Nuzul Al-Quran: Kitab Allah Bukan Sekadar Untuk Dibaca
Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh cukup penting bagi umat Islam. Pada tarikh ini umat Islam akan memperingati Nuzul (penurunan) Al-Qur’an. Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Qur’an ialah petunjuk (huda) dan pembeza (furqân). Allah SWT berfirman:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)” [TMQ al-Baqarah (2):185].
Seperti penjelasan Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia; menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, berbagai peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Al-Qur’an ialah huda (petunjuk) bermaksud Al-Qur’anlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia. Al-Qur’an telah menjelaskan perbuatan apa yang wajib dilakukan, mana yang sebaiknya dilakukan, mana yang boleh dilakukan, mana yang sebaiknya ditinggalkan dan mana yang wajib ditinggalkan. Al-Qur’an juga menjelaskan apa yang boleh diambil dan apa yang tidak. Al-Qur’an ialah furqân (pembeza), iaitu sebagai piawai yang menentukan mana yang haq dan mana yang batil. Oleh sebab itu, al-haq (kebenaran) ialah apa saja yang dinyatakan benar oleh Al-Qur’an dan al-batil (kebatilan) ialah apa saja yang dinyatakan batil oleh Al-Qur’an. Apa yang dituntut daripada kita hanyalah menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan kita; sebagai sumber hukum yang wajib kita ambil dan kita terapkan; juga sebagai sumber penyelesaian bagi seluruh masalah kehidupan kita.
Justeru, umat Islam wajib mengamalkan Al-Qur’an sebagaimana yang Allah SWT perintahkan. Umat Islam wajib berpegang teguh kepada Al-Qur’an sebagaimana Rasulullah SAW dan para sahabat berpegang teguh dengannya. Sesiapa sahaja yang tidak mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, maka hendaklah ia takut akan diadukan oleh Rasulullah SAW ke hadhrat Allah SWT dengan pengaduan seperti dalam firman-Nya,
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
“Berkatalah Rasul, “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan.” [TMQ al-Furqan (25):30].
Maksudnya, mereka menjadikan Al-Qur’an sebagai kitab yang ditinggalkan, diabaikan dan tidak dipedulikan. Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya telah memperincikan hal-hal yang termasuk ke dalam sikap tidak mengacuhkan Al-Qur’an. Di antaranya ialah tidak mengimani dan membenarkannya; tidak mentadabbur (mengkaji) dan memahaminya; tidak mengamalkan dan mematuhi perintah dan larangannya; berpaling daripadanya dan lebih memilih yang lain, baik berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan, atau jalan hidup yang diambil daripada selain Al-Qur’an; tidak mahu menyemak dan mendengarkan Al-Qur’an serta membuat kecoh hingga tidak mendengar Al-Qur’an saat ia dibacakan.
Sempena dengan sambutan Nuzul Al-Qur’an ini, marilah kita dengan penuh rasa keimanan dan ketaqwaan memuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah SWT perintahkan, atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian daripada Al-Qur’an atau telah mengabaikan Al-Qur’an? Apakah selama ini Al-Qur’an telah benar-benar kita jadikan petunjuk, sumber hukum, sekaligus sebagai penyelesai segala masalah kehidupan kita? Atau sebaliknya kita malah meninggalkan dan mencampakkannya?
Allah SWT menurunkan Al-Qur’an bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih daripada itu. Membaca Al-Qur’an merupakan ibadah (sunat) dan InsyaAllah kita akan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya merupakan satu perkara yang WAJIB dan sesiapa sahaja mengabaikannya maka ia telah berdosa besar dan Allah SWT jualah yang Maha Membalas segala dosanya. Siapa sahaja yang tidak berhukum dengan apa yang Allah SWT telah turunkan, maka azab Allah SWT menantinya di akhirat! Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah SWT yang telah diturunkanNya melalui Al-Qur’an, maka Allah telah membuat satu perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah SWT,
مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”. [TMQ al-Jumu‘ah (62):5].
Wahai kaum Muslimin! Marilah kita jadikan Ramadhan dan Nuzul Qur’an ini sebagai momentum untuk kembali kepada fahaman yang benar terhadap Al-Qur’an. Mari kita jadikan Ramadhan ini sebagai momentum untuk meneguhkan tekad kita untuk senantiasa memuhasabah diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya; serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber penyelesaian atas seluruh masalah kita; seterusnya menerapkan segala isi kandungannya dalam bentuk per individu, bermasyarakat dan bernegara.
17 Ramadhan 1439 H