SN558 – Hijrah Menuju Penerapan Islam Kaffah

Bil: SN558 – 29 Zulhijjah 1440 / 30 Ogos 2019

SN558 - Hijrah Menuju Penerapan Islam KaffahTahun 1440H kini melabuhkan tirainya. Masa yang berlalu tidak akan dapat diulang kembali, dan setiap detik yang berlalu juga menjadikan kita semakin menghampiri saat kematian. Sabda Rasulullah SAW, “Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya[HR Muslim].

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, tahun Hijrah kali ini akan turut berlalu dengan meninggalkan luka parah ke atas umat Islam yang masih dirundung penderitaan yang seolah-olah tiada kesudahannya. Apa tidaknya, umat Islam masih kehilangan pelindung dan perisai yang dulu sentiasa menjaga dan merawat mereka serta sentiasa memberi perlindungan dan kejayaan kepada mereka. Akibatnya, umat Islam hari ini menjadi santapan kuasa-kuasa besar yang mendominasi percaturan politik dunia dari segenap arah yang menyerang dengan doktrin yang menyesat­kan dan pertumpahan darah tanpa sedikit pun rasa kasihan.  Tambah malang apabila sebahagian besar pemimpin umat ini sendiri tergamak bersekongkol dengan musuh dan berdiam diri terhadap kezaliman yang menimpa umat Islam hanya kerana mengejar sedikit keuntungan dunia dan demi menjaga status quo mereka. Hal ini sebagaimana yang kita saksikan malapetaka yang menimpa umat Islam di Syria, Palestin, Yaman, Iraq, Afghanistan dan Kashmir. Umat Islam yang menjadi minoriti di negara-negara kufur juga berhadapan dengan diskriminasi dan intimidasi oleh puak pelampau haluan kanan seperti mana yang berlaku di negara-negara Eropah, China, India dan Myanmar.

Kita menyaksikan menularnya pemikiran liberalisme, kebejatan sosial, dan kebiadapan pihak tertentu yang semakin berani menghina Islam; kesemuanya berselindung di sebalik prinsip kebebasan bersuara. Keadaan menjadi lebih buruk apabila terdapat segelintir umat Islam ter­masuklah yang berada di tampuk pemerintahan mengambil sikap apologetik dengan alasan kononnya demi menyantuni kehendak golongan tersebut. Rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan penurunan kuasa membeli. Di samping itu, gejala kemiskinan khasnya di bandar-bandar turut menyelubungi umat ini akibat kepin­cangan sistem kapitalisme yang diamalkan di negara ini.

Manifestasi Hijrah

Ternyata umat Islam pada hari ini telah hilang kemuliaannya yang pernah dikecapi oleh generasi Islam terdahulu. Mengapa semua ini terjadi, ke manakah menghilangnya kedudukan “umat terbaik” sebagaimana yang dinukilkan dalam kalam suci al-Quran? Firman Allah SWT, “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu me­nyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)[TMQ Ali Imran (3):110].

Menurut ahli tafsir al-Qasimi dalam kitabnya Mukhtasar min Mahasini at-Ta’wil, sifat amar makruf dan nahi mungkar ini menjadi keutamaan yang Allah berikan kepada umat Islam dan tidak diberikan kepada mana-mana umat yang lain. Kata makruf dalam ayat tersebut menurut syariat adalah setiap ‘iktiqad (keyakinan), perbuatan (amal), perkataan (qaul), atau isyarat yang telah diperakui oleh asy-Syari’ (Allah) yang Maha Bijaksana dan diperintahkan sebagai bentuk kewajiban (wujub) ataupun suatu dorongan (nadb).’ [Dr. Muhammad Abdul Qadir, Amar Makruf Nahi Munkar]. Inilah ‘formula’ yang menjadikan umat Islam terdahulu sebagai umat yang terbaik sehingga berjaya menguasai dua pertiga dunia selama lebih 13 abad lamanya. Apabila umat Islam mulai mengabaikan kewajipan ini, maka kemuliaan tersebut mulai pudar sehingga akhirnya menjerumus­kan umat ini ke kancah yang penuh kehinaan pada hari ini.

Demi meraih kembali kemuliaan tersebut, maka kita wajib untuk melaksanakan tugas mulia amar makruf nahi mungkar dengan meneladani apa yang telah diwariskan oleh junjungan mulia Rasulullah SAW dan diteruskan oleh para Khulafa ar-Rasyidin. Bersempena dengan ketibaan tahun baru 1441H ini, maka sewajarnya kita mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah yang dijadikan sebagai penanda bermulanya pengiraan tahun Hijriyyah di zaman Khalifah Umar al-Khattab RA. Peristiwa hijrah baginda SAW dari Mekah ke Madinah adalah momentum penting dalam lintasan sejarah perjuangan Islam dan kaum Muslimin.

Hijrah dari sudut bahasa bermaksud berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain, dari suatu keadaan ke keadaan lain [Lisan al-‘Arab]. Sabda Rasulullah SAW, “Muslim itu adalah orang yang menjadikan Muslim yang lain selamat dari lisan dan tangannya. Orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa saja yang telah dilarang oleh Allah[HR Bukhari]. Ibnu Rajab al-Hanbali dalam menjelas­kan, asal dari hijrah adalah meninggalkan dan menjauhi keburukan untuk mencari, mencintai dan mendapatkan kebaikan [Fath al-Bari Syarhu Sahih al-Bukhari].

Islam Rahmatan Lil’alamin

Antara aspek yang jarang disentuh ketika membicarakan peristiwa hijrah adalah dari sudut politik dan ideologi. Sedangkan para fuqaha’ telah mendefinisikan hijrah dari sudut syarie sebagai ‘keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam’ [an-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, jilid II]. Menurut kitab Masyru’ Dustur li ad-Dawlah al-Islamiyyah, “Darul Islam ialah negara yang di dalamnya diterapkan hukum-hakam Islam dan keamanan negara tersebut berada di bawah keamanan Islam manakala Darul Kufur ialah negara yang di dalamnya diterapkan hukum-hakam kufur dan keamanan negara tersebut berada di bawah keamanan bukan Islam”.

Setelah berdirinya Daulah Islam yang kemudiannya diwarisi oleh para khulafa’, kita dapat melihat bagaimana sistem Islam yang diterapkan secara syumul itu membawa rahmat ke sekalian alam. Islam bukan sahaja mengatur urusan kehidupan umatnya secara adil dan saksama, bahkan mem­berikan jaminan terhadap hak-hak ahlu zimmah yang berada di bawah naungan negara Islam. Dalam konteks ini, Islam tidak membezakan kedudukan manusia berdasarkan keturunan dan batas sempadan negara bangsa.

Mengambil iktibar daripada persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar yang terbina ekoran peristiwa hijrah, kita sewajarnya meneladaninya dengan tidak melihat saudara seakidah kita yang datang dari luar sempadan negara bangsa ini sebagai pendatang, apatah lagi hendak mengusirnya. Dalam pada itu, wajib bagi kita untuk memastikan perjuangan murni Islam terpelihara daripada dicemari sentimen perkauman yang boleh menggugat kesepaduan sosial. Namun, kita juga perlu mengambil pendirian tegas dalam isu-isu yang tidak sepatutnya dikompromikan serta menghindari sikap apologetik yang meletakkan umat Islam sentiasa dalam ‘kandang pesalah’ atas setiap isu yang dibangkitkan oleh penganut agama lain. Dalam aspek ekonomi pula, penerapan sistem Islam secara kaffah telah menamatkan amalan riba, penipuan dalam timbangan, penimbunan harta, manipulasi dan eksploitasi oleh pihak yang mempunyai kekuatan ekonomi, dan pengumpulan harta kekayaan pada sebahagian kecil manusia sebagaimana yang berleluasa di zaman Jahiliyyah. Namun, pada hari ini, amalan-amalan yang rosak tersebut kembali berleluasa dalam masyarakat yang diatur oleh sistem ekonomi kapitalis pada hari ini.

Di sepanjang lipatan sejarah, umat Islam memainkan peranan penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan menyumbang kepada perkembangan peradaban dunia. Para saintis dan ilmuan Islam bukan sahaja terkehadapan dalam bidang keilmuan Islam seperti fiqh, usuluddin, ulum al-Quran dan sebagainya; bahkan turut menjadi perintis kepada perkembangan ilmu-ilmu sains. Hal ini selari dengan tradisi keilmuan yang mendorong umatnya untuk mendalami ilmu duniawi dan ukhrawi tanpa mengabaikan salah satu daripadanya. Demikianlah dapat dikongsikan dalam ruang yang terhad ini mengenai sebahagian contoh kemuliaan dan rahmah yang tercapai melalui penerapan sistem Islam secara kaffah. Malangnya, masih terdapat segelintir umat Islam yang masih mempunyai minda terjajah dan terpesona dengan sistem warisan penjajah British sehingga cuba untuk menyesuaikan Islam agar dapat diterapkan dalam konteks sistem demokrasi itu sendiri. Pemikiran sedemikian sewajarnya dijernihkan agar umat ini tidak lagi terus dibelenggu kemelut yang hakikatnya berpunca daripada pelaksanaan sistem demokrasi yang menjauhkan umat Islam daripada penerapan Islam secara kaffah sepertimana yang dituntut oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Satu-satunya langkah bagi merealisasikan semangat hijrah itu tidak lain adalah dengan berjuang untuk membentuk masyarakat Islam sepertimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA setelah berlakunya hijrah ke Madinah. Masyarakat di Madinah terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, puak, warna kulit dan se­bagainya. Meskipun demikian, kepelbagaian dalam masyarakat mampu diatur melalui penerapan syariah Islam secara kaffah ke atas semua warganegara. Oleh itu, kunci dalam mewujudkan masyarakat Islam tidak lain adalah melalui penerapan syariah Islam secara kaffah ke atas semua warga dalam Daulah Islam. Di saat ketiadaan negara Islam yang menerapkan syariah secara sempurna (kaffah), maka menjadi suatu kewajipan untuk kita berusaha mengembalikannya semula.


KOLUM TSAQAFAH

ISLAM MEREALISASIKAN KEMERDEKAAN HAKIKI

Merealisasikan kemerdekaan hakiki merupakan manifestasi ajaran Islam. Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk menghapuskan segala bentuk penjajahan, eksploitasi, penindasan, kezaliman dan penghambaan terhadap manusia oleh manusia lainnya secara umum. Yunus bin Bukair RA menutur­kan bahawa Rasulullah SAW pernah menulis surat kepada penduduk Najran, di antara isinya ialah:

…Amma ba’du. Aku menyeru kalian kepada penghambaan kepada Allah dari penghambaan kepada hamba (manusia). Dan aku juga menyeru kalian kepada kekuasaan (wilayah) Allah dari kekuasaan hamba (manusia) …[Ibn Katsir, Al-Bidayah wa an-Nihayah, v/553, Maktabah al-Ma’arif, Beirut].

Misi merealisasikan kemerdekaan hakiki untuk seluruh umat manusia ini juga terungkap di dalam dialog Jeneral Rustum (Parsi) dengan Mughirah bin Syu’bah yang diutus oleh Panglima Saad bin Abi Waqash dalam Perang Qadisiyah untuk membebaskan Parsi. Pernyataan misi itu diulang lagi dalam dialog Jeneral Rustum dengan Rab’iy bin ‘Amir (utusan Panglima Saad bin Abi Waqash).

Jeneral Rustum bertanya kepada Rab’iy bin ‘Amir, “Apa yang kalian bawa?” Rab’iy bin ‘Amir menjawab: “

Allah telah mengutus kami. Demi Allah, Allah telah mendatangkan kami agar kami mengeluarkan siapa sahaja yang mahu dari penghambaan kepada hamba (manusia) menuju penghambaan hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia menuju kelapangannya dan dari kezaliman agama-agama (selain Islam) menuju keadilan Islam….[Ibnu Jarir ath-Thabari, Tarikh al-Umam wa al-Muluk, ii/401, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut].

Keterikatan dengan hukum syarak merupakan perkara asas dalam kehidupan seseorang Muslim. Namun, untuk kembali ke jalan yang benar itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana perubahan ke arah itu memerlukan pengorbanan yang agung. Perubahan yang bersifat mendasar itu mesti dilakukan bukan hanya sekadar ber­sifat kerohanian tetapi ia juga meliputi kesedaran pemikiran dalam semua aspek kehidupan. Umat Islam sewajarnya sedar akan tanggungjawab setiap individu untuk mempelajari dan memahami hukum-hakam Islam secara keseluruhan termasuklah hukum-hakam yang berkaitan ekonomi, pemerintahan, sosial dan dasar luar negara. Pada masa yang sama mereka juga harus mengenal pasti pemikiran-pemikiran yang berten­tangan dengan Islam seperti sekularisme, liberalisme, dan kapitalisme supaya mereka dapat menghindari dan menentangnya.

Sesungguhnya, Islam sahajalah yang akan membebaskan manusia dari penghambaan kepada manusia menuju penghambaan hanya kepada Allah semata-mata, dari kesempitan dunia menuju kelapanganNya, dan dari kezaliman agama dan ideologi yang bathil menuju keadilan Islam.Ini hanya dapat dilakukan dengan kembali menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pemutus dalam apa jua permasalahan manusia.

 

Download PDF