Mengaplikasikan Al-Quran Perlu Melibatkan Negara
Bulan Ramadhan bukan sahaja bulan puasa (syahrul-shiam), tetapi juga merupakan bulan Al-Quran (syahrul-quran). Hal ini kerana Ramadhan adalah bulan bermulanya al-Quran diturunkan kepada manusia sebagai petunjuk (al-Huda) kepada manusia dan sebagai pembeza (al-Furqan) antara yang hak dan batil, antara memberi kebaikan dan memberi kerosakan, dan antara yang terpuji dan yang tercela.
Firman Allah SWT:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjadi pembeza(antara yang benar dengan yang salah)”[TMQ Al-Baqarah:185]
Pada bulan ini juga suasana dunia Islam akan tiba-tiba berubah. Masyarakat akan sibuk membaca Al-Quran dalam pelbagai kesempatan, ceramah-ceramah agama bak cendawan yang tumbuh selepas hujan, begitu banyak diadakan di mana-mana manakala di sebelah malamnya, masjid-masjid dan surau-surau dipenuhi dengan jemaah. Program-program maksiat seperti konsert, pesta muda mudi dan percampuran antara lelaki dan wanita dihentikan sementara, para selebriti dan artis wanita muslim pula mula memakai hijab.
Dalam pada itu, terdapat juga gerakan-gerakan yang menyerukan pembacaan Al-Quran secara beramai-ramai sebagai galakan dan motivasi agar masyarakat Muslim ber-tadabbur dengannya, memahami isi-isinya lalu mengaplikasikan intipati Al-Quran dalam kehidupan. Mereka mengharapkan apabila ramai umat Islam sudah memahami Al-Quran, maka tiap-tiap individu dapat melaksanakan isinya, seterusnya suasana Islam dapat ditonjolkan dalam masyarakat. Walaupun usaha-usaha mengajak manusia melakukan tadabbur Al-Quran adalah baik dan amat digalakkan, namun misi dan visinya perlulah selari dengan tatacara(thariqah) dalam mencapainya. Hal ini kerana sungguhpun sebahagian kecil daripada isi-isi Al-Quran dapat diaplikasikan oleh masyarakat hari ini kerana perintah dan larangan tersebut mampu dipenuhi oleh seorang individu atau sebuah keluarga sahaja, namun sebahagian besar isi-isi Al-Quran tidak dapat dilaksanakan kerana memerlukan kekuasaan negara untuk menerapkan hukum-hukum tersebut.
Ruang lingkup perintah dan larangan Allah SWT di dalam Al-Quran
Al-Quran dan As-Sunnah adalah sumber utama perundangan dan hukum Islam. Allah SWT telah menyempurnakan agama ini dan hanya meredhai agama ini sahaja.
Firman Allah SWT:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagimu …” [TMQ Al-Maaidah : 3]
Kesempurnaan ajaran Islam bukanlah kerana Islam mengajarkan manusia teknologi-teknologi moden dan mengajar manusia membina bangunan pencakar langit atau menghantar satelit ke angkasa. Akan tetapi kesempurnaan Islam terletak pada bagaimana Islam memberi penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan utama manusia yang merupakan fitrah sebagai hamba dan hidup bermasyarakat. Sehingga kini, baik agama-agama seperti Hindu, Buddha, Kristian dan lain-lain mahupun ideologi-ideologi yang berasal daripada akal manusia seperti Kapitalisme dan Komunisme gagal merumuskan penyelesaian terhadap fitrah manusia ini.
Permasalahan-permasalahan utama manusia merangkumi:
- hubungan manusia dengan Tuhan mereka,
- hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan
- hubungan manusia sesama manusia yang lain.
Islam telah menjelaskan bagaimana hubungan manusia dengan Allah SWT, Tuhan semesta alam melalui perintah Allah dalam perkara-perkara berkaitan dengan akidah dan ibadah.
وَإِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَٰنُ الرَّحِيمُ
“Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.” [TMQ Al-Baqarah:163]
وَمَا كَانَ هَٰذَا الْقُرْآنُ أَنْ يُفْتَرَىٰ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ الْكِتَابِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-Kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.” [TMQ Yunus: 37]
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. [TMQ Al-Baqarah: 43]
Selain itu, Islam juga menerangkan bagaimana sewajarnya manusia menguruskan dirinya sendiri melalui hukum-hukum Allah SWT berkaitan akhlak, makanan dan pakaian seperti:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya..” [TMQ Luqman: 14]
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah..” [TMQ Al-Maidah: 3]
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya..” [TMQ Al-Ahzab: 59]
Perintah dan larangan Allah SWT yang berkaitan dengan kedua-dua hubungan ini, yakni hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia dengan dirinya sendiri, mampu dipenuhi oleh umat Islam pada hari ini kerana pemenuhannya cukup hanya dilakukan oleh seorang individu atau sebuah keluarga. Namun, bagaimana pula perintah dan larangan Allah SWT yang berkaitan hubungan manusia sesama manusia seperti:
انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ
“Pergilah kalian sama ada dengan keadaan ringan ataupun dengan keadaan berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah..” [TMQ At-Taubah: 41]
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas..” [TMQ Al-Baqarah: 178]
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat..” [TMQ An-Nur: 2]
“Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli dan mengharamkan riba..” [TMQ Al-Baqarah: 275]
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ
“Dan putuskanlah (hukum) di antara mereka dengan apa yang Allah telah turunkan” [TMQ Al-Maaidah:49]
Kesemua perintah dan larangan ini tidak boleh diaplikasikan tanpa ada kekuasaan Islam dalam negara. Sistem demokrasi yang dilaksanakan pada hari ini telah direka untuk menghalang kita daripada memenuhi tuntutan Al-Quran, sedangkan tuntutan ini adalah wajib dan hukumnya berdosa jika meninggalkannya. Oleh yang demikian, misi dan objektif gerakan-gerakan yang mengajak membacara Al-Quran hanya akan menjadi separuh masak atau tidak sempurna jika dilaksanakan tanpa melibatkan kuasa negara untuk menerapkan Islam secara keseluruhan. Sedangkan Allah SWT mewajibkan kita mengambil sepenuhnya ajaran Islam dan melarang kita daripada mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian isi Al-Quran.
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan..” [TMQ Al-Baqarah: 208]
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-RasulNya, dan hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-RasulNya, dan berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul-Rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu. Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya.” [TMQ An-Nisaa’: 150-151]
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat.” [TMQ Al-Baqarah: 85]
Tatacara mengaplikasikan Al-Quran
Bagi mengaplikasikan Al-Quran secara benar dan diamalkan dalam kehidupan, bukan sekadar hanya membaca beramai-ramai, akan hanya boleh berlaku sepenuhnya apabila negara menerapkan hukum-hukum di dalamnya. Tanpa kekuasaan Islam, maka hukum berkaitan jihad, qisas, hudud, larangan riba dan banyak lagi tidak dapat dilaksanakan. Apakah sistem demokrasi hari ini membenarkan pengaplikasian hukum-hukum ini? Jawapannya pastilah tidak kerana demokrasi sememangnya diwujudkan di dunia Islam untuk menghalang umat Islam mengamalkan ajaran Islam secara kaffah (sempurna). Hanya dengan sistem pemerintahan Islam yakni Khilafah Islamiyyah sahajalah seluruh isi Al-Quran dan As-Sunnah boleh diamalkan dan dilaksanakan. Khilafah akan menerapkan seluruh ajaran Islam termasuk dalam bidang pemerintahan, ketenteraan, ekonomi, pendidikan, sosial dan juga dasar luar negara. Justeru, marilah kita sama-sama mengkaji sistem Khilafah ini dan berjuang untuk mendirikannya semula. Wallahua’lam.
Dr Ammar Yaser