Memposisikan Mimbar Jumaat dalam Kebangkitan Umat
Setiap kali tibanya hari Jumaat, umat Islam terutamanya lelaki Muslim yang mukallaf akan bersiap menuju ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat yang merupakan fardhu ain ke atas mereka. Setiap kali tibanya hari Jumaat jugalah mereka akan mendengar khutbah yang merupakan sebahagian daripada syarat sah solat Jumaat itu. Masjid-masjid dipenuhi oleh para jemaah Muslimin, lebih ramai berbanding waktu-waktu solat lain pada hari-hari lain. Meskipun keadaan banyak telah berubah ekoran pandemik COVID-19 yang mengakibatkan sebahagian daripada Muslimin terhalang daripada menunaikan fardhu ain ini, namun solat dan khutbah Jumaat tetap penting sebagai salah satu syiar Islam dan berperanan besar dalam menjadi medium penyampaian dakwah serta peringatan kepada umat Islam.
Dalam ledakan teknologi maklumat pada hari ini yang membolehkan maklumat diakses di hujung jari, mimbar Jumaat masih merupakan satu platform yang tidak kurang pentingnya dalam menyampaikan maklumat, peringatan serta mendidik umat Islam. Mimbar juga berperanan penting dalam membangkitkan kesedaran umat Islam untuk melaksanakan kehidupan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Dengan berhimpunnya umat Islam dalam jumlah yang besar, adalah wajar isi kandungan khutbah yang disampaikan membawa mesej-mesej yang sangat penting dan kritikal untuk umat Islam mengambil tahu, khususnya isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan Islam.
Persoalannya, adakah isi khutbah-khutbah solat Jumaat pada hari ini dipenuhi dengan mesej-mesej yang penting untuk umat Islam?
Pengisian khutbah di negara ini dikendalikan oleh jabatan agama negeri masing-masing yang menyediakan teks khutbah untuk disampaikan oleh khatib yang dilantik. Secara umumnya, pengisian khutbah ini dapat dikategorikan kepada dua iaitu yang pertama kandungan yang tidak menyentuh isu semasa dan yang kedua kandungan yang menyentuh isu semasa.
Pengisian khutbah yang tidak menyentuh isu semasa meliputi perkara berkaitan ibadat seperti solat, zakat, sedekah, thaharah dan sebagainya. Begitu juga dengan khutbah yang membicarakan soal akhlak seperti menghormati ibu bapa, kelebihan bersabar, berbaik dengan jiran, menjaga kebersihan dan sebagainya. Meskipun bermanfaat, tajuk khutbah sebegini tidak wajar diketengahkan ketika waktu penting kerana secara umumnya umat Islam sudah sepatutnya sudah sedia maklum dengan perkara ini. Pengisian sebegini boleh dilaksanakan di luar waktu khutbah seperti dalam tazkirah maghrib, atau kelas pengajian khusus mengenainya.
Ruang yang ada pada khutbah Jumaat sewajarnya dimanfaatkan bagi membangkitkan umat dan membina mereka dengan kerangka pemikiran Islam, agar khutbah tidak sekadar menjadi medium penyiaran maklumat semata-mata.
Manakala khutbah yang menyentuh isu semasa pula merangkumi apa sahaja kejadian atau peristiwa yang berkaitan dengan umat Islam baik di dalam atau di luar negara. Antara isu yang diketengahkan adalah isu pencerobohan tanah Palestin, penghinaan ke atas Islam, pembunuhan dan kezaliman ke atas umat Islam, khususnya oleh puak kuffar, peperangan, perjanjian antarabangsa yang merugikan umat Islam, pengkhianatan oleh para pemimpin, isu pemerintahan, penindasan di bawah sistem ekonomi kapitalisme, isu perkauman yang diharamkan oleh Islam, isu ketidakstabilan politik akibat penerapan sistem kufur dan sebagainya.
Khutbah sebegini sangat dekat di hati umat kerana isu sebegini bersangkut paut dengan kehidupan seharian mereka. Selain itu, isu-isu sebegini secara tidak langsung dapat menyebabkan umat Islam berfikir, setidaknya sejenak, mengenai hukum-hakam yang terkait dan memikirkan apa tindakan yang harus mereka lakukan selepas khutbah dibacakan.
Isi kandungan khutbah juga sewajarnya membawa penyelesaian tuntas menurut hukum-hakam Islam, sejajar dengan peranan Islam sebagai ‘mualajah li masyakil insan’ (penyelesaian masalah manusia). Keutamaan hendaklah diberikan dalam memilih topik-topik berkaitan isu semasa yang mendesak, agar umat Islam mempunyai kesedaran terhadapnya serta tidak lesu dan terus terleka dalam menjalani kehidupan sehari-hari.
Malangnya sangat sukar untuk mendengar khutbah seumpama itu di bumi Malaysia ini, kerana sebahagian besar masjid berada di bawah penguasaan kerajaan negeri. Hanya beberapa masjid persendirian yang mana khatibnya berani untuk menyuarakan hal-hal yang boleh membangkitkan umat. Selebihnya, khutbah sering menjadi penyampaian yang lesu yang terus melenakan para pendengarnya, sehinggalah terdengar suara bilal melakukan iqamah, barulah mereka “bangkit”.
Di samping itu, mimbar seharusnya tidak dicemari dengan kandungan khutbah yang tidak sesuai dengan syariat Islam seperti menyampaikan sesuatu yang berunsur fitnah atau memecahbelahkan masyarakat dengan menyampaikan sesuatu yang tidak berpijak pada fakta dan melaga-lagakan sesama Muslim. Khutbah Jumaat seharusnya dijadikan medium untuk menyatupadukan umat dan memberi kesedaran kepada mereka akan peri pentingnya kesatuan dan persaudaraan di dalam satu akidah. Kesatuan yang hakiki ini pula hanya akan terealisasi dengan terwujudnya Khilafah Islamiyyah.
Oleh sebab itu, walau pun para khatib adalah pihak yang makan gaji, tidak sewajarnya mereka hanya membacakan segala isi kandungan yang terdapat di dalam teks khutbah walau pun setelah diketahui terdapat kesalahan di dalamnya, lalu berlepas diri dengan kesalahan tersebut dengan alasan “saya hanya menurut perintah pihak atasan”. Sesungguhnya alasan ini tidak akan dapat menyelamatkan orang bawah sedikit pun daripada azab Allah (swt) dengan membacakan isi khutbah yang terdapat kesalahan berkenaan. Malah di Padang Mahsyar nanti pihak atasan mereka akan berlepas diri daripada mereka, dan kedua-dua mereka akan diazab oleh Allah. Firman-Nya:
وَبَرَزُوا لِلَّهِ جَمِيعًا فَقَالَ الضُّعَفَاءُ لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا إِنَّا كُنَّا لَكُمْ تَبَعًا فَهَلْ أَنْتُمْ مُغْنُونَ عَنَّا مِنْ عَذَابِ اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ ۚ قَالُوا لَوْ هَدَانَا اللَّهُ لَهَدَيْنَاكُمْ ۖ سَوَاءٌ عَلَيْنَا أَجَزِعْنَا أَمْ صَبَرْنَا مَا لَنَا مِنْ مَحِيصٍ
“Dan mereka semuanya (di padang Mahsyar) akan berkumpul menghadap ke hadirat Allah, lalu berkatalah orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong (yang menjadi pemimpinnya), ‘Sesungguhnya kami dahulu (di dunia) adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu menghindar daripada kami sedikit dari azab Allah?’ Mereka (pemimpin) menjawab, ‘Kalaulah Allah memberi petunjuk kepada kami, nescaya kami dapat memberi petunjuk kepada kamu. (Sekarang) sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau kita bersabar, sekali-kali kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri (dari azab Allah)” [TMQ Ibrahim (14):21].
Di dalam ayat lain, Dia berfirman:
وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ . إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ . وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا ۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ ۖ وَمَا هُمْ بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ
“Dan seandainya orang-orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab (pada hari Kiamat) bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat seksaNya (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu) (iaitu) ketika orang-orang yang diikuti (ketua-ketua) itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, dan mereka melihat azab dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali, dan berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut, ‘Seandainya kami dapat kembali (ke dunia) pasti kami akan berlepas diri dari mereka, sebagaimana mereka berlepas diri dari kami (pada hari ini)’. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka menjadi penyesalan bagi mereka, dan sekali-kali mereka tidak akan keluar dari (azab) neraka” [TMQ al-Baqarah (2):165-167].
Peranan mimbar Jumaat sewajarnya diluruskan dan dipelihara daripada dicemari perkara-perkara buruk yang kelak menjatuhkan kredibiliti institusi agama di mata masyarakat. Dalam pada itu, khutbah-khutbah Jumaat juga tidak seharusnya membosankan umat, tetapi mesti diisi dengan maklumat dan berita-berita yang mampu membangkitkan taraf berfikir umat. Para khatib seharusnya melihat, mengkaji dan mencontohi bagaimanakah khutbah Rasulullah (saw) setiap kali Jumaat. Inilah contoh terbaik untuk kita semua.
Wallahu a’lam.