Al Quran Untuk Diterapkan Dan Bukan DiJunjung Di Bibir

tilawah-quranKukuhkan kesatuan ummah berpandukan al-Quran – TPM

KUALA LUMPUR 21 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cabaran terbesar umat Islam pada masa ini adalah untuk mengembalikan semangat dan mukjizat al-Quran sebagai kitab suci bagi tujuan menyatukan ummah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, telah terbukti masyarakat Arab jahiliah yang pernah mengalami perpecahan paling parah akhirnya dapat disatukan dengan keimanan kepada Allah setelah mereka menerima sepenuhnya ajaran al-Quran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

“Oleh itu sewajarnya umat Islam mengambil iktibar daripada mukjizat yang paling istimewa ini untuk memperkukuhkan kesatuan ummah di bawah lembayung dan panduan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar al-Quran Peringkat Antarabangsa anjuran Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi dekat sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut menyentuh peranan Jakim dalam meneruskan inisiatif menaik taraf Darul Quran yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor sebagai sebuah kolej universiti dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, langkah itu penting kerana melalui proses tersebut Darul Quran akan dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam usaha memperluaskan pengajian ilmu al-Quran di negara ini.

“Apabila telah dinaik taraf sebagai sebuah kolej universiti, Darul Quran sudah tentu dapat menawarkan lebih banyak bidang pengajian berteraskan ilmu al-Quran dan dalam masa sama mampu menampung lebih ramai pelajar.

“Dengan pencapaian cemerlang Darul Quran selama ini, saya percaya ia akan muncul sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi berteraskan pengajian al-Quran yang terkemuka di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pendidikan al-Quran di negara ini antaranya berusaha melahirkan graduan-graduan yang menghafaz kitab suci itu.

Sumber : Utusan Online 22/07/2011

Al Quran Untuk Diterapkan Dan Bukan DiJunjung Di Bibir

Memang benar, sekiranya Al Quran dijadikan asas, ia akan menyatukan ummah dan seluruh umat manusia. Tetapi dengan syarat, penerapan Islam itu hendaklah dilakukan secara sempurna dan menyeluruh (kaffah), merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah aspek politik dan juga spiritual. Sekiranya apa yang diambil daripada Al-Quran hanyalah bacaan semata-mata yang merupakan nilai-nilai spiritual (pahala) yang bakal diraih oleh pembacanya, ataupun dengan menubuhkan universiti untuk melahirkan ramai para hafiz Al-Quran sebagaimana gesaan TPM ini, ia tidak akan menjamin apa-apa dalam melahirkan Muslim yang sejati apatah lagi untuk menyatukan umat yang telah berpecah-belah ini. Ini adalah kerana, ayat-ayat yang dihafal itu tidak dizahirkan dalam kehidupan oleh para pemerintah kaum Muslimin. Dalam pada kita membaca ayat berkaitan dengan riba, tetapi riba masih bermaharajalela. Dalam masa kita menghafal ayat-ayat berkaitan dengan wajibnya menerapkan hukum Allah, namun kita melihat para pemerintah kaum Muslimin bermati-matian siang dan malam dalam menerapkan dan mempertahankan undang-undang kufur yang ada ke atas kita. Adakah dengan mengambil sebahagian daripada ajaran Al-Quran dan mencampakkan sebahagian yang lain bermakna kita telah menerapkan seruan Allah ini? Lupakah kita akan firman Allah  SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya (syaitan itu) adalah musuh yang jelas bagi kamu” [TMQ Al-Baqarah (2): 208]

Serta dalam firmanNya yang lain:

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan bertujuan untuk membeza-bezakan antara (keimanan kepada) Allah dan Rasul-rasul-Nya dengan mengatakan: “Kami beriman kepada yang sebahagian dan kami kufur terhadap sebahagian (yang lain)”, serta bertujuan untuk  mengambil jalan (tengah) di antara yang demikian (iman atau kafir), merekalah orang-orang kafir yang sebenarnya. Dan Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu azab yang menghinakan.”  [TMQ al-Nisa’ [4]: 150-151].

Slogan penyatuan ummah dengan berpandukan Al-Quran ini hanyalah halwa penyedap telinga sahaja sekiranya apa yang dilaksanakan oleh pemerintah itu realitinya jauh berbeza. Ini disebabkan oleh para pemerintah yang tetap tidak mahu mengambil Al-Quran sebagai hukum untuk diperjuangkan dan diterapkan dalam negara. Ingatlah wahai para pemerintah kaum Muslimin, penyatuan umat ini hanya akan berlaku apabila Al-Quran bukan sekadar dijunjung di hujung bibir, tetapi ia turut dilaksanakan sepenuhnya dalam pemerintahan. Adakah kalian ingin dianggap sebagai orang yang pandai berkata-kata dan berpura-pura?

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” [TMQ as-Saff (61): 3]