Fikratul Ummah – Disember 2013

 

FU-Cover-2013november



MUQADDIMATUL KALAM

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh…

Segala puji bagi Allah Yang Maha Menguasai setiap apa yang berlaku di bumi, di langit dan di antara keduanya. Sesungguhnya manusia dan jin itu diciptakan untuk menyembah Allah S.W.T pencipta sekalian alam.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah,

Kesempitan dan tekanan ekonomi semakin dirasakan saat ini. Dilema ini bukan sahaja dirasakan oleh rakyat Malaysia akibat kenaikan harga minyak yang membawa kepada kenaikan harga barang-barang keperluan harian dan juga perkhidmatan. Ia turut dirasakan oleh masyarakat seluruh dunia.

Disebabkan itu, pelbagai langkah telah diambil oleh negara-negara serantau untuk menangani masalah yang berlaku dalam sistem kapitalisme ini. Antaranya, pengenalan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) dan penganjuran Persidangan Asia Pacific Economic Conference (APEC) di Indonesia baru-baru ini. Ramai pihak menyedari TPPA banyak kesan buruknya pada masa depan dan kepada kedaulatan sesebuah negara. Hakikatnya, masalah yang timbul hasil daripada sistem yang rosak tidak akan mampu diselesaikan dengan sesuatu yang dihasilkan daripada sistem itu sendiri. Jadi, sampai bilakah umat Islam mahu terus menyembah dan mengharap pada sistem ini sedangkan Allah S.W.T telah menyempurnakan Islam sebagai petunjuk bagi umat manusia?

Dengan berakhirnya tahun 2013 dan menjelangnya tahun 2014 ini, marilah sama-sama kita menyemak diri sendiri adakah kita sebenarnya telah bersungguh-sungguh menyembah Allah S.W.T semata-mata dengan menjadikan agamaNya sebagai cara hidup kita selama ini? Ingatlah janji Allah S.W.T,

Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya). Mudah-mudahan Rabbmu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,..”. [TMQ at-Tahrim (66): 8]

Mudah-mudahan kupasan FU kali ini mampu menggerakkan pembaca sekalian untuk melangkah ke alam masa depan yang cerah di dunia dan di akhirat dengan menjadikan reda Allah S.W.T sebagai matlamat utama dalam menjalani kehidupan. InsyaAllah.

Wallahu a’lam.
 


DOA PILIHAN
Doa Agar Panjang Umur, Murah Rezeki Dan Diberkati



اللهُمَّ أكْثِرْ مَالِي وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَنِي، وَأَطِلْ حَيَاتِي عَلَى طَاعَتِكَ، وَأَحْسِنْ عَمَلِي، وَاغْفِرْلِي

Maksudnya:
Ya Allah, banyakkanlah hartaku dan anakku, serta berilah keberkatan atas setiap apa yang Engkau kurniakan. Panjangkanlah kehidupanku dalam ketaatan terhadapMu serta perbaikilah amalanku dan kurniakanlah keampunan kepadaku”  [HR al-Tirmizi no 2329].
 


ARTIKEL PILIHAN
Janji Manis TPPA Untuk Wanita

Muqaddimah
Menjelang tahun baru 2014, agenda memperkasakan wanita masih dikumandangkan lagi. Dalam ucap-tama Datuk Seri Najib Razak di Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) di kota London baru-baru ini, beliau mencadangkan keperluan memperkasakan wanita untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mapan. Menurutnya, kemajuan dalam tiga bidang untuk wanita iaitu pendidikan, tenaga kerja dan kepelbagaian korporat akan membuka kunci kemakmuran kepada rakyat dan negara. Beliau juga menyatakan bahawa pemerkasaan wanita dalam pertumbuhan ekonomi mampu meningkatkan produktiviti, memperbaiki prestasi membuat keputusan korporat dan mengukuhkan ekonomi (Berita Harian 30/10/2013).

Untuk itu, melalui Bajet 2014, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion bagi melaksanakan pelbagai program antaranya penubuhan Akademi Inovasi Wanita di bawah naungan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang akan merangka program kepimpinan, keusahawanan dan inovasi untuk golongan wanita (Berita Harian 07/11/2013). Sementara itu, kedatangan John Kerry ke Malaysia dengan idea imperialis baru melalui Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) dikatakan mampu memberi kesejahteraan kepada wanita!

TPPA – Siapa yang Disejahterakan?
Tidak perlu untuk menjadi penganalisis politik antarabangsa yang professional, akal yang waras dan hati yang bersih daripada sebarang bentuk kepentingan peribadi akan nampak jelas dan nyata bahawa TPPA adalah salah satu helah yang dibuat oleh sang Kapitalis – Amerika Syarikat dalam mempertajamkan cengkamannya ke atas negeri umat Islam. Persoalannya adakah benar TPPA membawa kesejahteraan? Berikut adalah antara perkara yang terkandung di sebalik TPPA:

i.    Akses kepada perubatan
Organisasi-organisasi kesihatan bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh Asia Pasifik dan di tempat lain telah memberi amaran bahawa tuntutan harta intelek (IP) yang dicadangkan dalam TPPA bertujuan untuk memastikan pulangan yang besar bagi syarikat-syarikat multinasional farmaseutikal, tetapi hal ini akan menyebabkan harga ubat melonjak. Pihak farmasi sendiri mengesyorkan ubat generik yang mana 84.7 peratus daripada preskripsi yang dikeluarkan adalah untuk ubat generik ini, TPPA akan menyekat dan melambatkan kemasukan ubat generik dalam pasaran Malaysia.

ii. Akses kepada ilmu tersekat
Dalam bab harta intelek, TPPA menimbulkan kemungkinan pelanggaran hak cipta data, dokumen, tesis, dan buku. Apa jua salinan dan penyimpanan data ‘buffer’ sesuatu hasil tulisan yang mempunyai hak cipta akan diharamkan. Ia juga akan menyekat apa jua usaha untuk muat naik buku/tesis/artikel ilmiah dan sebagainya dalam bentuk digital. Maka menghadkan akses awam kepada pendidikan digital, penyelidikan dan pengetahuan umum.

iii. ISDS: Mencabar sistem perundangan dan kehakiman negara
Investor to State Dispute Settlement (ISDS) yang dicadangkan dalam TPPA ini akan membolehkan pelabur-pelabur asing untuk mencabar tindakan oleh kerajaan, walaupun tindakan itu adalah satu keputusan undang-undang, peraturan atau keputusan mahkamah negara yang dilakukan demi kepentingan awam.

iv. Kesan kepada warga pekerja
Liberalisasi ekonomi di bawah TPPA, iaitu penghapusan tarif/cukai impot untuk pelbagai sektor pembuatan akan menjejaskan perdagangan dan kuasa saing kilang-kilang perusahaan kecil dan sederhana tempatan. Pengalaman di bawah perjanjian North America Free Trade Agreement (NAFTA) dan juga di Latin America membuktikan kehilangan pekerjaan secara meluas di seluruh negara.

v. Alam sekitar
TPPA juga menuntut penyeragaman prosedur dan perundangan Malaysia dengan negara-negara maju demi memudahkan syarikat-syarikat besar multi nasional melabur dan meragut kekayaan sumber asli kita tanpa halangan. Justeru itu jika cukai eksport balak tempatan disingkirkan maka ia meningkatkan aktiviti pembalakan, pembersihan hutan dan perlombongan. Selain daripada kemusnahan alam sekitar, ia akan menjejaskan industri pembuatan perabot domestik kerana perabot import akan menjadi kompetitif dengan penghapusan cukai ekspot balak.

TPPA – Agenda Kapitalis
Terdapat banyak lagi bab-bab lain yang dicadangkan untuk TPPA yang secara jelas menunjukkan siapakah pemenang jika perjanjian itu ditanda-tangani. Inilah Kapitalisme! Hanya membawa kesejahteraan atau manfaat kepada segolongan kecil manusia yang mempunyai pengaruh dan kuasa dan mimpi ngeri kepada manusia keseluruhannya!

Tolok ukur manfaat dalam menilai sesuatu perkara bukanlah salah, tetapi ia menjadi salah apabila mengenepikan aspek yang lebih penting dan utama iaitu aspek halal dan haramnya sesuatu perkara itu. Meletakkan asas ukuran kepada manfaat sesungguhnya merupakan cara berfikir Kapitalis. Ideologi ini mengajar penganutnya untuk mengambil apa sahaja yang boleh mendatangkan manfaat tanpa mengira aspek halal dan haram. Sedangkan ideologi Islam mengajar penganutnya bahawa tolok ukur kepada sesuatu (sama ada boleh diambil atau ditinggalkan) adalah halal dan haram, bukannya manfaat. Walau sebesar mana manfaat yang dapat diperolehi daripada sesuatu perkara/perbuatan, sekiranya perkara/perbuatan itu adalah haram, maka ia wajib ditinggalkan. Inilah cara berfikir Islam.

Segalanya bukan lagi rahsia, namun mengapa kita terus sanggup dan tegar dalam meneruskan hidup dalam sistem Demokrasi Kapitalisme ini yang mana di Amerika sendiri sistem ini gagal mensejahterakan rakyatnya. Malah banyak sudah negara yang memprotes tentang hinanya sang Kapitalis ini. Khususnya buat wanita yang sekarang ini pun terus tenggelam dalam percaturan Kapitalisme. Wanita yang menjadi buruh/bekerjaya dianggap wanita perkasa (superwoman) kerana lebih bersifat serba boleh (multitask) dan memiliki kebebasan kewangan berbanding wanita yang tidak bekerja.

Namun hakikatnya wanita, sama ada bekerja atau tidak, tetap terus menjadi mangsa. Wanita pada era Kapitalisme ini terpaksa berhadapan dengan situasi yang boleh merosakkannya. Tidak cukup dengan ekonomi yang semakin menekan, masalah sosial dan jenayah juga kian meruncing. Apakah ini yang wanita mahukan? Apakah ini kebahagian yang dikejar?

Antara karier dan tugas di rumah, antara gaya hidup dan kemampuan, segalanya memberi tekanan yang bukan sedikit. Ia menjulur sehingga boleh merosakkan institusi kekeluargaan dan kesejahteraan sejagat. Jika diamati di mana-mana negara berstatus maju dan membangun termasuklah negeri-negeri umat Islam seperti Malaysia, mereka terpaksa menubuhkan institusi, kajian dan pelbagai seminar serta program demi meredakan tekanan wanita era Kapitalisme ini. Walaubagaimanapun, wanita terus dipaksa meneguk racun Kapitalisme. Penyelesaian yang ada hanya bersifat membius seketika. Habis ubat bius, sakit semula.

Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menganjurkan pelbagai aktiviti dan program untuk memelihara kesejahteraan wanita. Dalam satu kajian yang dibuat oleh Noor Rahamah Hj. Abu Bakar (Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia) dalam kajiannya yang bertajuk ‘Wanita Bekerja dan Pengurusan Keluarga’ menyatakan bahawa wanita bekerja sering menghadapi dilema dalam membahagikan tugas mereka di pejabat dan menguruskan rumah tangga. Dari segi ekonomi, mereka terpaksa bekerja bagi membantu menambah pendapatan suami me-mandangkan perbelanjaan semakin bertambah!. (http://www.ukm.my/geografiahttps://mykhilafah.com/wp-content/uploads/archive/upload/16.geo grafia-okt%20%202012-rahamah-ukm-mela yu-kat.pdf)

Islam Mensejahterakan Wanita
Islam ialah ideologi yang memiliki sebuah sistem yang sempurna! Yang mana jaminannya telah Allah S.W.T janjikan dengan pasti. Sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud,

Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan telah aku cukupkan nikmatKu ke atas kamu dan Aku redha Islam itu sebagai agama…” [TMQ al-Maidah (5): 3].

Islam bukan sahaja sebuah agama yang bersifat ruhiyyah tapi ia juga ideologi yang memiliki sistem pengaturan yang amat efisyen. Sama ada daripada aspek ekonomi, sosial, pendidikan, pengaturan kenegaraan, maslahat umat dan sebagainya. Segalanya telah tersedia dan terbentang luas di depan mata. Satu ketika dahulu ia pernah mendominasi dunia sehingga 13 abad. Segala bukti historik dan emperik menjadi saksi bahawasanya sebuah sistem yang agung ini pernah menaungi dunia. Sejak dari Madinah Munawwarah dibangunkan oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai sebuah Negara perintis menjana Islam sebagai aspirasi sehinggalah ia dihapuskan dengan cara yang licik dan terkutuk oleh Mustafa Kamal at Tarturk laknatullahu’alaih pada 3 Mac 1924.

Dan kini hampir 89 tahun umat Islam menderita kerana tiadanya sebuah institusi yang menjamin kebajikan dan kesejahteraan umat Islam dan wanitanya. Kini penderitaan umat dan wanita telah sampai kemuncaknya. Di mana-mana sahaja umat Islam ditekan dan diikat dengan perjanjian yang berat sebelah. Umat Islam dipaksa untuk terus sejahtera dalam kapal yang sedang tenggelam.

Khatimah
Ayuh bangunlah umat! Cukup-cukuplah kalian bersandar pada sistem Demokrasi Kapitalis penghancur umat. Cukup-cukuplah kalian menderita di bawah naungan sistem buatan tangan manusia. Marilah kita kembali kepada Al-Khaliq (Pencipta) kita iaitu Allah S.W.T kerana Allah S.W.T telah mengingatkan kita dalam firmanNya yang bermaksud,

Barangsiapa yang mencari selain dari Islam sebagai agama maka, sesekali tidak akan diterima darinya (agama itu), dan di akhirat kelak ia tergolong dalam golongan orang-orang yang merugi…” [TMQ Ali-‘Imran (3): 85].

Wallahu a’lam
 


NAFSIYAH
Taubat Nasuha Menuntut Perubahan

Definisi Taubat Nasuha
Istilah at-tawbah an-nashûha dibentuk daripada kata at-tawbah dan an-nashûha. Kata tawbah merupakan mashdar daripada kata: tâba–yatûbu–tawban wa tawbat[an] wa matâban.

Daripada segi bahasa, definisi asalnya ialah ar-rujû’ atau ’âda (kembali). Al-Jauhari dalam Ash-Shihah fî al-Lughah mendefinisikan tawbah (taubat) sebagai ar-rujû’ min adz-dzanb (kembali daripada dosa). Dalam Al-Qâmûs al-Muhîth, al-Fairuz Abadi menyatakan bahawa tawbah adalah ar-rujû’ ’an al-ma’shiyah (kembali daripada kemaksiatan).

Selain itu, Ibnu Sayidih dalam Al-Mukhashish, menyebutkan asal kata tawbah ialah an-nadam (menyesal). Kata an-nashûha pula berasal daripada kata: nashaha–yanshahu–nushhan wa nashâhat[an]; yang maksudnya secara bahasa adalah nasihat, khalusa (murni/tulus).

Ibnu Kathir telah menyebutkan dalam tafsirnya; “Taubat nasuha ialah taubat yang benar dan tegas, yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan lalu, meleraikan kekusutan, seterusnya menghimpunkan dan menyucikan kotoran-kotoran dosa yang telah ia lakukan”. Malah, Umar r.a, Ibnu Masud r.a, Ubai Ibn Ka’ab r.a men-jelaskan bahawa, “Taubat nasuha bererti bertaubat daripada sesuatu dosa, serta tidak akan sekali-kali kembali melakukannya sepertimana tidak kembalinya susu ke dalam kantungnya!” Menurut Ibn Abbas dan al-Kalbi, taubat nasuha ialah menyesal dengan hati, istighfar dengan lisan, meninggalkan kemaksiatan dengan badan dan berketetapan hati untuk tidak akan mengulanginya.

Kewajipan Bertaubat
Firman Allah S.W.T, “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya. Mudah-mudahan Tuhan kalian menghapus kesalahan-kesalahan kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”  [TMQ at-Tahrim (66): 8].

Siapa saja yang tidak bertaubat, mereka itulah orang-orang yang zalim[TMQ al-Hujurat (49): 11].

Ayat – ayat di atas menunjukkan qarinah (indikasi) yang jelas dan ketegasan perintah untuk bertaubat. Di antara qarînah itu adalah adanya perintah dalam ayat 8, Surah At-Tahrim, iaitu bahawa orang yang bertaubat akan dihapus kesalahannya dan dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya pula, orang-orang yang tidak bertaubat dianggap sebagai orang yang zalim. Ini secara jelas menunjukkan bahwa perintah bertaubat kepada Allah adalah bersifat tegas sehingga hukumnya adalah wajib. Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada Aisyah r.a,

Hai Aisyah, jika engkau berbuat dosa maka memohon ampunlah kepada Allah, kerana sesungguhnya taubat daripada dosa adalah menyesal atasnya dan memohon ampunan”  [HR Ahmad].

Syarat Taubat Nasuha
Saidina Ali bin Abi Thalib r.a meriwayatkan bahawa taubat nasuha harus menghimpunkan enam perkara: 1) menyesal atas dosa yang telah lalu; 2) kembali melaksanakan kewajipan; 3) menolak atau mengembalikan kezaliman (mengembalikan hak kepada yang berhak); 4) menyelesaikan persengketaan; 5) berazam tidak akan mengulangi;  6) menggiatkan diri dalam ketaatan. Imam an-Nawawi menjelaskan taubat nasuha harus memenuhi tiga rukun: meninggalkan kemaksiatan; menyesal telah melakukannya dan bertekad tidak akan mengulanginya.

Al-Asfahani menjelaskan kata al-tawb bererti meninggalkan dosa dengan bersungguh-sungguh. Secara syar’i, kata tersebut mengandungi empat perkara, yang merupakan syarat-syarat taubah iaitu: meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali kelalaian yang telah dilakukan, bertekad untuk tidak mengulangi dosa lagi dan memperbaiki dengan amal.

Menurut para ulama juga, termasuk taubat nasuha adalah dengan mengajukan diri untuk dikenakan hukuman syar’i atas diri, baik hudûd, jinâyât ataupun ta’zîr. Hal itu seperti yang dilakukan Maiz al-Aslami dan al-Ghamidiyah. Rasul dalam riwayat yang ada menyatakan bahawa tindakan itu sebagai bentuk taubat nasuha daripada keduanya.

Taubat Dan Kesannya
Berdasarkan definisi syara’ dan syarat-syarat taubat nasuha di atas, jelas bagi kita bahawa taubat nasuha bukanlah sekadar lafaz di bibir, tetapi ia adalah kesedaran yang mendalam dalam diri orang-orang yang bertaubat sehingga mereka akan bersungguh-sungguh memohon ampun, menyesali dosa-dosa yang mereka lakukan, malah membenci dan meninggalkan jauh-jauh kemaksiatan tersebut. Tidak dikatakan seseorang itu bertaubat hanya dengan mengatakan, “aku menyesali perbuatanku”, tetapi masih terus hidup bergelumang dengan kemaksiatan. Malah, sekiranya beliau melakukan pelbagai amal kebajikan lain untuk menebus dosa-dosanya, tetapi masih tidak meninggalkan perbuatan dosa yang diketahuinya, maka itu belum disebut sebagai taubat nasuha.

Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan: “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang”. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan seksa yang pedih [TMQ An-Nisa` (4): 17-18].

Imam Al-Ghazali, dalam kitab Ihya Ulumuddin menyebutkan bahawa taubat nasuha perlu disertakan dengan ilmu, hati dan amal. Ilmu berkenaan syariatullah, sehingga mereka mengetahui kezaliman dan kemaksiatan yang mereka lakukan sebagai dosa dan bakal menerima pembalasan di hari akhirat kelak. Hati yang menyedari tentang hubungannya sebagai hamba kepada Al-Khaliq (idrak sillah billah), sehingga muncul rasa ketakutan dan kehambaaan, rasa takut tetapi tetap berharap akan keampunan Rabbnya. Amal, yang membuktikan kesan daripada taubat nasuhanya iaitu meninggalkan kemaksiatan yang telah diketahui olehnya. Allah S.W.T berfirman,

Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya[TMQ al-Furqan (25): 70-71].

Terdapat beberapa pengajaran daripada ayat di atas. Pertama, sebagaimana ditegaskan sebelumnya, taubat yang diterima di sisi Allah ialah taubat nasuha. Allah S.W.T berfirman: Illâ man tâba wa âmana wa ‘amila shâlih[an] (kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh). Dalam ayat sebelumnya [TMQ Al-Furqan (25): 68 dan 69] disebutkan tentang ancaman seksa keras lagi menghina-kan bagi orang-orang yang melanggar perbuatan terlarang, iaitu: menyembah selainNya, membunuh jiwa yang diharamkan dan berzina. Kemudian dalam ayat ini juga disebutkan, orang-orang yang dikecualikan daripada ancaman seksa tersebut. Mereka yang dikecualikan itu adalah orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.

Taubat perlu disertai dengan perbuatan hati (keimanan, rasa menyesal yang bersungguh-sungguh, kebencian terhadap kemaksiatan dan keazaman untuk berubah), lisan serta amal perbuatan (meninggalkan keharaman dan melipatgandakan perbuatan kebajikan). Inilah satu-satunya jalan bagi orang yang ingin mendapat ampunanNya. Bahkan menjadi orang yang dicintaiNya sebagaimana ditegaskan dalam firmanNya:

 “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri[TMQ al-Baqarah [2]: 222].

Maka bersegeralah bertaubat selagi pintu taubat masih terbuka. Ibnu Jarir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa kata wa âmana (dan beriman), mensyaratkan bagi orang-orang yang bertaubat agar membenarkan setiap perkara yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W. Ini ditegaskan lagi dalam kata : wa ‘amila shâlih[an] (dan mengerjakan amal soleh), iaitu mengerjakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang Allah S.W.T.

Kedua, setiap orang yang melakukan kemaksiatan dan melanggar perintah Allah, tidak boleh berputus asa terhadap ampunan dan rahmat Allah kerana sesungguhnya pintu taubat masih terbuka selagi mana mereka masih bernyawa. FirmanNya di dalam ayat yang sama: Wakânal-Lâh Ghafûr[an] Rahîm[an] (dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang). Frasa ini memberikan penegasan bahawa pintu ampunan Allah masih terbuka bagi orang yang ingin bertaubat.

Menurut Al-Jazairi, kata Ghafûr bererti yang memiliki maghfirah (ampunan) bagi hamba-hambaNya yang bertaubat. Rahîm pula bererti yang memiliki Rahmah (kasih sayang) kepada mereka. Ayat-ayat ini menerangkan bahawa sesiapa yang telah terlanjur mengerjakan perbuatan-perbuatan dosa, masih berpeluang un-tuk diampunkan dosa-dosanya dengan syarat mereka mahu bertaubat, beriman dan beramal soleh. Allah berfirman:

Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu ber-putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya”  [TMQ al-Zumar (39): 53].

Hadis-hadis lain turut memberikan maksud serupa,

Allah Azza wa Jalla akan senantiasa membuka lebar-lebar tanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada siang hari dan Allah senantiasa akan mem-buka tanganNya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada malam hari, dan yang demikian terus berlaku hingga matahari terbit dari barat”  [HR Muslim no. 2760].

Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorokan.” 
[HR At-Tirmizi no. 1531, Ibnu Majah no. 3407, dan dinyatakan shahih oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’ no. 1309].

Ketiga, Allah akan menjadikan seseorang yang melakukan taubat nasuha mampu untuk meninggalkan kemaksiatan dan mengukuhkan mereka dalam ketaatan. Allah S.W.T berfirman dalam ayat yang sama: Fa ulâika yubaddilul-Lâh sayy`iâtihim hasanât (maka kejahatan mereka digantikan oleh Allah dengan kebajikan). Ini merujuk kepada mereka yang memenuhi tiga sifat yang dijelaskan sebelumnya, iaitu: ber-taubat, beriman dan beramal soleh. Keburukan mereka akan diganti oleh Allah S.W.T dengan kebajikan (al-Syaukani, al Hasan dan al-Alusi).

Kemudian dalam ayat berikutnya Allah S.W.T berfirman, Fa innahu yatûbu ilal-Lâh matâb[an] (maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya). Ayat ini memberikan penegasan bahawa sesiapapun yang bertaubat dan beramal soleh, maka mereka sesungguhnya telah bertaubat dengan sebenar-benarNya (taubat nasuha). Al-Qurthubi menjelaskan, maka Allah pun menerima taubatnya dengan sebenar-benarnya.

Khatimah
Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa taubat itu menuntut kepada perubahan iaitu daripada keburukan kepada kebaikan. Bersama-samalah kita bertaubat dengan taubatan nasuha untuk terus berjuang demi memastikan sistem Islam kembali menaungi kehidupan ummat.

Rujukan:
• Tafsîr al-Qurthubî
• Min Muqawwimat Nafsiyah Islamiyah
 


SERIKANDI TELADAN
Al-Ghamidiyah: Wanita Hidup Dalam Naungan Dan Didikan Al-Quran

“Suatu ketika, seorang wanita bernama al-Ghamidiyah datang menemui Rasulullah S.A.W dan berkata, “Wahai Rasulullah, diriku telah berzina, oleh itu sucikanlah diriku.” Tetapi Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya bahkan menolak pengakuan wanita tersebut. Keesokan harinya wanita tersebut datang menemui Rasulullah S.A.W dan berkata,“Wahai Rasulullah, kenapa engkau menolak pengakuanku? Sesungguhnya engkau menolak pengakuanku sebagaimana engkau telah menolak pengakuan Ma’iz. Demi Allah, sekarang ini aku sedang mengandung bayi dari hasil hubungan sulit itu.” Mendengar pengakuan itu, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sekiranya kamu ingin bertaubat, maka pulanglah sampai kamu melahirkan.”

Setelah melahirkan, wanita itu datang lagi kepada baginda sambil membawa bayinya. Dia berkata,“Inilah bayi yang telah aku lahirkan.” Baginda lalu bersabda: “Kembali dan susuilah bayimu sampai waktunya.” Setelah anak itu sudah bercerai susu badan, wanita itu datang lagi dengan membawa anaknya yang sedang memegang secebis roti di tangan kecilnya, lalu wanita itu berkata, “Wahai Nabi Allah, anak kecil ini telah aku susukan, dan dia sudah boleh menikmati makanannya sendiri.” Kemudian baginda memberikan anak tersebut kepada seseorang di antara kaum Muslimin, dan memerintahkan untuk melaksanakan hukuman rejam terhadap wanita tersebut.

Wanita itu ditanam di dalam tanah hingga sebatas dada. Kemudian, beliau memerintahkan masyarakat supaya melemparinya dengan batu. Ketika Khalid bin Walid ikut serta melempari kepala wanita tersebut dengan batu, tiba-tiba percikan darahnya mengenai wajah Khalid, seketika itu dia mencaci maki wanita tersebut. Ketika mendengar makian Khalid, Nabi Allah S.A.W bersabda, “Tenangkanlah dirimu wahai Khalid, demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya wanita itu telah benar-benar bertaubat, sekiranya taubat (seperti) itu dilakukan oleh seorang pemungut cukai nescaya dosanya akan diampuni.” Setelah itu baginda memerintahkan untuk menyembahyangkan jenazahnya dan menguburkannya” [HR. Muslim No. 1695].

Mulianya Dirimu kerana Taqwa
Kisah wanita yang dituturkan oleh Buraidah r.a dalam hadis di atas kurang diceritakan dalam lipatan sejarah peradaban Islam. Sejarah Islam tidak juga menukilkan nama lengkap beliau apatah lagi mengenai latar belakangnya secara terperinci. Kita juga tidak akan menemui nama al-Ghamidiyah ini dalam mana-mana kisah pengorbanan dan perjuangan kelompok generasi para sahabat yang sering kita jadikan teladan dalam pentarbiyahan diri menuju mardhatillah. Namun, hanya dengan sebuah kisah di sebalik susuk tubuh Muslimah ini, ia cukup memberi didikan kepada umat Islam tentang erti ketaqwaan yang sebenar.

Al-Ghamidiyah hanya-lah wanita biasa dan beliau termasuk golongan yang beriman kepada Allah S.W.T dan sangat meyakini akan hari pertemuan denganNya kelak. Walaupun beliau sentiasa menjaga aib diri dan iman di hati, suatu ketika beliau kecundang dengan nafsunya sendiri. Dalam kesunyian, beliau terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan yang keji lagi hina. Walaupun kejadian buruk itu tiada siapa yang mengetahuinya, namun ia sentiasa menghantui jiwa dan perasaannya, apatah lagi ketika janin mula membentuk. Beliau sentiasa dirundung resah dan gelisah, tiada kegembiraan dan keceriaan dalam setiap kerja yang dilakukannya. Setiap waktunya diiringi dengan suara kecil yang mengingatkannya bahawa beliau tidak suci dan penuh dengan debu-debu dosa.

Beliau kemudian bertekad untuk mensucikan dirinya daripada dosa dan maksiat itu dengan menjalani hukuman yang sepatutnya. Dengan berbekalkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T, beliau tunduk kepada hukumNya dan rela menempuh segala kepedihan dan kepiluan hati untuk meninggalkan anak kecil yang tiada dosa itu. Semua ini tidak lain kecuali kerana dirinya takut akan ditimpa azab Allah S.W.T di akhirat kelak yang lebih dahsyat lagi jika beliau tidak menjalani hukuman di dunia ini.

‘Uqubat Bersifat Jawabir dan Zawajir
Permintaan al-Ghamidiyah untuk dijatuhkan hukuman Islam ke atasnya mungkin akan dianggap satu hal yang tidak masuk akal oleh sesetengah pihak apatah lagi daripada sudut pandangan mereka yang berakidah sekular. Namun, hal ini berbeza daripada sudut pandangan Islam. Salah satu keistimewaan penerapan sistem peradilan Islam (‘uqubat) – yang tidak ada dalam mana-mana sistem peradilan di dunia saat ini adalah ia dapat bertindak sebagai jawabir (penebus) sekaligus sebagai zawajir (pencegah).

Yang dikatakan kedudukan ‘uqubat sebagai jawabir adalah kerana ia dapat menebus hukuman akhirat. Dengan kata lain, hukuman akhirat bagi seorang Muslim itu akan gugur apabila hukuman Islam telah dijalankan ke atasnya ketika di dunia oleh pemerintah Negara Islam (Daulah Islamiyyah). Hal ini sebagaimana yang telah dikatakan oleh ‘Ubadah bin Shamit r.a dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah S.A.W bersabda,

Kalian berbai’at kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anakmu, tidak berbuat dusta dan tidak menolak melakukan perbuatan yang ma’ruf. Siapa sahaja menepatinya maka Allah akan menyediakan pahala; dan siapa sahaja yang melanggarnya kemudian di hukum di dunia maka hukuman itu akan menjadi penebus (siksa akhirat) baginya. Dan siapa sahaja yang melanggarnya kemudian Allah menutupinya (bebas dari hukuman dunia), maka urusan itu diserahkan kepada Allah. Jika Allah berkehendak maka Dia akan menyiksanya; dan jika Dia berkehendak maka Dia akan memaafkannya.”  [HR Bukhari]

Manakala kedudukan ‘uqubat yang bertindak sebagai zawajir pula adalah kerana ia dapat mencegah manusia daripada melakukan dosa termasuk kesalahan jenayah. Allah S.W.T berfirman,

Dan dalam qisas itu ada (jaminan) kehidupan bagimu, wahai orang-orang yang berakal agar kamu bertakwa[TMQ al-Baqarah (2): 179].

Al-Alusi berkata dalam tafsirnya, Ruhul Ma’ani (2/1130), beliau berkata,

Makna qisas sebagai jaminan kelangsungan hidup adalah kelangsungan hidup di dunia dan di akhirat. Jaminan kelangsungan hidup di dunia telah jelas kerana dengan disyari’atkannya qisas bererti seseorang akan takut untuk melakukan pembunuhan. Dengan demikian, qisas menjadi sebab berlangsungnya hidup jiwa manusia yang sedang berkembang. Adapun kelangsungan hidup di akhirat adalah berdasarkan alasan bahawa orang yang membunuh jiwa dan dia telah diqisas di dunia, kelak di akhirat ia tidak akan dituntut memenuhi hak orang yang dibunuhnya”. Hal ini turut berlaku terhadap mana-mana hukum ‘uqubat yang lain juga.

Ketaqwaan Individu Salah Satu Pilar Keteguhan Syariat Islam
Sesungguhnya syariat Islam tidak boleh dipisahkan dengan akidah Islam kerana deen Allah ini diturunkan bermula daripada kalimah lailahaillallah muhammadur rasulullah yang kemudiannya barulah diturunkan pelbagai peraturan hidup dalam Islam berupa syariat-syariatNya. Oleh sebab itu, syariat Islam tidak akan dapat diterapkan di tengah-tengah masyarakat, kecuali masyarakat tersebut telah menjadikan akidah Islam sebagai pandangan hidup, serta sebagai ideologi (mabda)nya. Dengan demikian, masyarakat tersebut memiliki ciri khas sebagai masyarakat Islam, yang menjalankan sistem peraturan Islam secara keseluruhan. Allah S.W.T berfirman,

Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sebelum mereka menjadikan engkau (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, (sehingga) kemudian tidak ada rasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang engkau berikan, dan mereka menerima dengan sepenuh-nya [TMQ an-Nisa’ (4): 65].

Hal ini menunjukkan keterikatan antara perkara akidah (yang menyangkut keimanan) dengan syariat (pelaksanaan hukum Islam) tidak dapat dipisahkan sama sekali.

Khatimah
Oleh itu, bukanlah satu perkara yang pelik apabila kita membaca kisah tentang penyerahan diri al-Ghamidiyah ini. Justeru, ia haruslah dijadikan teladan bagi umat Islam kini untuk memuhasabah diri sejauh mana ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dan sejauh mana kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W. Atas dasar akidah yang membekas di hatilah yang mendorong al-Ghamidiyah menyerahkan diri kepada Rasulullah S.A.W, meminta untuk disucikan dirinya daripada belenggu dosa zina hanya untuk meraih keredhaan Allah S.W.T dan kebahagiaan di akhirat kelak. Inilah kesannya apabila hidup di bawah naungan dan didikan Al-Quran. Apabila segala syariat di dalam kitabullah itu diterapkan, peribadi umat secara tidak langsung akan terdidik dengan ajaran yang bersumberkan akidah Islamiyah yang mana akhirnya akan lahirlah generasi-generasi muttaqin.

Wallahu’alam.

Rujukan:
• Al-Quran dan terjemahannya
• http://hadith.al-islam.com/Page.aspx?pageid=192&BookID=25&PID=3280 diakses pada 6/11/2013
• http://al-atsariyyah.com/di-antara-kisah-orang-orang-yang-bertaubat.html diakses pada 4/11/2013
• http://islamicstudiestb.wordpress.com/2011/11/08/syariat-islam-dalam-mengatasi-kriminalitas/ di akses pada 6/11/2013
• http://www.eramuslim.com/berita/analisa/dalil-bahwa-syariah-islam-sebagai-jawabir-penebus-siksa-akhirat-jawazir-pencegah-terjadinya-tindak-kriminal-yang-baru-terulang-kembali.htm#.Unpz cvlHJwy di akses pada 4/11/2013

 


FIKIH
Hukum Menyambut Tahun Baru Masehi


Soalan:
Menjelang tahun baru, pelbagai acara diadakan untuk menyambut ketibaannya. Kebiasaannya, acara-acara hiburan seperti konsert diadakan dengan kemuncak menghitung detik-detik terakhir tibanya tarikh 1 Januari. Tidak kurang juga acara solat hajat dan bacaan doa diadakan di masjid-masjid dan di surau-surau. Persoalannya, adakah sambutan tahun baru ini dibolehkan dalam Islam? Adakah hukumnya berbeza mengikut cara sambutan?

Jawapan:
Menelusuri sejarah sambutan tahun baru Masehi, ia pertama kali diraikan pada 1 Januari 45 SM. Semasa pemerintahan Maharaja Julius Caesar, baginda mahu agar kalendar yang digunakan secara tradisional dirombak kepada kalender yang berasaskan peredaran matahari. Julius Caesar dibantu oleh Sosigenes, seorang ahli astronomi dari Iskandariyah, yang menyarankan agar penanggalan baru itu dibuat dengan mengikuti revolusi matahari, sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Mesir.

Satu tahun dalam kalendar baru itu dihitung sebanyak 365 seperempat hari dan Caesar menambahkan 67 hari pada tahun 45 SM sehingga tahun 46 SM dimulai pada 1 Januari. Caesar juga memerintahkan agar setiap empat tahun, satu hari ditambahkan kepada bulan Februari, yang secara teori dapat menghindari penyimpangan dalam kalendar baru ini. Tidak lama sebelum Caesar terbunuh pada tahun 44 SM, dia mengubah nama bulan Quintilis dengan namanya, iaitu Julius atau July. Kemudian, nama bulan Sextilis diganti dengan nama pengganti Julius Caesar, Augustus, menjadi bulan Ogos.

Latar Belakang Tahun Baru Masehi
Tahun Baru Masehi adalah satu perayaan keagamaan Kristian sebagaimana dinyatakan dalam Ensiklopedia Katolik,

For the Catholics in England Pius VI (19 March, 1777) established the following lists of feasts: Easter and Pentecost two days each, Christmas, New Year’s Day, Epiphany, Ascension, Corpus Christi, Annuncia-tion, Assumption, Sts. Peter and Paul, St. George, and All Saints. (http://www.newadvent.org/cathen/06021b.htm)

Daripada senarai perayaan kristian di atas menurut Gereja England, Hari Tahun Baru (New Year’s Day) adalah termasuk perayaan keagamaan.

Hukum Meraikan Perayaan Kufur
Pada dasarnya, Islam telah melarang kaum Muslimin melibatkan diri dalam perayaan orang-orang kafir, walau apa pun bentuknya. Melibatkan diri termasuklah perbuatan mengucapkan selamat, hadir ke rumah dan majlis-majlis terbuka, menganjurkan perayaan untuk mereka (ini lebih buruk), hadir di jalan-jalan untuk menyaksikan sambutan, mengirim kad ucapan selamat, memberikan hadiah dan sebagainya. Maksud ‘perayaan’ orang kafir di sini mencakup seluruh perayaan hari raya, perayaan hari suci mereka dan semua hal yang berkaitan dengan hari yang disambut oleh orang-orang kafir yang ada hubung kait dengan akidah dan kepercayaan mereka, baik kafir musyrik mahupun kafir ahlul kitab. Ketentuan ini didasarkan pada firman Allah S.W.T,

Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri (la yash-haduna) tempat-tempat yang melakukan perkara-perkara yang dilarang (al-zur), dan apabila mereka melewati (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya”. [TMQ al-Furqan (25): 72]

Menurut sebahagian besar Mufassirin, kata al-zur (kepalsuan) dalam ayat ini adalah bermakna syirik [Imam al-Syaukani, Fath al-Qadir, juz 4, hal. 89]. Beberapa Mufassirin seperti Abu ‘Aliyah, Thawus, Muhammad bin Sirrin, al-Dhahhak dan al-Rabi’ bin Anas menjelaskan makna al-zur di sini adalah hari raya kaum Musyrikin. Lebih luas, Amru bin Qays mentafsirkannya sebagai majlis-majlis yang buruk dan kotor. [Ibnu Katsir, Tafsir Ibnu Katsir, juz 3, hal. 1346].

Sedangkan kata la yash-haduna, menurut jumhur ulama bermakna la yahdhuruna al-zur, maksudnya ‘tidak menghadirinya’ [Imam al-Syaukani, Fath al-Qadir, juz 4, hal. 89]. Memang ada yang memahami ayat ini berhubung dengan pemberian kesaksian palsu (syahadah al-zur) yang di dalam Hadis Sahih dikategorikan sebagai dosa besar. Akan tetapi, daripada konteks kalimatnya, makna yang lebih tepat adalah la yahdhurunahu (tidak menghadirinya). Ini kerana, dalam sambungan ayat seterusnya disebutkan,

“…dan apabila mereka melewati (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak ber-faedah, mereka lalui (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya”.

Dengan demikian, keseluruhan ayat ini memberikan pengertian bahawa ‘mereka tidak menghadiri al-zur’. Dan jika mereka melewatinya, maka mereka segera melepasinya, dan tidak mahu terpalit kekotorannya sedikit pun. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 3, hal. 1346]

Daripada ayat ini, ramai fuqaha’ yang menyatakan haramnya menghadiri perayaan/hari raya kaum kafir. Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Kaum Muslimin telah diharamkan untuk merayakan hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani.” Imam al-Amidi dan Qadhi Abu Bakar al-Khalal menyatakan, “Kaum Muslimin dilarang keluar untuk menyaksikan hari raya orang-orang kafir dan musyrik.”. Al-Qadhi Abu Ya’la al-Fara’ berkata, “Kaum Muslimin telah dilarang untuk merayakan hari raya orang-orang kafir atau musyrik”. [Ibnu Tamiyyah, Iqtidha’ al-Sirath al-Mustaqim, hal. 201]

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menga-takan, “Sebagaimana mereka (kaum Musyrikin) tidak diperbolehkan menampakkan syiar-syiar mereka, maka tidak diperbolehkan pula bagi kaum Muslimin menyetujui dan membantu mereka menzahirkan syiar itu serta hadir bersama mereka. Demikian menurut kesepakatan ahli ilmu”.

Abu al-Qasim al-Thabari mengatakan, “Tidak diperbolehkan bagi kaum Muslimin menghadiri hari raya mere-ka karena mereka berada dalam kemungkaran dan kedustaan (zawr). Apabila ahli ma’ruf bercampur dengan ahli mungkar, tanpa mengingkari mereka, maka ahli ma’ruf itu adalah sebagaimana halnya orang yang meredai dan ter-pengaruh dengan kemungkaran itu. Maka kita takut akan turunnya murka Allah atas jamaah mereka, yang meliputi secara umum. Kita berlindung kepada Allah dari murkaNya”. [Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Dzimmah, juz 1. hal. 235]

Pada masa-masa pemerintahan Islam, sejak zaman Rasulullah S.A.W, kaum Muslimin diharamkan merayakan perayaan Ahlul Kitab dan kaum musyrik. Daripada Anas r.a bahawa ketika Rasulullah S.A.W datang ke Madinah, penduduk di sana menyambut perayaan (Mahrajan dan Nairuz) sepertimana kebiasaan kaum Rom dan Parsi. Nabi S.A.W bertanya:

Apakah dua hari ini?” Mereka menjawab: “Adalah kami di zaman Jahiliyah bermain (berseronok) dalam dua hari ini”. Sabda Nabi, “Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu semua dengan hari yang lebih baik daripada dua hari tersebut iaitu hari raya al-Adha dan Hari raya al-Fitr”. [HR Ahmad, Abu Daud, An-Nasa’i dan Al-Baghawi]

Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khaththab, beliau juga telah melarang kaum Muslimin merayakan hari raya orang-orang kafir. Imam Baihaqi telah menuturkan sebuah riwayat dengan sanad sahih dari Atha’ bin Dinar, bahawa Umar r.a pernah berkata,

Janganlah kalian memasuki kaum musyrik di gereja-gereja pada hari raya mereka. Sesungguhnya murka Allah S.W.T akan turun kepada mereka pada hari itu”.

Umar bin al-Khaththtab r.a juga mengatakan, “Jauhilah musuh-musuh Allah pada hari raya mereka”.

Demikianlah Islam telah melarang umatnya melibatkan diri dalam perayaan orang-orang kafir, apa sekalipun bentuknya. Apatah lagi, setiap tibanya Tahun Baru, sambutan tidak akan lengkap jika tidak disertakan dengan konsert-konsert hiburan, tari-menari dan dendangan lagu samada di televisyen maupun di tempat-tempat umum. Setiap konsert-konsert yang dijalankan, semestinya berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan (ikhtilat). Sedangkan ikhtilat adalah haram hukumnya dalam Islam. Maka, telah jelaslah apa yang dibolehkan dan tidak dibolehkan oleh Islam. Firman Allah S.W.T,

dan barangsiapa yang berpaling daripada pengajaran Allah, Kami akan benarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karib mereka, sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka daripada jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk”. [TMQ Al-Zukhruf (43):36-37]

Kesimpulan

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Syariat Islam melarang umatnya daripada menyertai apa-apa perayaan agama lain termasuk antaranya sambutan Tahun Baru Masehi. Yang padanya dizahirkan syiar agama Nasrani yang syirik dan dilaknat Allah S.W.T. Sebagaimana kata Imam Ibn al-Qayyim  menyatakan dalam kitab beliau yang maksudnya, “Tidak boleh (haram) kepada kaum Muslimin menolong orang musyrik menzahirkan syiar agama mereka”. [Ahkam Ahli Zimmah, 156]

Wallahu a’lam.