Fikratul Ummah – Disember 2009

 

Dari Lidah Pengarang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Kita telah mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 1430H. Kehadiran tahun baru 1431 Hijrah beserta cabaran-cabarannya diharap akan dapat memberi harapan baru kepada para Muslimah khususnya, seandainya timbul kesedaran  dalam jiwa mereka bahawasanya hijrah yang perlu dilalui hendaklah dilakukan dengan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah dengan mengkaji secara mendalam sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Salam serta para sahabat baginda, dan bukan hanya ingin melakukan perubahan dan hijrah demi untuk meraih kenikmatan dunia semata-mata.

Alhamdulillah, Fikratul Ummah kali ini memaparkan dua buah artikel dengan tajuk Peranan Asma’ Dalam Peristiwa Hijrah:  Relevannya Dengan Perjuangan Muslimah Masa Kini serta Hijrah dan Pengorbanan: Fizikal dan Mental yang lebih menjurus kepada cara untuk mengembalikan fungsi ibu sebagai tiang negara.  Fikratullah Ummah juga memaparkan bahagian ke-3 dan akhir artikel terjemahan Adakah Islam Menindas Wanita.

Semoga apa yang disajikan akan memberi panduan kepada wanita bahawasanya untuk mengangkat martabat wanita di sisi Rabbnya, mereka hendaklah memahami fungsi, peranan dan tanggungjawab disisi agama, meneladani pengorbanan yang dilakukan oleh para sahabiyah dan menyedari bahawa agama Islam yang mulia ini tidak sekali-kali meminggirkan kaum yang dianggap lemah ini.

Wallahu ‘alam bisshawab.


Peranan Asma’ Dalam Peristiwa Hijrah:  Relevannya Dengan Perjuangan Muslimah Masa Kini

Peristiwa Hijrah
Peristiwa Hijrah adalah satu titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam secara amnya dan khususnya ke arah tertegaknya Negara Islam Madinah yang dipimpin oleh baginda Rasulullah Sallallahu Alihi wa Sallam. Nama-nama seperti Abu Bakar as-Siddiq, Ali dan Asma’ begitu sinonim dengan peristiwa Hijrah. Masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar dalam peristiwa agung ini.

Perisitwa Hijrah juga boleh dikatakan sebagai klimaks kepada penentangan Kuffar Quraisy terhadap ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alihi wa Sallam di mana bukan lagi penderaan fizikal yang difokuskan malah lebih hebat dari itu iaitu nyawa baginda Rasulullah yang menjadi taruhan mereka. Pemuka Quraisy telah berkumpul di Daar an-Nadwah pada hari yang dikenali sebagai Hari Az-Zahmah untuk bermesyuarat sesama mereka bagaimana cara yang paling baik untuk menghalang Rasulullah dan mematahkan pengikut-pengikut Rasulullah yang semakin ramai bilangannya.  Iblis laknatullah telah menyertai mesyuarat tersebut dan menyamar menjadi seorang tua yang terhormat dan meminta agar nasihat dan pandangannya diikuti.  Dua usulan telah ditolak iaitu untuk memenjarakan Rasulullah dan membuang negeri.  Usulan ketiga dari Abu Jahal disambut baik oleh Iblis yang menyamar tadi iaitu usulan agar Rasulullah dihabiskan riwayatnya. Setelah itu mereka semua bersurai dan sepakat untuk mengadakan perancangan untuk membunuh Rasulullah. 

Setelah itu beberapa orang pemuda Quraisy yang telah dipilih pergi ke rumah Rasulullah bertujuan untuk mengepung baginda dan membunuhnya sebaik sahaja baginda keluar dari rumah.  Malaikat Jibril datang kepada Rasulullah dan berkata kepada baginda Rasul agar jangan tidur di perbaringan yang biasa baginda beradu.  Rasulullah tahu bahawa di luar rumahnya ada pemuda-pemuda Quraisy bersama Abu Jahal yang sedang mengintip baginda.  Baginda kemudian memerintahkan Ali agar tidur di peraduan baginda dan mengenakan selimut yang biasa baginda gunakan ketika tidur.  Pemuda-pemuda Quraisy masih berada di luar rumah Rasulullah dan menunggu saatnya Rasulullah keluar dari rumah agar mereka dapat memenggal kepala Rasulullah.  Dengan izin Allah jua, Rasulullah keluar dari rumah baginda, dengan mengambil segenggam tanah dan menaburkan ke atas kepala pemuda-pemuda Quraisy bersama-sama Abu Jahal yang sedang menunggu untuk membunuh baginda.  Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala telah menutup mata mereka sehingga mereka tidak sedar Rasulullah telah keluar dari rumahnya. 

Diriwayatkan bahawa Rasulullah membaca surah Yaa Siin ayat 1-9 sambil menaburkan tanah di atas kepala mereka.  Mereka semua berada dalam keadaan tidak sedar sehingga datang seorang lagi pemuda dan bertanya kepada mereka apa yang sedang mereka tunggu?  Mereka menjawab bahawa mereka menunggu Muhammad.  Orang muda itu berkata lagi bahawa Muhammad telah keluar dari rumahnya dan menaburkan tanah di atas kepala mereka.  Mereka tidak percaya dan setiap mereka meletakkan tangan ke atas kepala untuk kepastian, ada tanah di atas kepala masing-masing.  Mereka masih tidak percaya Muhammad telah keluar, mereka menyangkakan Muhammad masih di perbaringan walhal Ali yang telah menggantikan baginda Rasulullah.  Setelah melihat dengan pasti bahawa di perbaringan itu adalah Ali dan bukannya Muhammad, barulah mereka percaya kata-kata pemuda tadi.

Allah Subhanahu wa Taala telah merakamkan peristiwa ini dalam firmanNya dalam surah Al-Anfal ayat ke 30: “Dan ingatlah ketika orang-orang kafir memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu.  Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya”

Rasulullah berada di Gua Tsur
Ketika Rasulullah memutuskan keluar dari Mekah dan hijrah ke Madinah beliau pergi ke rumah Abu Bakar bin Abu Quhafah, kemudian kedua-dua sahabat ini keluar dari pintu rahsia rumah Abu Bakar.  Mereka bergerak menuju Gua Tsur dan mendiami gua tersebut.  Mereka tiba di gua tersebut di malam hari dan Abu Bakar terlebih dahulu memasuki gua untuk memastikan tidak ada binatang buas di dalam gua tersebut.  Perkara ini dilakukan oleh Abu Bakar untuk menjamin keselamatan Rasulullah.  Untuk mendapatkan maklumat tentang perancangan Kuffar Quraisy seterusnya ke atas Rasulullah, Abu Bakar telah mengarahkan anaknya Abdullah bin Abu Bakar untuk mendengar perbualan mereka dan memerintahkan mantan budaknya (bekas hamba) untuk mengembala kambing di sekitar Gua Tsur, agar jejak mereka tidak dapat dikesan oleh Kuffar Quraisy.  Manakala anak perempuannya, Asma’ telah ditugaskan untuk menghantar bekalan makanan kepada dirinya dan Rasulullah yang sedang bersembunyi di dalam gua.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di Gua Tsur selama tiga hari.  Ketika orang-orang Quraisy kehilangan Rasulullah, mereka  telah menawarkan imbuhan yang lumayan kepada sesiapa yang mengetahui di mana tempat persembunyian Rasulullah dengan menawarkan seratus ekor unta.

Asma’ dan peranannya dalam peristiwa Hijrah
Kuffar Quraisy terus menjejaki dan mencari tempat persembunyian Rasulullah, setelah tiga hari berlalu, mereka masih tidak berjaya menemukannya. Mereka tidak lagi bercakap-cakap tentang perancangan mereka ke atas Rasulullah. Walaupun Kuffar Quraisy telah menghentikan pencarian mereka, keadaan masih cemas dan langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk melindungi perjalanan hijrah Rasul ke Madinah.  Tiba masanya Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari persembunyian dan memulakan perjalanan menuju ke Madinah.  Dengan langkah yang penuh berhati-hati, Asma’ perlu memastikan bekalan makanan sampai kepada ayahandanya dan baginda Rasulullah, pada masa yang sama jejaknya mesti dihapuskan agar tidak dapat dijejaki oleh Kuffar Quraisy.  Asma’ telah membawa bekalan makanan dan pada masa yang sama mengembala kambing di belakangnya. Dengan cara ini jejaknya akan terhapus oleh jejak-jejak kambing yang digembalanya.

Dengan tabah dan penuh keberanian Asma’ telah menjalankan satu misi yang besar, di saat nyawa baginda Rasulullah diancam oleh Kuffar Quraisy, Asma’ perlu memastikan langkahnya tidak dapat dikesan oleh kaum Kuffar yang ingin membunuh Rasulullah.  Asma’ berjaya membawa bekalan makanan untuk hijrah Rasulullah dan ayahandanya, namun terlupa untuk membawa tali pengikat makanan tersebut.  Mungkin juga keadaan cemas membuatkan beliau terlupa akan ikatan makanan.  Dengan kecerdasan akalnya, beliau telah membelah dua tali ikat pinggangnya dan digunakan untuk mengikat makanan bekalan.  Asma’ telah diberi gelaran Dzatu An-Nithaqaini (wanita yang memiliki dua tali pinggang) berikutan peristiwa tersebut dan Rasulullah telah mendoakan semoga beliau diberi ganti dengan tali pinggang yang lebih baik di syurga kelak.

Setelah Rasulullah dan Abu bakar berangkat ke Madinah, Asma’ pulang ke rumah.  Sekembalinya Asma’ ke rumah, beliau telah didatangi oleh Abu Jahal dan beberapa Kuffar Quraisy yang lain, mereka bertanyakan kepada Asma’ di mana ayahnya, Abu Bakar berada. Dengan tenang Asma’ menjawab, “Demi Allah aku tidak tahu ke mana ayahku pergi”. Abu Jahal berasa tidak puas hati dan sangat marah, dia menampar pipi Asma’ sehingga anting-anting yang dipakai di telinganya tercabut dek tamparan tersebut.  Setelah itu, mereka berlalu pergi. Diriwayatkan dari Ibnu Ishaq, sesungguhnya Asma’ tidak mengetahui ke mana hala tuju baginda Rasulullah dan ayahandanya sehinggalah pada satu hari datang seorang penyair mendendangkan dalam bait-bait syairnya yang mengisyaratkan tentang penghijrahan Rasulullah bersama Abu Bakar dan bekas hambanya serta seorang si penunjuk jalan. Dari bait-bait syairnya barulah Asma’ tahu bahawa Rasulullah dan ayahandanya menuju ke Madinah. Bayangkan anak-anak pada hari ini yang tidak mengetahui kemanakah gerangan ayahandanya atau diluar pemantauan ibu-bapa mereka, dapatkah mereka menjaga diri, maruah keluarga, agama?

Relevannya Peranan Asma’ dalam Dakwah Hari Ini
Setelah mengikuti secebis dari coretan rentetan peristiwa Hijrah Rasulullah yang penuh getir dan cabaran khususnya peranan seorang muslimah yang unggul dalam kisah ini iaitu Asma’ binti Abu Bakar, mungkin satu persoalan timbul di benak kita, apakah relevannya peranan Asma’ dalam kisah peristiwa Hijrah dengan peranan muslimah dalam misi dakwah masa kini?  Apakah bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh Asma’?  Untuk apakah Asma’ sanggup mempertaruhkan keselamatan dirinya, adakah semata-mata untuk bekalan makanan selamat sampai?  Atau untuk sesuatu yang jauh lebih besar dari itu?

Muslimah yang dirahmati Allah sekalian,
pengorbanan yang dilakukan oleh Asma’ ini bukanlah untuk ayahandanya atau untuk baginda Rasulullah samata-mata, malah pengorbanan ini adalah untuk Islam, Deen yang mulia yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Taala. Intipatinya di sini, Asma’ telah menyelamatkan Islam dari musuh-musuh Islam, dari orang-orang yang berniat untuk mengkhianati agama Allah.  Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Taala berfirman dalam surah Muhammad ayat 7: “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”

Surah Muhammad adalah kumpulan surah-surah Madaniyah yang mana nuzulnya berlaku selepas peristiwa Hijrah. Dalam erti kata lain, Asma’ telah menolong agama Allah dengan sepenuh hati meskipun janji Allah dalam ayat ini belum dinuzulkan.  Begitulah hebatnya keimanan Saidatina Asma’, puteri kepada sahabat karib Rasulullah, Abu Bakar as-Siddiq.

Justeru, apakah peranan kita, generasi Muslimah masa kini, setelah lebih seribu empat ratus tahun ayat ini diturunkan? Apakah cukup hanya sekadar melagukan ayat-ayat Allah dengan penuh taranum syahdu tanpa memahami dan menghayati maksudnya?  Asma’ binti Abu Bakar merupakan orang yang ketujuh belas memeluk Islam, sekaligus meletakkan dirinya di barisan ikon-ikon pejuang Muslimah sejati. Peristiwa Hijrah sendiri telah menampakkan ciri-ciri ketegasan, kematangan, kecerdasan minda dan keberanian yang dimiliki oleh wanita beriman ini. Dari sini, sama-sama kita cermin diri sendiri, adakah kita memiliki sifat-sifat yang ada pada Asma’?

Satu kesalahfahaman yang besar jika kita mengatakan bahawa perjuangan seperti yang ditunjukkan Asma’ dalam peristiwa hijrah sudah tidak berlaku sekarang sehingga pengorbanan  Asma’ yang telah menunjukkan contoh bagaimana beliau membela agama Allah di hadapan Kuffar Quraisy menjadi satu sejarah untuk dijadikan bahan kajian semata-mata dan bukannya untuk dijadikan pencetus atau ‘trigger point’ untuk melakukan satu tindakan. Persoalan pokok di sini ialah adakah kita, generasi hari ini telah membuat yang sepatutnya untuk membela agama Allah? Adakah kita telah melaksanakan tugas dakwah yang difardhukan ke atas setiap umat Islam lelaki dan wanita semaksimanya? Apa yang telah kita lakukan untuk menegakkan semula Deen yang mulia di atas muka bumi ini?

Peranan Muslimah dalam misi Dakwah Masa Kini
Musuh Islam ada di mana-mana, sama ada musuh itu terdiri daripada orang-orang bukan Islam atau musuh di kalangan yang mengaku Islam sendiri. Terserah kebijaksanaan seseorang individu untuk mengenalpasti musuh Islam. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 120:“Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan sekali-kali redha ke atas kamu (wahai Muhammad) sehinggalah kamu mengikuti jejak langkah mereka”

Dari ayat ini, jelas kepada kita musuh Islam yang nyata adalah dari kalangan Yahudi dan Nasrani, tidak dapat dipertikaikan lagi.  Berapa ramai pula dari kalangan orang-orang Islam sendiri yang menjadi boneka atau alat kepada Yahudi dan Nasrani dan mereka ini memusuhi saudara seIslam mereka, baik secara sedar mahupun tidak?  Paling ketara dalam kehidupan kita hari ini ialah kedudukan Islam sebagai “second class” di dalam masyarakat. Sistem yang ada pada hari ini telah mengangkat sistem Sekular-Kapitalis sebagai pegangan utama dalam hidup. Cara hidup sekular yang diajar oleh Kuffar penjajah kepada kita ialah memisahkan agama dari kehidupan, sedangkan ajaran Islam mengajar kita bahawa agama (Islam) adalah perkara yang perlu diletakkan di atas, bukannya perlu dipisahkan dari sistem-sistem kehidupan yang lain seperti ekonomi, perundangan, politik, pendidikan dan sosial. Semuanya perlu dibangunkan berdasarkan Islam dan bukan yang selain Islam.

Kesan dari sistem kapitalis sekular ini, lihatlah apa yang terjadi di dalam masyarakat hari ini?  Dari segenap aspek kehidupan pasti ada masalah yang timbul.  Justeru, peranan kita sebagai Muslimah amat penting dalam menyedarkan masyarakat untuk kembali kepada kehidupan Islam secara keseluruhannya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam agama Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan….”

Muslimah yang dirahmati Allah sekalian,
Tanyakan kepada diri kita, beranikah kita menggantikan sistem yang diperkenalkan oleh kaum Kuffar dalam kehidupan kita hari ini kepada sistem Islam yang syumul yang dibawa oleh Rasulullah? Kaum Kuffar telah melenyapkan perundangan Islam yang kita gunakan, mereka gantikan dengan perundangan sivil yang tidak menjanjikan peyelesaian jitu kepada permasalahan undang-undang yang kita hadapi. Kaum Kuffar telah menguburkan sistem ekonomi Islam yang kita amalkan, mereka menghidupkan sistem ekonomi kapitalis yang berteraskan riba, amalan yang haram di sisi Islam. Kaum Kuffar telah mengunci mati sistem pergaulan (sosial) yang diajar dalam Islam, mereka membuka sistem sosial berteraskan kebebasan yang tiada hadnya kepada muda-mudi Islam.  Kaum Kuffar telah menjauhkan umat Islam dari sistem politik Islam yang suci, mereka dekatkan, perkenalkan sistem politik kotor kepada pemimpin-pemimpin Islam, sehinggakan mereka (pemimpin) lebih mementingkan habuan dunia dari tanggungjawab kepimpinan yang ada di bahu mereka.

Inilah cabaran yang menanti Muslimah dalam misi dakwah hari ini untuk mengembalikan kalimah La ila ha ilallah di muka bumi ini. Roda Islam berada di bawah, masanya kita semua memainkan peranan untuk menempatkan semula Islam di kedudukannya yang haqq.  Jika Asma’ ditampar pipinya oleh Abu Jahal, hari ini kita juga akan ditempelak jika kita berusaha untuk membela agama Allah. Tugas kita bukan sekadar memberi peringatan atau tazkirah agama berupa pesanan dan nasihat, soal hukum hakam fiqh dan perbincangan sekitar persoalan ruhiyah sepertimana ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang dibenarkan muncul di kaca televisyen, malah tugas pendakwah adalah lebih besar dari itu, tugas pendakwah adalah untuk menegur pemerintah yang tidak melaksanakan sistem Islam, membongkar tipu daya sistem Kuffar yang ada pada hari ini dan menggantikan dengan sistem Islam secara keseluruhan. Memang berat kepada yang tidak sanggup melakukannya tetapi kepada yang redha dan yakin dengan janji Allah, peluang ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu dan mereka akan melaksanakan misi dakwah dengan segera, tanpa bertangguh. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 133: “Dan bersegeralah kepada ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa…”

Khatimah
Muslimah yang dirahmati Allah,
Semoga kisah Asma’ di atas memberi inspirasi kepada kita akan peri pentingnya peranan setiap dari individu Muslimah untuk menolong agama Allah kerana natijah akhir adalah kewujudan Islam Kaffah sesuai dengan firman Allah Azza wa Jalla dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 ”Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan”. Selagi agama Allah tidak tertegak semula, selagi sistem Kuffar masih bermaharajalela, selagi itulah umat Islam akan hidup dilambung duka, hina dan tersiksa bukan sahaja di negara ini malah di belahan bumi yang lain. ”Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit” [TMQ Taha: 124]. Islam hanya akan kembali tertegak dengan adanya seorang pemimpin yang akan membela nasib setiap umat Islam, yang memerintah negara dengan sistem yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Walaubagaimanapun, kewujudan pemimpin yang akan menjadi perisai kepada umat Islam dan memerintah berdasarkan sistem khilafah di atas jalan kenabian sebagaimana hadis riwayat Ahmad “Kemudian akan kembali khilafah di atas jalan kenabian..” tidak akan berlaku dengan sekelip mata seperti magis tanpa peranan para Muslimah bersama-sama dengan para Muslimin untuk mengwujudkannya. Wallahu a’lam.



Hijrah dan Pengorbanan: Fizikal dan mental

Mukadimah

Disember adalah bulan terakhir dalam kalendar Masehi dan secara kebetulan Disember 2009 berada dalam bulan Zulhijjah 1430, iaitu bulan terakhir dalam kalendar hijriyah.  Penghujung tahun amat sinonim dengan kompilasi pelbagai peristiwa dan kisah yang berlaku dalam tahun tersebut, begitu juga dengan tahun 2009M/1430H yang kita sedang lalui ini. Dalam bulan terakhir kalendar Islam, kita menyambut perayaan kedua umat Islam iaitu sambutan Eidul Adha atau Hari Raya Korban. Lazimnya, tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun, umat Islam di tanah suci menyempurnakan ibadah Haji mereka dan berkorban tanda kesyukuran. Begitu juga ummat Islam yang lain yang di muka bumi ini yang ‘mampu’ untuk melakukan ibadah korban. Signifikan kepada ibadah korban ini adalah kisah pengorbanan suci Nabi Ibrahim Alaihissalam mengorbankan puteranya Nabi Ismail Alaihissalam demi mentaati perintah Rabbnya.

Manakala selepas sahaja mentari merah Zulhijjah 1430 Hijrah berlabuh, sinar Muharram 1431H segera menjelma. Dalam bulan Muharam ada pula sambutan Ma’al Hijrah yang disambut sempena tahun baru kalendar Islam dan sebagai mengenang satu peristiwa agung dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah. Peristiwa hijrah ini telah direkodkan dalam catatan mutawatir tentang bagaimana peristiwa tersebut telah menjadi momentum kepada sejarah keunggulan dan keagungan Islam. Kehebatan dan keunggulan Islam yang pernah menggegar dunia satu ketika dulu telah dibuktikan secara historik dan empirik oleh para sejarawan. “Di sini di bumi Turki, kami merasa puas hati. Kami memiliki harta yang melimpah ruah, banyak emas dan perak dalam kekuasaan kami. Kami tidak dizalimi dengan cukai yang membebankan dan kami bebas berdagang dan tidak dikekang. Muka bumi juga subur dan mengeluarkan hasil serta kekayaan. Semua barang mampu dimiliki dengan harga murah dan setiap orang hidup secara bebas. Disini, orang Yahudi tidak dipaksa memakai bintang kuning sebagai simbol memalukan seperti di Jerman yang mana kekayaan dan kemakmuran adalah satu sumpahan kepada orang Yahudi kerana menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan orang Kristian yang akan berusaha merompak kekayaan orang Yahudi. Bangkitlah saudaraku, kuatkan semangatmu, mantapkan barisanmu  dan datanglah kepada kami” [Rabbi di Turki menulis surat kepada saudara-saudaranya di Eropah yang sedang hebat dihukum selepas 1453 Masehi dalam buku ‘Constantinople, Philip Mansel]. Peristiwa Hijrah juga adalah berkenaan dengan konsep ketaatan kepada perintah Rasulullah Sallallahu Alihi wa Sallam demi memastikan kesinambungan Islam itu terus menyinar. Menghayati dan mengambil iktibar dari dua peristiwa ini sudah cukup membuktikan dan mencerminkan betapa hebatnya nilai keimanan seorang hambanya terhadap segala perintah yang ditentukan. Sebagai wanita dan ibu, persoalan yang mesti dileraikan adalah bagaimana dan setakat mana pula kefahaman kita untuk mendalami konsep hijrah dan pengorbanan dalam realiti hari ini?

Realiti hari ini

Menelusuri segala kisah dan peristiwa yang berlaku cukup mencerminkan betapa parahnya institusi masyarakat dan negara pada masa ini. Ada yang berpendapat bahawa setiap individu sebenarnya bertanggungjawab atas apa yang telah berlaku. Benarkah begitu? Mari kita lontarkan sejenak pemikiran kita kepada petikan-petikan akhbar sepanjang tahun 2009. Petikan akhbar ini adalah berkaitan dengan kes salah laku, dan juga jenayah yang melibatkan kanak-kanak dan remaja perempuan. Berikut adalah sebahagian dari paparan akhbar yang mewarnai 2009.

1.    JOHOR BAHRU 31 Dis. – Seorang guru sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol pelajarnya sehingga mengandung yang didakwa dilakukan pada 24 Mei 2007[UM 01/01/09]

2.    KUANTAN 30 Jun – Seorang gadis berusia 14 tahun menjadi mangsa nafsu serakah bapa tirinya apabila dirogol di tepi semak di Perkampungan Orang Asli Sak Betau, Kuala Lipis, Jumaat lalu [UM 01/07/09].

4.    Ibu tinggal bayi pada pelajar perempuan
KUANTAN 1 Sept. — Seorang pelajar perempuan tergamam apabila didatangi seorang wanita yang memintanya menjaga seorang bayi berusia beberapa hari di Kampung Sungai Karang Darat di sini, dua hari lepas [UM 01/09/09].

Pelbagai kisah dan peristiwa yang berkaitan dengan masyarakat dan masalah sosial yang melibatkan anak-anak kecil mahupun remaja, sama ada melakukan jenayah ataupun menjadi mangsa kepada jenayah merupakan tajuk wajib di akhbar-akhbar juga media arus perdana seperti laman sesawang, blog dan sebagainya.  Dek kerana terlalu kerap permasalahan ini berlaku, ia seolah-olah tiada penghujungnya lagi bagi segala kisah duka dan sedih ini. Satu persoalan yang mungkin muncul di benak kita, apa yang akan terjadi kepada anak-anak ini? Seperti biasa jika berlaku kisah dan peristiwa yang berkenaan, muncullah pula sejenis penyakit yang lebih merbahaya iaitu virus “tuding-menuding jari”.  Saling salah menyalahi antara satu sama lain.  Pihak yang mentadbir akan menyalahkan pihak agamawan, manakala pihak sekolah menyalahkan ibu bapa. Begitulah juga yang berlaku sebaliknya. Akhirnya masalah sedia ada belum selesai secara hakiki, masalah baru pula muncul.  Inilah realiti yang berlaku apabila terjadi  apa jua kisah, peristiwa mahupun kes-kes jenayah.

Muhasabah

Selaras dengan matlamat penerbitan FU sebagai sajian Islamik untuk mendidik fikrah wanita, di sini apa yang hendak dipaparkan adalah kupasan utama bagaimana peranan ibu dalam membantu menyelesaikan isu yang sedang dibincangkan.  Dalam mendidik umat atau masyarakat, sebenarnya ia bermula dari gelanggang yang sangat kecil iaitu rumah.  Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkankan bahawa fungsi utama ibu sangat besar dalam mempengaruhi setiap individu, yang mana dari seorang individu tersebut seterusnya akan membentuk masyarakat.  Ibu adalah ‘madrasatul ula’– sekolah awal bagi anak-anak.  Ibulah yang menjadi ejen utama pembekal informasi kepada anaknya.  Nabi Muhammad Sallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda yang bermaksud: “Anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Orang tuanyalah yang akan menjadikan anak tersebut sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [HR Bukhari]

Kenapa wanita?  Ini kerana secara fitrahnya Allah Subhanahu wa Taala memang telah mengkhususkan hanya wanita yang layak bergelar ibu dan menjalankan segala tugas yang diamanahkan sebagai ibu.  Tiada lelaki yang mampu menggantikan tugas mulia tersebut. Dimulai berlakunya persenyawaan sperma di dalam rahimnya seterusnya menjadi janin yang dikandungkannya selama 9 bulan 10 hari, yang pastinya bukan sedikit pengorbanan yang dilakukannya.  Tanpa kerelaan dan keikhlasan seorang ibu, mustahil anak tersebut mampu hidup sempurna dalam kandungannya.  Namun yang pastinya tugas itu adalah khusus buat si ibu. Selepas kelahiran bayi tersebut, tugas menyusu dan mengasuh juga adalah menjadi keutamaannya. Jadi disinilah hujahnya mengapa Allah Subhanahu wa Taala meletakkan ibu sebagai insan yang menggalas tanggungjawab mendidik anak-anaknya.  Maha Hebatnya Allah selaku Pencipta setiap makhluk, memastikan wanita dapat menjalankan tanggungjawab itu dengan baik dan sesempurna yang mampu. Allah Subhanahu wa Taala telah memberikan banyak keringanan (rukhsah) dan kemudahan buatnya, antaranya adalah;  Pertama, wanita tidak wajib menafkahi dirinya apatah lagi orang lain. Kedua, dibenarkan untuk tidak berpuasa dalam bulan Ramadhan bagi wanita yang hamil dan menyusukan.  “Seorang wanita yang redha mengandung bayi hasil perhubungan dengan suaminya yang sah dan suaminya redha pula kepadanya, maka Allah akan memberi ganjaran pahala sepertimana pahala puasa fisabilillah. Bila dia merasa sakit ketika akan melahirkan anak, maka Allah tambah lagi pahala yang tidak terkira oleh manusia oleh kerana terlalu banyaknya. Bila telah melahirkan anak dan dia menyusu dengan susunya sendiri, maka setiap seteguk susunya, Allah berikan satu kebajikan. Bila dia semalaman tidak tidur kerana mengawasi (menjaga) anaknya yang sekejap-sekejap menangis, sakit dan sebagainya, maka Allah beri lagi pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dalam fisabilillah dengan ikhlas.” [HR Hassan bin Sofwan, At Tabrani, Ibnu Asakir]  Semua hukum tersebut adalah dalam rangka Allah Subhanahu wa Taala melindungi wanita agar tugas utamanya sebagai ibu terlaksana dengan baik. 

Kenapa ibu??  Ibu adalah manusia pertama yang dikenali oleh anak.  Interaksi ibu-anak ini bermula sejak anak tersebut masih dalam kandungannya, kerana itulah mengapa ibu juga dianggap sebagai sekolah awal bagi anak.  Ibu juga adalah acuan penting untuk membentuk segala perilaku anak.  Terlalu pentingnya tugas ibu terhadap Negara dan masyarakat sehingga peranannya ‘mencetak’ kualiti anak itu dianggap sebagai tiang Negara.

Dekatnya hubungan fizikal dan emosi ibu telah terjalin secara semulajadi, mulai dari fasa mengandung, melahirkan, menyusukan sehinggalah mengasuhnya, kasih sayang seorang ibu merupakan jaminan utama dalam membentuk perkembangan yang sihat buat anak.

Anak umpama radar yang dapat mengesan segala objek yang ada di sekelilingnya, perilaku dan pengaruh ibu memberi pengaruh yang amat besar dalam pembentukan peribadi anak.  Contoh terbaik dalam kisah ini adalah hebatnya si ibu yang bernama Asma’ Binti Abu Bakar, iparnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Beliau adalah ibu kepada Abdullah Bin Zubair salah seorang pejuang Islam yang hebat di zamannya dan dikenang hingga kini.

Keperibadiaan anak terbentuk dari olahan ibunya menanamkan batu asas dalam pemikiran anak-anaknya.  Jika anak ditanam dengan asas tsaqafah (culture) dan aqidah yang benar iaitu aqidah Islam, Insyaallah segala perilaku dan keperibadiaan anak tersebut akan selaras sebagaimana yang telah diolah tadi. Keluarga menjadi wadah pertama bagi menanamkan pembinaan Islam dalam jiwa anak. Sejak dari awal anak ini perlu dipupuk rasa cintanya terhadap Allah Subhanahu wa Taala dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Tanda aras untuk menentukan keberhasilan rasa cinta itu disemai adalah anak-anak akan mudah dan rela dibentuk untuk melakukan segala perintah Allah yang telah ditetapkan.  Si anak yang berjaya dididik tadi tidak akan merasakan bahawa segala kewajipan itu adalah beban ke atasnya dan setiap kefardhuan akan dilaksanakan dengan penuh redha dan bukannya kerana terpaksa.

Kewujudan ibu dalam pembentukan jiwa anak adalah sangat penting, kerana bila anak kehilangan ibu yang berperanan dan berfungsi kepadanya, anak akan kehilangan bimbingan, kasih sayang dan segala yang wajar dimiliki oleh si anak. Kegagalan si ibu memainkan peranan akan menyebabkan si anak mengalami tekanan emosi dan seterusnya gangguan jiwa yang bakal merencatkan masa depan anak tersebut. Kehilangan ‘aura’ ibu secara fizikal dan juga peranannya menanam kekuatan dalam pembentukan jiwa si anak akan menyebabkan berlakunya kecacatan dari segi perkembangan peribadi anak tersebut.

Bagaimana mengembalikan Fungsi Ibu sebagai Tiang Negara

Dalam keadaan sekarang banyak faktor yang menyebabkan terabainya peranan utama ibu tersebut. Antaranya ialah faktor ekonomi yang mana wanita perlu bekerja untuk membantu suami dan keluarga. Hukum bekerja bagi seorang wanita adalah mubah (harus), ini kerana “Wanita itu tidak wajib menafkahi dirinya apatah lagi orang lain”. Walaupun seorang wanita itu bekerjaya, tugasnya yang utama adalah sebagai ibu dan pengurus rumahtangga. Tanggungjawab ini adalah ‘full time job’nya, sedangkan kerjaya di luar itu adalah sebagai ‘part-time job’nya. Namun yang banyak berlaku adalah jelas kontra dengan apa yang sepatutnya.

Pelbagai justifikasi diwujudkan dalam rangka memujuk fitrah si ibu yang merasa bersalah dan tertekan bila mana terpaksa bertugas dalam keadaan anak sakit atau anak amat memerlukan kehadiran ibu di sisinya. Antara lain adalah wanita yang bekerja ini sering dianggap ‘super mummy’. Namun benarkah wanita bekerjaya menjadi penyumbang kepada kerosakan fungsi tersebut? Hakikatnya walaupun si ibu tidak bekerja iaitu menjadi suri rumah sepenuh masa dan memiliki begitu banyak masa lapang, adakah sebarang jaminan anaknya akan terdidik sebaik mungkin? Ironinya bila si ibu terlalu banyak masa lapang, dia menjadi peminat setia rancangan telenovela ataupun sinetron yang tidak terkirakan puluhan tayangan disajikan di kaca televisyen setiap hari. Walaupun tugas dan tanggungjawabnya tetap sebagai  ibu, tetapi dia tidak berperanan sebagai pencetak generasi yang baik kerana tidak memiliki kualiti yang diperlukan. Tinggi rendahnya kualiti si anak adalah bergantung kepada tinggi rendahnya juga kualiti si ibu dalam membawa halatuju si anak.
Antara kriteria kualiti ibu yang diperlukan adalah: Pertama, memiliki aqidah dan syakhsiyyah Islam. Ibu yang memiliki ciri pertama ini akan meyakini bahawa anak adalah amanah dari Allah Subhanahu wa Taala yang akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak.  Ibu ini akan melakukan segala hal yang berkaitan anaknya dengan sebaiknya seperti pengasuhan dan pendidikan jangka panjang dan pendek.  Kedua, memiliki satu kesedaran bahawa pendidikan anak-anak itu adalah aset ummah (masyarakat) yang berharga.  Ibu perlu menyedari bahawa usahanya mendidik anak bukan sekadar agar anak tersebut dapat menjaga dan menafkahinya semasa dia tua nanti, tapi ia akan mendidik anaknya untuk prihatin dengan lingkungan masyarakat sekeliling iaitu ‘amar makruf nahi mungkar’.  Dia akan membentuk satu pandangan umum terhadap anaknya bahawa anak tersebut wajib bertanggungjawab dan berjuang untuk membangunkan kembali umat selaras dengan kehendak Yang Maha Pencipta.  Sebagaimana yang telah dinyatakan dengan kalamNya yang bermaksud: “Kalian adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, serta beriman kepada Allah.” [TMQ Al- Imran: 110].  Ketiga, memiliki pengetahuan dan menguasai konsep pendidikan anak.  Seorang ibu wajib menyediakan ilmu pengetahuan dan menguasainya sebelum dia bergelar ibu lagi, kerana ia merupakan persiapan awal dalam merancang menjadi seorang ibu yang berkualiti. Menurut pakar perkembangan kanak-kanak, antara asas pendidikan anak yang perlu diketahui oleh seorang ibu adalah;  (a) Setiap anak memiliki karaktor yang berbeza sehingga setiap anak perlu didekati dengan kaedah yang berbeza juga.  (b)  Setiap anak memiliki perbezaan dalam tahap penerimaan dan menerimapakai pendidikan yang diterimanya, di sinilah perlunya perjuangan sabar dan tidak boleh membandingkan kemampuan antara setiap anak. (c) Anak-anak kecil amat cepat menyerap maklumat lingkungan yang ada di sekelilingnya. Atas kesedaran ini maka ibu perlulah memasukkan maklumat yang Islami terhadapnya supaya anak belajar tanpa rasa terbeban [Mengembalikan Fungsi Ibu Sebagai Pengatur Rumah tangga, HTI (2005)].

Khatimah
Dalam era globalisasi ini, inilah teladan hijrah dan pengorbanan yang perlu dilakukan bagi setiap wanita bergelar ibu. Hijrah dan lakukanlah pengorbanan yang selaras dengan tuntutanNya. Letakkan keutamaan di atas keutamaan. Tugas utama kita adalah sebagai pembentuk generasi yang bakal membentuk mayarakat. Kita perlu olah kembali cara berfikir kita, kita perlu berubah secara mental dan fizikal demi untuk menggapai redha-Nya. Demi anak yang kita akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak, usah kita terlalu mudah meng’sub-con’kan tugas mulia ini. Jangan kita mengambil sambil lewa urusan pendidikan anak kita. Bukan hanya pemenuhan material yang anak dambakan, tapi perhatian, pendidikan dan kasih sayang yang tulus dari ibu yang mengandungkannya. Biar apa juga alasan, biar sekuat mana dugaan, jangan abaikan tugasan ini, jangan pandang remeh amanah ini.  Ibu adalah tiang Negara.

Wahai muslimat yang di rahmati Allah Subhanahu wa Taala,
Sedarlah kalian semua, kembalilah kepada Islam sebagai cara dan gaya hidup kita.  Cerahkanlah kembali pemikiran kita agar suci dari pemikiran asing yang rosak lagi menghancurkan. Musuh-musuh Islam tidak pernah mengalah untuk menghancurkan Islam dari segi fizikal dan mental, perjuangan mereka akan bersifat abadi.  Ini jelas dinyatakan oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam firmanNya yang bermaksud: “Sekali-kali orang Yahudi dan Nasrani itu tidak akan redha terhadap kamu sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka.” [TMQ al-Baqarah 2: 120].

Beratnya tanggungjawab dipikul ibu, mampukah kita melaksanakannya? Dalam dunia yang rosak tanpa dinaungi pemerintahan dan sistem Islam secara syumul, sememangnya tugasan dan tanggungjawab itu seolah tidak mampu kita lalui. Ini adalah kerana sehebat mana pendidikan yang dilaksanakan, seandainya persekitaran dan sistem yang tidak sehaluan menyebabkan anak-anak tidak terbela nasibnya.  Mahu atau tidak kita wajib akui bahawa kita memerlukan satu institusi, satu sistem yang dapat menjaga dan membela kita, amanah kita dan persekitaran anak-anak kita.  Hanya satu penyelesaian yang kita ada, jalan keluar yang amat mendesak untuk memiliki sebuah institusi yang melaksanakan syariah secara kaffah iaitu khilafah kerana dengannya seluruh hukum hakam akan terlaksana secara keseluruhan termasuk sistem pendidikan yang akan menjana pemikiran jernih dengan fikrah Islam dari anak-anak yang merupakan pelapis generasi akan datang . Wallahu’alam.


….sambungan dari Edisi November

ADAKAH ISLAM MENINDAS WANITA?

(bahagian akhir)

Oleh: Lopa Hussain & Adnan Khan, Khilafah.com

Kerangka Sosial Islam         
   
Islam mempunyai satu pandangan yang sangat berbeza terhadap wanita; Islam tidak menilai sesuatu perbuatan, tanggungjawab atau seseorang individu itu berdasarkan kepada besarnya sumbangan mereka terhadap ekonomi atau sesebuah negara. Islam menilai seseorang individu, lelaki atau perempuan berdasarkan perbuatan mereka sama ada mematuhi perintah Sang Maha Pencipta serta tahap ketakwaan mereka. Sebagaimana yang diucapkan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis:

“Seorang Arab itu tidak semestinya lebih baik daripada seorang yang bukan orang Arab mahupun orang yang bukan Arab itu lebih baik daripada seorang Arab; malah seorang yang berkulit putih itu tidak semestinya lebih baik daripada seorang yang berkulit hitam malah seorang yang berkulit hitam itu tidak semestinya lebih baik daripada seorang yang berkulit putih kecuali takwa dan perbuatan yang baik.”(Sahih Muslim)        
    
Oleh itu, kejayaan seseorang wanita itu dalam Islam adalah apabila dia mematuhi dan menghormati perintah-perintah Penciptanya dimana kepercayaan dan perbuatan merekalah yang akan menentukan destinasi mereka selepas kematian nanti.

Dalam Islam, apabila lelaki dan wanita itu mempunyai kualiti serupa secara semulajadi, tanggungjawab yang ditetapkan kepada keduanya seperti solat, puasa dan mengerjakan haji adalah sama. Walaubagaimanapun, apabila keadaan semulajadinya berbeza, maka tanggungjawab yang ditetapkan adalah berbeza.   Oleh itu, seorang suami atau bapa telah dipertanggungjawabkan dengan kewajipan untuk melindungi keluarganya dan menyediakan keperluan kewangan bagi mereka. Wanita pula telah dipertanggungjawabkan dengan tugas utama untuk memastikan kebajikan keluarga dengan mengasuh anak-anak dan memperkembangkan kecerdasan mereka.

Tugas yang dipertanggungjawabkan keatas lelaki (dalam Islam) tidaklah dilihat sebagai lebih baik daripada tugas yang dipertanggungjawabkan keatas wanita. Malah, tugas yang ditetapkan keatas lelaki dilihat sebagai tanggungjawab yang perlu dipenuhi dan setiap lelaki itu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu wa Taala. Begitu juga dengan wanita, mereka juga akan dipertanggungjawabkan dengan sebaik manakah mereka telah penuhi kewajipan mereka. Kedua-dua tanggungjawab ini saling berkait rapat diantara satu sama lain dan ia adalah penting bagi sesebuah keluarga dan masyarakat untuk berfungsi dengan sempurna dan tenang. Sebenarnya, kebertanggungjawaban kepada Allah Subhanahu Wa Taala lah yang menghalang seseorang wanita Muslim yang taat itu daripada memberikan lebih keutamaan kepada kerjayanya berbanding kebajikan keluarganya, kerana kejayaan baginya adalah sebaik mana telah dipenuhi tanggungjawabnya yang telah ditetapkan oleh Allah  Subhanahu wa Taala dan bukanlah sebanyak mana wang yang diperolehinya atau kerjaya yang bagaimanakah yang dikejarnya? Walaubagaimanapun, ini tidak bererti seseorang wanita itu dilarang untuk memilih kerjaya yang diingini.

Islam telah didatangkan dengan peraturan syariah yang dipertanggungjawabkan keatas lelaki dan wanita. Apabila peraturan syariah menerangkan kesan perbuatan setiap mereka, ia tidak pernah memberi perhatian atau mengambil kira isu kesetaraan sedikit pun. Malah, ia melihat bahawa ini adalah satu permasalahan yang memerlukan satu penyelesaian.  Oleh itu, ia menerangkan perbuatan tanpa mengambil kira sama ada ia adalah satu masalah yang berkaitan dengan lelaki mahupun wanita.  Oleh yang demikian, persoalan kesetaraan atau kurangnya kesamarataan antara lelaki dan wanita bukanlah subjek perbincangan. Penyataan ini tidak wujud dalam perundangan Islam.  Yang ada hanyalah peraturan hukum mengenai kejadian akibat perbuatan sesetengah manusia tanpa mengira lelaki atau wanita.

Justeru itu, kesetaraan antara lelaki dan wanita bukanlah isu untuk perbincangan, bukan juga satu isu yang menjadikannya satu subjek dalam sistem sosial Islam. Wanita setara dengan lelaki atau lelaki setara dengan wanita bukan satu perkara signifikan yang telah mempengaruhi kehidupan bermasyarakat, mahupun satu permasalahan yang akan berlaku dalam kehidupan Islam. Ia hanyalah satu frasa yang hanya ditemui di Barat. Islam tidak ada kaitan dengan istilah-istilah ini kerana  sistem sosial Islam telah dibina berdasarkan kepada asas yang memastikan kepaduan kaum dan masyarakat.
 
Peraturan syariah telah digubal berasaskan kepada dasar ini dimana hak-hak dan tanggungjawab lelaki dan wanita telah ditetapkan. Apabila hak-hak dan tanggungjawab itu untuk manusia secara amnya, maka kita akan mendapati bahawa ia telah ditetapkan untuk kedua-dua lelaki dan wanita. Justeru itu, hak-hak dan tanggungjawab itu untuk kesemuanya, yang telah ditetapkan kepada lelaki dan wanita sebagai satu peraturan tanpa perbezaan atau pun ketidaksamaan. Oleh itu, seseorang itu akan mendapati bahawa Islam tidak pernah membezakan lelaki dan wanita apabila manusia diseru kepada Islam. Malah, ia juga tidak membezakan  lelaki dan wanita  dalam perintah untuk menyeru manusia kepada Islam. Ia juga bukan  membezakan lelaki dan wanita dalam perintah untuk berdakwah. Ia juga telah menjadikan perintah-perintah yang berkaitan dengan Islam seperti solat, berpuasa, mengerjakan haji, berpolitik, bekerja dan membayar zakat sama dari segi tanggungjawabnya.  Ia juga telah menerangkan sifat-sifat moral sebagai peraturan – peraturan syariah bagi lelaki dan wanita tanpa sebarang perbezaan. Ia juga menerangkan peraturan mengenai urusan dalam masyarakat seperti membeli, menyewa,   perwakilan, penjagaan dan lain-lain yang berhubungan dengan manusia sama bagi lelaki dan wanita. Islam telah menetapkan hukuman-hukuman dalam pelanggaran peraturan – peraturan Allah Subhanahu wa Taala  dengan penalti-penalti yang telah ditentukan terlebih dahulu atau berasingan  keatas lelaki dan wanita tanpa diskiminasi dalam kapasiti mereka sebagai manusia. Tambahan pula, Islam telah menjadikan pelajaran dan pembelajaran satu kewajipan terhadap Muslim tanpa mengira lelaki atau pun wanita. Oleh itu, Allah Subhanahu Wa Taala telah mencipta semua peraturan berkaitan dengan manusia bersesuaian dengan kapasiti mereka sebagai manusia, sama bagi lelaki dan wanita tanpa sebarang perbezaan. Justeru itu, perintah–perintah dari perspektif ini kesemuanya sama dan hak-hak serta tanggungjawab adalah sama. Ayat-ayat dan hadis yang berkaitan dengan peraturan–peraturan ini dianggap sebagai umum dan termasuk kepada manusia dalam kapasiti mereka sebagai manusia. Sesungguhnya banyak ayat-ayat yang menyatakan tanggungjawab yang sah adalah untuk lelaki dan wanita. Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman:

“Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang tetap ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”[TMQ Al-Ahzab :35]

Oleh itu, kesemua peraturan didalam Islam yang berkaitan dengan manusia adalah sesuai untuk semua manusia sebagai manusia, apa pun juga peraturan-peraturannya dan walaubagaimana banyak dan berbeza sekalipun ia. Allah Subhanahu wa Taala telah mencipta peraturan–peraturan ini seragam bagi lelaki dan wanita, walaupun ini tidak boleh dianggap sebagai kesetaraan diantara lelaki dan wanita. Lebih tepat lagi, kesemua peraturan ini dicipta untuk manusia tanpa membezakan lelaki dan wanita kerana kedua-duanya adalah manusia dan peraturan –peraturan ini adalah dari kata-kata Allah Subhanahu wa Taala berkaitan dengan perbuatan manusia.

Apabila hak, tanggungjawab dan perintah berkait dengan tabii lelaki dan wanita secara fizikal, anatomi dan biologi, maka hak dan tanggungjawab itu akan berbeza disebabkan oleh perbezaan yang semulajadi ini. Ini adalah kerana penyelesaian-penyelesaian diperlukan untuk masalah–masalah yang timbul dari perbezaan ini. Oleh yang demikian, penyelesaiannya bukan untuk manusia amnya tetapi untuk satu gender tertentu yang mempunyai karaktor yang berbeza dari yang lain. Apabila sesuatu masalah dihadapi oleh satu gender akibat daripada ciri-ciri semulajadinya, peraturan yang berkaitan dengan gender tersebut tidak boleh diterima pakai secara amnya oleh sesiapapun kerana masalah itu hanya dihadapi oleh gender tersebut.  Justeru itu, peraturan itu secara amnya tidak boleh diterima pakai dan hanya peraturan khusus perlu digunakan untuk menyelesaikan persoalan terbabit.

Justeru itu, testimoni dua orang wanita adalah bersamaan dengan testimoni seorang lelaki dalam perkara yang berlaku dalam kehidupan umum. Contohnya testimoni yang berkaitan dengan urusan kewangan:

“Dan persaksikanlah dengan dua saksi dari orang-orang lelaki diantaramu. Jika tidak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan yang kamu redai, supaya jika seorang lupa maka seorang lagi mengingatinya” [TMQ Al-Baqarah:282]

Testimoni wanita hanya boleh diterima dalam perkara-perkara yang berlaku dalam kalangan komuniti perempuan sahaja dimana tidak terdapat lelaki seperti jenayah yang berlaku didalam tandas (awam) wanita. Testimoni seorang wanita adalah memadai bagi perkara–perkara yang biasa hanya bagi wanita seperti persoalan mengenai kegadisan, keibuan dan penyusuan. Ini adalah kerana Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam menerima testimoni tentang penyusuan dari seorang wanita.Dalam situasi dimana seorang suami menuduh isterinya curang, testimoni dari wanita tersebut dapat membatalkan testimoni suaminya.

Islam telah memerintahkan supaya pakaian wanita berbeza daripada pakaian lelaki. Islam melarang berpakaian menyerupai yang lain dan meniru sesuatu yang khusus untuk sesuatu gender  atau sesuatu yang membezakan gender yang lain, seperti menghiasi anggota badan tertentu.  Ini telah diriwayatkan bahawa Rasulullah Sallalahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda:

“Pesuruh Allah telah melaknat lelaki yang berpakaian wanita, dan wanita yang berpakaian lelaki.” [Diriwayatkan oleh al-Hakim yang mengesahkan kesahihannya]

Dengan ini, lebih kurang 14 kurun yang lalu, kerangka sosial Islam telah mengiktiraf hak-hak wanita seperti pendidikan, pekerjaan, hak untuk mengundi, perlibatan politik, pilihan dalam perkahwinan, hak untuk bercerai, hak sebagai warganegara, hak untuk bekerja dan hak untuk memiliki harta. Dalam masyarakat Barat, wanita masih lagi bergelut dengan sistem untuk mendapatkan hak-hak mereka.

Kebebasan hanya menyebabkan kesangsaraan wanita.

Islam telah mengatur kehidupan umum melalui pengasingan diantara lelaki dan perempuan dan secara terperinci mengkhususkan cara berpakaian bagi lelaki dan wanita. Maka dengan cara ini, peranan lelaki dan perempuan telah ditakrifkan dengan jelas dan tiada perjuangan gender berlaku dalam sejarah Islam. Islam telah mengatur kehidupan umum dengan mengatur masa dimana lelaki dan wanita  boleh  bertemu dalam memenuhi keperluan asas hidup. Ini kontra dengan masyarakat Barat yang mengatur kehidupan sosial dengan mengalihkan halangan-halangan dan membenarkan kerelaan. Kecenderungan kearah keinginan seksual yang berpanjangan telah menimbulkan beberapa kesan yang tidak diingini oleh umum.

Sesebuah masyarakat dimana lelaki dan wanita sering disogokkan dengan pelbagai imej seksual setiap masa samada melalui televisyen, billboards, akhbar atau majalah pasti akan mengarah kepada rangsangan seksual yang tidak dapat dielakkan lagi.

Dalam masyarakat yang secara terang-terangan menggalakkan warganya bersaing dengan fesyen terkini yang lebih memberi perhatian kepada beberapa bahagian anggota badan tertentu. Bagi wanita, tekanan untuk terus tinggi, kurus dan memiliki bibir bak disengat lebah berterusan disamping tekanan yang bermusim.

Orang ramai juga berpeluang untuk bertemu melalui ‘speed dating’, ‘singles’ nights’, iklan hati-hati yang kesunyian dan kelab-kelab malam. Ini ditambah dengan beberapa novel romantik, drama bersiri dan filem-filem yang telah membentuk dan menyebarkan idea bahawa seseorang itu boleh menemui cinta ketika memesan espresso, menaiki keretapi atau menghadiri kuliah sejarah Abad ke-20 perjuangan tentera di Bolivia.

Keterujaan goncangan seksual ini hanya boleh dipenuhi dengan beberapa cara yang semakin meluas dimana kesemuanya berdasarkan kepada konsep yang berteraskan kebebasan untuk memilih bagaimana cara hidup, menggunakan tubuh badan dan memenuhi keinginan. Cara-cara untuk memenuhinya adalah melalui bahan-bahan pornogafi, ‘one – night stands’, melanggani pelacur, bertukar-tukar pasangan, kelab-kelab ‘strip’, kesetiaan, perkahwinan, serangan seksual dan penderaan kanak-kanak yang berterusan. Oleh yang demikian, caranya tergantung kepada kecenderungan seseorang itu dan sesungguhnya kita pasti akan berhadapan dengan kekacauan seksual.

Bukankah menjadi satu pertanyaan bahawa model masyarakat yang telah dilakarkan mendapati mereka berhadapan dengan peningkatan kadar jenayah seksual, tanpa mengira sama ada ia kecil atau besar? United Kingdom mempunyai kadar tertinggi di Eropah bagi kehamilan remaja, kadar bagi jangkitan pindahan seksual telah mencapai tahap pandemik, manakala seorang wanita diberitakan dirogol setiap tiga minit di Britain dan jumlah Daftar Pesalah Sex Kanak-kanak dianggarkan sebanyak 230,000 orang dimana 3,400 orang pedofilia sedang menjalani hukuman di UK.  Di Amerika Syarikat pula, 1.3 wanita dirogol setiap minit. Ini menjadikan 78 kes rogol setiap jam, 1,872 kes rogol setiap hari, 56,160 kes rogol setiap bulan dan 683,280 kes rogol setiap tahun.

Islam dan Wanita

Perspektif Islam adalah kontra kepada keadaan yang buruk ini dimana rangsangan seksual hanya boleh dipenuhi melalui ikatan perkahwinan yang mana secara semulajadinya adalah satu perkara yang sulit. Umumnya tidak merangsang sebarang naluri seksual, tiada tempat-tempat bagi orang bujang untuk bertemu dan memulakan  hubungan sulit, tiada pornografi, tiada pelacuran. Islam telah merangkakan secara jelas melalui sistem sosial bagaimana lelaki dan wanita boleh berhubungan dan peraturan-peraturan ini yang akan memastikan bahawa masyarakat Islam tidak akan menghadapi masalah–masalah yang melanda masyarakat Barat.  Islam berpendapat adalah lebih baik bagi kita untuk menganggap bahawa maruah wanita seharusnya lebih tinggi daripada mereka berada dijalan-jalan kota London yang akan membawa kearah kehancuran mahupun dipentas-pentas peragaan di kota Milan dan Paris. Islam bukan sahaja telah memerintahkan bahawa naluri seksual tidak boleh dirangsang secara terbuka tetapi seseorang wanita itu juga tidak boleh dinilai berdasarkan kepada saiz baju dan saiz bra, rupa paras, ketinggian, kepandaian berfesyen, kemahiran menawar harga ketika jualan murah, panjang kakinya, pandai mengkoordinasikan warna, mahir bergosip atau berbakat menari mengikut muzik ketika mabuk.

Islam telah menetapkan cara berpakaian yang khusus bagi wanita dalam kehidupan umum. Peraturan-peraturan yang memberi penerangan mengenai aurat adalah berbeza antara lelaki dan perempuan kerana ciri-ciri semulajadi mereka yang berbeza. Aurat lelaki dihadapan lelaki  dan wanita adalah dari pusat ke lutut, manakala wanita pula, auratnya adalah keseluruhan anggota badan kecuali dua tapak tangan dan mukanya sahaja. Terdapat pengecualian bagi wanita dalam kehidupan peribadinya dimana auratnya adalah diantara bahu hingga kebawah kakinya. Islam membenarkan lelaki dan wanita memperlihatkan aurat mereka dalam keadaan yang tertentu seperti diantara suami dan isteri, kepada seorang hakim (dalam keadaan bagi menentukan identiti dan umur seseorang), kepada seorang doktor (dalam keperluan perubatan seperti rawatan kehamilan) dan dalam tahap tertentu kepada mahramnya (lelaki yang tidak boleh dikahwininya). Oleh kerana hampir keseluruhan anggota badan wanita adalah dianggap aurat, maka Islam telah memerintahkan supaya wanita menutup aurat dalam kehidupan umum. Oleh itu, Islam telah  membuat peraturan –peraturan yang berkaitan hijab dimana Islam telah mewajibkan  menutup aurat dari hujung rambut sehingga kehujung kaki kecuali muka dan kedua tapak tangan dan jilbab  itu mestilah sehelai  pakaian luar yang panjang (tidak terpotong dan terpisah) serta longgar hingga ke kaki. Banyak artikel telah ditulis mengenai hijab semenjak larangan pemakaiannya di Perancis, dan  kita seharusnya memahami perkara ini dengan jelas bahawa kod berpakaian bagi wanita tidak boleh dibincangkan berdasarkan kepada pemahaman Barat. Sesuatu yang sesuai dan diterima pakai seharusnya diambil dari teks-teks Syariah dan bukan dari fikiran manusia. Malahan, perkara ini tidak dibenarkan oleh Islam untuk diberikan sebarang merit bagi sebarang kajian ataupun sampai ketahap penggubalan undang-undang mahupun perbincangan umum. Perbincangan yang sebenarnya adalah peraturan – peraturan yang telah ditetapkan oleh Syariah.

Dalil tentang dua perkara yang berkaitan dengan pakaian yang dibenarkan dalam kehidupan umum adalah firman Allah Subhanahu wa Taala mengenai pakaian atas yang seperti berikut:-

“Hendaklah mereka  menutupi kain kerudung mereka kedadanya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka……….” [TMQ An-Nur:31]

Manakala firman Allah kepada Rasullah Sallalahu Alaihi wa Sallam pula mengenai pakaian yang dibawah:

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu dan anak–anak perempuan kamu serta wanita-wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka.”[TMQ Al-Ahzab: 59]

Ummu Athiyah (RA) pernah meriwayatkan bahawa:
“Pesuruh Allah telah memerintahkan kami membawa wanita-wanita yang muda, wanita-wanita yang sedang haid dan wanita-wanita yang bertudung pada dua perayaan hari raya. Wanita-wanita yang sedang haid hendaklah menjauhkan dari solat tetapi biarkan mereka melihat kebaikan dan dakwah kepada orang–orang Muslim. Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan yang tidak mempunyai Jilbab?” Beliau berkata: “Berikan mereka Jilbab yang dimiliki oleh yang lain (pinjam)”.    [Sahih Muslim] 

 
Dalil-dalil ini telah jelas menerangkan tentang pakaian wanita dihadapan khalayak umum. Allah Subhanahu wa Taala telah memperincikan secara tepat, menyeluruh dan teliti dalam frasa-frasa diatas tentang cara berpakaian yang dipertanggungjawabkan keatas wanita dalam kehidupan umum.

Wujud kekeliruan bagaimana ayat–ayat Al-Quran sepatutnya ditafsirkan mengenai perkara ini dimana ramai pemikir–pemilik menegaskan bahawa tidak ada sebarang dalil mengenai Jilbab, dan hanya kesederhanaan yang dipersetujui. Ada yang telah pergi dengan lebih jauh dengan menyatakan bahawa hijab adalah satu budaya Arab dan tidak ada dalam Islam. Kekeliruan ini timbul kerana mereka tidak dapat membezakan  antara:

1.    Menutup aurat

2.    Pakaian wanita dalam kehidupan umum.

3.    Tabarruj (menampakkan perhiasan atau berhias dengan berlebih-lebihan)

Islam telah menegaskan bahawa keseluruhan tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan, dan oleh itu wanita adalah diwajibkan untuk menutup auratnya, yakni, keseluruhan tubuh badannya kecuali muka dan dua tapak tangannya. Setakat ini Islam tidak mengkhususkan sebarang bahan yang dibolehkan dibuat sebagai pakaian yang menutupi tubuh badan wanita. Islam hanya menyatakan bahawa: ‘adalah dilarang untuk diperlihatkannya’ yakni aurat tidak harus kelihatan, ia dilarang dari dipertontonkan, wanita dilarang daripada memperlihatkan dan tidak patut diperlihatkan olehnya. Oleh yang demikian, sebarang jenis pakaian yang menutupi keseluruhan bentuk badannya kecuali muka dan dua tapak tangannya adalah dianggap menutupi sebarang bentuknya. Justeru itu, jubah, seluar panjang, skirt atau sarung kaki adalah dianggap menutupi. Ini adalah kerana Allah Subhanahu wa Taala tidak mengkhususkan sebarang jenis atau bentuk pakaian pada tahap ini.  Oleh itu, sebarang pakaian yang menutupi aurat adalah dianggap sah tanpa mengira bentuk, jenis dan potongannya. Walau bagaimana pun, pakaian ini mestilah menutupi kulit.  Ini bererti pakaian tersebut dapat menyembunyikan warna kulit, tanpa dapat memastikan sama ada warna kulit hitam atau putih. Dengan erti kata lain, wanita harus memastikan bahawa pakaian yang digunakan untuk menutup aurat tidak nipis, yakni tidak memperlihatkan apa yang disebaliknya atau mendedahkan apa yang dibawahnya. Dalil yang menegaskan tentang menutupi warna kulit adalah sabda Rasulullah  Sallalahu Alaihi wa Sallam : ‘adalah satu kesalahan untuk memperlihatkan apa-apa darinya.’

Ini adalah isu mengenai menutup aurat. Subjek ini adalah berbeza dengan pakaian wanita dalam kehidupan umum atau Tabarruj (menampakkan perhiasan atau berhias dengan berlebih-lebihan) seperti yang dapat dilihat daripada sesetengah jenis pakaian. Walaupun, jika pakaian itu menutupi aurat, ini tidak bermakna wanita boleh memakainya dikhalayak ramai. Ini adalah kerana Islam telah menetapkan cara wanita berpakaian dikhalayak ramai. Hanya menutupi aurat dikhalayak ramai adalah tidak memadai. Sebagai contoh, seluar panjang adalah menutup aurat tetapi dilarang untuk dipakai dihadapan umum, yakni, ia tidak sempurna untuk digunakan dijalan-jalan umum. Oleh yang demikian, isu menutup aurat jangan dikelirukan dengan pakaian wanita dikhalayak ramai. Isu ini juga jangan dikelirukan dengan isu Tabarruj. Sebagai contoh, seluar panjang, selagi ia tidak diperbuat dari bahan yang nipis adalah menutup aurat, tetapi tidak bererti wanita boleh memakainya dihadapan lelaki yang bukan mahrimnya dimana dia memperagakan kecantikannya. Dia mungkin telah menutupi auratnya dalam hal ini, tetapi   dia berkemungkinan Tabarruj, yang mana dilarang oleh Islam. Oleh yang demikian, walaupun wanita tersebut telah menutup aurat, tidak bererti pakaian yang dipakainya itu menghalangnya dari melakukan Tabarruj.

Allah Subhanahu wa Taala telah memerintahkan wanita supaya berjilbab labuh sehingga menutupi kakinya serta dapat menyembunyikan pakaian rumahnya. Jika dia tidak mempunyai jilbab, maka dia harus meminjamnya dari jiran, rakan perempuannya atau pun saudaranya. Dia memerlukan Khimar (tudung) atau apa-apa sahaja yang serupa bagi menutupi keseluruhan kepala, leher dan permukaan dadanya.  Khimar mesti sentiasa digunakan apabila keluar dikhalayak umum kerana ia merupakan bahagian atas dalam pakaian wanita dalam kehidupan umum.

Ini menunjukkan bahawa semua bukti yang membincangkan pakaian sebenarnya hanya memperkatakan perihal menutup aurat secara amnya, bukan  cara pakaian wanita didalam kehidupan umum. Allah Subhanahu wa Taala telah menerangkan secara terperinci mengenai pakaian wanita dalam kehidupan umum dan juga menerangkan bahawa pakaian tersebut tidak boleh mempersonakan dan memperagakan kecantikannya. Kesemua ini memberi indikasi bahawa perbincangan hanya terhad kepada pakaian wanita dalam kehidupan peribadi, yakni, dirumah dan dihadapan lelaki yang bukan mahramnya. Ini menunjukkan bahawa ‘Shalwar kameez’ bukanlah pakaian yang Islami walaupun ia memenuhi kriteria sebagai pakaian dirumah, ataupun jika ia menutupi bahagian belakang seseorang, sudah semestinya ia bukanlah pakaian yang Islami untuk dipakai dikhalayak ramai.

Dengan perincian oleh Islam tentang pakaian wanita dalam kehidupan umum, Islam telah melindungi wanita dari dijadikan simbol tertentu kerana tubuh badan, rupa paras ataupun sebarang perbuatan peningkatan kosmetik. Ramai wanita yang telah memeluk Islam di Barat telah memperakui bahawa pakaian yang telah dijelaskan oleh Islam sebenarnya melindungi mereka dari dinilai dari segi bentuk tubuh badan, malah melindungi mereka dari tekanan untuk mempunyai rupa paras tertentu yang sepertimana dikehendaki oleh masyarakat Barat. Tujuan yang mustahil ini telah membuatkan wanita di Barat berpaling kearah Islam.

Islam didatangkan  berserta dengan peraturan-peraturan dimana sesetengahnya khusus untuk lelaki dan sesetengah lagi khusus untuk wanita. Sebahagian peraturan ini membezakan lelaki dan wanita  berdasarkan perbezaan yang jelas dari segi fizikal, anatomi dan biologi dan telah memerintahkan mereka untuk menerima segala yang Allah Subhanahu wa Taala  tugaskan kepada mereka. Ia melarang mereka dari mencemburui satu sama lain dan dari mengkehendaki apa-apa yang telah Allah lebihkan satu dari yang lain.

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurnia yang dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. (Kerana) bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi perempuan (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” [TMQ An-Nisa : 32]  

Penghususan ini bukan bererti ketidaksamarataan, hanya sebagai satu penyelesaian bagi perbuatan seorang perempuan dalam kapasitinya sebagai seorang perempuan, dan sebagai satu penyelesaian bagi perbuatan lelaki dalam kapasitinya sebagai lelaki.  Prospek kesetaraan mahupun ketidaksamarataan tidak diambil kira  kerana ia bukan subjek perbincangan. Penyelesaian kepada pemasalahan yang dihadapi oleh sesuatu gender itu secara amnya harus berbeza dari penyelesaian bagi seluruh manusia.

Adalah penting disini untuk mengulangi bahawa jika permasalahan yang dihadapi oleh sesuatu gender itu disebabkan oleh sifat tabiinya atau pun khusus berkaitan dengan gender tersebut, maka peraturan yang hanya berkait dengan gender tersebut tidak boleh diterimapakai untuk kedua-dua gender. Ini adalah kerana hanya satu gender sahaja yang menghadapi masalah tersebut. Justeru itu, peraturan-peraturan yang pada amnya diterimapakai oleh umum, tidak boleh diaplikasikan dan peraturan –peraturan yang khusus seharusnya digunakan untuk menangani persoalan tersebut. Apabila hak-hak, tanggungjawab dan perintah itu berkaitan dengan sifat semulajadi lelaki atau wanita dari segi fizikal, anatomi dan biologi, maka hak-hak dan tanggungjawabnya akan berbeza kerana perbezaan-perbezaan yang ketara ini. Ini adalah kerana penyelesaian yang diperlukan akibat permasalahan yang timbul akibat perbezaan yang ketara tersebut.  Oleh yang demikian, penyelesaiannya bukan untuk seluruh manusia amnya tetapi hanya untuk sesuatu gender tertentu yang mempunyai karakter yang berbeza daripada satu sama lain. Justeru, peraturan– peraturan yang berkaitan kehamilan, haid dan penyusuan hanya diaplikasi kepada satu gender sahaja dan penyelesaiannya khusus untuk wanita sahaja.

Kesimpulan  

Sesungguhnya Islam tidak melihat wanita sebagai mempunyai tahap intelektual yang rendah. Ini adalah kerana kecerdikan itu sama bagi lelaki dan wanita secara semulajadi. Ketaatan kepada Islam juga adalah sama dari segi kepercayaan dan perbuatan lelaki dan wanita.
Islam telah menjelaskan dengan terperinci tentang peranan wanita dalam masyarakat; ia telah menjadikan peranan utama wanita sebagai seorang isteri dan ibu tetapi tidak mengehadkan wanita kepada peranan ini sahaja. Ia membenarkan wanita untuk mencari pekerjaan, melaburkan kekayaannya, menjawat jawatan dalam pemerintahan(selain menjadi pemerintah), berdakwah dan memperolehi pendidikan. Apabila Islam memperkatakan peranan wanita sebagai seorang isteri dan ibu, ini hanyalah sebagai peranannya yang utama, bukanlah satu-satunya peranan yang dipegangnya.

Islam juga menjelaskan tanggungjawab lelaki terhadap wanita. Oleh yang demikian, Islam telah mempertanggungjawabkan lelaki untuk mencari nafkah dan menyediakan segala keperluan keluarga. Ia juga menjelaskan kepada lelaki tentang ciri-ciri wanita  termasuk kelemahan dan sensitivitinya. Justeru itu, Islam telah menerangkan dengan jelas peranan setiap gender dan Islam tidak mempunyai tahap-tahap gender yang tertentu dimana wanita dipandang rendah dan dilihat sebagai makhluk yang inferior.

Kesetaraan bukanlah dasar Islam dan tidak pernah wujud dalam sejarah perundangan Islam. Istilah ini hanya menyelusup masuk setelah revolusi perindustrian apabila pemikir sekular Barat mencabar umat Muslim yang tidak dapat memberi sebarang respons akibat tertutupnya Ijtihad. Sebarang kajian mengenai Islam dari sudut pandang ideologi yang lain akan membawa kepada banyak kesilapan, kemudaratan  dan kelemahan dari permulaan lagi.

Islam telah membentangkan peranan lelaki dan wanita dalam masyarakat. Ini adalah untuk memastikan peradaban akan terus berlangsung dimana kedua-dua gender dapat memainkan peranan yang penting yang saling membantu satu sama lain. Melalui takrifan peranan lelaki dan wanita, Islam telah menjamin hak-hak lelaki dan wanita, kesemuanya ini lebih 1400 tahun yang lampau.  Di barat, selepas seabad berjuang, wanita barat masih lagi bergelut untuk mendapat hak-hak mereka dan masih lagi berusaha untuk mengikut imej yang dicetak oleh lelaki.

Islam dan Barat tidak mempunyai dasar yang sama pada model sosial kedua-duanya. Jadi, menilai alternatif Islam dengan menggunakan model sekular sebagai satu pengukur aras akan secara langsung membawa kepada pengasingan sebarang idea yang tidak sehaluan dengan sekularisme sebelum sesuatu wacana dimulakan. Tiada perdebatan mengenai sekularisme akan mendapat tempat! Tambahan pula, sebarang persetujuan dengan dasar sekular bukanlah satu pembuktian. Jika  sesuatu itu boleh menjadi pembuktian dengan sendiri, maka apa yang mungkin terjadi dapat dibuktikan secara rasional dari Maha Pencipta dan bukan dari yang lain.

-Tamat-