Penjagaan anak: Sampai bila agama kita terus dihina?

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memberikan hak penjagaan penuh dua kanak-kanak yang di-Islamkan semasa dijaga oleh ibu mereka, kepada bapa mereka yang beragama Buddha.

Beliau berkata bapa kanak-kanak berkenaan diberikan hak penjagaan sepenuhnya, kawalan dan jagaan ke atas anak lelakinya berusia lima tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.

“Mahkamah Rayuan memandang kelakuan ibu kepada kanak-kanak itu menukarkan agama anak-anak itu kepada Islam dan tindakannya sendiri tidak dibuat berdasarkan apa yang terbaik untuk kanak-kanak itu,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Komentar:

Tindakan Mahkamah Rayuan memihak kepada bapa yang beragama Buddha tidaklah dapat dikatakan sebagai sesuatu yang mengejutkan di Malaysia. Sebelum ini kita juga pernah melihat bagaimana kes M.Indira Gandhi  yang beragama Hindu telah berjaya mendapatkan hak penjagaan anak serta keputusan Mahkamah yang menolak pengislaman anak tersebut. Apa yang mendukacitakan ialah majoriti panel hakim dalam kedua kes tersebut ialah mereka yang beragama Islam dan telah memutuskan hukum berdasarkan kitab perlembagaan sekular tanpa ada rasa bersalah terhadap Allah SWT dan RasulNya.

Inilah nasib saudara baru kita atau mualaf di Malaysia yang sering kali ditimpa masalah hadhanah apabila memeluk Islam. Isu yang sama seperti ini pasti akan berulang lagi dan ia seolah-olah tiada noktahnya. Semua masalah ini sebenarnya kesan apabila Islam tidak menjadi rujukan tertinggi dalam perundangan negara Malaysia. Ditambah lagi dengan pemerintah yang tidak mahu menerapkan Islam dalam pemerintahan maka berlakulah segala kepincangan dalam kalangan masyarakat kerana undang-undang ciptaan manusia yang sudah pasti tidak adil dan tidak sempurna. Wujudnya dualisme perundangan (sivil dan syariah) di negara ini juga telah membuktikan lagi kelemahan sistem ini untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan hukum dan umat Islam. Apabila kes mahkamah syariah dirujuk ke mahkamah tinggi atau rayuan, kita akan melihat bagaimana mahkamah syariah akan ‘ditundukkan’ oleh mahkamah sivil.

Sedangkan telah jelas ketetapan hukum Islam berkait dengan masalah penjagaan anak (hadhanah) ini apabila melibatkan pasangan yang bercerai dan salah seorangnya memeluk Islam [Bacaan lanjut tentang hadhanah: https://mykhilafah.com/hadhanah-hak-pengasuhan-anak/]. Sudah pasti, dalam hal ini kedudukan Islam diletakkan di tempat yang tinggi dan menjadi kata pemutus masalah yang berlaku. Dengan kata lain, hukum penjagaan anak dan juga kewalian seperti yang telah digariskan oleh Islam perlu dijadikan panduan untuk menyelesaikan masalah pertikaian Muslim dan non-Muslim seperti ini. Proses perundangan tersebut juga sepatutnya berlaku dalam mahkamah yang sama. Oleh itu, kewujudan mahkamah sivil dan syariah sepertimana yang ada hari ini sebenarnya telah menyalahi Islam.

Kesimpulannya, penyelesaian yang diinginkan tidak akan mencapai matlamatnya dan akan terus menjadi polemik selagi mana perundangan negara ini masih tidak menjadikan akidah Islam sebagai asas perundangan. Jika demikian, maka selagi itulah kita akan melihat agama Islam ini ‘dialas kakikan’. Jadi, umat Islam perlu berganding bahu untuk memartabatkan semula Islam iaitu dengan berjuang untuk menerapkan Islam dalam keseluruhan aspek kehidupan. Dengan demikian, barulah agama Islam ini dapat diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi sepertimana sabda Rasulullah SAW:

الإِسْلامُ يَعْلُو وَلا يُعْلَى

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya” [HR Ad-Daruqutni].

Affan
Aktivis HTM