Perbalahan Mengenai STR di Sarawak Antara Bukti Gagalnya Pemerintah Penuhi Kemudahan Asas Rakyat
Isu berkaitan keperluan untuk membina jaringan jalan raya yang baru iaitu Second Trunk Road (STR) di Sarawak telah ditimbulkan oleh Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh dan Ketua Pemudanya iaitu Dr Johnical Rayong Ngipa apabila mereka mempertikaikan projek kerajaan negeri yang bernilai RM6 bilion ini. Mereka berpendapat bahawa projek ini adalah bertindih dengan jalan yang sudah ada di pesisir pantai serta lebuh raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan.
Sekiranya siap, STR yang dibiayai oleh kerajaan negeri Sarawak sepanjang lebih 230km ini dikatakan bakal memendekkan perjalanan dari Kuching ke Sibu daripada 6 jam kepada 2 jam setengah sahaja. Ia juga akan memberi kemudahan kepada ratusan ribu penduduk yang menetap di persisiran pantai dan sungai di sepanjang laluannya.
Bagaimana isu berkaitan kekurangan kemudahan asas seperti jalan raya di negeri ini boleh timbul setelah kita memasuki tahun 2020, tahun di mana Malaysia seharusnya mencapai status negara maju? Isu yang sepatutnya dibincangkan bukan lagi ketiadaan jalan raya yang baik, tetapi penambahan jalan-jalan alternatif untuk jaringan jalan raya sedia ada untuk keselesaan rakyat serta membuka koridor pembangunan di kawasan-kawasan yang baru. Namun hakikatnya semua ini tidak berlaku!
Persoalannya, ke mana perginya kekayaan bumi kenyalang selama ini sehingga masih ada kawasan yang tidak memiliki kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik serta bekalan air bersih? Sedangkan jumlah eksport kayu balak sahaja mencecah RM5 bilion setahun. Jika nilai ini dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, sudah pasti cukup untuk menyediakan lebih banyak kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik dan bekalan air ke luar bandar. Itu belum lagi mengambil kira hasil-hasil perut bumi yang lain seperti minyak, gas, emas dan arang batu yang terdapat di negeri ini. Malangnya, kawasan pedalaman seperti di Kapit hingga kini masih perlu dihubungkan melalui sungai menggunakan bot ekspres sebagai pengangkutan utama. Jalan yang ada hanyalah jalan untuk mengangkut hasil balak dari pedalaman untuk dikaut oleh para kroni pemerintah!
Di sisi lain, rakyat pula berbalah mengenai mana satu lingkaran jalan yang lebih utama dibina, walhal punca kepada isu ini adalah kerana gagalnya kerajaan negeri dari parti yang sama memerintah semenjak puluhan tahun dahulu dalam menyediakan kemudahan asas untuk seluruh rakyat negeri ini. Tidak kurang juga ada yang turut memainkan sentimen perkauman dengan mengatakan kerajaan yang diterajui kaum Melayu ini pastinya akan memberi keutamaan kepada kaum mereka berbanding kaum yang lain. Timbulnya iri hati ini bukan sahaja berlaku di dalam negeri yang sama, tetapi juga apabila dibandingkan kemudahan yang ada di negeri ini dengan apa yang dikecapi di Semenanjung.
Di sinilah rakyat perlu sedar bahawa tidak kira apa sahaja parti yang memerintah, sekiranya sistem yang digunakan masih berpaksikan sistem kapitalisme, pastinya akan menimbulkan ketidakadilan dan kerosakan yang sama. Mana tidaknya, setiap projek yang dijalankan, pasti ada yang mengaut keuntungan mudah dengan pelbagai helah. Dikatakan projek baru akan memakmurkan rakyat, namun yang pastinya kroni-kroni dan ahli politik yang berkepentingan akan jauh lebih “makmur” dengan keuntungan mudah yang diperoleh. Pangkalnya, projek yang tidak memenuhi tembolok ahli politik pemerintah pastinya akan diletak nun jauh dihujung senarai. Manakala untuk rakyat sekampung, cukuplah diberi seekor dua sapi untuk dikorbankan semasa hari raya.
Ir. Yusuf M.