Ada apa di sebalik usul kerajaan perpaduan Mahathir?
Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya kerajaan perpaduan adalah masa depan Malaysia kerana rakyat semakin muak dengan permainan politik ketika penularan pandemik COVID-19. Cadangan untuk kerajaan perpaduan pernah dibangkitkan Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri sementara pada Februari lalu, ketika kemelut politik tercetus susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) [Sinar Harian, 15/11/2020].
Kerajaan perpaduan (coalition government) merujuk kerajaan yang dibentuk oleh parti politik yang bekerjasama dalam sesebuah pemerintahan setelah tiada parti yang berjaya mendapat majoriti kerusi untuk diberi mandat menubuhkan kerajaan. Kebiasaannya kerajaan ini diketuai oleh parti yang mendapat bilangan kerusi terbanyak dan kerajaan jenis ini dikatakan tiada pembangkang. Lalu timbul persoalan, adakah dengan mewujudkan kerajaan perpaduan ini akan dapat menyelesaikan kemelut perebutan kuasa dan segala permasalahan negara lainnya?
Dalam sesebuah kerajaan perpaduan, kompromi perlu dilaksanakan bagi memastikan sesebuah keputusan berhubung sebarang polisi dapat dibuat. Seperti kerajaan sedia ada, kebiasaannya kuasa membuat keputusan dalam sesebuah polisi akan diserahkan kepada seseorang menteri yang memegang portfolio tertentu. Menteri tersebut pastinya datang daripada salah sebuah parti komponen, dan sudah tentu ia membawa agenda partinya dan mengutamakannya dalam sebarang keputusan yang dibuat.
Pastinya kompromi sukar untuk dicapai apabila setiap parti yang membentuk komponennya mempunyai kepentingan tersendiri yang ingin diketengahkan. Hakikat ini boleh dilihat dalam mana-mana kerjasama politik di bawah perikatan atau permuafakatan yang telah wujud setakat ini. Contohnya yang ketara dapat dilihat pada bibit-bibit perpecahan dalam Muafakat Nasional yang membentuk sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional hari ini. Ini belum lagi bercerita tentang kerajaan perpaduan yang menggabungkan lebih banyak parti yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri.
Jika diwujudkan kerajaan perpaduan sekalipun dengan menerima penyertaan parti-parti pembangkang, apakah konflik kepentingan dan politik kepartian akan dapat ditangani? Apa yang pasti berdasarkan track record ialah kerajaan perpaduan itu sendiri akhirnya akan berkecai tak lama selepas penubuhannya setelah kepentingan dan manfaat daripada kompromi ini gagal dicapai. Itu pun jika ia berjaya ditubuhkan.
Inilah hakikat dalam sistem demokrasi pada hari ini. Parti mana pun yang menjadi kerajaan, tiada bezanya kerana mereka memerintah berdasarkan kepentingan parti masing-masing, bukannya berdasarkan kepentingan rakyat. Apa yang menjadi agenda utama perjuangan ‘wakil-wakil rakyat’ ini ialah parti mereka, dan tembolok mereka sendiri. Namun, atas nama demokrasi, slogan kosong mesti dilaungkan bahawa mereka memperjuangkan hak-hak rakyat.
Jelas bahawa usul kerajaan perpaduan ini bukanlah sebenarnya untuk menyelesaikan masalah rakyat, tetapi untuk menyelesaikan masalah perebutan kuasa dan kepentingan antara parti-parti yang ada, agar masing-masing mendapat habuan, walaupun hanya secebis. Bahkan tidak mustahil usul yang dibawa oleh Mahathir ini tidak lain hanyalah sebagai langkah terdesaknya demi memastikan orang yang tidak disukainya tidak akan menjadi Perdana Menteri.
Masalah umat Islam di negara ini khususnya, mahupun di seluruh dunia amnya, tidak akan dapat ditangani secara tuntas selagi mana kita masih dibelenggu sistem yang sama dan dipimpin oleh orang-orang yang mempunyai pemikiran yang sama, yang telah bergelumang dalam kubang demokrasi.
Jadi, satu-satunya jalan keluar ialah untuk meninggalkan sistem dan pemimpin ini, lalu kita berusaha untuk menegakkan sistem pemerintahan Islam dan melantik seorang Khalifah yang akan menerapkan Islam secara kaffah. Inilah masa depan buat umat ini, yakni dengan Khilafah, bukannya dengan kerajaan perpaduan seperti yang dicadangkan oleh Dr Mahathir.