalah kecuali sekiranya ada perbincangan baru untuk mengikat kesepakatan baru antara AS dan Britain.

Siapa pun yang akan menjadi Presiden Pakistan, AS pasti akan memainkan peranan penting dalam pilihan raya tersebut. Terdapat 3 senario yang mungkin akan berlaku:

Pertama: Calon tersebut mungkin Reza Jeelani. Ini mungkin berlaku sekiranya AS meyakini kesetiaannya. AS tidak mahu melihat Jeelani berpura-pura menyokong mereka, padahal menikam dari belakang seperti yang dilakukan oleh Britain terhadapnya. Sekiranya AS meyakininya, maka dialah yang akan menjadi Presiden. Namun, ini bererti Britain tidak akan berpuas hati dan mungkin kepimpinan PPP akan menimbulkan masalah bagi Jeelani.

Kedua: Calon mungkin datang dari parti Nawaz Shareef. Ini harus datang dari kalangan kepimpinan parti, termasuk Nawaz Shareef sendiri. Namun begitu, imej beliau di kalangan rakyat sudah tercalar. Tambahan pula AS tidak akan melupakan peristiwa Kargil. Oleh itu, AS tidak akan meletakkan harapan kepada Nawaz kecuali sekiranya parti beliau tidak dapat mencalonkan calon yang sesuai.

Ketiga: Sekiranya kedua-dua senario ini tidak berlaku, AS mungkin akan menggunakan tentera kerana Kiyani, komandan tentera Pakistan, telah diangkat oleh Musharraf, dengan persetujuan Amerika untuk mengetuai tentera. AS tidak akan melepaskan peluang untuk mempolitikkan tentera bagi memastikan kehendak demokrasi Amerika yang tak masuk akal ini tercapai.

Sebagai penutup, kalaulah para ejen ini mengingati nasib yang menimpa ejen-ejen terdahulu ketika zaman kolonial – mereka dibuang ibarat sepah setelah habis madunya dihisap. Mereka kehilangan segala kuasa dan kesenangan sepertimana mereka kehilangan agama mereka akibat peranan mereka sebagai ejen kaum kuffar yang mengkhianati umat ini. Sekiranya mereka ini menyedari nasib mereka, mereka sekurang-kurangnya boleh menyelamatkan kehidupan dunia mereka dengan merapatkan diri mereka kepada umat dan bukannya tuan-tuan kolonialis mereka, namun ternyata mereka tidak berfikir!

18hb Sha’ban, 1429H
19hb Ogos, 2008M