SN212 – Kahwin Bawah Umur: Apa Masalahnya?

PDF

SN Keluaran 3 Rabiul Akhir 1431H/19 Mac 2010

SN212 - Kahwin Bawah Umur: Apa Masalahnya?

[SN212] Dalam kekecohan isu politikus melompat parti yang masih hangat diperkatakan, negara digegarkan pula dengan kisah seorang lelaki tabligh yang mengahwinkan anak perempuannya dan mengahwini pula anak perempuan kawannya yang masing-masing masih lagi kanak-kanak. Shamsuddin Che Derahman, 41, atau lebih dikenali sebagai Shamsudin Ajaib dikatakan mengahwinkan anak perempuannya yang berumur 10 tahun dengan rakannya yang dikenali sebagai Azhar, sambil memandu kereta di dalam satu perjalanan dari Jelawang, Dabong ke Kota Bharu untuk berdakwah pada 19 Februari lepas. Keesokannya, Shamsudin yang dikatakan berjaya mempengaruhi rakannya yang juga dari jemaah tabligh, Hussin Mat Salleh, 54, mengahwini pula anak kawannya itu (Hussin),  Siti Nur Zubaidah, 11, dan perkahwinan tersebut berlangsung dengan cara yang begitu mudah di sebuah madrasah di Machang, Kelantan [UM 12/03/10]. Kata Hussin, semasa pernikahan itu berlangsung Siti Nur Zubaidah tiada bersama. Sejurus setelah ‘perkahwinan’, Shamsuddin Ajaib terus menghilangkan diri bersama ‘isteri baru’nya dan laporan polis telah dibuat oleh ibu Siti Nur Zubaidah tentang kejadian tersebut.

Kanak-kanak tersebut akhirnya berjaya ditemui semula pada 13 Mac lalu di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera, Kepong di dalam keadaan lemah. Dia kemudian dibawa ke Balai Polis Kepong sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan [UM 14/03/10]. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) Datuk Azamli Jamaluddin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 dan menjelaskan bahawa di bawah enakmen itu, katanya, mereka yang tidak mendapat kebenaran hanya boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya [UM 15/03/10].

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, ketika mengulas isu ini menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang menjadikan agama sebagai alasan untuk melakukan amalan sunah yang tidak jelas termasuk berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur [UM 14/03/10]. Kita sendiri tidak jelas dengan apa yang dimaksudkan oleh Jamil Khir sebagai ‘amalan sunah yang tidak jelas’. Ini kerana, menurut peruntukan enakmen Kelantan itu sendiri pun, perkahwinan dengan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bukanlah perkara yang tidak diperbolehkan, cuma perlu izin mahkamah terlebih dahulu. Ini bermakna, jika mahkamah mengizinkan, maka pernikahan itu boleh dilakukan. Walaupun Enakmen ini tidak mengaitkan bolehnya berkahwin ini sebagai suatu yang Sunnah atau tidak, namun yang pastinya enakmen ini membolehkannya. Justeru, kesalahan yang berlaku dalam kes Shamsuddin ini (jika ada), menurut enakmen ini adalah kesalahan ‘kahwin tanpa izin mahkamah’, bukannya kesalahan ‘kahwin dengan kanak-kanak’. Ini amat jelas dan tidak ada yang tidak jelas darinya. Namun apa yang lebih mengejutkan kita semua dalam kes ini adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Jamil Khir di dalam Utusan Malaysia pada 15/03/10 di halaman 2, di mana ‘menteri agama’ ini mengatakan, “Kita mudah sangat letakkan agama dan sunah Rasulullah di depan sedangkan kita sudah tahu semua negeri ada enakmen bahawa yang nak berkahwin mesti berusia 16 tahun ke atas dan kalau ke bawah mesti dapat kebenaran mahkamah syariah dulu”!!! Masya Allah! Apakah beliau mahukan agar umat Islam meletakkan agama dan Sunnah Rasulullah di belakang, dan meletakkan enakmen sekular buatan manusia yang bertentangan dengan hukum Allah itu di depan??? Kata-kata apakah ini??? Astaghfirullahal Azhim!

Hukum Kahwin Bawah Umur

Sebelum mengulas lanjut, sukalah kami mengingatkan bahawa istilah ‘bawah umur’ yang kami maksudkan adalah ‘di bawah umur baligh’ dan bukannya ‘di bawah umur 16 tahun’ sebagaimana yang terdapat di dalam Enakmen Kelantan. Adapun secara syar’inya, hukum mengahwini atau mengahwinkan seorang perempuan yang belum baligh (belum haid) adalah mubah (boleh/harus) dan sah sekiranya memenuhi rukun dan syarat perkahwinan. Dalil bolehnya perkahwinan seperti ini adalah dari Al-Qur’an dan As-Sunnah. Dalil Al-Qur’an adalah firman Allah SWT,

“Dan perempuan-perempuan yang sudah tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu, jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu (juga) perempuan-perempuan yang belum haid. Dan bagi perempuan-perempuan yang hamil, iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya” [TMQ at-Thalaq (65):04].

Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “lam yahidhna” (perempuan-perempuan yang tidak haid) adalah “as-shighar al-la’iy lam yablughna sinna al-haidh” (anak-anak perempuan kecil yang belum mencapai usia haid). Ini sesuai dengan asbabun nuzul ayat tersebut (yakni) di mana sebahagian sahabat bertanya kepada Nabi SAW mengenai masa iddah untuk tiga kelompok perempuan iaitu,

(i) perempuan yang sudah menopause (kibaar)
(ii) perempuan yang masih kecil (sighar) dan
(iii) perempuan yang hamil (uulatul ahmaal).

Jadi, ayat di atas secara manthuq (makna eksplisit)nya menunjukkan masa iddah bagi anak perempuan kecil yang belum haid (dalam kes cerai hidup) iaitu selama tiga bulan.

Imam Suyuthi dalam kitabnya Al-Iklil fi Istinbath At-Tanzil hal. 212 menyebut  Ibnul Arabi, yang mengatakan, “Diambil pengertian dari ayat itu, bahawa seorang [wali] boleh menikahkan anak-anak perempuannya yang masih kecil, sebab iddah adalah cabang daripada nikah”. Dengan itu, secara tidak langsung, ayat di atas menunjukkan bolehnya menikahi anak perempuan yang masih kecil yang belum haid. Penunjukan makna (dalalah) yang demikian ini dalam usul fiqh disebut dengan istilah dalalah iqtidha’, iaitu pengambilan makna yang mahu tak mahu mesti ada atau merupakan ketentuan (iqtidha’) dari makna manthuq (eksplisit), agar makna manthuq tadi bernilai benar, baik benar secara syar’i (dalam tinjauan hukum) mahupun secara aqli (dalam tinjauan akal). Oleh itu, ketika Allah SWT mengatur (menetapkan hukum) masa iddah untuk anak perempuan yang belum haid, bererti secara tidak langsung Allah SWT telah membolehkan hamba-hambanya menikahi anak perempuan yang belum haid, meskipun kebolehan ini memang tidak disebut secara manthuq (eksplisit) dalam lafaznya.

Berhubung ayat ini juga, menikahi atau menikahkan perempuan di bawah umur baik sebelum haid atau sebelum usianya 15 tahun, dalam pandangan Islam adalah sah. Dalam hal ini, tidak ada ikhtilaf di kalangan ulama’. Demikianlah penjelasan Ibn Mundzir, sebagaimana yang disebut oleh Ibn Qudamah. Dalam penjelasannya, Ibn Mundzir menyatakan, “Semua ahli ilmu, yang pandangannya kami hafal, telah sepakat bahawa seorang ayah yang menikahkan anak gadisnya yang masih kecil hukumnya mubah (sah).” Allah telah menetapkan perempuan dengan predikat “wa al-la’i lam yahidhna” (yang  belum haid) dengan iddah selama 3 bulan, sementara iddah 3 bulan tersebut hanya berlaku bagi perempuan yang ditalak atau difasakh, maka ayat ini menjadi dalalah iltizam, bahawa perempuan yang disebutkan tadi sebelumnya telah dinikahi, kemudian ditalak atau difasakh [Ibn Qudamah, al-Mughni, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah, Jordan, Juz II, hal. 1600-1601].

Adapun dalil As-Sunnah, adalah hadis dari Aisyah ra,

“Bahawa Nabi SAW telah menikahi Aisyah sedang Aisyah berumur 6 tahun, dan berumah tangga dengannya pada saat Aisyah berumur 9 tahun, dan Aisyah tinggal bersama Nabi SAW selama 9 tahun” [HR Bukhari].

Dalam riwayat lain disebutkan,

“Nabi SAW menikahi Aisyah ra ketika Aisyah berumur 7 tahun dan Nabi SAW berumah tangga dengan Aisyah ketika Aisyah umurnya 9 tahun” [HR Muslim].

Imam Syaukani dalam kitabnya Nailul Authar (9/480) menyimpulkan dari hadis di atas, bahawa boleh (ja’iz) hukumnya seorang ayah menikahkan anak perempuannya yang belum baligh (yajuuzu lil abb an yuzawwija ibnatahu qabla al-buluugh).

Ibn Hazm, menyebut pendapat Abu Muhammad, bahawa hujah yang digunakan untuk  mengesahkan tindakan orang tua menikahkan anak perempuannya di bawah umur adalah tindakan Abu Bakar ra yang menikahkan Aisyah ra dengan Nabi SAW ketika Aisyah berusia enam tahun. Ini merupakan riwayat yang masyhur sehingga tidak perlu dikemukakan lagi isnadnya. Namun, Ibn Hazm juga mengutip pendapat Ibn Syubramah, yang menyatakan bahawa tidak boleh menikahkan anak di bawah umur sampai akil baligh, dan menegaskan bahawa pernikahan Nabi SAW dengan Aisyah ra itu merupakan kekhususan bagi Nabi, tidak untuk yang lain [Ibn Hazm, al-Muhalla fi Syarh al-Mujalla bi al-Hujaj wa al-Atsar, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah]. Pendapat ini sebenarnya telah digugurkan dengan sejumlah fakta pernikahan para sahabat dengan perempuan di bawah umur, seperti yang dilakukan oleh Umar bin al-Khatthab ketika menikahi Ummu Kaltsum, puteri Ali bin Abi Thalib dan Qudamah bin Math’ghun yang menikahi puteri Zubair [Ibn Qudamah, al-Mughni, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah].

Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelaslah bahawa adalah mubah hukumnya seorang lelaki menikah dengan perempuan kecil yang masih belum haid. Hukum nikahnya sah dan tidak haram. Namun, perlu diingat bahawa syarak hanya menjadikan hukumnya sebatas mubah (boleh), tidak menjadikannya sebagai sesuatu anjuran atau keutamaan (sunnah/mandub), apalagi suatu kewajipan (fardhu). Sah atau tidak nikah ini pula bergantung kepada beberapa syarat.

Syarat Untuk Sah Nikah

Di dalam Islam, jika seorang perempuan dilamar maka hanya dirinyalah yang berhak untuk menerima atau menolak lamaran atau pernikahan tersebut. Tidak seorang pun dari wali-walinya ataupun selain mereka, yang berhak menikahkan wanita itu tanpa izinnya, sebagaimana tidak berhak walinya atau siapa pun untuk menghalangnya dari berkahwin. Telah diriwayatkan dari Ibn Abbas, ia menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Seorang janda lebih berhak atas dirinya daripada walinya, sedangkan seorang gadis mesti diminta izin darinya dan izinnya adalah diamnya.” [HR Muslim].

Dari Abu Hurairah, ia menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Seorang janda tidak boleh dinikahkan hingga diminta perkenannya. Dan seorang gadis tidak boleh dinikahkan hingga diminta izinnya.” Para sahabat lalu bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana izinnya?’ Baginda menjawab, ‘(apabila) ia diam” [HR Muttafaq alaihi].

Ibn Abbas juga menuturkan, “Seorang gadis pernah datang kepada Rasulullah SAW, lalu ia menceritakan bahawa ayahnya telah menikahkannya padahal ia tidak suka. Maka Nabi SAW memberikan pilihan kepadanya (boleh meneruskan perkahwinannya atau bercerai dari suaminya)” [HR Abu Daud].

Dan dari Khansa binti Khidzam al-Ansariyah,

“Bahawa ayahnya telah menikahkan dirinya, padahal ia adalah seorang janda, dan ia tidak suka akan perkahwinan itu. Kemudian ia datang kepada Rasulullah SAW, maka baginda membatalkan perkahwinannya itu” [HR Bukhari].

Kesemua hadis di atas menunjukkan dengan jelas bahawa seorang perempuan, jika ia tidak memberikan izin untuk dinikahkan, maka pernikahannya tidak sempurna. Dan jika ia menolak pernikahannya itu atau dinikahkan secara paksa, maka pernikahannya itu difasakh (rosak), kecuali jika ia bertukar fikiran atau ridha dengan perkahwinan tersebut. Semua hal di atas hendaklah dipenuhi sebelum terjadinya akad nikah. Adapun dari segi akad perkahwinan itu sendiri, ia mestilah memenuhi empat syarat in’iqad (kami hanya akan memberi syarahan kepada syarat yang kedua sahaja yang relevan dengan kes kita):-

Pertama: Ijab-qabul (tawaran-penerimaan; offer-acceptance) yang dilangsungkan dalam satu majlis.

Kedua: Kedua belah pihak yang berakad mesti ‘mendengar’ perkataan satu sama lain sekaligus ‘memahami’nya, sehingga masing-masing mengetahui bahawa pihak yang satu lagi itu (melalui ungkapannya) menghendaki akad perkahwinan diwujudkan. Jika masing-masing tidak mengetahuinya, baik kerana tidak mendengar atau kerana tidak memahaminya, maka akad perkahwinan itu dinilai tidak wujud (tidak ada akadnya). Contohnya, jika seorang lelaki mengucapkan kepada seorang wanita dalam bahasa Perancis, bahawa dia menikahkan wanita tersebut dengan dirinya, sementara si wanita tidak memahaminya namun wanita itu mengucapkan apa yang dikatakan kepadanya itu tanpa ia fahami, dan lelaki itu pun menerima (mengucapkan qabul)nya, padahal wanita itu tidak faham bahawa tujuan dari apa yang dia ucapkan adalah berupa akad perkahwinan, maka akad itu tidak wujud (tidak sah). Sedangkan jika wanita yang berkenaan mengetahui bahawa maksud dari apa yang dia ucapkan adalah akad perkahwinan, maka akad nikah itu sah.

Mengenai syarat bahawa salah satu dari kedua belah pihak yang berakad dikehendaki ‘mendengar’ ucapan pihak lainnya, dan mesti  memahami yakni mengetahui bahawa dengan ungkapannya, pihak lain itu menginginkan akad perkahwinan, hal ini (syarat ini)lah yang menjadi qabul sebagai jawaban terhadap ijab. Dan oleh kerana  ijab itu sendiri merupakan seruan dari salah satu pihak yang berakad agar diterima oleh pihak lainnya, maka jika pihak kedua tidak mengetahui (memahami) maksud ijab itu, tidak akan terealisasi seruan kepadanya dan juga tidak terealisasi qabul di atas seruan tersebut. Jika seseorang itu tidak mendengar dan tidak memahami sesuatu ungkapan, maka secara faktanya, tidak wujud ijab dan tidak wujud qabul.

Ketiga: Ucapan qabul tidak boleh menyalahi ucapan ijab, baik secara keseluruhan ataupun sebahagian.

Keempat: Bahawa syariah benar-benar memperbolehkan perkahwinan di antara kedua pihak yang berakad seperti mempelai wanita haruslah seorang Muslimah atau Ahlul Kitab baik Yahudi atau Nasrani, sedangkan mempelai lelaki harus seorang Muslim, bukan non-Muslim [lihat penjelasan menyeluruh dalam kitab Nizamul Ijtima’ie Fil Islam (bab Pernikahan), Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani].

Jika akad yang terjadi memenuhi keempat-empat syarat di atas, maka akad perkahwinan yang terjadi dinilai sah. Sebaliknya, jika salah satu sahaja dari keempat-empat syarat tersebut tidak dipenuhi, maka akad perkahwinan yang terjadi tidak dinilai sah, sebaliknya dinilai batil dari dasarnya lagi. Berhubung isu di dalam kes ‘perkahwinan’ Shamsuddin dan Siti Nur Zubaidah, qadhi wajib memeriksa sama ada kesemua syarat ini dipenuhi. Qadhi hendaklah melakukan tahqiq al-manath (penetapan fakta) yang betul dan jika salah satu dari syarat di atas tidak wujud, maka perkahwinan sebenarnya tidak pernah wujud atau tidak sah. Berdasarkan fakta kes (jika benar sebagaimana dilaporkan), jelas bahawa Siti Nur Zubaidah langsung tidak mendengar dan tidak memahami bahawa dia akan di akad-nikahkan. Selain syarat di atas, terdapat syarat-syarat lainnya seperti pengantin perempuan itu hendaklah yang benar-benar halal (boleh) dinikahi, adanya wali dan adanya dua orang saksi Muslim yang adil, baligh, berakal dan faham akan akad yang berlaku.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Semoga kejadian ini membuka mata semua pihak akan betapa banyaknya kepincangan hukum syarak yang terjadi dalam negara, baik di pihak rakyat mahupun pemimpin. Sebagai Muslim, kita tidak boleh memukul rata meletakkan kesemua jemaah tabligh bersalah dalam hal ini. Ini adalah kerana perbuatan ini hanya dilakukan oleh salah seorang ahlinya yang ‘bermasalah’ dan bukannya mewakili kesemua ahli tabligh. Justeru kita hendaklah bijak mengasingkan antara ‘perbuatan individu’ dengan ‘perbuatan jemaah’ agar kita tidak terjerumus memfitnah saudara kita yang tidak berdosa. Berbeza halnya jika kepimpinan tabligh memang mengakui bahawa hal itu terdapat dalam amalan jemaah mereka. Kesalahan yang jelas bagi lelaki tabligh tersebut adalah perbuatannya membiarkan ‘isterinya’ tanpa penjagaan dan nafkah, sedangkan kewajipan seorang suami itu adalah menjaga dan memberikan nafkah kepada isterinya, dan bukannya mengharapkan makanan turun dari langit untuk isterinya. Dalam menghadapi isu sebegini, kita hendaklah sedar bahawa bukan ‘hukum perkahwinan’ (hukum Allah) itu yang salah, tetapi manusia (pelaku) itu sendirilah yang bersalah kerana tidak mengikut hukum Allah. Allah telah mengatur manusia dengan sebaik-baik hukum perkahwinan dan hukum-hukum lainnya, namun ada sebahagian manusia yang tetap memilih jalan yang akan mencelakakan dirinya. Wallahu a’lam.