Penyerahan Memorandum Desak Tutup Kilang Arak: Dua Kementerian Sambut Baik, Menteri Agama Tidak Hantar Wakil
PUTRAJAYA 18 Jun – Sebagai penutup kepada kempen “Tutup Kilang Arak” yang telah dijalankan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sejak dua minggu lepas, HTM hari ini telah menyerahkan Memorandum kepada tiga kementerian bagi mendesak pihak kerajaan menutup segera semua kilang arak yang ada di Malaysia, bagi membendung masalah pemandu mabuk dan lain-lain masalah hasil pengambilan arak.
Delegasi HTM yang diketuai oleh Jurucakapnya, Ustaz Abdul Hakim Othman tiba di lokasi pertama iaitu Kompleks Islam Putrajaya yang menempatkan pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Setelah memperkenalkan diri dan memaklumkan kepada petugas kaunter akan tujuan kedatangan, amat mengejutkan apabila delegasi HTM diberitahu bahawa tiada apa-apa temu janji yang telah dicatatkan. Sedangkan HTM telah pun membuat temu janji dua hari sebelumnya, dengan menelefon dan bercakap sendiri dengan PIC (Person in Charge) yang telah mengambil maklum akan penyerahan yang akan dilakukan.
Sungguh mengecewakan apabila HTM diminta menghubungi semula PIC tersebut semasa di lobi bagi mengesahkan temu janji, dan apabila dihubungi PIC tersebut berdolak-dalik dalam keadaan gelisah, mengakui ada menerima panggilan telefon tetapi menafikan telah membuat apa-apa temu janji untuk menerima serahan. Lebih mengecewakan apabila Jurucakap HTM kemudian meminta agar ada seorang wakil daripada pihak Menteri untuk turun menerima memorandum, yang hanya memakan masa beberapa minit sahaja, namun tidak ada seorang pun yang datang, dan HTM seterusnya diminta untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada pengawal keselamatan yang bertugas di kaunter.
Kes-kes kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk tidak seharusnya dipandang remeh, dan atas dasar itu HTM menganjurkan kempen dan mendesak kerajaan untuk menutup kilang arak, menarik balik semua lesen dan tidak lagi mengeluarkan lesen baru terhadap apa sahaja penjualan arak, yang dari sinilah punca kepada kewujudan pemandu mabuk. Melalui memorandum kepada Menteri Agama, HTM mendesak agar Menteri Agama bersuara dalam isu ini untuk mengharamkan keseluruhan operasi kilang arak dan penjualan air kencing syaitan itu di Malaysia, sebagaimana dituntut oleh Islam. Amat mengecewakan apabila tidak ada seorang wakil pun yang dihantar untuk menerima memorandum berkenaan, walaupun temu janji telah dilakukan!
Setelah selesai Sidang Media sebaik sahaja keluar dari bangunan Kompleks Islam tersebut, delegasi HTM berjalan menuju ke bangunan bersebelahan yang menempatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Parlimen dan Undang-Undang). Di sini delegasi HTM disambut baik oleh Setiausaha Politik kepada Menteri, En, Wan Rohimi Wan Daud, malah HTM dimaklumkan yang wakil Menteri tersebut telah agak lama menunggu kerana temu janji yang telah ditetapkan ialah pada jam 10.45 pagi.
Setelah memohon maaf atas kelewatan yang terjadi akibat ‘tersangkut’ di Kompleks Islam, Jurucakap HTM menjelaskan tujuan penyerahan memo tersebut berserta harapan agar Menteri Undang-Undang mengambil perhatian serius akan tuntutan yang dilakukan, apatah lagi Menteri Undang-Undang datangnya dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang sebelum ini gigih memperjuangkan Hudud.
Delegasi HTM seterusnya ke lokasi terakhir iaitu Bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), yang mana temu janji juga telah diadakan lebih awal untuk melakukan penyerahan di sini. Sekali lagi HTM disambut baik oleh Puan Nor Wahidah Muhammad, pegawai Komunikasi Strategik, yang berjanji akan menyampaikan memo tersebut kepada Menteri.
Dalam wawancara semasa fb live selepas tamat penyerahan, Jurucakap HTM sekali lagi menegaskan peri pentingnya untuk membendung masalah pemandu mabuk, dengan menghentikan puncanya yakni kerajaan itu sendiri, yang telah mengeluarkan lesen operasi kilang dan juga penjualan arak secara berleluasa dalam negara.