Tun, apa ertinya nilai andai tidak diterjemah kepada pelaksanaan kewajipan?
Berita:
Jangan tumpu kepada ibadah saja, paling penting ajar nilai hidup Islam – Tun Mahathir
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pembelajaran agama Islam menumpukan kepada ajaran Islam sebenar.
Katanya, pembelajaran agama telah diterapkan sejak peringkat awal lagi cuma perkara yang ditekankan tertumpu kepada menunaikan ibadah wajib.
Sumber: astroawani.com
Ulasan:
Tun Mahathir (Tun M) menyeru untuk mengembalikan semula pembelajaran agama yang sebenar berdasarkan apa yang datang daripada al-Quran. Beliau melihat pembelajaran agama Islam ketika ini yang hanya bertumpu kepada ibadah semata-mata tidak akan membentuk satu cara hidup Islam dalam diri para pelajar. Bukan itu sahaja, semasa lawatannya ke Turki juga beliau menyebut bahawa negara Islam hari ini lemah kerana mengikut ajaran Islam yang salah.
Sekali pandang dan dengar, benar apa yang dimaksudkan oleh Tun M. Memang pembelajaran agama ketika ini tidak mampu mendidik keperibadian Muslim dalam diri para pelajar malahan juga sebenarnya tidak akan dapat mewujudkan cara hidup Islam yang benar dalam masyarakat. Namun begitu, setakat ini ia hanyalah ‘cakap kosong’ daripada seorang pemimpin tertinggi di negara ini. Ia tak ubah seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.
Pertama, soal pembelajaran agama tersebut sepatutnya terkena semula kepada Tun M. Siapakah yang membuat polisi pembelajaran agama tersebut sedemikian rupa? Atas dasar sistem manakah yang digunakan ketika merangka kurikulum di sekolah ketika ini? Jawapan asas inilah yang perlu dijawab oleh Tun M sendiri kemudian barulah boleh difahami mengapa umat Islam ketika ini jauh daripada ajaran Islam sebenar.
Hal ini demikian kerana, sistem yang diterapkan oleh Tun M (baca: Sistem Demokrasi-Sekular) yang memisahkan agama daripada kehidupan inilah penyebab mengapa para pelajar dan masyarakat jauh daripada pengamalan Islam yang sebenar. Maka kurikulum pendidikan yang ada sekarang sebenarnya berpaksi kepada sistem tersebut dan atas sebab itulah pembelajaran agama hanya bertumpu kepada aspek ibadah dan akhlak semata-mata. Lalu, janganlah hanya disalahkan para guru agama yang hanya sekadar mengikuti apa yang telah ‘disuruh’ sedangkan pihak yang ‘menyuruh’ ialah Tun M dan para menteri seolah-olah tidak berdosa.
Kedua, bercakap tentang nilai, Tun M sepatutnya dapat membezakan antara nilai dengan kewajipan. Islam bukan sekadar nilai yang perlu dihayati namun ia merupakan sistem kehidupan yang sempurna dan lengkap. Tun M sendiri kata bahawa Islam ini cara hidup serta kita mesti mengikut apa yang diajar dalam al-Quran, tetapi malangnya Tun M tidak menerapkan cara hidup ini dalam sistem pemerintahan hari ini. Sistem ekonomi di zaman Tun M ini masih berteraskan riba malah sistem politik yang Tun M terapkan hari ini membenarkan orang-orang kafir dilantik menjadi pemegang kekuasaan untuk mengatur urusan umat Islam. Jadi adakah semua ini mengikut sepertimana ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran?
Oleh sebab itulah, Tun M sebenarnya tidak memahami dengan benar antara nilai dan kewajipan. Apabila kita bercakap bahawa Islam sebagai cara hidup, maka itu merupakan kewajipan atas diri kita untuk merealisasikannya. Jika tidak, kita hanya pandai bercakap tetapi tidak mengamalkannya. Ingatlah, bahawa Allah SWT telah pun memberi amaran kepada kita tentang sikap yang sebegini:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ (2) كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ (3)
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” [TMQ as-Shaff (61): 2-3]
Muhd Affandi
Pimpinan Pusat Hizbut Tahrir Malaysia