Rumah Allah pun kena had masa dalam sistem sekarang

Berikutan tularnya notis waktu operasi masjid Jalan York yang dihadkan antara jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam, pengerusinya Datuk Dr. Basheer Ahamed Abdul Kareem menjelaskan bahawa masjid tersebut kerap berhadapan dengan kejadian vandalisme, yang menjadi sebab kepada hal tersebut. Pihak polis juga menyarankan untuk tutup pada waktu malam, kata Dr. Basheer.

Walaupun pahit, itulah hakikat yang perlu kita telan. Rumah Allah yang seharusnya sentiasa terbuka untuk semua, terpaksa dihadkan waktunya gara-gara vandalisme. Premis perniagaan pun dibenarkan beroperasi yang lebih lama dari itu. Walau apa pun alasannya seperti ancaman vandalisme, kes kecurian atau ketiadaan jemaah, semua itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengunci masjid. Untuk sementara waktu, sementara penyelesaian jangka panjang diambil untuk mengatasi masalah vandalisme, pihak polis sepatutnya membuat rondaan lebih kerap, bukannya menyarankan agar waktu operasi masjid dihadkan!

Manakala jika ketiadaan jemaah dijadikan alasan, umat Islam perlulah sentiasa diperingatkan akan tuntutan dan kelebihan menunaikan solat secara berjemaah di masjid, apatah lagi Subuh dan Isyak. Walaupun hal ini bukanlah mudah, namun semua elemen dalam masyarakat harus memainkan peranan, apatah lagi pihak masjid sendiri.

Di Malaysia, umum mengetahui bahawa masjid dikawal dengan sangat ketat oleh pemerintah sejak sekian lama. Imam mesti bertauliah, AJK masjid kebanyakannya dari parti pemerintah, kelas-kelas pengajian banyak yang membosankan kerana penceramah yang bertauliah, sama ada orang kerajaan atau orang yang telah “dikunci” mulut mereka dari membincangkan perkara-perkara yang boleh membangkitkan umat. Hasilnya, masjid hanya didatangi oleh beberapa kerat jemaah sahaja. Walaupun tersergam indah, tetapi roboh daripada hidayah Allah sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah (saw).

Dalam sejarah kegemilangan Islam, selain berperanan sebagai tempat ibadah, masjid memainkan peranan yang besar dalam peradaban dan syiar Islam. Masjid menjadi pusat pemerintahan Islam yang pertama di Madinah, setelah Rasulullah (saw) berjaya mendirikan Daulah Islam. Masjid menjadi pusat untuk mengatur urusan umat dan tempat pertemuan kaum Muslimin. Selain itu, masjid menjadi pusat peradilan untuk memutuskan hukum (berfungsi sebagai mahkamah) dan tempat pengurusan ekonomi (pengagihan zakat dan pengurusan baitulmal). Lebih daripada itu, masjid menjadi pusat bantuan kepada mereka yang memerlukan (fakir dan miskin), tempat perlindungan, tempat tidur, istirahat para musafir dan ibnu sabil.

Sejarah emas Islam mencatat yang masjid memainkan peranan penting sebagai pusat pengajian dan dakwah Islam, tempat kaum Muslimin bermesyuarat dan berbincang tentang agama mereka baik tentang politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya, malah menjadi tempat latihan untuk jihad. Namun kini, masjid hanya menjadi tempat solat sahaja dan “haram” untuk melakukan perkara lain sebagaimana fungsi sebenar masjid. Di antara banyak keharaman itu, politik menjadi hal yang “paling haram” untuk dibincangkan di masjid!

Dalam sistem demokrasi yang rosak pada hari ini, masjid bukan sahaja sudah jauh dari fungsi sebenarnya, bahkan kedudukan masjid turut “terancam” dengan pelbagai kejahatan, termasuklah vandalisme. Bertambah malang apabila penyelesaian yang diambil bukanlah dengan menghilangkan ancaman tersebut, tetapi dengan “menghukum” masjid dengan pengehadan waktu operasinya.

Apakah jika hospital menjadi mangsa vandalisme, maka hospital juga akan dihadkan waktu operasinya? Apakah jika sekolah, universiti, stesen bas, stesen, kereta api dan lain-lain menjadi mangsa vandalisme, waktu operasi mereka akan dihadkan semuanya? Fikirkanlah..

Wallahua’lam

Affan