Arak Dan Dosa Pemerintah

Walaupun isu pemandu mabuk telah lama terjadi dan diperkatakan, malah sudah berapa banyak nyawa yang tak berdosa melayang, termasuklah dalam tempoh PKP beberapa minggu lepas, namun sampai kini masih tiada penyelesaian tuntas daripada kerajaan.

Masyarakat turut memberi pelbagai reaksi dalam isu ini. Ada yang mahukan hukuman yang sangat berat dikenakan ke atas pesalah, ada yang mahukan agar penjualan arak disekat dan ada pula yang mahukan kilang-kilang arak di Malaysia ditutup terus.

Dalam pada itu, ada juga yang mengatakan pengilangan dan penjualan arak tidak boleh dihapuskan memandangkan meminum arak adalah hak non-Muslim dan kerajaan tidak boleh menafikan hak tersebut. Apa pun pandangan yang dilontarkan, yang jelas, kesan buruk daripada pengambilan arak inilah yang merupakan faktor kepada kemalangan dan kematian yang terjadi.

Sesungguhnya keharaman dan keburukan arak amat jelas. Firman Allah (swt),

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ. إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamr, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)” [Al-Maidah (5): 90-91].

Allah (swt) menyatakan dengan jelas bahawa arak dan judi sebagai dua kemaksiatan yang menjadi senjata bagi syaitan untuk merosakkan manusia, dan inilah apa yang kita saksikan dalam kehidupan kita sejak dahulu hingga kini, dan akan selamanya kita saksikan selagi ada manusia yang mengambil arak dan judi.

Hakikat Khamr Dan Kesannya

Di zaman ini, realiti apa yang disebut sebagai khamr (arak) perlu difahami dengan benar. Ini kerana, terdapat banyak bahan yang boleh diklasifikasikan sebagai khamr meskipun tidak mengandungi alkohol (etanol) sebagai unsur yang memabukkan. Rasulullah (saw) bersabda:

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ خَمْرٍ حَرَامٌ

“Setiap yang memabukkan adalah khamr dan setiap khamr adalah haram.” [HR Muslim]

Umar (ra) pernah mengumumkan dari atas mimbar Nabi (saw),

“Sesungguhnya apa yang dinamakan arak itu ialah apa-apa yang dapat menutupi akal” [HR Bukhari dan Muslim].

Oleh itu, selain minuman yang mengandungi etanol sebagai unsur yang memabukkan, dadah seperti kokain, heroin dan yang sejenis dengannya juga berada di dalam kelas yang sama dan adalah haram secara pasti.

Perlu difahami juga bahawa keharaman arak itu juga tidak tergantung kepada jumlah yang diambil. Sabda Rasulullah (saw),

مَا أَسْكَرَ كَثِيرُهُ، فَقَلِيلُهُ حَرَامٌ

“Apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun adalah haram” [HR Ahmad dan As-habus Sunan]

Tanpa membincangkan isu arak dalam konteks yang lebih luas dan mengekalkan fokus hanya kepada minuman beralkohol, kerosakan yang terbit dari arak ini tidak perlu kepada penjelasan yang panjang lebar. Umum sudah mengetahui kerosakan yang terhasil darinya. Selain kesan buruk terhadap kesihatan manusia, ia juga memainkan peranan besar sebagai punca pelbagai kerosakan dalam masyarakat.

Di Amerika Syarikat, lebih daripada 40% penjenayah yang disumbat ke dalam penjara adalah terkait dengan jenayah akibat pengaruh arak. Arak juga dikaitkan sebagai antara punca utama berlakunya serangan seksual, keganasan rumahtangga dan kes pembunuhan.

Seperti yang kita sedia maklum, di Malaysia, kemalangan maut disebabkan oleh pemandu mabuk meningkat mendadak tahun ini di mana statistik PDRM menunjukkan telah berlaku 21 kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk sepanjang lima bulan pertama sahaja, dengan lapan mangsa meninggal dunia – peningkatan ketara berbanding 23 kes di sepanjang tahun lepas. Ini adalah antara bukti empirikal keburukan arak.

Peringatan Allah dan Rasul-Nya

Dalam surah al-Maidah di atas, setelah Allah (swt) menjelaskan arak dan judi sebagai senjata syaitan untuk merosakkan manusia, kemudian Allah (swt) melontarkan persoalan (yang bermaksud perintah) yang sangat penting – “apakah kalian tidak mahu berhenti (dari meminum arak dan berjudi)?”

Walaupun majoriti umat Islam mematuhi perintah Allah (swt) dari sudut tidak meminum khamr, namun malangnya masih tetap ada yang meminumnya, malah masih ramai yang terlibat dengan rantaian arak lainnya yang diharamkan oleh Islam. Masih ada yang bekerja di kilang arak, masih ada yang menjadi pembawa arak, baik dari segi pengangkutan atau menghidangkannya di hotel-hotel, masih ada yang terlibat dengan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka dan banyak lagi rantaian lainnya. Terdapat juga umat Islam yang menganggap arak dan judi ini sebagai salah satu sumber hasil ekonomi dan merupakan hak orang-orang kafir yang wajib dijaga oleh kaum Muslimin.

Apa yang paling buruk daripada semua itu ialah tindakan pemerintah yang memberi lesen dan membenarkan kilang arak beroperasi, dan seterusnya membenarkan kedai-kedai, restoran-restoran, kelab-kelab malam dan lain-lain menjual ibu kepada segala maksiat itu.

Sikap seperti ini amatlah berbeza dengan generasi awal Islam ketika berita keharaman arak sampai kepada mereka di mana mereka dengan segera membuang arak yang masih ada di tangan, dan memecahkan kesemua bekas-bekas yang masih berisi arak tanpa rasa ragu dan tanpa sebarang alasan. Para sahabat Rasulullah (saw) ini memahami bahawa perintah Allah (swt) wajib diikuti tanpa sebarang alasan, tanpa keraguan dan mereka benar-benar mematuhi perintah Allah (swt):

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata” [TMQ al-Maidah 92].

Dosa Pemerintah

Arak merupakan kunci kepada segala keburukan dan larangan tegas mengenai pengambilannya sangat banyak. Sabda Rasulullah (saw),

لَا تَشْرَبْ الْخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ

“Janganlah kamu meminum khamr, kerana khamr itu adalah kunci segala keburukan” [HR. Ibnu Majah].

اِجْتَنِبُوْا الْخَمْرَ فَإِنَّهَا مِفْتَاحُ كُلِّ شَرٍّ

“Jauhilah khamr, kerana sesungguhnya ia adalah kunci segala keburukan” [HR. al-Hakim dan al-Baihaqi]

Walaupun keharaman arak amat jelas dan tegas dalam Al-Quran dan Al-Hadis, namun kerajaan tidak pernah mengendahkan perkara ini. Kerajaan pada hari ini, yang mendakwa dirinya sebagai kerajaan Islam, malangnya terus membenarkan industri arak dan penjualan arak secara berleluasa dalam negara. Mereka langsung tidak mengendahkan perintah Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw), sehingga terhasilnya pelbagai keburukan dalam negara disebabkan oleh arak ini.

Di saat negara dilanda Covid-19, mereka kononnya bercakap mengenai kewajipan hifzu nafs (menjaga nyawa), tetapi realitinya mereka terus membiarkan kilang-kilang arak beroperasi dan membiarkan penjualan arak secara terbuka, yang mana dari sinilah ‘terhasilnya’ pemandu mabuk yang akhirnya meragut nyawa manusia yang tak berdosa.

Kerajaan juga sering bercakap mengenai hifz aql (menjaga akal) sebagai sebahagian daripada maqasid syariah yang mereka pentingkan. Tetapi realitinya, mereka terus membenarkan operasi kilang arak dan kedai-kedai untuk menjual arak, yang menjadi penyebab kepada rosaknya akal manusia kerana meminum air kencing syaitan itu.

Kerajaan bercakap mengenai macam-macam maqasid syariah, yang realitinya mereka tidak pernah menerapkan syariah kecuali amat sedikit, tidak pernah peduli kepada penerapan syariah, malah melontarkan pelbagai tuduhan dan sangat keras terhadap siapa sahaja yang memuhasabah mereka untuk menerapkan syariah.

Sungguh ironis, dan lebih berat lagi, sungguh merupakan suatu penentangan nyata terhadap syariah Allah (swt) apabila kerajaan terus membiarkan kunci kepada segala keburukan ini tersebar luas di Malaysia. Mereka dengan mulut yang sungguh manis berbicara mengenai maqasid (maksud-maksud) syariah, sedangkan hakikatnya mereka melakukan sesuatu yang jelas lagi nyata bertentangan dengan syariah.

 

Wallahu a’lam.