UMNO perlu jawatan untuk bantu rakyat? Biar ‘track record’ berbicara
UMNO memerlukan jawatan di dalam kerajaan dalam usaha membantu rakyat selain mengukuhkan lagi kedudukan parti itu. “Kedudukan dalam kerajaan ini penting kerana kalau tidak ada kedudukan, tidak ada kuasa, apa yang kita boleh buat untuk membantu rakyat?” ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika dihubungi agensi berita Astro Awani baru-baru ini [https://www.astroawani.com/berita-politik/umno-perlu-jawatan-untuk-bantu-rakyat-tajuddin-265867]
UMNO merupakan parti yang telah lama wujud dalam arena politik Tanah Melayu. Sejarah menunjukkan bahawa parti tersebut merupakan antara parti politik yang direstui oleh penjajah untuk memerintah selepas negara dihadiahkan kemerdekaan oleh penjajah kafir itu. UMNO juga menerajui kepimpinan Tanah Melayu dengan mengguna pakai sistem warisan penjajah di bawah gabungan Perikatan pada waktu itu. Sedar atau tidak, hakikatnya UMNO adalah legasi penjajah yang terdiri daripada anak-anak watan Melayu yang dicorakkan mengikut acuan penjajah.
Dari sudut ekonomi dan pembangunan, sepanjang kuasa dan jawatan berada di tangan UMNO, dasar-dasar yang dilaksanakan menjurus kepada kesimpulan bahawa UMNO lebih banyak membantu kroni-kroni mereka mengumpul kekayaan yang luar biasa, meskipun rakyat dapat merasa sedikit daripada kekayaan tersebut. Kerjasama erat yang terjalin antara elit politik dan golongan pemodal begitu ketara dalam hubungan yang dikenali sebagai “kapitalisme kroni” (crony capitalism) yang berleluasa sehingga ke hari ini.
Bahkan hubungan ini juga menyebabkan melebarnya jurang antara yang kaya dan miskin, serta ketirisan yang mengakibatkan kebajikan rakyat tidak dapat dipenuhi sebagaimana yang sepatutnya. Apa sahaja dasar yang dibuat oleh UMNO sebagai parti pemerintah, seperti dasar penswastaan, ia hanya membuka lebih banyak habuan untuk diraih oleh pemodal yang berada dalam lingkaran elit politik.
Perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan banyak yang diswastakan atas alasan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan. Sedangkan hakikatnya, apabila perkhidmatan ini diswastakan, pastinya model perniagaan dibuat dengan meletakkan keuntungan sebagai ukuran. Natijahnya, negara telah ‘berniaga’ dengan rakyat dalam melaksanakan kewajipannya, dan negara serta pemilik modal mendapat keuntungan yang amat lumayan!
Tidak cukup dengan itu, perbendaharaan negara juga seringkali digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang nazak. Sedangkan sepatutnya dana-dana tersebut boleh dimanfaatkan demi pembangunan infrastruktur dan memelihara kebajikan rakyat, termasuklah menangani isu kemiskinan dan keciciran pelajar misalnya.
Terdapat pihak yang berhujah bahawa dengan membantu syarikat-syarikat besar, rakyat akan mendapat manfaatnya berdasarkan teori “trickle down economy”. Sedangkan hakikatnya, rakyat berhak mendapat lebih daripada sekadar ‘tempias’ atau ‘titisan-titisan’ sisa kekayaan setelah sebahagian besarnya dikaut oleh kapitalis dan elit politik yang memayungi mereka. Apa yang pasti, UMNO terbukti gagal membantu rakyat dengan kuasa yang ada, walaupun apa yang mereka canangkan adalah sebaliknya.
Selain ekonomi, rekod kekuasaan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) sepanjang 60 tahun lebih memerintah, juga gagal mengurangkan masalah sosial. Saban tahun kelahiran anak luar nikah meningkat. Jenayah seksual, penderaan, pergaulan bebas, kebejatan moral dan lain-lain turut meningkat dan menakutkan statistiknya setiap tahun. Apakah trend ini membuktikan UMNO membantu rakyat apabila berkuasa?
Suatu hal yang tidak dinafikan ialah UMNO hanya membantu tatkala wujud kemaslahatan atau manfaat untuk dirinya saja. Lebih dari itu, pemimpin UMNO hanya membantu sesama sendiri saja. Mereka bekerjasama menjarah kekayaan negara, membina peribadi yang korup dan mengukuhkan cengkaman kekayaan negara kepada kroni mereka saja. Bukan sedikit kes rasuah, politik wang, skandal seks yang membabitkan UMNO dan kepimpinannya. Kerana ingin melakukan semua keburukan inilah, UMNO selamanya gilakan kuasa, dan kononnya ia bagi membantu rakyat!
Sesungguhnya slogan “membantu rakyat”, seperti mana sentimen Melayu-Islam yang dimainkan oleh UMNO tidak lain bertujuan untuk menjamin kelangsungan politik mereka semata-mata. Sudah tiba masanya umat Islam, khususnya orang Melayu di negara ini sedar akan propaganda indah dan manis UMNO, bagi menyembunyikan segala kurap dan kudis yang ada di seluruh tubuh mereka.
Wallahua’lam.
Ridhuan Hakim
Pimpinan Pusat HTM