Bantahan Fatwa Johor – Khatimah

Muat turun PDF
Isi Kandungan

Khatimah

Segala puji bagi Allah (swt) yang dengan izin-Nya telah memberi kesempatan kepada kami untuk menjawab setiap pertuduhan yang telah dilontarkan oleh JFNJ, walaupun ada manusia yang tidak mengizinkannya. Sekarang sedarlah dan ketahuilah wahai JFNJ, bahawa apa yang anda fatwakan sebagai “ajaran dan fahaman” Hizbut Tahrir itu sebenarnya jauh tersasar dari kebenaran. Manakala jika ada yang benar pun, amat jelas pula bahawa kefahaman andalah yang telah jauh tersasar.

Wahai JFNJ, selagi Allah (swt) mengizinkan anda menghembuskan nafas, tanyalah diri anda dengan penuh keikhlasan di tengah-tengah kegelapan malam tatkala anda bertahajud kepada Tuhan anda – apakah berbohong, berdusta, memfitnah, mereka-reka cerita dan mengelirukan orang ramai dengan sebuah fatwa, adakah semua ini merupakan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang anda dakwa anda adalah ahlinya?

Pihak berkuasa agama Johor kelihatan begitu garang ingin memerangi ajaran dan fahaman Hizbut Tahrir. Soalan kami – ajaran dan fahaman manakah yang anda ingin perangi itu? Jika anda ingin memerangi ajaran yang membolehkan bercium antara lelaki dan perempuan ajnabi, ya silakan peranginya habis-habisan, dan kami akan menyokong anda, kerana perkara ini adalah haram, dan ia bukan merupakan ajaran dan fahaman Hizbut Tahrir.

Jika anda ingin memerangi ajaran yang membolehkan menonton filem lucah, ya silakan peranginya habis-habisan, dan kami akan menyokong anda, kerana perkara ini adalah haram, dan ia bukan merupakan ajaran dan fahaman Hizbut Tahrir.

Jika benar anda ingin memerangi kesemua keharaman yang telah dinyatakan oleh Islam, ya kami akan menyokong anda sepenuhnya. Maka perangilah riba yang berleluasa di negeri Johor dan di Malaysia ini, yang diamalkan oleh perbankan-perbankan ribawi. Perangilah rasuah dan segala bentuk penyelewengan yang dilakukan secara berleluasa oleh ahli-ahli politik dan penjawat awam, yang sudah tidak terhitung jumlahnya di Malaysia ini.

Jika benar anda ingin memerangi kesemua keharaman yang telah dinyatakan oleh Islam, ya kami akan menyokong anda sepenuhnya. Maka perangilah segala pusat perjudian, kelab-kelab malam, penjualan arak secara terbuka, wanita dan lelaki yang tidak menutup aurat, pergaulan bebas dalam masyarakat, pengambilan harta milik umum oleh pemerintah dan banyak lagi keharaman lainnya yang berlaku di depan mata anda. Perangilah semua itu, dan kami akan menyokong anda.

Jika benar anda ingin memerangi kesemua keharaman yang telah dinyatakan oleh Islam, ya kami akan menyokong anda sepenuhnya. Maka perangilah sistem dan undang-undang kufur yang wujud di Johor dan di seluruh Malaysia. Lalu kita sama-sama gantikannya dengan sistem dan undang-undang Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

Namun, jika fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir yang ingin anda perangi itu ialah mengenai kewajipan mengangkat seorang Khalifah dan menegakkan Daulah Khilafah, maka sesungguhnya anda telah memerangi kesemua ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah, dan anda sesungguhnya telah memerangi para Sabahat yang telah berijma’ mengenai kewajipannya! Malah lebih dahsyat daripada itu, jika anda ingin memerangi ajaran dan fahaman bahawa Khilafah itu adalah wajib, maka anda sesungguhnya telah memerangi Allah dan Rasul-Nya yang telah mewajibkan perkara tersebut!

Ketahuilah wahai JFNJ bahawa berapa banyak daripada “ajaran” dan undang-undang yang ada di Johor, yang anda sememangnya tahu dan anda taatinya dengan sepenuh hati, hakikatnya ajaran dan undang-undang tersebut adalah bertentangan dengan fahaman dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Malah lebih jauh dari itu, sesungguhnya ajaran dan undang-undang tersebut bertentangan secara nyata dengan al-Quran dan al-Hadis. Namun malangnya anda taat dan berpegang teguh dengan semua itu!

Kami paparkan di sini beberapa contoh, jika anda ingin mengambil iktibar, dan jika benar anda ingin memerangi fahaman dan ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Silalah anda merujuk kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Johor) yang anda redha dan pertahankan selama ini, dan yang anda ingin kenakan ke atas kami melalui fatwa anda ini. Sila rujuk kepada seksyen-seksyen yang kami paparkan di bawah ini:

Untuk kesalahan meminum arak, undang-undang “syariah” di Johor mengenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sedangkan berdasarkan as-Sunnah, Anas (ra) menuturkan:

كان النبي يَضْرِبُ فِي الخَمْرِ باِلجَرِيْدِ وَالنَّعَالِ أَرْبَعِيْنَ

“Nabi (saw) menyebat orang yang minum khamar dengan pelepah kurma dan terompah sebanyak empat puluh kali sebatan” [HR al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Abu Daud].

Ali bin Abi Thalib (ra) menuturkan:

جَلَّدَ رَسُوْلُ اللّهِ أَرْبَعِيْنَ، وَأبُو بَكْرٍ أَرْبَعِيْنَ، وعُمَرُ ثَمَانِيْنَ، وَكُلٌّ سُنَّةٌ، وهَذَا أحَبُّ إِليَّ

“Rasulullah (saw) menyebat (orang yang meminum khamr) empat puluh kali, Abu Bakar menyebat empat puluh kali, Umar menyebat lapan puluh kali. Semuanya merupakan sunnah. Dan ini adalah yang lebih aku sukai” [HR Muslim].

Untuk kesalahan zina, undang-undang “syariah” di Johor mengenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Sedangkan di dalam al-Quran, Allah (swt) berfirman:

﴿الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ﴾

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman” [An-Nur (24): 2].

Untuk kesalahan liwat, undang-undang “syariah” di Johor mengenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Sedangkan Rasulullah (saw) bersabda:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاِعَلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

“Siapa sahaja yang kalian dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya (peliwat dan yang diliwat)” [HR Ahmad, Abu Daud & al-Hakim].

Untuk kesalahan qazaf, undang-undang “syariah” di Johor mengenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sedangkan di dalam al-Quran, Allah (swt) berfirman:

﴿وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ﴾

“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah 80 kali sebatan, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasiq” [An-Nur (24): 4].

Cukuplah dengan empat contoh di atas, kerana jika kami ingin senaraikan semuanya, maka sudah pasti kami boleh menerbitkan satu buku khusus untuknya.

Wahai JFNJ, kami telah menunjukkan pertentangan yang nyata antara undang-undang “syariah” yang ada di Johor, dengan undang-undang syariah yang ada di dalam al-Quran dan al-Hadis. Buktikanlah kepada kami bahawa kesemua peruntukan tersebut adalah menepati ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, kerana anda menyatakan bahawa Johor ialah negeri yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah! Buktikan kepada kami (jika ada) ayat al-Quran atau al-Hadis yang menjadi dalil bagi anda bahawa hukuman dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor itu selaras dengan kedua-duanya.

Buktikanlah kepada kami (jika ada, walau pun seorang) ulama manakah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyatakan bahawa hukuman bagi peminum arak ialah denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Buktikanlah kepada kami (jika ada, walau pun seorang) ulama manakah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyatakan bahawa hukuman bagi penzina ialah sebat enam kali sebatan.

Buktikanlah kepada kami, (jika ada, walau pun seorang) ulama manakah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyatakan bahawa hukuman bagi kesalahan qazaf ialah denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Buktikanlah kepada kami, (jika ada, walau pun seorang) ulama manakah dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyatakan bahawa hukuman bagi kesalahan liwat ialah denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam sebatan.

Wahai JFNJ, anda dan rakan-rakan anda menyatakan dengan tegas dan lantang bahawa anda akan memerangi habis-habisan ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Johor. Jadi, jika anda gagal mendatangkan bukti (dan insya Allah anda akan gagal) terhadap cabaran kami di atas, maka perangilah segala peruntukan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang anda pegang selama ini, yang jelas lagi nyata pertentangannya dengan al-Quran dan as-Sunnah. Insya Allah kami akan menyokong anda sepenuhnya.

Ketahuilah wahai JFNJ bahawa Hizbut Tahrir berjuang untuk menerapkan sistem dan undang-undang Islam secara kaffah. Hizbut Tahrir berjuang untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Hizbut Tahrir berjuang untuk menerapkan hukuman 100 kali sebatan kepada penzina; hukuman 40 atau 80 kali sebatan untuk peminum arak; hukuman 80 kali sebatan untuk kesalahan qazaf dan hukuman mati untuk peliwat dan yang diliwat. Inilah perjuangan Hizbut Tahrir. Kami berpegang teguh dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah dan kami menolak segala undang-undang yang dibuat oleh manusia yang bertentangan dengannya. Namun anda wahai JFNJ, anda berpegang teguh dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor yang dibuat oleh manusia, yang bertentangan dengan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Maka, siapakah di sini antara anda dan kami, yang sebenarnya memperjuangkan ajaran yang bertepatan dengan Sunnah dan yang memperjuangkan ajaran yang bertentangan dengan Sunnah wahai JFNJ?

Ketahuilah wahai JFNJ bahawa perjuangan Hizbut Tahrir ini ditentang hebat oleh kuffar Barat, dan para penguasa diktator di seluruh dunia yang merupakan boneka dan tali barut Barat. Kenapa? Kerana Hizbut Tahrir ingin menerapkan sistem dan undang-undang Islam secara kaffah; kerana Hizbut Tahrir ingin mempersatukan semula umat Islam di bawah Daulah Khilafah; kerana Hizbut Tahrir ingin membebaskan keseluruhan umat Islam yang ditindas dan dizalimi oleh musuh-musuh Islam di serata dunia; kerana Hizbut Tahrir ingin membebaskan kesemua tanah umat Islam yang telah dirampas oleh puak kuffar; kerana Hizbut Tahrir ingin mengembalikan semula Khilafah sebagai super power dunia yang sekali gus akan mengembalikan semula kemuliaan umat Islam;  kerana Hizbut Tahrir ingin membawa risalah ke seluruh alam agar agama Allah (swt) zahir di atas agama-agama lain, dan agar rahmat Allah (swt) sampai ke seluruh penjuru alam. Semua ini menjadi sebab kepada kuffar Barat untuk memerangi Hizbut Tahrir.

Kuffar Barat (termasuk Yahudi) yang memusuhi Islam inilah yang sebenarnya merupakan musuh kita wahai JFNJ, bukannya sesama kita. Malangnya anda menjadikan Hizbut Tahrir sebagai “musuh” anda yang ingin anda perangi habis-habisan! La haula wa la quwwata illa billah..sedarlah wahai JFNJ dan bertakwalah anda kepada Allah! Halakanlah hujung tombak anda kepada musuh Islam yang sebenar, yang kerana merekalah, kita sekarang berada dalam keadaan terpecah-belah dan memusuhi satu sama lain. Sesungguhnya hanya Iblis dan syaitan yang meniupkan api kebencian dan permusuhan sesama Muslim.

Sesungguhnya Hizbut Tahrir merupakan satu-satunya parti politik Islam yang berusaha bersungguh-sungguh di seluruh dunia untuk menegakkan Khilafah, untuk menerapkan Islam secara kaffah dan menggantikan seluruh sistem dan undang-undang buatan manusia yang bertentangan dengan Islam. Hizbut Tahrir merupakan sebuah parti politik Islam yang bersih dari sebarang kesesatan atau penyelewengan baik dari segi akidah mahupun hukum syarak. Ini kerana, kami berpegang kuat kepada empat sumber hukum dalam Islam iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ as-Sahabat dan Qiyas.

Kami ingin mengingatkan bahawa segala tuduhan buruk dan liar ke atas Hizbut Tahrir memang berlaku di seluruh dunia, dan kami tidak hairan sedikit pun apabila tuduhan tersebut datangnya dari puak kuffar. Namun apa yang menyedihkan kami ialah apabila tuduhan itu datangnya dari kaum Muslimin sendiri. Namun kami yakin bahawa siapa pun yang berniat jahat menuduh HizbutTahrir dengan pelbagai fitnah, pembohongan dan pendustaan, sesungguhnya dengan izin Allah (swt), segala tuduhan dan fitnah itu akan pasti kembali kepada tuannya.

Kami juga ingin mengingatkan anda wahai JFNJ, bahawa segala serangan dan fitnah ke atas Hizbut Tahrir sama sekali tidak pernah dan tidak akan pernah melunturkan sedikit pun semangat dakwah yang ada pada kami, apatah lagi untuk menghentikan dakwah kami. Malah sebaliknya, dengan izin Allah (swt) segala serangan dan fitnah itu telah memperkuat dan memperteguhkan lagi dakwah dan kedudukan Hizbut Tahrir.

Wahai JFNJ, setelah kami memberikan jawapan dan penjelasan yang secukupnya kepada anda, jika anda tetap ingin meneruskan fitnah terhadap kami, sehingga anda dapat memenuhi cita-cita anda untuk mengheret kami ke mahkamah dan kami dijatuhkan hukuman yang anda harapkan, maka silalah lakukan apa yang anda sukai, tetapi sukalah kami mengingatkan bahawa selain mahkamah di dunia ini yang anda mungkin menang, terdapat satu lagi mahkamah di Padang Mahsyar kelak yang mana Allah (swt) akan menjadi Hakim yang Maha Adil untuk membicarakan kezaliman yang anda lakukan ke atas kami. Fikirkanlah apa hukuman Allah (swt) kepada anda sekiranya anda kalah di Padang Mahsyar nanti, kerana kami yakin dengan sepenuh keyakinan bahawa kami akan menang dengan izin-Nya.

Wahai JFNJ, jika tidak kerana kasih sayang kami kepada anda sebagai saudara sesama Muslim, nescaya kami tidak akan memberikan jawapan dan peringatan ini kepada anda. Setelah kami menjawab fatwa anda dengan terperinci, dengan mengharapkan kebaikan daripada anda, maka perbetulkanlah niat anda, dan ikhlaskanlah diri anda apabila berbicara tentang Hizbut Tahrir. Dengan itu insya Allah anda akan memperolehi kebaikan, dan sekiranya anda menarik balik fatwa ini dan bertaubat kepada Allah (swt), kami sentiasa bersedia memaafkan anda, kerana anda adalah saudara Muslim kami. Kami memohon kepada Allah (swt) agar memberi petunjuk kepada anda dan menerima taubat anda. Semua anak Adam pasti akan melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah mereka yang bertaubat.

Akhir kalam, jika masih ada sisa-sisa keikhlasan dan ketakutan dalam diri anda terhadap Allah (swt), kami tinggalkan anda dengan satu nasihat dan peringatan terakhir, kerana sesungguhnya nasihat dan peringatan itu amat bermanfaat bagi mereka yang beriman. Nasihat kami – berfatwalah dengan jujur demi meraih redha Allah (swt), bukan untuk meraih redha manusia, dan bukan juga untuk meraih apa-apa kepentingan duniawi. Sesungguhnya tidak ada peringatan yang lebih baik daripada al-Quran yang kami ingin tinggalkan untuk anda. Firman-Nya:

﴿إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui” [An-Nur (24): 19].

﴿إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab (neraka) Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar” [Al-Buruj (85): 10].

Wahai JFNJ, kami yakin anda akan menarik balik fatwa ini sekiranya anda meyakini adanya Hari Pembalasan, sebagaimana yang kami yakini.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Saudaramu,

HIZBUT TAHRIR MALAYSIA

22 Rabiul Akhir 1442 H (07/12/2020 M)