Khutbah Fitnah: HTM Desak JAINJ Tarik Balik Serta-Merta
JOHOR BAHRU 8 Januari – Pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) didesak untuk menarik balik teks khutbah yang mengandungi fitnah dan pengeliruan terhadap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM).
Khutbah bertajuk “Hindari Fahaman Hizbut Tahrir” yang dijadualkan untuk dibacakan pada Jumaat 10/1/2020 tersebut telah dimuat naik di laman sesawang JAINJ. Rentetan itu, pihak HTM telah menghantar memorandum bantahan kepada pihak JAINJ agar teks khutbah tersebut ditarik balik serta-merta.
Delegasi HTM yang diketuai oleh Ustaz Mu’adz Abu Thalhah selaku pimpinan pusat dan Ustaz Abdul Hakim selaku Jurucakap HTM telah menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Bahagian Pengurusan Masjid JAINJ.
Sungguhpun demikian, wakil tersebut menyatakan bahawa pihaknya tidak memiliki bidang kuasa untuk menarik balik sebaliknya menyarankan supaya pertemuan diaturkan dengan pihak Mufti Johor yang mengetuai Lajnah Tashih (Semakan) bagi membincangkan perkara tersebut. Walau bagaimanapun pihak Mufti tidak ada di pejabat pada waktu itu, manakala wakilnya pula tidak dibenarkan untuk menerima sesalinan memorandum tersebut atas sebab tertentu.
Delegasi tersebut turut disertai oleh kira-kira 40 orang aktivis HTM yang hadir mengadakan ‘flashmob’ di hadapan Pusat Islam Iskandar Johor sebagai tanda bantahan. Peserta berhimpun selama kira-kira setengah jam sebelum diminta oleh pihak berkuasa untuk bersurai.
Satu sidang media telah diadakan sejurus setelah penyerahan selesai dibuat. Liputan sidang media tersebut boleh ditonton melalui laman rasmi Facebook HTM.