Pasca Pilihanraya Presiden AS: Siapa pun yang menang, Amerika akan terus menganggap Islam dan Dunia Islam sebagai Ancaman
Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) kini telah pun melabuhkan tirainya. Calon Demokrat, Joe Biden telah memenanginya meskipun seterunya, Donald Trump bertegas enggan menerima keputusan tersebut dan mencabarnya. Dalam pada itu, umat Islam juga tidak melepaskan peluang mengikuti secara dekat perkembangan politik tersebut.
Ada yang beranggapan perubahan pucuk pimpinan Amerika Syarikat akan mengubah nuansa politik negara tersebut terutamanya terhadap kaum Muslimin. Ada juga yang bersetuju dan meraikan kemenangan Biden kerana meluat dengan sikap Trump yang rasis, anti-Islam, pro-‘Israel’ dan sebagainya. Ada pula yang setuju dikekalkan Trump kerana Trump merupakan presiden AS yang paling lemah dan ini memberikan kelebihan kepada umat Islam.
Hakikatnya, yang berubah hanyalah wajah presiden dan bukannya polisi AS secara mendasar, terutamanya polisi negara Uncle Sam tersebut terhadap dunia Islam. AS tetaplah sebuah negara kufur yang mengusung ideologi Kapitalisme. Apa yang berbeza hanyalah pendekatan yang dibawa oleh presiden yang bersilih ganti. Pada era George W. Bush, Bush terkenal dengan pendekatan yang bersifat keras terhadap umat Islam. Semasa era Obama pula, Obama lebih cenderung menggunakan pendekatan soft power terhadap umat Islam. Walau bagaimanapun kedua-duanya merupakan pembunuh musuh umat Islam di pelbagai negeri kaum Muslimin terutamanya di Timur Tengah.
Sebagai negara kapitalisme, AS memiliki prinsip-prinsip asas dalam politik luar negara yang tidak akan berubah meskipun siapa yang memimpin negara tersebut. Amerika akan menyebarluaskan dan mengusung ideologi kapitalisme di dunia serta mempertahankan kelestarian ideologi tersebut. Politik luar negara Amerika adalah al-isti’mar atau penjajahan, baik secara ekonomi, politik, ketenteraan, mahupun sosio-budaya. Kita akan melihat beberapa perkara yang tidak akan berubah, antaranya:
Pertama, Amerika Syarikat akan tetap memerangi Islam dan kaum Muslimin yang berusaha sungguh-sungguh untuk menegakkan atau mengembalikan syariah Islam secara kaffah dan menyatukan dunia Islam di bawah naungan Khilafah, dengan mengatasnamakan perang melawan terorisme atau perang melawan radikalisme.
Kedua, Amerika Syarikat akan tetap mempertahankan rejim-rejim boneka yang mereka letakkan di dunia Islam yang selama ini menjadi ejen bagi melangsungkan polisi luarnya, selama mana rejim-rejim tersebut mengusung agenda tersebut.
Ketiga, Amerika Syarikat akan tetap mempertahankan eksploitasi mereka terhadap kekayaan negeri-negeri kaum Muslimin, terutamanya dalam bidang petroleum dan lain-lain sumber alam.
Keempat, Amerika Syarikat tetap akan mempertahankan kewujudan entiti Yahudi di Palestin tidak kira siapa pun yang menang pilihanraya tersebut. Kewujudan entiti Yahudi tersebut merupakan perkara penting untuk politik luar negara Amerika Syarikat di Timur Tengah. Tujuannya ialah untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan di Timur Tengah dan sentiasa mewujudkan alasan untuk mencampuri urusan negeri-negeri kaum Muslimin.
Seterusnya, yang kelima dan yang terakhir, Amerika Syarikat akan melakukan politik “divide and rule” atau “stick and carrot” di dunia Islam. Mereka akan terus mengklasifikasikan umat Islam kepada beberapa kelompok dan melaga-lagakan kelompok-kelompok tersebut. Kelompok-kelompok Islam yang berjalan sesuai dengan kepentingan penjajahan Amerika atas nama moderat atau apa yang mereka sebut sebagai Islam moderat akan dibiarkan. Manakala, kelompok-kelompok yang berusaha untuk menegakkan syariat Islam secara kaffah, akan diberikan “stick” dengan gelaran radikal, ekstremis, teroris, merbahaya dan sebagainya dengan memanfaatkan penguasa-penguasa represif di negeri-negeri kaum Muslimin.
Wallahu a’lam.
[Disunting daripada: https://mediaumat.news/apapun-hasil-pemilu-amerika-tetap-memposisikan-islam-dan-dunia-islam-sebagai-ancaman/]