Sorotan Mingguan (4 – 10 November 2019)

  • Undang-undang drakonian akan dipinda
  • Kumpulan tolak demokrasi berpelembagaan dalam radar polis – Ayob Khan
  • Israel mahu rampas lebih 50 hektar tanah penduduk Palestin

Undang-undang drakonian akan dipinda

Kerajaan akan segera meminda akta drakonian termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi mengelakkan ia disalahgunakan. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, lagi pun ia adalah janji Pakatan Harapan (PH) untuk berbuat demikian [Sumber: Hmetro, 5/11/19].

Komen:

Perbincangan kembali hangat terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) apabila beberapa individu termasuklah beberapa orang ADUN telah ditahan oleh PDRM atas tuduhan terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Pelbagai pandangan dikeluarkan oleh pelbagai pihak sama ada untuk meneruskan, meminda mahupun memansuhkan terus akta yang telah diluluskan semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini. Semasa kempen PRU ke-14 dahulu, parti-parti dalam kerajaan PH sekarang telah berkempen untuk menghapuskan akta ini yang dilihat sebagai sangat kejam kerana PDRM boleh menahan suspek tanpa perbicaraan di mahkamah.

Ini bukanlah satu-satunya undang-undang drakonian yang ada di Malaysia dan di mana-mana belahan dunia pada ketika ini. Undang-undang yang hanya lahir daripada akal manusia atas respon kepada masalah yang timbul dan tidak dikaitkan dengan akidah Islam pastinya akan melahirkan undang-undang yang menyimpang daripada tuntutan syarak. Tuntutan yang perlu dibuat bukan sahaja memansuhkan undang-undang yang bersikap drakonian yang ada pada ketika ini, tetapi sistem yang memberi peluang kepada lahirnya undang-undang seperti ini haruslah ditinggalkan. Inilah punca kepada timbulnya undang-undang drakonian seperti ini dan bukannya bertindak sekadar menutupi kelompongan kepada kerosakan sistem yang sedia ada.


Kumpulan tolak demokrasi berpelembagaan dalam radar polis – Ayob Khan

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Kumpulan-kumpulan yang cenderung menyebarkan ideologi pengganas dan menentang pembentukan kerajaan secara demokrasi berpelembagaan kini dalam radar pihak berkuasa. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mendedahkan perkara itu berkata antara kumpulan yang berada dalam pemerhatian ialah Hizbut Tahrir yang secara terang menolak demokrasi berperlembagaan [Sumber: Bernama, 5/11/2019].

Komen:

Hizbut Tahrir (HT) merupakan sebuah parti politik Islam global yang meneladani thariqah (metode) dakwah sepertimana yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Rasulullah SAW. Semenjak penubuhannya pada 1953, HT tidak pernah mengubah perjuangannya yang bersifat intelektual dan politik tanpa menggunakan kekerasan meskipun terdapat anggotanya yang dipenjarakan, dizalimi, diseksa, bahkan ada yang dibunuh dengan kejam oleh rejim-rejim penguasa yang tunduk kepada telunjuk kuasa kuffar. Untuk mengaitkan HT sebagai antara ‘kumpulan yang cenderung menyebarkan ideologi pengganas’ merupakan suatu kecerobohan yang tidak berasas sama sekali.

Benar, HT menolak demokrasi berperlembagaan, kerana ia merupakan sistem buatan manusia yang bertentangan dengan Islam. Demokrasi yang berakidahkan sekularisme dan berpaksikan prinsip-prinsip kebebasan ini bukan sahaja mengundang malapetaka akibat kerosakan sistemik yang berpunca daripada perlaksanaannya, bahkan telah menyebabkan umat Islam berpecah dan saling bercakaran. Tidak cukup dengan perpecahan mengikut negara bangsa, bahkan dalam negara itu sendiri kita dapat menyaksikan umat Islam berpecah lagi mengikut parti politik demokrasi. Tidak selayaknya demokrasi berperlembagaan ini terus dipertahankan. Sebaliknya umat Islam wajib berusaha mengembalikan semula kehidupan Islam melalui penegakan semula Khilafah Islam yang mengikut manhaj kenabian.


Israel mahu rampas lebih 50 hektar tanah penduduk Palestin

TEL AVIV – Dasar Israel untuk merampas tanah milik penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu. Di bawah langkah itu, lebih 50 hektar tanah persendirian penduduk Palestin di bandar Hizma di timur Baitulmaqdis diceroboh Tel Aviv. Datuk Bandar Hizma memaklumkan sebahagian besar kawasan telah dirampas sebelum ini untuk membina dua penempatan haram Israel [Sumber: Sinar Online, 5/11/2019].

Komen:

Salah satu melapetaka menimpa umat Islam setelah kejatuhan Daulah Khilafah pada tahun 1924 ialah terjajahnya tanah suci ke-3 iaitu Baitulmaqdis oleh Yahudi Zionis laknatullah pada tahun 1948. Semenjak daripada itu, sejengkal demi sejengkal tanah penduduk Palestin dirampas oleh entiti haram Yahudi untuk pembinaan penempatan-penempatan haram dan seterusnya disatukan di bawah pemerintahan negara haram Yahudi Zionis. Penduduk asal setempat akhirnya menjadi miskin dan tinggal di kem-kem pelarian yang ada di sekitar bumi Syam.

Amat malanglah tatkala sehingga kini terdapat sebahagian umat Islam, terutamanya kalangan pemimpin yang masih lagi berharap kepada PBB dan badan-badan antarabangsa untuk menyelesaikan masalah Palestin yang kini sudah berlarutan sejak 1948. Faktanya ketika merencanakan agenda memecah-belahkan tanah umat Islam seperti kes Timor Timur (Timor Leste) dan Sudan Selatan, hal itu dilakukan dengan mudah sekali oleh PBB dan badan-badan antarabangsa ini. Namun apabila ia berkaitan dengan nasib umat Islam khususnya di Palestin, badan-badan antarabangsa ini hanya berpeluk tubuh dan menutup mata. Sungguh malang sekiranya kita masih memberi kepercayaan kepada para pemimpin mereka terutamanya pemimpin Arab yang sememangnya banyak ‘bermain silap mata’ dalam isu Palestin.

Oleh itu, umat Islam memerlukan pemimpin yang bertakwa dan menjadi perisai bagi menjaga darah dan maruah umat Islam. Itu hanya dapat dilakukan dengan menegakkan semula Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah. Sebabnya Khalifah merupakan perisai umat Islam, tanpa khalifah tiadalah perisai. Maka sewajibnya umat Islam berusaha untuk mengembalikan semula perisai ini.