Covid-19: Negara wajib bantu golongan rentan dan mereka yang memerlukan
Covid-19 kini telah membawa kesan kepada banyak pihak, khususnya kesan dari sudut ekonomi. Inilah juga yang dialami oleh Muslim Rohingya yang berada di Malaysia saat ini. Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, kira-kira 200,000 etnik Rohingya di negara ini hidup dalam kesusahan sejak perintah kawalan pergerakan yang berkuatkuasa pada 18 Mac lalu.
Keadaan ini berlaku apabila Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menyebabkan banyak pihak termasuklah Muslim Rohingya, tidak dapat keluar bekerja. Rata-rata Muslim Rohingya ini bekerja sendiri dan dalam keadaan pergerakan yang terbatas, mereka menjadi antara golongan yang paling terkesan dengan PKP ini. Kesan daripada PKP ini telah menjadikan rantaian ekonomi bergerak dalam keadaan yang amat perlahan.
Keluhan dan harapan dari Muslim Rohingya dalam hal ini adalah sesuatu yang perlu diperhatikan oleh semua pihak terutamanya oleh pihak kerajaan. Hal ini kerana mereka adalah saudara se-Islam kita, yang wajib dilayan sebagai Muslim, malah wajib dilayan sebagai warganegara apabila mereka telah memilih untuk menginap di negara ini. Islam telah mengajarkan bahawa umat Islam itu umpama satu tubuh.
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
“Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama satu tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau turut merasakan demam” [HR Muslim].
Semoga pihak berwajib memperhatikan permintaan tolong dari Muslim Rohingya ini. Janganlah kerana mereka bukan rakyat Malaysia, maka nasib mereka dipinggirkan. Walaupun mereka bukan penduduk asal di negara ini, tetapi hakikatnya mereka adalah saudara seakidah kita.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara” [TMQ al-Hujuraat (49):10].
Dari Abu Hurairah (ra) ia berkata, Rasulullah (saw) bersabda:
“Barangsiapa yang meringankan kesusahan seorang Mukmin di antara kesusahan-kesusahan di dunia, nescaya Allah akan meringankan kesusahannya di antara kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Barangsiapa memudahkan orang yang sedang mengalami kesulitan, nescaya Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang Muslim, nescaya Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan di akhirat. Allah akan senantiasa menolong seorang hamba selama ia mahu menolong saudaranya” [HR Muslim].
Tidak sewajarnya jika ada pihak yang berhujah bahawa “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan” sekiranya pihak kerajaan membantu Muslim Rohingya. Jauhilah assobiyyah (semangat perkauman) dan wathaniyyah (semangat kebangsaan) kerana ia sesungguhnya haram dan suatu yang keji. Di saat Allah (swt) mendatangnya ujian-Nya ini, janganlah kita menambah lagi dosa, sebaliknya berusahalah untuk meraih sebanyak mungkin pahala dengan membantu mereka yang memerlukan, dan melakukan muhasabah kepada kerajaan sekular yang tidak mempedulikan nasib sesama Muslim.
Ustaz Umar Hussein
Pimpinan Pusat HTM