Sistem Ekonomi Kapitalis Menjana Industri Hutang Yang Tidak Akan Berkesudahan

“Walaupun mungkin akan berlaku pergerakan jangka pendek dalam pasaran saham atau pasaran mata wang asing (yakni sama ada kejatuhan atau kenaikan nilai), dalam jangka panjang persekitaran ekonomi Malaysia akan sentiasa bermasalah kerana sektor perbankan semakin berkembang dan ahli masyarakat serta organisasi sentiasa menambah hutang mereka.”

Apa saya maksudkan ialah punca utama masalah ekonomi kita ialah sistem yang tidak betul kerana bersandarkan industri hutang. Oleh itu, walaupun kerajaan silih berganti, masalah ekonomi tetap tidak dapat diselesaikan”.

Sumber : bharian.com.my


Komentar:

Penjanaan wang bersandarkan hutang oleh industri kewangan seperti bank merupakan talian hayat dalam sistem ekonomi kapitalis. Tanpa penjanaan wang oleh industri kewangan maka sistem ekonomi kapitalis tidak mungkin akan dapat terus berfungsi. Oleh itu, industri penjanaan hutang akan terus berlangsung dalam sesebuah negara bahkan akan semakin berkembang selagi sistem ekonominya adalah sistem ekonomi kapitalis. Perkembangan ekonomi dalam sistem kapitalis berkadar langsung dengan industri penjanaan hutang, semakin berkembang ekonomi maka hutang juga semakin bertambah.

Bahkan ketika keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekali pun, penyelesaian yang diberikan juga dengan cara menggalakkan rakyat untuk berhutang. Ini dapat dibuktikan dalam tempoh beberapa bulan sahaja, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak dua kali, dengan yang terbaru diturunkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus. Kadar OPR ini merupakan kadar terendah dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan.

Tujuan utama penurunan OPR ini sudah tentu untuk menggalakkan orang ramai membuat pinjaman agar mereka mempunyai wang untuk berbelanja. Dengan kata lain, untuk mengerakkan ekonomi yang sedang dilanda kelembapan, maka orang ramai digalakkan untuk berbelanja dengan cara berhutang. Kaedah ini akan membolehkan duit dapat dicetak dan diputarkan dalam ekonomi agar ekonomi kembali aktif.

Kesannya, semakin banyak gelembung ekonomi yang dihasilkan dan apabila sampai masanya, gelembung tersebut pasti akan meletup, sebuah letupan yang sudah pasti akan menyebabkan krisis ekonomi yang parah.

Apa yang jelas, sistem ekonomi kapitalis tidak dapat dipisahkan dengan industri hutang dalam apa jua keadaan. Ini kerana sistem ekonomi kapitalis tidak dapat dipisahkan dengan industri perbankan yang menjadi tempat hutang dihasilkan.

Oleh itu, tiada penyelesaian yang konkrit untuk menyelesaikan industri hutang dalam sistem kapitalis kerana kedua-duanya saling berkait-rapat dan saling memerlukan. Hutang dan riba merupakan tunjang kepada sistem ekonomi kufur ini, yang mana inilah antara kerosakan yang terhasil dalam sesebuah negara.

Tidak ada cara lain untuk membuang industri perhutangan dalam pengurusan ekonomi sesebuah negara kecuali dengan cara menukar keseluruhan sistem ekonomi kapitalis itu sendiri kepada sistem ekonomi Islam.

Dalam sistem ekonomi Islam, matawang adalah bersandarkan kepada emas dan perak yang tidak memungkinkan terjadinya penjanaan matawang bersandarkan hutang. Tambahan pula sistem ekonomi Islam mengharamkan sebarang transaksi atau urusniaga yang terdapat unsur riba. Selain itu mengembangkan harta dalam sistem ekonomi Islam terikat dengan syirkah yang khusus sehingga tidak membolehkan adanya bentuk urusniaga atas angin seperti pasaran modal dan pasaran kewangan.

Namun untuk menggantikan sistem ekonomi kapitalis dengan sistem ekonomi Islam tidaklah mudah, kerana ia memerlukan ‘political will’ daripada sesebuah negara, selain memerlukan mereka yang pakar dalam sistem ekonomi Islam.

Hakikatnya, boleh dikatakan mustahil untuk menukar sistem ekonomi kapitalis kepada sistem ekonomi Islam selagi tidak dibuang pemerintah dan sistem pemerintahan yang sedia ada. Perlu ada perjuangan untuk menegakkan sistem Islam, yakni sistem Khilafah, secara sepenuhnya, barulah sistem ekonomi Islam, yang merupakan bahagian yang tidak terpisah daripada sistem Khilafah, dapat direalisasikan. Ringkasnya, perkara utama yang perlu dilakukan untuk membuang sistem ekonomi kapitalis dan menggantikannya dengan sistem ekonomi Islam ialah dengan berusaha menegakkan semula Daulah Khilafah.

Editor.