Di mana Menteri Agama pada hari Jumaat 5 Jun 2020?

Semasa HTM menyerahkan memorandum di bangunan Kompleks Islam Putrajaya sekitar jam 10.30 pagi hari Jumaat 5 Jun lepas, kami meminta untuk berjumpa dengan Menteri Agama, YB Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kerana memorandum tersebut sememangnya ditujukan kepada beliau. Kami diberitahu oleh En. Muhamad Nazri dari Unit Komunikasi Korporat, yang turun menerima memorandum bagi pihak Menteri, bahawa Dr. Zulkifli tiada di pejabat kerana masih menjalani tempoh kuarantin 14 hari.

Kemudian kami mendapat makluman berdasarkan akaun Twitter Dr. Zulkifli sendiri, bahawa beliau telah habis tempoh kuarantin pada 4 Jun, dan beliau memuatnaik status tersebut di Twitternya.

Dalam akaun Twitter itu juga, beliau telah memuatnaik gambar beliau menerima kunjungan Menteri Besar Perlis pada 5 Jun  di pejabat beliau, iaitu pada tarikh yang sama kami berkunjung ke pejabat beliau, yang mana kami diberitahu beliau tidak hadir ke pejabat kerana menjalani kuarantin.

Justeru, kami tertanya-tanya bagaimana mungkin hal ini boleh terjadi? Di mana Menteri Agama sebenarnya pada tarikh 5 Jun 2020? Seorang ‘wakil’ biasanya telah mendapat akad wakalah untuk menyampaikan sesuatu daripada ‘muwakkil’ dan tidak mungkin untuk wakil mengurangi atau menokok tambah perkara yang diwakilkan. Mungkin terdapat khilaf atau internal misscommunication di mana-mana.

Apa pun, amat baik sekiranya Menteri Agama atau wakil beliau dapat menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku agar tidak timbul apa-apa prasangka.