Fikratul Ummah – Disember 2020

Mukaddimatul Kalam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Para pembaca yang dirahmati Allah,

Dalam keadaan pandemik Covid-19 yang belum berakhir, diharap semua pembaca dapat menjaga kesihatan diri, dijauhi dari segala keburukan & berada dalam lindungan Allah sentiasa.

Para pembaca sekalian, sudah bertahun-tahun lamanya umat Islam kehilangan perisainya yang terhebat, iaitu Khilafah Islam. Ketika dunia mengalami kegawatan ekonomi, kepincangan sosial dan pelbagai masalah lain, kita sebenarnya sangat memerlukan suatu sistem yang benar-benar dapat menyelesaikan segala masalah yang melanda dunia ketika ini. Sistem tersebut tidak lain ialah sistem yang datangnya dari Pencipta kita Allah SWT Yang Maha Agung, iaitu sistem Khilafah.

Oleh itu, Fikratul Ummah kali ini akan memaparkan sebuah artikel yang menjelaskan cara untuk mengembalikan semula Daulah Islamiyah. Artikel seterusnya menerangkan peranan yang sewajarnya dilakukan oleh seorang wanita dalam menegakkan kehidupan Islam. Manakala artikel yang ketiga pula akan memaparkan tentang pentingnya meningkatkan ketaatan kepada Allah SWT sebagai kunci kejayaan dalam dakwah. Semoga semua pembaca budiman mendapat pencerahan tentang topik-topik yang dibawakan kali ini dan semoga Khilfah Islam yang dirindui akan segera tertegak dengan izin-Nya in sya Allah.

Wallahu a’lam.


Cara untuk Mendirikan Khilafah Islamiyah

Oleh: Farisha Aris

Mendirikan Negara Islam atau Khilafah Islamiyah merupakan kewajipan. Terdapat banyak ayat dan hadis yang menjelaskannya, antaranya adalah Allah SWT berfirman,

“Ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat, “Sungguh Aku akan menjadikan di muka bumi Khalifah…” [TMQ al-Baqarah (2): 30].

Manakala dalam hadis juga menyatakan perkara yang sama iaitu, “Barangsiapa yang melepaskan tangannya dari ketaatan pada pemimpin, maka ia pasti bertemu Allah pada hari kiamat dengan tanpa hujah yang membelanya. Barangsiapa yang mati dalam keadaan tidak ada bai’at di lehernya, maka ia mati dengan cara mati jahiliah” [HR Muslim no. 1851].

Dalil kewajipannya telah jelas, seterusnya kita mesti merujuk pula kepada syariat bagaimana cara untuk  melaksanakannya. Ini kerana pastinya telah ada tatacara yang diambil daripada sunnah Nabi SAW.  Sunnah Nabi SAW telah menunjukkan satu metodologi yang jelas berkenaan perkara tersebut yang merangkumi tiga peringkat (marhalah) khusus seperti berikut:

Peringkat pembinaan (at-Tatsqif)

Pada peringkat ini, Rasulullah SAW telah membina keimanan para sahabat yang awal masuk Islam untuk dipersiapkan menjadi pemikul dakwah Islam. Proses ini dilakukan secara rahsia di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam RA dan berlangsung selama tiga tahun pertama. Rasulullah SAW membina parti politiknya dari kalangan sahabat-sahabat yang telah menerima Islam yang dibimbing dan dibentuk dengan pemikiran Islam.

Peringkat berinteraksi dengan umat (at-Tafa’ul ma al Ummah)

Pada peringkat ini, Rasulullah SAW dan para  sahabat mula berdakwah secara terang-terangan di tengah-tengah  masyarakat  sejak turunnya perintah Allah SWT dalam firmanNya,

“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik” [TMQ al-Hijr (15): 94].

Ketika fasa ini, Rasulullah SAW dan para sahabat telah melakukan ash-shiraa’ al-fikri (pergolakan pemikiran) dan al-kifaah as-siyaasi (perjuangan politik). Pada peringkat ini jugalah, Rasulullah SAW dan para sahabat melakukan thalabun nushrah (meminta pertolongan) kepada ahlul quwwah (pemegang kekuatan) dengan mendatangi kabilah-kabilah Arab untuk menyeru mereka kepada Islam, menawarkan dirinya untuk dilindungi dalam mendakwahkan Islam serta diberi kekuasaan penuh untuk menerapkan atas umat Islam.

Peringkat terakhir – pengambil-alihan kekuasaan (Istilam al-hukmi)

Setelah Rasulullah SAW menerima nusrah serta dukungan umat yang besar dari kabilah Aus dan Khazraj di Madinah, maka tertegaklah Daulah Islamiyah di Madinah di mana baginda sendiri yang menjadi pemimpinnya dalam menerapkan Islam dan mendakwahkannya ke seluruh penjuru dunia.

Secara umumnya umat Islam pada hari ini berada dalam situasi yang sama dengan masyarakat Mekah dari sudut pemikiran, perasaan dan sistem kufur yang mendominasinya. Hanya sahaja yang berbeza adalah kepercayaan majoriti individu iaitu kebanyakan masyarakat Mekah adalah musyrik manakala masyarakat hari ini kebanyakannya Muslim. Oleh sebab itu, apa yang kita lakukan adalah menyeru mereka untuk melanjutkan kehidupan Islam di bawah pemerintahan institusi Negara yang disebut sebagai Khilafah Islamiyah. Dalam usaha untuk mendirikan Khilafah Islamiyah, kita wajib  terikat dan konsisten dalam mencontohi apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika baginda berdakwah di Mekah sepertimana yang telah diceritakan dalam sirah. Kita tidak boleh mengambil metodologi yang lain kerana sekiranya dilakukan, maka sama seperti meninggalkan hukum syarak. Ini kerana Allah SWT telah menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan terbaik dan ia adalah kefardhuan bagi kita. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah SAW itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangannya hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (TMQ al-Ahzab [33]: 21).

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah” [TMQ al-Hasyr (59): 7].

Seterusnya, untuk merealisasikan metodologi yang merangkumi tiga peringkat khusus tersebut, Allah SWT telah memerintahkan supaya menubuhkan satu kumpulan/kelompok dalam kalangan umat Islam yang melaksanakan dakwah dan melakukan amar makruf nahi mungkar sepertimana firmanNya,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ Ali-Imran (3): 104].

Ayat ini menyeru umat ke arah penerapan Islam secara keseluruhan, memuhasabah pemerintah dan mendirikan agama Allah SWT.

Menangani Perbezaan Metodologi dalam Mendirikan Khilafah

Terdapat perbezaan metodologi dalam menegakkan Khilafah yang terbahagi kepada dua iaitu: Pertama, metodologi yang merupakan hasil istinbath dari nas-nas syarak, dan Kedua, metodologi yang bukan merupakan hasil istinbath dari nas-nas syarak. Berikut merupakan beberapa contoh metodologi kedua:

a. Mendirikan Khilafah dengan menggunakan “tangan” (aktiviti fizikal)

Pendapat tersebut dilandaskan pada hadis, dari Abu Sa’id berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Siapa-siapa di antara kalian yang menjumpai kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.” (HR. Muslim)

Mereka beralasan bahawa penerapan sistem selain Islam adalah kemungkaran yang sangat besar, serta memahami “mengubah dengan tangan” sebagai aktiviti fizikal yang merupakan suatu bentuk kekerasan.

b. Mendirikan Khilafah dengan bermusyarakah dalam sistem kufur

Metodologi ini bukan hasil istinbath terhadap nas-nas syarak melainkan landasannya adalah logik akal semata-mata. Contohnya, sekiranya ingin mengubah suatu sistem seharusnya dengan cara masuk ke dalam sistem tersebut kerana alasannya tidak mungkin boleh mengubah sistem dari luar sistem tersebut.

c. Mendirikan Khilafah dengan memulainya dari pendidikan, memperbaiki akhlak, memperbaiki ekonomi, memperbanyak amalan-amalan sunah dan sebagainya.

Sesungguhnya metodologi ini juga bukan hasil istinbath terhadap nas-nas syarak melainkan landasannya adalah logik akal sebagaimana dijelaskan di atas. Jika dilihat secara logik akal manusia tampak ada benarnya tetapi semua itu bukan metodologi untuk mendirikan Khilafah Islamiyah kerana ia tidak seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika fasa dakwah di Mekah.

Khatimah

Justeru, berdasarkan penjelasan di atas yang disokong oleh nas-nas syarak, maka jelaslah bahawa metodologi untuk mendirikan Khilafah yang benar dan hakiki adalah sepertimana yang ditujukkan oleh Rasulullah SAW. Sesungguhnya tidak ada maslahat yang lebih besar dan lebih agung daripada penerapan hukum-hukum Allah SWT di tengah-tengah masyarakat yang hanya boleh dilaksanakan dengan terwujudnya institusi Negara tunggal iaitu Khilafah Islamiyah. Inilah satu-satunya cara yang dapat menyelamatkan kaum Muslim dari kekufuran, kezaliman dan kefasikan.

Wallahu ‘alam bissowab.

Sumber rujukan:


Wanita dan Peradaban Islam

Mukadimah

Sejarah Peradaban menyaksikan bahawa wanita adalah antara tulang belakang kepada pembangunan sebuah peradaban. Dunia telah melangkaui dan melalui pelbagai pembangunan peradaban bersama wanita-wanita yang hebat. Namun pengiktirafan wanita dan ‘bisanya’ di pandang sepi oleh peradaban-peradaban yang lalu. Banyak cerita sedih dan pilu apabila ia terkait dengan wanita. Malah ada diantara peradaban yang meletakkan wanita hanya sebagai  “hiasan” untuk memperindah sebuah lagenda. Kedatangan Islam yang di bawa oleh Muhammad SAW pada 1442-H lalu telah membawa sebuah peradaban yang sangat gemilang dan membawa wanita ke mercu yang mulia. Kehormatan mereka diangkat ke tahap yang maksima sehingga kewujudan wanita itu amat dihargai. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW penghormatan terhadap wanita diteruskan oleh khalifah-khalifah yang ada selepas Baginda SAW.

Wanita sebelum kedatangan Islam

Keadaan dan nasib wanita sebelum kedatangan Islam berada dalam keadaan yang amat menyedihkan serta berlakunya ketidak adilan secara berleluasa. Pada zaman Jahilliyah arab misalnya, kelahiran anak perempuan merupakan sesuatu yang amat dikesali. Malah bayi perempuan di tanam hidup-hidup demi menutup aib akibat kelahiran ini. Wanita dianggap sebagai makhluk hina, lemah, kotor, tidak berharga, malah memberi aib kepada keluarga. Selain itu, terdapat juga pelbagai kepercayan kuno warisan yang mengganggap wanita adalah pembawa sial dan sumber laknat. Di sebahagian peradaban lain,  wanita ketika kedatangan haid akan dibuang keluar daerah untuk sementara waktu kerana wanita ketika itu dianggap hina, lemah dan kotor. Malah ada sesetengah peradaban menganggap wanita adalah makhluk yang tidak mempunyai roh. Mereka juga tidak mendapat harta pusaka atau warisan. Betapa hinanya pandangan dan kedudukan wanita di mata mereka ketika itu.

Wanita selepas kedatangan Islam

Selepas Madinah menjadi ibu kota Peradaban Islam. Fitrah wanita kembali diangkat sehingga ia menjadi mercu kehormatan yang wajib dijaga. Di sisi Islam, wanita dan lelaki adalah sama. Setiap daripada mereka menggalas tanggungjawab yang adakalanya khusus mengikut gendernya. Yang membezakan antara kedua-dua gender ini adalah nilai taqwanya. Ini jelas sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rabb yang yang Maha Pencipta dalam kitab sucinya:

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)” [TMQ al-Hujurat(49): 13]

Islam membawa dimensi dan momen yang indah buat kaum wanita. Fitrahnya di kembalikan. Kehormatannya dijaga begitu juga kebajikannya. Malah wanita bebas menjadi dirinya. Wanita diizinkan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya selagi ia dalam cakupan yang tidak melanggar hukum Syarak. Layanan yang hebat ini hanya ditemukan dalam sejarah peradaban Islam. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW: “Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin(pengurus) rumah suaminya dan anak-anaknya, ia bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya”.  [HR Muslim].

Wanita selaku insan yang memakmurkan peradaban di benarkan untuk menuntut ilmu setinggi-tingginya tanpa halangan kewangan atau akademik. Wanita yang berilmu pasti melahirkan generasi unggul penerus peradaban mulia ini. Selain itu, wanita juga terlibat dengan kewajiban berdakwah kepada kebenaran, memuhasabah pemimpin serta melakukan amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat.

Sebagai satu contoh bagi menunjukkan hebatnya sebuah peradaban Islam ini, sejarah menyaksikan bagaimana Daulah Islam menjaga maruah seorang wanita. Pada zaman Khalifah Al Muktasim (833-842M) sejarah telah menyaksikan bagaimana seorang pemimpin telah  membela kehormatan wanita. Al-Muktasim adalah seorang Khalifah yang hidup dalam zaman Keemasan Islam iaitu zaman khilafah Abbasiyyah (752- 1258M). Beliau mempersiapkan bala tenteranya dan melancarkan jihad ke atas Rom kerana telah menahan dan cuba mencabul kehormatan seorang muslimah di Amuriyyah.  Imam Sayuti dalam Tarikh al-Khulafa’ menulis bahawa 3000 tentera Rom telah terkorban dan 30,000 yang lain ditawan di dalam peperangan ini. Muslimah tersebut berjaya dibebaskan dan kemuliaannya dikembalikan.

Pesona Wanita terhadap Peradaban Islam

Kegemilangan suatu peradaban tidak pernah terlepas dari peranan seorang ibu yang berjaya memelihara dan mendidik anak-anaknya dengan tekun, sabar, penuh kasih sayang sehingga menjadi generasi-generasi yang kuat dan berkualiti sama ada dari segi iman, kecerdasan dan berjiwa pemimpin. Tidak mungkin ada seorang penghafal al-Quran jika tidak ada orang tua terutamanya ibu yang mengajarkannya, tidak mungkin ada seorang ahli hadith jika tidak ada seorang ibu yang melatihnya, tidak ada seorang yang soleh dan baik jika tidak ada ibu yang mengajarkan kebaikan kepadanya.

Kehebatan peradaban Islam sampai hingga ke Nusantara. Selepas kewafatan Rasulullah SAW khalifah- khalifah (Ar Rasyiduun, Umawiyyah, Abassiyyah dan Uthmaniyyah) sesudah baginda terus membawa peradaban ini ke Nusantara. Islam yang mengangkat kehormatan kaum wanita ini telah bercerita bagaimana Islam telah melahirkan wanita hebat walau dimana ia sampai termasuklah di Nusantara. Tidak ada jawapan yang tepat bagi memastikan siapakah yang pertama sekali menyebarkan Islam di Nusantara kerana tiada bukti sahih yang ditemui bagi memastikan bilakah tarikh kedatangan mereka dan golongan manakah yang terlebih dahulu menyebarkan Islam. Walau bagaimanapun, dengan berpandukan beberapa penemuan batu bersurat dan catatan sejarah yang dibaca, ahli-ahli sejarawan tempatan telah membuat pelbagai teori kedatangan Islam ke Nusantara . Namun yang menariknya tetap ada tokoh wanita yang lahir di Nusantara dari Peradaban Islam ini.  Wanita terus berada di tahap kemuliaannya sehinggalah berakhirnya masa keagungan Peradaban Islam ini pada 3 Mac 1924. Umat Islam sudah tiada lagi sandaran dan harapan. Selepas sahaja aura peradaban Islam itu dihilangkan dari benak kaum muslimin, wanita kembali derita dan sengsara. Sultan adalah gelaran kepada kepimpinan di Nusantara yang menerima Islam sebagai Perlembagaan dan Undang-undang. Sebagai contoh “Qanun Melaka”. Kesultanan Melayu yang lalu memainkan peranan besar bukan saja sebagai pusat penyebaran, perkembangan dan pendidikan ilmu dalam abad ke-14 dan 15 masihi, bahkan mencorak peradaban Islam di alam Melayu dan Nusantara.

Penutup

Realiti hari ini menyaksikan rata-rata negeri umat Islam Nusantara “kehilangan” jatidiri Muslimahnya kerana sudah tiada lagi sebuah institusi Khilafah yang menjaga kemuliaan Peradaban Islam dan kemuliaan wanitanya. Umat masih dijajah di bawah belenggu politik Barat walaupun ditampal sulam dengan sebahagian nilai-nilai Islam. Peradaban Islam telah dicemari dengan serangan pemikiran terstruktur dari Barat. Ini merupakan malapetaka dan bencana yang luar biasa kepada umat Islam khususnya kaum Muslimah, ini kerana wanitalah yang melahirkan Generasi. Rosak Muslimah, rosaklah generasi. Maka dengan keadaan tersebut kemuliaan Islam tercabut dengan lebih mudah. Oleh yang demikian, mengerahkan segala kudrat dan kesungguhan dalam usaha mengubah kearah landskap politik Islam agar peradaban itu kembali merupakan suatu tuntutan mendesak bagi umat Islam pada saat ini. Sesungguhnya, kesempurnaan iman itu adalah apabila kita mengambil dan mengamalkan Islam dalam semua aspek kehidupan, bukannya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Allahu’alam.


Meningkatkan Ketaatan kepada Allah SWT adalah Kunci Kejayaan Dakwah

Muqaddimah

Dakwah adalah  satu kewajipan yang sangat berat untuk dipikul oleh seorang muslim.  Walaupun dakwah hanya bermodalkan lisan atau kata-kata untuk menyampaikan kebenaran (Islam) namun begitu berat  untuk dilaksanakan kerana dakwah  memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Sebagai contoh, kisah Nabi Nuh AS yang mendakwahkan kaumnya  selama lebih kurang 950 tahun, namun penerimaan daripada kaumnya sangatlah sedikit sehingga Nabi Nuh AS berkata kepada Allah SWT,  “Tuhanku, sesungguhnya aku telah mendakwahi kaumku siang dan malam” [TMQ Nuh (71): 5].

Dakwah juga selalu bergandingan dengan ujian dan rintangan malah memerlukan pengorbanan yang sangat besar. Apabila kita menyelak lembaran sirah, dapat kita temukan betapa sulitnya rintangan, beratnya ujian, dan besarnya pergorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA dalam menyebarkan Islam sehingga Islam tertegak dalam wadah sebuah negara.

Begitu juga dalam konteks dakwah pada hari ini, apabila kita ingin mengambil Islam bukan hanya sebagai satu kepercayaan atau agama, malah kita ingin mengambil Islam sebagai aturan kehidupan, maka kita juga pasti berdepan dengan liku-liku dan cabaran dakwah. Hal ini kerana dakwah berperanan untuk mengubah  kehidupan umat Islam pada hari ini yang tidak lagi mengamalkan Islam  secara kaffah (menyeluruh) kepada kehidupan yang berpegang teguh pada syariat dalam semua aspek kehidupan.

Dengan dakwahlah duka lara umat Islam akibat diatur oleh sistem kufur barat dalam pelbagai aspek seperti   ekonomi, sosial, pemerintahan, sistem hukuman dan sistem pendidikan dapat diubah kepada sistem Islam. Dengan dakwah jugalah sistem jahiliah moden dapat dihapuskan seperti terkuburnya sistem jahiliah pada era kemunculan Islam di Mekah. Sebagaimana rintangan dan ujian dakwah yang dihadapi oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA, begitulah yang sedang dan bakal dihadapi oleh para pendakwah hari ini.  Perjuangan  dakwah Rasulullah SAW  adalah  untuk mewujudkan kehidupan Islam dalam bingkai sebuah negara, begitulah dakwah yang perlu berjalan pada hari ini, iaitu dakwah mengembalikan kehidupan Islam dalam bingkai daulah Islam.

Keteladanan Dalam Dakwah

Contoh teladan yang layak untuk diikuti sudah tentunya Rasulullah SAW.  Baginda telah menunjukkan thariqah (metod) untuk mendirikan daulah. Fasa pertama dalam thariqah dakwah Rasulullah SAW adalah dengan melakukan tastqif (pembinaan). Setelah para sahabat memeluk Islam maka Rasulullah SAW melakukan tastqif untuk membentuk aqliyah (pemikiran) Islam dalam diri para sahabat sekali gus menguatkan nafsiyah Islam sehingga muncul syakhsiyyah (keperibadian) Islam dalam diri para sahabat.

Jadi, tidak hairanlah ketika para sahabat RA menyebarkan Islam mereka tetap istiqamah walaupun  mereka tahu risiko dalam berdakwah iaitu mereka berhadapan dengan rintangan dan ujian daripada kaum kafir Quraisy. Abdullah bin Mas’ud RA, seorang sahabat Rasulullah SAW  begitu berani untuk membacakan al-Quran di tempat berkumpulnya orang-orang Quraisy sehingga dibelasah, bahkan beliau sanggup melakukannya lagi pada keesokan harinya. Terdapat banyak lagi kisah-kisah daripada para sahabat yang boleh dijadikan teladan untuk kita tetap teguh dalam jalan dakwah.

Sungguh luar biasa hasil didikan dan pembinaan (tastqif) Rasulullah SAW terhadap para sahabat sehingga menjadikan para sahabat seorang yang tegar  dan sentiasa bersemangat dalam barisan dakwah dan perjuangan dalam menyebarkan risalah Islam.

Kunci Kejayaan Dakwah

Rasulullah SAW dan para sahabat telah menjadikan dakwah sebagai jalan hidup sehingga hidup dan mati mereka semata-mata untuk dakwah. Mereka sanggup menghadapi segala ujian dan tentangan daripada kaum kafir Quraisy sehingga mereka dicaci, diseksa, bahkan sehingga diancam dengan kematian. Sangat mengagumkan, mereka tetap istiqamah semata-mata demi menyampaikan risalah Islam.

Keteguhan Rasulullah SAW dan para Sahabat RA dalam menyebarkan Islam sungguh menginspirasikan. Kekuatan dan keteguhan mereka di jalan dakwah adalah disebabkan pembinaan ruhiyah yang sangat kuat dalam diri mereka. Dalam konteks ibadah, Rasulullah SAW adalah orang yang paling banyak melakukannya. Baginda tidak pernah meninggalkan solat malam, bahkan baginda melakukannya sehingga kakinya bengkak. Tidak kurang juga dalam kalangan para sahabat RA yang sering menjadikan al-Quran sebagai teman. Terdapat para sahabat yang khatam al-Quran sekurang-kurangnya  sekali dalam sebulan seperti Abdullah bin Mas’ud, Zaid bin Tsabit dan banyak lagi.  Uthman bin Affan juga sering khatam al-Quran hanya dalam tempoh satu malam dan itu dilakukan ketika melakukan solat malam.

Sebagai seorang pengemban dakwah tidak kira lelaki dan wanita memang adakalanya terjadi yazid wa yanqus (naik dan turunnya) keimanan dan semangat dalam dakwah. Semua itu wajar terjadi kerana kita hanya manusia biasa yang banyak kekurangan. Namun, seorang pendakwah tidak boleh membiarkan dirinya terbuai dengan rasa malas, berputus asa dan tidak bersemangat. Seorang pendakwah mestilah segera mendapatkan ‘rawatan’ agar pendakwah dapat mengembalikan semula semangat juang dakwah dengan kadar segera. Tiada cara lain dalam  menyembuhkan  jiwa yang goyah melainkan dengan meningkatkan keimanan dan menyedari tujuan kehidupan, iaitu semata-mata untuk meraih kemuliaan di sisi Allah.

Meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dapat dilakukan  dengan memperbanyak aktiviti ruhiyah sekaligus dapat melaksanakan taqarrub ilaallah (mendekatkan diri kepada Allah SWT). Selain melaksanakan ibadah wajib, ibadah-ibadah sunah seperti solat malam (tahajud) perlu menjadi rutin harian seorang pengemban dakwah kerana solat malam itu diumpamakan seperti madrasah yang paling agung bagi pendakwah.

Dalam buku motivasi berjudul Pesan-pesan Menggugah untuk Pengemban Dakwah nukilan Dr Najih Ibrahim ada menyatakan, “Sesungguhnya solat malam keperluan yang sangat penting bagi seorang muslim, apalagi bagi orang-orang yang memperjuangkan Islam dan para pengemban amanah agama yang berat ini iaitu dakwah, melakukan amar makruf nahi mungkar, jihad dan menyatakan kebenaran”

Firman Allah SWT, “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah untuk menunaikan solat pada malam hari, kecuali sedikit daripadanya iaitu seperdua atau kurang dan seperdua itu sedikit, atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil.” [TMQ Al-Muzammil (73): 1-4].

Mengapa ada perintah seperti itu? Allah berfirman dalam ayat seterusnya, “Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang sangat berat.” [TMQ Al-Muzammil (73): 5].

Perkataan yang berat itu adalah amanah yang sulit, beban yang berat serta perintah-perintah yang memerlukan tekad kuat dan semangat yang tinggi. Itulah amanah yang ditolak oleh langit dan bumi kerana tidak sanggup untuk memikulnya, lalu dibebankan ke atas manusia. Amanah itu adalah dakwah, amar makruf nah mungkar dan jihad fi sabilillah.

Ketundukkan kita pada malam hari adalah kunci kekuatan kita pada siang hari. Ketika hati kita terluka dek dakwah yang ditolak, kepada Allah yang Maha Esa kita adukan segala kesakitan dan kita mohonkan seribu kekuatan agar langkah kita  tidak sekali-kali terhenti.  Sujud kita pada malam hari adalah jalan kemuliaan kita pada siang hari. Pendakwah yang tanpa jemu meminta pertolongan dari Allah pada malam hari, nescaya tawakalnya pada siang hari semata-mata bergantung kepada Allah sehingga segala liku-liku dakwah dihadapinya dengan ikhlas. Kekhusyukkan kita pada malam hari adalah senjata kemenangan kita atas musuh serta rahsia kejayaan kita dijalan dakwah. Ruhiyah yang terbentuk semata-mata untuk mendapatkan redha Allah tidak akan mempedulikan kecaman, kritikan, fitnah, apatah lagi mengutamakan keseronokan dunia. Fokus hidupnya adalah semata-mata mencari redha Allah.

Selain itu, sebagai seorang pendakwah kita hendaklah memperbanyakkan doa kerana doa adalah senjata bagi orang beriman. Mohonlah pertolongan kepada Allah SWT atas segala keperluan kita termasuklah dalam perihal dakwah. Seorang pengemban dakwah juga boleh meningkatkan keimanan dengan melakukan qiamullail, membaca dan tadabbur al-Quran, berpuasa sunat  dan bersedekah.

Dalam masa yang sama, seorang pendakwah juga harus sentiasa berhati-hati dalam setiap perbuatannya dengan menjauhkan perbuatan yang sia-sia terutamanya perbuatan dosa dan tetap berpegang teguh dengan hukum syarak. Seorang pendakwah juga haruslah bijak menyelesaikan masalah peribadi dan mengatur hidupnya dengan sebaik-baiknya agar kewajipan dakwah tetap dapat berjalan. Seorang pendakwah akan berusaha mengatasi segala halangan dalam dakwah dengan sebaik-baiknya. Pekerjaan, kemiskinan, masalah rumahtangga dan apa-apa juga bentuk masalah yang wujud dalam kehidupan seorang pendakwah perlu diselesaikan dengan rasional tanpa meninggalkan dakwah. Dakwah tetap perlu berjalan kerana sesungguhnya pendakwah adalah permata yang dinanti-nanti oleh umat untuk mengeluarkan mereka daripada kegelapan. Kebijaksanaan pendakwah dalam mengatur masalah peribadi akan memberikan imej dan contoh yang baik kepada umat dalam pelbagai aspek.

Khatimah

Wahai sahabat dakwah dan seperjuangan! Ingatlah ketika kita menginginkan sesuatu yang besar yakni sebuah negara yang akan mengimplimentasikan aturan Islam secara kaffah maka kita juga harus tahu akan besarnya risiko, banyaknya usaha yang harus dikerahkan dan harus bersedia untuk mengorbankan apa-apa sahaja yang dimiliki. Sebagai seorang pendakwah juga kita hendaklah sentiasa muhasabah diri sama ada kita sudah bersungguh-sungguh mengerahkan segala kekuatan  dan daya usaha untuk dakwah dan perjuangan ini?

Oleh itu, sentiasalah menguatkan antara satu sama lain agar kita semua tetap istiqamah dalam dakwah dan perjuangan ini. Yakinlah bahawa Allah SWT akan menolong para hambanya dalam urusan dakwah ini kerana itu janji Allah SWT.

“Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu dan akan meneguhkan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47): 7].

Wallahu A’lam

Rujukan

  • Terjemahan Al-Quran
  • Buku pesan-pesan mengugah untuk pengemban dakwah, Dr Najih Ibrahim
  • Buku pilar-pilar pengokoh nafsiyah islamiyah, Sheikh Taqiyuddin An-Nabhani