Apakah hanya institusi agama dipersalahkan dalam masalah zina?
Berita:
“Sekiranya berlaku gejala sosial di mana remaja terdedah kepada tingkah laku seks luar nikah di peringkat umur yg muda, maka masalah itu harus dipersoal kpd institusi agama dan keberkesanan program dakwah mereka.
“Kita perlu tanya mengapa perkara tersebut berlaku dan bukannya mencari penyelesaian dengan membenarkan perkahwinan kanak-kanak. Itu membunuh masa depan mereka,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whastsapp di sini hari ini. [Astro Awani 23 sept 2018]
Komentar:
Perdebatan antara mufti dan menteri berhubung masalah had umur perkahwinan semakin panas tatkala sesetengah mufti yang berpegang kepada ajaran Islam mengatakan had umur perkahwinan terletak kepada umur baligh sementara sebahagian menteri dan para pendukung mereka cuba menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun. Terbaru, Timbalan Menteri Agama, Fuziah Salleh berkata kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp bahawa masalah gejala sosial dan tingkah laku seks luar nikah (baca: zina) di peringkat umur muda disebabkan oleh institusi agama dan kurangnya keberkesanan program dakwah mereka. Apakah adil bagi kita menyalahkan institusi agama semata-mata apabila membicarakan persoalan zina?
Walaupun kita tahu sebahagian program dakwah tidak mampu memberikan kesan kepada golongan muda, namun punca yang lebih utama yang menyumbang kepada permasalahan zina dan anak luar nikah di negara ini yang begitu kronik terletak pada kerajaan dan para pemimpin negara ini. Antara tanggungjawab pemimpin yang diabaikan dan ia menyumbang secara langsung permasalahan zina ialah:
1. Kerajaan dan pemimpin mempertahankan hak dan kebebasan manusia.
Manusia yang bebas tidak mahu terikat dengan perintah Maha Pencipta dan agama yang menghalang mereka daripada melakukan perbuatan maksiat termasuk zina. Semua tingkah laku mereka berdasarkan akal dan mereka menilai baik atau buruk bergantung kepada fikiran logik. Jika logik mereka mengatakan sesuatu perkara itu baik, maka mereka melakukannya dan jika logik mereka mengatakan sesuatu perkara itu buruk, maka mereka menjauhinya. Oleh yang demikian, para remaja yang melakukan perbuatan mendekati atau telah terlanjur melakukan zina kerana mereka menjalankan hak dan kebebasan mereka yang dipertahankan kerajaan yang termaktub dalam perlembagaan negara.
2. Kerajaan membuka pintu zina seluas-luasnya.
Kerajaan tidak menghalang ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan wanita yang bukan mahram dan membenarkan pergaulan bebas berleluasa. Kerajaan juga tidak melaksanakan hukum atau undang-undang berkaitan kod etika pakaian Islam di luar rumah yang boleh menghalang perasaan syahwat antara lawan jantina. Melalui kerajaan juga penjualan arak yang menghilangkan kewarasan berfikir, pusat-pusat hiburan dan maksiat yang lain yang tumbuh bak cendawan lepas hujan dan membiarkan gambar-gambar atau tayangan yang meragakan susuk tubuh yang boleh menaikkan syahwat. Pintu-pintu zina ini dibiarkan terbuka kerana kerajaan berpendapat ia mempunyai nilai komersial dan menguntungkan kerajaan.
3. Kerajaan melaksanakan pendidikan sekular
Kerajaan melalui polisi pendidikannya menerapkan sistem pendidikan sekular yang mengajarkan golongan muda agar memisahkan hukum-hukum syariah daripada kehidupan mereka. Apa yang mereka belajar berkaitan dengan al-Quran dan as-Sunnah tidak ada kena mengena dengan kehidupan demokrasi dan kapitalis dalam negara ini. Hukum-hukum yang berkaitan dengan menjaga pandangan, ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan wanita bukan mahram, kod etika pakaian Islam dan hudud yang berkaitan dengan zina hanyalah sekadar perbincangan dalam kelas, bukannya untuk diamalkan dalam masyarakat ataupun negara. Jadi walaupun para pelajar telah diajar tentang perkara tersebut oleh guru-guru agama, namun selalu tidak diendahkan kerana para pemimpin sendiri tidak mengendahkannya.
4. Kerajaan tidak menerapkan uqubat Islam
Walaupun terdapat usaha kerajaan menangkap para pesalah zina atau rogol (jika zina dilakukan ke atas wanita di bawah umur) dan dikenakan hukuman, namun begitu, hukuman sivil tersebut tidak mendidik umat kerana tidak ada elemen zawajir (mencegah) dalam hukuman sivil. Kerajaan tidak mahu hukuman secara uqubat Islam dilaksanakan dengan alasan ia menghina dan mengaibkan pesalah. Sedangkan uqubat Islam yang dilaksanakan di khalayak ramai sebenarnya bertujuan mendidik rakyat yang lain agar takut untuk melakukan kesalahan seperti zina. Allah swt berfirman:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” [Surah An-Nur: 2].
Justeru itu, apakah adil kita menyalahkan institusi agama semata-mata manakala para pemimpin kerajaan bebas daripada tanggungjawab dan dianggap suci daripada kesalahan? Hal ini demikian kerana, kerajaanlah punca utama yang membuka pintu zina seluas-luasnya sehingga institusi agama, para asatizah, para guru, NGO-NGO ataupun orang awam yang baik tidak berdaya untuk mencegah gejala sosial dan seks luar nikah yang begitu membimbangkan ini.
Dr Ammar Yasser
[Lajnah Tsaqafiyyah Hizbut Tahrir Malaysia]