Rohingya Tanggungjawab Siapa?

Malaysia mahu tanggungjawab dan beban berhubung Rohingya dikongsi sama rata bagi mengatasi isu itu, sebagaimana digariskan Global Compact on Refugees (GCR), memandangkan kemampuan dan sumber semakin terhad, diburukkan lagi dengan penularan COVID-19. Demikian kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin [Malaysiakini].

Buat ke sekian kalinya Malaysia merayu dan menyerahkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara ASEAN bagi mengatasi kemelut yang dihadapi saudara seakidah kita, Muslim Rohingya. Umum mengetahui bahawa isu Rohingya telah berlarutan sejak sekian lama dan telah mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan ramai lagi menjadi pelarian serta kehilangan harta benda.

Terdapat pihak yang mendakwa bahawa krisis Rohingya sudah pun berakhir, tetapi hakikatnya hak mereka masih belum dikembalikan dan mereka masih belum mendapat pembelaan sewajarnya. Lebih-lebih lagi, tiada jaminan bahawa tragedi yang pernah menimpa mereka tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

Kita wajib menolong mereka yang sedang ditindas tanpa memikirkan masalah lain seperti hubungan diplomatik, ekonomi dan sebagainya. Isu Rohingya bukan sahaja tanggungjawab kita di Malaysia, tetapi ia merupakan tanggungjawab seluruh umat Islam dan tanggungjawab itu lebih berat kepada negara-negara kaum Muslimin yang hampir dengan Myanmar seperti Bangladesh, Malaysia, Indonesia, dan Brunei.

Alasan kemampuan dan sumber terhad timbul kerana solusi dan bantuan yang diberikan masih dalam kerangka negara bangsa yang berpecah-belah. Konsep negara bangsa bukan sahaja menyebabkan umat Islam menjadi lemah dan tidak berkemampuan, bahkan mengakibatkan terungkainya ikatan persaudaraan sesama Muslim akibat sempadan palsu negara bangsa yang ada pada hari ini. Lalu masalah yang menimpa umat Islam di negara lain dilihat sebagai isu dalaman negara tersebut, dan mereka dilihat sebagai orang luar atau pendatang yang hanya menyusahkan penduduk tempatan.

Sedangkan Allah (swt) telah berfirman, “Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [TMQ al-Anfal (8):72].

Rasulullah (saw) bersabda; “Sungguh kehormatan seorang Mukmin itu lebih agung di sisi Allah daripada Kaabah, begitu juga dengan harta dan darahnya” [HR Ibn Majah].

Dalam menangani isu Rohingya secara tuntas, selain daripada menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa (Muslim Rohingya), kita wajib mengajar kebiadaban pemangsa (iaitu rejim Myanmar) dan memastikan agar kezaliman dihentikan. Namun, dalam kerangka negara bangsa yang terikat dengan pelbagai perjanjian antarabangsa yang merugikan umat Islam ini, tidak ada satu negara pun yang mahu melancarkan jihad, atau sekurang-kurangnya memberi amaran ketenteraan kepada Myanmar bagi menamatkan kezaliman mereka ke atas Muslim Rohingya.

Justeru, umat Islam pada hari ini memerlukan satu kepimpinan yang ikhlas, yang tidak takut kecuali hanya kepada Allah, untuk menyatukannya, serta menggembleng segenap upaya ke arah melindungi kehormatan dan kemuliaan umat ini daripada terus dicabuli oleh musuh-musuh Islam. Sabda Rasulullah (saw);

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai yang mana orang-orang berperang dan berlindung di belakangnya” [HR Muslim].

Maka, penyelesaiannya bukanlah dengan mengharapkan belas ehsan negara-negara bangsa dan badan antarabangsa, sebaliknya ia akan terealisasi dengan kembalinya sebuah negara Islam (Khilafah) yang akan menyatukan seluruh umat Islam dan mengajar kebiadaban musuh-musuh Islam sewajarnya.

Wallahu a’lam.

Affan
Aktivis HTM