Politik balas dendam: Wujudkah keadilan dalam politik kepartian demokrasi?

Berita:

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dilaporkan dalam sebuah kenyataannya telah membuat keputusan untuk tidak menyalurkan peruntukan kewangan kepada ADUN dari parti pembangkang (BN) untuk membalas sebagaimana mereka diperlakukan ketika BN menerajui kerajaan Johor dahulu. Bagaimanapun tindakan tersebut telah mendapat respon daripada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang menggesa supaya beliau mempertimbangkan semula keputusan tersebut. Maszlee menegaskan bahawa kerajaan di bawah Pakatan Harapan wajib memperkenalkan “politik bertaraf kelas dunia yang gentleman” dan menolak budaya politik lama BN yang menindas parti pembangkang di zaman penerintahan mereka [Sumber: sinarharian.com.my].

Komentar:

Sungguh merupakan satu bentuk ketidakadilan sekiranya keputusan Menteri Besar Johor tersebut benar-benar dilaksanakan. Sungguhpun dalam Pilihan Raya Umum lalu, majoriti rakyat telah memilih Pakatan Harapan,  namun sangatlah tidak adil apabila rakyat sesuatu tempat dianaktirikan hanya kerana ADUN kawasan mereka daripada pihak pembangkang. Apatah lagi jika keputusan itu dibuat atas dasar ingin membalas dendam. Dalam masa yang sama, tindakan tersebut jelas menyalahi peranan sebenar pemimpin iaitu memimpin dan mengatur urusan rakyat keseluruhannya, dan bukannya hanya rakyat yang menyokong mereka semata-mata.

Firman Allah SWT,

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil” [TMQ An-Nisa’ (4): 58].

Dalam ayat ini jelas Allah SWT menyuruh supaya kita memilih pemimpin yang amanah dan berlaku adil. Pemimpin yang amanah dan adil tidak akan menidakkan hak rakyat di bawah tanggungjawabnya. Sekiranya seseorang pemimpin itu tidak berlaku adil terhadap rakyatnya bermakna ia telah menzalimi rakyatnya dan tindakan tersebut merupakan salah satu bentuk dosa menurut Islam.

Selain itu harus juga disedari bahawa tidak melaksanakan hukum Allah juga merupakan satu bentuk ketidakadilan. Oleh itu, seorang pemimpin yang adil bukan hanya perlu menguruskan negeri dan menyalurkan peruntukan tanpa mengira parti semata-mata, bahkan wajib menerapkan hukum Allah serta menegakkan kemakrufan dan mencegah kemaksiatan. Antaranya termasuklah menutup kilang arak, membanteras perjudian serta pelacuran, melaksanakan sistem perundangan Islam, menghentikan pinjaman riba dan lain-lain. Namun, sudah pasti ia sukar dilaksanakan dalam sistem yang diterapkan pada hari ini.

Maka jelaslah bahawa keadilan menurut Islam itu tidak akan dapat dicapai dalam sistem demokrasi, melainkan jika sistem ini diruntuhkan dan digantikan dengan sistem Khilafah. Hanya inilah satu-satunya sistem berasaskan wahyu dan berlandaskan syarak yang boleh diharap bagi menjaga keadilan untuk rakyat dan umat Islam seluruhnya.

Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia