Bantahan Fatwa Johor – 4.6c
(c) Kecenderungan menggulingkan pemerintah dengan alasan pemerintah tidak melaksanakan hukum Islam.
Secara umumnya tuduhan dalam Butiran ini sama sahaja dengan tuduhan dalam Butiran 4.3 (f), dan kami telah pun menjawabnya.
Bezanya di sini ialah, JFNJ menggunakan perkataan “menggulingkan” yang mempamerkan dengan lebih jelas niat jahat JFNJ ke atas Hizbut Tahrir! Kami akui walaupun perkataan “menggulingkan” boleh sahaja bermaksud neutral, tetapi umum sudah mengetahui bahawa perkataan tersebut membawa konotasi yang cukup negatif, apatah lagi apabila dikaitkan dengan pemerintah. “Menggulingkan pemerintah” sudah dimaklumi bermaksud menjatuhkan pemerintah dengan cara yang tidak sah, kekerasan mahu pun kudeta. Ini kerana, perkataan “menggulingkan” tidak pernah digunakan dalam konteks menukar kerajaan melalui cara demokrasi atau pilihan raya.
Kami telah pun menjelaskan dalam Butiran 4.5 (c) bahawa Hizbut Tahrir mentabanni thariqah dakwah Rasulullah (saw) yang terdiri daripada 3 tahapan. Thariqah ini merupakan perjuangan secara fikriyyah (pemikiran) dan bukan kekerasan. Perubahan yang diharapkan dari jalan dakwah ini adalah perubahan pemikiran yang kemudiannya membawa kepada proses ‘istilam al-hukmi’ (penerapan hukum). Penerapan hukum dalam bingkai Daulah Islam insya Allah akan dapat direalisasikan melalui penyerahan kuasa yang diperolehi melalui proses thalab an-nushrah (mencari pertolongan), sebagaimana Rasulullah (saw) dahulu mendapat kuasa melalui proses tersebut, dan ternyata ia berlaku secara aman. Hizbut Tahrir melakukan proses thalab an-nushrah kerana ini merupakan thariqah yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) yang mencari nushrah dari banyak Bani yang mempunyai kekuatan, di mana akhirnya nushrah tersebut diperolehi daripada Bani Aus dan Khazraj, sehingga akhirnya berdirinya Negara Islam di Madinah.
Sesungguhnya Auz dan Khazraj merupakan ahlu al-quwwah (golongan yang memiliki kekuatan), kerana ternyata Rasulullah (saw) tidak mencari nushrah dari Bani yang lemah. Atas dasar itulah dalam dakwahnya, Hizbut Tahrir mencari nushrah daripada pemilik kekuatan seperti pihak tentera. Tentera merupakan institusi vital yang sangat menentukan kekuasaan dan kekuatan sesebuah negara. Malah, di tangannya-lah kekuasaan sebenar sesebuah negara itu terletak, kerana sesebuah pemerintahan tidak akan dapat berdiri tanpa dukungannya. Dalam keadaan belum wujud sebuah Negara Islam (Khilafah) seperti sekarang, sesungguhnya tentera memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu agama Allah (swt), dengan memberikan nushrah kepada kelompok yang berjuang untuk menegakkan Khilafah dengan jalan yang benar. Inilah yang diminta oleh Hizbut Tahrir kepada pasukan tentera yang dengan nushrah mereka, sebuah negara Khilafah al-Rasyidah ‘ala minhaj nubuwwah akan berdiri dengan izin Allah (swt).
Isunya di sini ialah, adakah Hizbut Tahrir akan menggulingkan pemerintah, atau cenderung menggulingkan pemerintah dengan alasan pemerintah tidak melaksanakan hukum Islam, sebagaimana tuduhan JFNJ?
Pertamanya, ingin kami tegaskan bahawa dalam thariqah dakwah Hizbut Tahrir, yang diteladani daripada thariqah dakwah Rasulullah (saw), tidak ada fasa mahu pun istilah “menggulingkan pemerintah” sebagaimana fahaman dan tuduhan JFNJ! Ini kerana Rasulullah (saw) tidak pernah “menggulingkan” pemerintahan, baik di Makkah mahu pun di Madinah. Apa yang berlaku ialah proses “penyerahan kuasa” secara suka rela daripada penduduk Madinah kepada Rasulullah (saw).
Sesungguhnya kuasa itu ada di tangan umat (as-sulthan li al-ummah) dan kuasa ini hendaklah diambil dari umat dengan cara ridha (tanpa paksaan/rampasan) dan ikhtiyar (bebas memilih). Maksudnya, kelompok mana sekali pun yang ingin mendapatkan kekuasaan hendaklah mendapatkannya dengan ridha dan ikhtiyar dari pemiliknya (umat) dan tidak sah sekiranya ia diambil secara paksaan dan tanpa hak memilih. Ridha dan ikhtiyar ini merupakan syarat sah akad baiah yang diberikan oleh umat kepada orang yang ingin diangkat sebagai pemimpin mereka (Khalifah). Inilah yang menjadi pegangan Hizbut Tahrir dan inilah apa yang Hizbut Tahrir usahakan, yakni mencari pertolongan dari ahlu al-quwwah serta mendapatkan kekuasaan daripada umat secara ridha dan ikhtiyar. Langsung tidak timbul isu menggulingkan pemerintah!
Hizbut Tahrir adalah sebuah parti politik tidak pernah menipu umat. Kami bergerak di bidang politik, bukannya di bidang ketenteraan. Tidak ada sayap tentera dalam Hizbut Tahrir, dan Hizbut Tahrir tidak pernah dan tidak akan pernah terlibat dalam sebarang aktiviti bersenjata atau ketenteraan, kerana tugas kami adalah murni tugas politik. Kami berdakwah secara fkiriyyah, dan merubah pemikiran umat serta berusaha merubah kekuasaan dengan cara politik.
Dengan kata lain, Hizbut Tahrir tidak akan terlibat dengan penggulingan pemerintahan, baik secara bersenjata seperti kudeta atau lain-lain cara kekerasan. Namun perlu kami tegaskan di sini bahawa thariqah dakwah Hizbut Tahrir secara tabi’i (sebagaimana thariqah dakwah Rasulullah) akan membawa kepada proses penyerahan kuasa oleh ahlul quwwah kepada pihak yang dipilih oleh umat untuk menegakkan agama Allah (swt) di muka bumi ini secara ridha dan ikhtiyar.
Itu dari sisi nas yang dipegang oleh Hizbut Tahrir. Manakala dari sisi realiti, sejak penubuhannya pada tahun 1953 hinggalah sekarang (2020), tidak pernah ada bukti satu pun yang menunjukkan Hizbut Tahrir berusaha menggulingkan pemerintah! Jika ada pun, ia hanyalah rekaan dan pendustaan oleh mereka yang dengki terhadap Hizbut Tahrir, atau fitnah daripada pihak-pihak yang bencikan Hizbut Tahrir, yang tidak keterlaluan untuk kami katakan bahawa mereka sebenarnya ialah para pembenci Islam. Ini kerana, apa yang dibawa oleh Hizbut Tahrir hanyalah Islam semata-mata!
Wahai JFNJ, ketahuilah bahawa thariqah dakwah Hizbut Tahrir tidak pernah berubah meskipun Hizbut Tahrir berdakwah di lebih daripada 40 buah negara di dunia, dengan pelbagai bentuk sistem pemerintahan dan suasana yang berbeza-beza di setiap negara. Di Syria sebagai contoh, Hizbut Tahrir sudah wujud di negara berkenaan sejak puluhan tahun lamanya, dan sejak 9 tahun lalu negara tersebut berada dalam kancah peperangan, namun thariqah dakwah Hizbut Tahrir tidak pernah berubah di Syria. Hizbut Tahrir tetap konsisten dalam menjalankan dakwah secara fikriyyah sehingga ke hari ini dan tidak pernah terlibat dengan kekerasan atau mengangkat senjata untuk menggulingkan pemerintah. Sama juga halnya Hizbut Tahrir di Yemen, walaupun negara tersebut sedang bergolak hebat sekarang. Begitu juga di Palestin, walaupun tanah yang diberkati itu diperintah oleh golongan Yahudi la’natullah, tetapi Hizbut Tahrir tidak pernah menggunakan sedikit pun kekerasan untuk menggulingkan pemerintah Yahudi yang jahat itu!
Baik di Timur Tengah atau di Asia Tengah, di mana ramai anggota Hizbut Tahrir yang telah ditangkap, diseksa dan dibunuh oleh pemerintah diktator, Hizbut Tahrir tidak pernah sama sekali menukar thariqah dakwahnya kepada kekerasan untuk menggulingkan pemerintah. Hizbut Tahrir tetap bersabar dan istiqamah dalam dakwahnya, kerana semata-mata berpegang kepada thariqah dakwah Rasulullah (saw), yang tidak pernah menggulingkan pemerintah walau sezalim mana pun pemerintahan kafir Quraisy ke atas baginda dan para sahabat. Hizbut Tahrir tetap bersabar dengan segala kezaliman pemerintah, kerana Hizbut Tahrir yakin dengan janji Allah (swt) yang akan mendatangkan kemenangan-Nya kepada mereka yang mengikuti jejak langkah Nabi-Nya.
Wahai JFNJ! Kami harap anda sudah memahami penjelasan kami terhadap tuduhan anda. Ya kami akui bahawa pemerintah tidak melaksanakan Islam, dan kami menginginkan pemerintah yang menerapkan Islam. Kami ingin Islam diterapkan bukan sahaja di bumi Malaysia, malah di seluruh muka bumi. Namun, untuk mencapai keinginan kami ini, bukanlah dengan cara menggulingkan pemerintah sebagaimana yang anda fahami atau yang anda tuduhkan, tetapi sebagaimana thariqah Rasulullah (saw) yang mengambil alih kekuasaan dengan cara thalab an-nushrah dan diberikan secara ridha dan ikthtiyar oleh umat Islam.
Soalan kami kepada anda wahai JFN, apakah anda mengakui bahawa pemerintah pada hari ini tidak menerapkan Islam? Apakah anda tidak menginginkan pemerintah yang menerapkan Islam secara kaffah? Apakah anda tidak menginginkan pemerintah yang berhukum dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya? Apakah anda tidak menginginkan seluruh dunia ini berada di bawah naungan Khilafah dan hukum Allah (swt) diterapkan di seluruh muka bumi? Apakah anda tidak menginginkan ini semua? Jika anda mengakui bahawa pemerintah pada hari ini tidak menerapkan Islam, dan anda menginginkan sebuah pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, soalan kami apakah yang anda telah, sedang dan akan lakukan wahai JFNJ? Atau adakah anda hanya memilih untuk berdiam diri? Atau lebih buruk, anda memilih untuk bersekongkol dengan pemerintah yang tidak menerapkan Islam? Apakah yang anda lakukan wahai JFNJ?
Dengan ketiadaan secebis bukti pun yang menunjukkan bahawa Hizbut Tahrir telah menggulingkan pemerintah atau cenderung untuk mengguling pemerintah, dan dengan pegangan kami yang sangat jelas yang telah kami nyatakan sejak sekian lama mengenai thariqah dakwah kami, maka kami katakan bahawa fatwa JFNJ ini merupakan fitnah dan pendustaan yang sangat nyata ke atas Hizbut Tahrir! Fitnah JFNJ dalam Butiran ini sungguh berat, yang mana gunung-ganang boleh bergegar kerananya! Dalam Butiran ini, sungguh terserlah niat JFNJ untuk memesongkan kefahaman masyarakat terhadap Hizbut Tahrir dan lebih dahsyat daripada itu, sungguh terserlah niat jahat JFNJ untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas Hizbut Tahrir, walaupun undang-undang yang berkenaan bukan berada di bawah bidang kuasa agama negeri! Fitnah ini sungguh keji yang tidak akan sanggup dibuat oleh sesiapa pun jika ia memiliki sebesar zarah ketakutan kepada Allah (swt)!