Malaysia Gundah Gulana, Hanya Islam Jawapannya

Sejak pertukaran tampuk pemerintahan kerajaan setelah PRU ke-14 untuk pertama kalinya semenjak negara ini merdeka, rakyat mengharapkan akan berlaku perubahan yang lebih baik. Sudah tentunya harapan rakyat adalah ke arah mencapai kehidupan yang lebih sejahtera berbanding sebelumnya, terutamanya dari segi ekonomi, kewangan, dasar pemerintahan, dan keselamatan. Sebaliknya apa yang diharapkan tidak kunjung tiba, malah kehidupan rakyat dilihat semakin terhimpit dan buruk. Hal ini sekali gus memberi tanggapan bahawa situasi sekarang tidak banyak perbezaan daripada sebelumnya.

Apakah pemerintahan kerajaan yang baharu ini buntu dalam mencari jalan penyelesaian? Walhal ketika masih menjadi pembangkang sebelum ini, mereka sering kali meletakkan kesalahan di bahu kerajaaan terdahulu. Dalam aspek ini, sekali imbas memang benar bahawa kerajaan hari ini sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang melanda. Ini dapat dibaca daripada kenyataan-kenyataan Perdana Menteri sendiri dan para menteri kabinetnya. Namun, kita juga boleh melihat bahawa setiap polisi dan dasar baharu yang mereka cuba kemukakan sebenarnya tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

Antara faktor yang dikenalpasti ialah masalah dalam pentadbiran mereka sendiri. Kita melihat tiada kesepakatan yang utuh antara parti-parti yang mengemudi kerajaan sekarang. Hal ini dapat dilihat apabila sesuatu polisi baharu yang ingin dilaksanakan termasuklah yang telah diluluskan, kerajaan seringkali membuat ‘u-turn’ disebabkan terdapat bantahan dan tentangan dalam kalangan mereka sendiri. Keadaan ini secara tidak langsung membuatkan rakyat menjadi jemu dan meragui kemampuan kerajaan untuk memerintah dengan baik. Bahkan kerajaan sekarang juga sering menjadi bahan ketawa dan sindiran kerana tidak kekal dengan pendirian dan polisi yang ingin dilaksanakan. Tidak kurang juga yang kembali merindui pemerintahan di bawah kerajaan terdahulu, sedangkan hakikatnya kedua-duanya gagal melaksanakan tanggungjawab dan peranannya sepertimana ketetapan syarak.

Sungguhpun demikian, faktor yang lebih utama bukanlah sekadar pada wajah yang menduduki tampuk pemerintahan, tetapi sistem yang diterapkan dan yang diamalkan pada hari ini. Selagi sistem yang sama masih diterapkan, selagi itu masalah yang dihadapi akan terus berulang akibat penerapan sistem yang dipaksakan ke atas kita. Sedangkan Allah SWT telah mencipta manusia ini lengkap dengan peraturan dan panduan hidup yang diturunkan melalui para Rasul-Nya. Namun, ada dalam kalangan hamba-Nya yang ingkar dan berpaling daripada petunjuk-Nya.

Allah SWT berfirman:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

“Barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku maka dia akan mendapatkan penghidupan yang sempit dan Kami akan mengumpulkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”[TMQ Thaha (20): 124].

Islam yang diturunkan kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada seluruh manusia, telah menjadikan Bangsa Arab mula dikenali dan bangkit, setelah sebelumnya langsung tidak pernah diperhitungkan di arena politik antarabangsa. Ini menjadikan mereka sebagai peneraju kelahiran tamadun dunia yang tiada tandingan. Islam bukan sahaja menjadi landasan kemajuan teknologi dan sains yang dipelopori oleh bangsa Arab ketika itu, malah menjadi rujukan bagi menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh manusia.  Sungguhpun demikian, Islam datang bukan sebagai wadah untuk perkembangan sains dan teknologi semata-mata, sebaliknya berperanan sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan manusia.

Islam Penyelesaian Masalah Manusia

Segala permasalahan manusia ini secara umumnya diakibatkan oleh elemen yang secara fitrahnya ada pada setiap manusia iaitu;

  1. Pemenuhan keperluan organik (tubuh badan) (hajatul udhawiyah)
  2. Naluri-naluri (gharaiz)
  • Naluri mengagungkan sesuatu (gharizah at-tadayyun)
  • Naluri mempertahankan keperluan (gharizah al-baqa’)
  • Naluri melestarikan keturunan (gharizah an-nau)

Datangnya Islam adalah untuk menyelesaikan perkara-perkara yang muncul daripada pemenuhan keperluan dan naluri-naluri tersebut sesuai dengan panduannya, kerana manusia sesungguhnya tidak akan mampu untuk memahami segala rahsia disebalik penciptaan makhluk. Segala perkara dan permasalahan, Islam akan mampu untuk mengatasinya sebagaimana yang telah ditunjukkan dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW ketika di Madinah dan diteruskan oleh penganti baginda SAW iaitu para Khulafa ar-Rasyidin.

Ketika di Madinah, Rasulullah SAW menyelesaikan sesuatu permasalahan dengan wahyu yang diturunkan kepadanya. Manakala berkenaan dengan perkara-perkara yang bersifat teknikal, Baginda SAW akan meminta pandangan daripada para Sahabat RA yang mempunyai kepakaran dan keahlian. Demikian pula dalam hal-hal yang berbentuk strategi dan praktikal, Rasulullah SAW meminta pendapat majoriti para Sahabat RA. Namun seandainya sesebuah perkara itu merupakan perintah daripada Allah SWT, maka Rasulullah SAW akan terus melaksanakannya tanpa meminta sedikit pun pandangan daripada para Sahabat. Kesemua ini dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam kerangka dan batas yang dikehendaki oleh syarak.

Firman Allah SWT:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى (4)

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)” [TQM: An-Najm(53): 3 – 4].

Jelaslah bahawa Islam bukan hanya sebuah agama yang membincangkan hal-hal berbentuk ibadah semata-mata, malah Islam ialah sebuah cara hidup bagi mengatasi segala permasalahan yang sedang melanda manusia, khususnya umat Islam. Islam tetap relevan sejajar perkembangan sains dan teknologi serta kemasyarakatan, kerana Islam menangani permasalahan berdasarkan keperluan dan naluri manusia yang tidak pernah berubah sepanjang zaman dan di mana jua tempatnya. Para ulama’ (mujtahid) dengan bantuan para pakar akan mengeluarkan ijtihad iaitu dengan memahami realiti yang ada, seterusnya merujuk al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan bagi menyelesaikan permasalahan hidup manusia. Namun, penyelesaian yang sempurna akan hanya dapat tercapai seandainya Islam diterapkan secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan.

Percaya dan yakinlah bahawa kesemua kesempitan dan penderitaan yang sedang membelit dunia sekarang termasuklah Malaysia ketika ini sama sekali tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas, biarpun rakyat secara berbondong-bondong mengundi untuk menaikkan kerajaan yang baharu seandainya sistem buatan manusia yang diterapkan masih dikekalkan. Islam sebagai cara hidup (ideologi) juga tidak akan dapat dilaksanakan secara kaffah (menyeluruh) melainkan dengan tertegaknya kembali Daulah Khilafah Rasyidah. Dengan adanya sebuah kekuasaan iaitu sebuah negara yang menerapkan hukum Allah SWT, barulah penyelesaian kepada masalah-masalah manusia yang berlaku hari ini dapat dilaksanakan secara sistemik.

ثُمَّ تَكُوْنُ خِلآفَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ

Kemudian akan kembali Khilafah ‘ala Minhaj al-Nubuwwah (Khilafah yang berjalan di atas jalan kenabian)…” [HR. Imam Ahmad].

Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia